Yang Ikut

Saturday, 15 December 2012

Ayat pertama dengan bakal penyelia?

Reactions: 
"Saya sangat berminat dengan bidang ini. Saya berharap dapat berjumpa Tuan untuk membincangkan hasrat saya menyambung pelajaran peringkat Sarjana". 

"Psikologi, saya rasa bidang yang sangat relevan dengan kerja saya. Saya ingin sekali menceburi bidang psikologi. Kalau boleh, saya ingin bertemu dengan pihak Tuan".

Inilah adalah bentuk-bentuk email yang selalu aku terima. Bagaimana pun, ada hal yang patut diketahui oleh para pelajar yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Surat, atau hasrat seperti ini tidak memberikan apa-apa.

Anda perlu tahu dengan siapa anda berhubung. Daripada situ, anda perlu tahu apa minat dan bidang mereka. Sekalipun anda berminat dengan bidang kejuruteraan misalnya, anda tidak boleh merasakan tajuk yang berkaitan kimia organik sesuai untuk dikemukakan kepada mereka yang pakar dalam bidang kejuruteraan sivil. 

Anda juga sepatutnya tahu bidang spesifik orang yang anda hubungi. Kalau seseorang menghubungi aku untuk melakukan kajian dalam bidang psikologi kanak-kanak misalnya, aku tidak berhasrat melayannya. Ia bukan bidang yang aku ketahui.

Berbincang hal secara umum juga adakalanya tidak membantu. Sebaiknya bacalah beberapa artikel berkaitan dengan bidang yang bakal anda terokai. Jadi, ia akan menjadi mukadimah yang baik untuk anda menghubungi bakal penyelia anda. Misalnya, "Saya ada membaca beberapa kajian oleh Bakker & Demerouti berkaitan burnout. Saya dapati kajian mereka masih tidak memadai. Ini kalau diasaskan kepada kajian Zapf & Dormann, misalnya, ditunjukkan bahawa burnout akan hanya menyebabkan kemurungan hanya setelah beberapa tahun seseorang mengalami burnout. Jadi, saya ingin ...."

Membaca email seperti ini menjadikan bakal penyelia akan 'teruja' dengan anda. Begitulah cara yang sepatutnya anda memperkenalkan diri dengan orang yang tidak mengenali anda.

Ia seolah-olah menunjukkan anda telah mula menyelongkar bidang yang ingin dikaji, dan bukan hanya sekadar menunjukkan minat sahaja. Ia juga memudahkan orang seperti kami mencadangkan apa yang sepatutnya dibaca lagi, atau apa topik kajian yang boleh dilakukan.

Minat sahaja tidak memberikan apa-apa makna. Mesti ada bukti bahawa anda seorang yang berminat. Bukti itu mestilah datang dari pembacaan, dan bukannya angan-angan.


1 comment:

Anonymous said...

Berkaitan dengan persoalan tentang minat atau hasrat untuk mempelajari dan mendalami sesuatu bidang. Soalan pertama yang perlu bertanya pada diri anda terlebih dahulu adalah "apakah motif saya ingin belajar ilmu atau bidang ini"? Ini kerana, lain orang lain orientasi. Ada orang ingin belajar sesuatu bidang kerana diperlukan dalam kerja. Ada orang ingin belajar sekadar berminat untuk tahu. Ada juga orang ingin belajar untuk cabarkan diri mereka. Ada juga orang ingin belajar untuk sekadar isi masa terluang. Tapi, ada orang ingin belajar kerana ingin jadi seorang pakar dalam bidang tersebut (i.e ahli akademik, Profesor).


Setelah jelas dengan motif atau orientasi anda untuk mendalami sesuatu bidang, barulah anda membuat keputusan untuk memilih mode pembelajaran (i.e fully thesis, thesis by publication, coursework). Untuk mereka yang sekadar minat untuk mengetahui sesuatu bidang secara umum, mode pembelajaran coursework adalah lebih sesuai. Ini kerana, mode pembelajaran jenis fully thesis atau publication memerlukan seseorang yang benar-benar ingin mendalami sesuatu bidang secara spesifik. Dalam mode ini, pengetahuan yang ada tentang sesuatu bidang tidaklah mencukupi, ia perlu juga diiringi dengan keupayaan fikiran yang kritis, keupayaan menulis dan berikan hujah, dan juga penguasaan kaedah methodologi dan analisis. Untuk pelajar yang memilih mode thesis, pemilihan supervisor yang tepat adalah amat penting.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails