Yang Ikut

Wednesday, 21 November 2012

13 tahun dulu

Reactions: 

Besok pagi, 13 tahun yang dulu aku menamatkan usia bujang. Masa itu, hidup aku tidaklah semudah yang disangka. Aku hanya memiliki sebuah motosikal. Untuk berkahwin, aku mengikat perut selama beberapa bulan. Ini bukan ikat perut dalam istilah bahasanya. Ini ialah ikat perut yang betul. Pernah satu malam, aku cuma ada 30 sen sahaja di dalam poket. Kawan serumah aku - Aca, seorang pelukis grafik juga hanya ada beberapa ringgit dalam poket.

Kata Aca, cara yang paling mudah ialah dengan hanya meminum air teh. Katanya, gula boleh memberi tenaga. Ya, malam itu kami membancuhkan air teh. Itu sahaja yang ada.

Kami menyewa rumah flat kos rendah di Pandah Jaya. Jarak rumah aku ke pejabat dalam 3 km. Kerana hari itu ialah hari Ahad, dan aku tidak tahan lagi mengikat perut, aku berjalan kaki ke pejabat. Motor sudah kehabisan minyak. Aku ke pejabat bukan untuk berkerja. Aku ke pejabat untuk mencari roti dan biskut kering yang disimpan di pantry. Setelah membancuh secawan kopi, dan memakan entah berapa banyak roti kering, aku membawa pulang sedikit untuk Aca di rumah. Berjalan kaki lagi.

Isnin itu, aku tidak tahan lagi berlapar. Aku menelefon sahabat lama aku. Dia datang memberikan aku wang.

Hidup ini teruk bukan? Ini cerita 13 tahun dulu. Aku pun tidak tahu mengapa cerita ini penting untuk ditulis.

Sepanjang 13 tahun ini, aku juga dikurniakan banyak cerita indah. Sesekali bercampur cerita gulana.

Dua hari lalu, ketika menyelongkar barang-barang di rumah mertua, aku bertemu semula dengan beberapa keping surat cinta yang isteri aku simpan dalam album. Beberapa orang anak saudara aku datang – “Uncle, boleh tak ajar kami bagaimana menulis surat cinta?’

Aku tidak memberikan apa-apa respons. Cuma, kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menuliskan sebarang surat untuk sesiapa pun. Dalam dunia ini, yang paling penting ialah berapa banyak wang yang ada dalam poket anda. Itulah resipi kehidupan.

Seguni surat cinta pun tidak akan mampu membelikan mereka sebungkus nasi lemak pun.

Apa hadiah untuk isteri aku?

Tidak ada hadiah. Tidak ada Samsung 2 atau Ipad. Aku sendiri pun masih memakai handphone yang buruk. Cuma, dia memintakan aku menulis sesuatu di blog ini.

Apa yang akan aku tuliskan.

Aku pun tidak berapa tahu. Besok hari aku tuliskan.







4 comments:

WanBeruas said...

..Gua masa memula kawain dulu pun struggle jugak bro...Dok umah setinggan yang dah senget air tarak api tarak...Lambat mandi jawabnya telaga kering sebab berkongsi dengan ramai orang...Amik upah merumput bersama wife dengan anak sulung berumur tiga tahun yang sekarang dah berumur 26 tahun..Tapi semua itu indah untuk dikenang..Baru2 ni wa cerita kat mak dan dia nangis..sebab kami mmng tak pernah cerita susah kami pada dia..Alhamdullilah kami juga tak pernah merungut...

ismadiyusuf said...

Hidup itu indah bila diselangi dengan pelbagai suka dan duka, mengajar kita menjadi manusia yang berfikir akan ketentuan-Nya.

faizal abd fathi said...

menarik jugak bila kita kenang zaman susah kita..bersyukur kerana dugaan tu ada hikmahnya..

eira eixora said...

saya ingatkan saya je yang susah. rasa nak nanges bila takde duit.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails