Yang Ikut

Wednesday, 5 December 2012

Apa yang telah kita buat untuk kampung kita?

Reactions: 
Kita selalu tertanya-tanya, mengapa adakalanya budaya kampung kita masih tidak berubah. Sesekali, kita sangat bimbang kalau anak kita dibesarkan di kampung. Kampung sekarang bukan lagi tempat untuk anak-anak mandi sungai atau melastik burung. Kampung juga bukan lagi medan menjadikan anak-anak belajar budi bahasa dan sopan santun. Tidak juga tempatnya untuk mereka bermain wau bulan atau gasing.

Tidak. Kampung sudah berubah. Ia melahirkan generasi ketagih ice, rempit dan sesekali ragut. Dadah sudah menjadi trademark baru pemuda dari kampung. Bohsia dan bohjan juga banyak. Cuma tidak ramai yang tahu sahaja. Belum termasuk isu lain. Isu ponteng sekolah, teruja untuk tamat sekolah lebih awal dan mendapatkan kerja yang gajinya hanya secukup makan.

Sesekali, adalah lebih selamat anak-anak yang dibesarkan di bandar. Mereka banyak duduk di rumah. Bermain PSP atau komputer. Mengikut ayah ibu pergi bershopping. Mereka tidak begitu bebas, kerana di bandar kita hanya pentingkan diri kita sendiri. Kita terasing dan tidak kenal dengan orang lain. 

Mengapa budaya hidup di kampung semakin menakutkan?


Setiap tahun, ada anak-anak dari kampung kita yang berjaya masuk universiti. Ini bermakna produk dari kampung bukanlah 'koman' dan tidak ada nilai intelektual. Banyak yang berjaya dan hebat.


Mengapa pula anak-anak kampung yang lain tidak boleh diubah, atau tidak ada apa yang boleh diubah. 


Cuba kita perhatikan secara jujur. Berapa banyak produk dari kampung yang berjaya ini pulang semula ke dalam komunitinya membantu mereka yang lain. Bukanlah bermakna kita mengharapkan mereka duduk di kampung. 


Sesekali kita harapkan mereka pulang dan memberikan buah fikiran mereka. Itu sahaja.

Malangnya, tidak ramai. Banyak daripada anak kampung yang hebat ini menjadi manusia baru. Mereka menjadi orang lain. Yang lahir di bawah pohon nyior sesekali lagaknya seperti lahir di New York. Gayanya lain. Ada yang sombong. Mereka ada komuniti baru. Mereka tidak kembali ke asalnya untuk membantu orang kampung ini.

Mereka cepat lupa.

Kalau mereka pulang pun, usia sudah senja. Tidak ada sesiapa pun yang akan mendengar pandangan mereka. Mereka mungkin tidak cukup tenaga lagi.


Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu desa kita? 


Apa yang patut kita lakukan.

Aku juga seperti kamu. Aku juga tidak melakukan apa-apa.
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails