Yang Ikut

Wednesday, 28 November 2012

Apa yang saya belajar di luar negeri

Reactions: 
Satu tengahari, saya singgah di Felda Sungkai Timur. Bertemu dengan saudara mara di sana.

Satu soalan telah ditanya. Apakah yang telah dipelajari selamat 4 tahun di luar negeri?

Banyak sebenarnya. Saya tidaklah menjawab kesemuanya.

Daripada banyak yang saya belajar, saya rasa banyak daripada kami belajar hal ini. Belajar untuk menjadi ular yang menyusur akar, tetapi tidak hilang bisanya.

Di luar negeri, kita akan dapati profesor dan pensyarahnya mempunyai lagak seperti biasa sahaja. Tidak ada formaliti. Tidak ada puja dan puji. Kita berbual seperti teman lama sahaja. Mereka tidak pedulikan pangkat dan profil mereka. Nama mereka mungkin terkenal di seluruh dunia kerana banyaknya buku dan kajian, tetapi mereka merendah diri.

Sepertinya, mereka tidak tahu pun mereka terkenal.

Banyak pelajar kita belajar di sana. Banyak daripada kita belajar daripada mereka yang berjiwa besar ini. Ada yang pulang menjawat jawatan tinggi di agensi kerajaan, ada yang menjadi ahli akademik.

Sayangnya, tidak pula kesemuanya menjadi seperti itu.

Ada yang apabila berbual - merasa begitu gah dan besar kerana belajar di luar negara. Ada yang caranya lebih orang putih dari Inggeris.

Bagaimana pun, kelihatannya kelompok ini tidaklah banyak lagi. Hanya ada segelintir dua sahaja. Mungkin itulah yang mereka belajar di luar negeri. Belajar untuk menjadi orang biasa sahaja.

Tetapi saya terkesan satu perkara yang sedikit aneh. Ada segelintir manusia yang cara mereka melayan pelajar, cara mereka bercakap hal akademik sangat menggerunkan. Mereka seolah-olahnya ular yang paling bisa di kalangan segala jenis ular.

Mereka ini pula biasanya bukanlah produk dari UK, Australia atau kota Inggeris yang lain. Bukan juga produk dari Jepun atau Korea.

Mereka ini produk tempatan.

Sesekali saya berfikir adakah mereka memang begitu? Atau sistem pendidikan kita sedang mengajar mereka dengan gaya 'jarak kuasa' yang patut dilakonkan.

Entahlah.

Saya tidak begitu tahu, dan malas untuk ambil tahu.

1 comment:

alien said...

"tetapi saya terkesan satu perkara yang sedikit aneh. Ada segelintir manusia yang cara mereka melayan pelajar, cara mereka bercakap hal akademik sangat menggerunkan. Mereka seolah-olahnya ular yang paling bisa di kalangan segala jenis ular."

ni yg paling gerun..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails