Yang Ikut

Sunday, 4 November 2012

Debat 2: Patutkan bidang agama di'ISI'kan?

Reactions: 
Dalam tulisan sebelum ini, seorang pembaca bertanya hal yang agak penting dan menarik. 

Bayangkan kalau semua ulama dan cendekiawan agama, hanya berjuang melakukan kajian bagi mendapatkan tempat di penerbitan ISI atau Scopus, yang asasnya dibina bersandarkan dengan nilai Barat, apa akan terjadi dengan prinsip asas dalam hal keagamaan - iaitu ikhlas.

Puluhan kitab tua yang ditulis oleh ulamak silam terus kekal dibaca dan diterima orang kerana ia ditulis dengan konsep ikhlas. Ia ditulis bukan kerana hajat menjual kitab, atau mendapat pujian orang. Ia ditulis kerana itulah pekerjaan orang alim - menyampaikan ilmu secara ikhlas. Mereka menulis kerana Allah. Mereka orang biasa, tetapi ilmunya tetap kekal. Begitulah ilmu sepatutnya berjalan. 

Seperti yang ditanya pembaca, kalaulah bidang agama ini tidak diterbitkan dalam jurnal berkualiti, adakah bermakna kajian tersebut tidak ada nilainya?

Dan adakah setiap perkara boleh diterbitkan dalam jurnal yang mempunyai Tier-1?

Saya sebenarnya tidak begitu terbiasa dengan kajian-kajian di Fakulti Pengajian Islam. Bagaimana pun, saya jangkakan ia masih bersandarkan kepada dua cara - satunya ialah perdebatan mengenai hal keilmuan agama, manakala yang kedua ialah mereka yang melakukan kajian secara kutipan data. 

Maka saya berandaian, tatkala yang pertama perlu dipertingkatkan - dengan memperbanyakkan kitab-kitab dan pengetahuan mengenai agama, maka aliran yang kedua inilah yang perlu berusaha menerbitkan kajian mereka ke dalam jurnal yang berkualiti. Ia mungkin membantu proses dakwah.

Hendak dikatakan prinsip metafizik tidak boleh diuji secara empiri, tidak juga. Ilmu psikologi misalnya bermula dengan hal metafizik apabila aliran seperti Rene Descartes menyatakan manusia ini terbahagi kepada dua bahagian - 'jasad' dan 'jiwa'. Bahagian jiwa itulah yang sukar untuk mereka terangkan apakah bentuknya. Walaupun kemudiannya jiwa itu telah berkembang dalam disiplin psikologi yang dikaji dengan menggunakan konsep seperti emosi, naluri dan sebagainya. Walaupun, pada asasnya, apa yang dikatakan 'jiwa' itu masih tidak dapat dihuraikan.

Adakah tidak boleh diuji prinsip agama dengan dunia praktikal? 

Saya berpandangan ada yang boleh, ada yang tidak, dan ada yang patut kita hindarkan. 

Apa yang boleh?

Jika dikatakan sembahyang mampu mencegah kemungkaran, adakah tidak boleh diuji kerana isu sembahyang ialah hal hati. Ia hal di antara manusia dan Pencipta.

Kita mungkin tidak menguji hal sembahyang yang nyata - misalnya bertanya subjek berapa kali dia bersembahyang, atau dia bersembahyang atau tidak. Ia hal yang mesti dielakkan. Semua orang akan menjawab ya, atau tidak menjawab langsung.

Di sinilah ilmu metodologi penyelidikan membantu. Kita hanya bertanya kecenderungan orang dengan hal yang berkaitan sembahyang, tidak kisahlah mereka sembahyang atau tidak. Soalan yang patut ditanya ialah "Selepas sahaja selesai bersolat, saya ternanti-nanti untuk solat wajib selepasnya'. "Sebaik sahaja mendengar azan, saya akan mendahulukan solat berbanding tugasan lain'.  Kemudian bagi pemboleh ubah yang lain, kita akan mendapatkan soalan-soalan seperti kecenderungan menipu, jujur dan sebagainya. Soalan seperti ini biasanya ada dalam penyelidikan disiplin yang lain.

Kita juga boleh melakukan kajian secara kerjasama dengan bidang yang lain. Misalnya, mereka yang menjawab soalan skala sembahyang tadi, akan diambil sampel darah, tekanan jantung dan sebagainya. Kita boleh mengaitkan bahawa sembahyang ada kaitannya dengan kesihatan manusia.

Jadi yang kita kaji bukanlah 'ibadat' itu sendiri, tetapi prinsip jiwa manusia beribadat.

Bagaimana kalau kajian tidak menjadi? Misalnya mereka cenderung dengan sembahyang, tetapi skala menipu juga tinggi.

Jawapan yang sepatutnya kita dengar, itulah kajian.

Kalau tidak menjadi, ada kemungkinannya ada pembolehubah lain yang tidak dikawal. Boleh jadi, mereka kuat menipu, jadi mereka juga menipu kononnya mereka ini baik dan alim. Atau mereka sembahyang banyak, tetapi mereka nampaknya terjejas kesihatan. Boleh jadi sebab mereka sakit itulah mereka banyak sembahyang.

Jadi, pada akhirnya itulah pembuktian dalam bidang sains sosial. Ada yang belum terungkap, sepatutnya dikaji oleh penyelidik yang baru. Inilah dinamakan Re-Search.
 
Kajian-kajian berkaitan murtad misalnya boleh di-ISIkan. Adakah orang yang murtad ini kerana lemah agama? Atau lemah agama ditambah dengan miskin. Katakan mereka pernah membaca Al-Quran sekali dalam hidup mereka, mereka mungkin tidak menukar agama. Jadi kita gunakan interaction effects. Kita gunakan mediation analysis.
 
Kita juga menguji hal-hal lain, tidak hanya sembahyang. Misalnya membaca al-Quran dan prestasi kerja, marah dan sebagainya. Ini semua boleh diuji sama ada secara kuantitatif, kualitatif, bahkan menggunakan structural equation modelling sekalipun.

Malah, kalau ada yang rajin dan pintar, mereka juga boleh menggunakan Grounded Theory untuk menganalisis teks Al-Quran dan hadis.

Maksudnya, kita cuba melakukan pengujian bidang agama menggunakan metodologi moden. 

Inilah yang dikatakan empiri - boleh diuji semula. 

Tetapi, janganlah pula menguji hal yang tidak dibolehkan. Misalnya mengkaji di mana Tuhan? Ini akan menjadi metafizik yang sekular.

Malangnya, kerana banyak sarjana agama tidak terdedah dengan aspek seumpama ini, maka kajian dalam bidang agama hanya tertumpu kepada kajian deskriptif. Ia menyukarkan penerbitan di jurnal yang baik, yang boleh mempromosi agama secara tidak langsung.

Pada masa hadapan, mungkin fakulti-fakulti agama menerapkan hal seumpama ini. Tatkala ada orang alim yang boleh menulis kitab dengan baik, bagi tujuan pembentukan akidah, menguatkan fekah dan sebagainya, ada pula segolongan lain yang melakukan kajian yang dapat dimanfaatkan bagi tujuan praktikal.

Pada akhirnya, sekiranya kita ikhlas, kita mungkin mampu menghasilkan kitab yang baru juga, dengan pendekatan yang lain. Tujuan kita bukanlah kerana ISI itu sendiri, tetapi cuba menunjukkan bahawa apa yang mampu Islam bawakan untuk kebaikan umat sejagat.
 
Harap penjelasan saya dapat membantu.

      

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails