Yang Ikut

Thursday, 20 December 2012

Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

Reactions: 
Apa indahnya menjadi ahli psikologi?

Kelihatannya macam indah bukan? 

Ada masanya mungkin begitu. Tetapi tidak pada setiap waktunya.

Melibatkan dengan pekerjaan ini, kita terlibat dengan masalah manusia. Masalah orang lain. Masalah orang lain ini bermacam-macam. Ada yang biasa sahaja, ada yang sangat peribadi.

Setiap kali orang lain mengajukan masalah, kita perlu mendengarnya. Kita perlu mencadangkan caranya.

Orang yang dilanda masalah psikologi ini pula tidak sama dengan mereka yang demam atau sakit fizikal. Fikiran mereka bercelaru. Setiap hari, otak mereka berdebat dengan hal tidak rasional. Mereka berperang di antara hal yang nyata dan tidak. Mereka berperang untuk terus berlawan, atau merasa kecewa dan putus asa.

Biasanya, tahap mereka yang diserang isu psikologikal ini berbagai. Ada tahap pasang dan tahap surut. Pertama sekali apabila dilanda musibah, mereka akan cuba menafikannya. Mereka akan bertanya, 'mengapa aku, dan kenapa bukan orang lain'. Mereka bertanya 'mengapa aku dilahirkan menjadi manusia, dan bukan burung'. 'Mengapa aku dipilih dengan beban ini". Syurga, neraka, dosa dan pahala semua ada di sini. 

Itu soalan putus asa dan kecewa. Ia pertikaian yang sangat teruk.

Inilah masa yang paling kritikal. Tidak banyak yang kami boleh lakukan waktu ini. Hanya bercakap dan mendegar. Itu pun kalau mampu. Sebabnya, mereka yang dilanda masalah akan menolak apa juga yang kita sarankan. Mereka berperang dengan diri mereka sendiri. Banyak daripada mereka yang mengambil jalan singkat mencederakan diri, atau melakukan tindakan yang tidak terduga akal berlaku di tahap ini.

Tahap kedua ialah penerimaan. Ketika ini, mereka sudah mampu menerima hakikat. Inilah kenyataan yang perlu mereka lalui. Mereka tidak boleh mengalah. Bagaimana pun, sesekali akan datang isu yang sulit ketika tahap pertama tadi. Ia datang menerawang.

Lama atau pendek bergantung sejauh mana pesakit bertahan dan berlawan. 

Lama kelamaan, kalau pesakit mengambil jalan yang betul, masalah akan selesai dan hilang. Ia keluar dari kotak minda yang kacau. Mereka akan rasional kembali.

Apa yang ahli psikologi lakukan?

Tidak. Kami hanya mendengar dan memberikan pandangan. Itupun kalau mereka mendengar. Masalah diselesaikan oleh mereka yang sakit.

Ia tidak sama dengan sakit fizikal. Masalah psikologikal berada di minda. 

Hanya pesakitlah yang tahu apa yang ada di minda mereka.

Tetapi, kami yang mendengar ini pun sebenarnya terdorong untuk menyerap dan berfikir hal yang difikirkan pesakit. Kita berfikir untuk mematahkan hujah tidak rasional pesakit. Ia membuatkan kita menyerap masalah pesakit. Kami, adakalanya tidak tidur malam juga. Menjadi manusia resah. Menjadi manusia tidak normal.

Sebab itu - dari segi profesionalismenya, kami dididik untuk tidak terlalu 'get involved'. Maksudnya, kami tidak boleh meletakkan diri sebagai pesakit juga. Kami tidak boleh memikul semua beban pesakit. 

Bagaimana pun, kami pun manusia juga. Hujah mengatakan bahawa emosi manusia berpindah kepada manusia lain mungkin selalu benar kepada mereka yang terlibat dalam bidang seperti ini.

Ia menyakitkan. Ia memeritkan. Ia tidak indah. Ia adalah kehidupan ahli psikologi. 

Kami juga berperang dengan diri kami sendiri. 

3 comments:

Anonymous said...

Salam. Terima kasih atas cebisan karya yang dihasilkan..walaupun ringkas, ia cukup memberikan gambaran sebenar tentang kerjaya sebagai seorang ahli psikologi. Ahli psikologi, kedengaran hebat di bibir, tetapi hanya mereka yang betul-betul komited sahaja yang mampu mengharungi pertarungan minda dan emosi yang menjadi lumrah dalam bidang ini. Segala penat lelah dirasakan terbayar tatkala melihat senyuman pesakit di hujung pertarungan. Semoga Allah memberikan keberkatan dan kekuatan kepada mereka yang berjuang membantu insan-insan di luar sana.

Hazri Azmir said...


saya izzuddin ingin bertanya adakah mengambil diploma in psychology langkah yang pertama untuk saya untuk menjadi ahli psikologi? kolej yang saya akan hadiri adalah kolej segi.. apakah pandangan anda... saya sangat memerlukan pertolongan dan pandangan kerana saya tidak ada sesiapa yang terdekat yang menceburi bidang ini....terima kasih.

FakirFikir said...

Pls email me. Easy to explain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails