Yang Ikut

Tuesday, 16 October 2012

Projek rintis penerbitan jurnal ISI

Reactions: 
Semalam saya mengadakan Bengkel Menghafal untuk beberapa orang pelajar SPM di Putrajaya. Sebenarnya inilah kali pertama saya melakukan kerja ini sejak balik dari Australia setahun lalu. Dulu saya ada merancang dengan Dr Ben, tetapi nampaknya kesibukan menjadikan rancangan kami tidak lagi menjadi. 

Sebenarnya, baru-baru ini saya didatangi seorang pelajar yang ingin melakukan pengajian master di bawah seliaan saya. Saya tidak begitu mengenalinya sehinggalah dia memberitahu bahawa beliau pernah menghadiri program menghafal saya tahun 2008 dulu. Dunia ini nampaknya kecil sahaja. Di universiti saya berkerja sekarang, ada seorang atau dua lagi pelajar yang pernah mengikuti program menghafal saya ini. 

Saya tidak mengenali mereka. Saya cuma diberitahu anak saudara saya yang sebaya dengan mereka. Saya cuma diberitahu mereka mengenali saya, tetapi mereka tidak berani menegur kerana saya kelihatan serius. Saya harap saya dapat bertemu dengan mereka suatu hari nanti.

Sekarang saya sedang merancang program baru. Ia program untuk menghasilkan kajian untuk diterbitkan dalam jurnal ISI. Saya mahu melatih anak-anak muda bagaimana menjalankan kajian yang betul, dan kemudiannya menganalisis dan menulis dengan cara yang sesuai untuk diterbitkan di jurnal berkualiti. Bagaimana pun, ia hanya memfokus kepada bidang psikologi kerja.

Pelajar-pelajar yang terlibat perlu memulakan proses ini sedari awal lagi. Ia bermula dengan proses merangka konsep kajian yang mengambil kira semua 'gap' dan 'menambah pengetahuan baru'. Kemudian mereka akan diminta menjalankan kajian. Setelah data diperolehi, saya akan mengajar mereka menganalisis. Setelah itu, saya akan mengajar mereka A to Z bagaimana untuk menulis makalah untuk jurnal ISI ini.

Saya perlu melakukannya. Saya telah banyak berceramah. Bagaimana pun, ia mungkin tidak akan mencapai matlamatnya kalau mereka ini tidak dilatih secara 'hands-on'. Mereka perlu dilatih sejak dari awal lagi. 

Banyak orang menyangka dengan tulisan yang baik, ia akan diterima untuk penerbitan. Hakikatnya tidak. Kajian tetap ditolak juga kalau metodologi dan konsep kajian adalah salah, atau tidak up to date. 

Untuk permulaan ini, saya sudah ada dua projek. Projek pertama sudah mula ditulis bahagian pengenalan. Projek kedua pula, masih di peringkat saringan soal selidik. Kutipan data akan dimulakan bulan hadapan.

Jumaat ini, saya akan mempunyai dua lagi kumpulan pelajar. Kami akan berbincang dengan misi ISI kami. 

Saya harap projek saya ini mampu memberikan manfaat untuk semua yang terlibat. Saya tidak kisah, kalau nama saya hanya sekadar 'co-authors'. Misi saya bagi projek ini hanyalah untuk menghasilkan pelajar pasca siswazah yang tahu bagaimana menulis jurnal ISI.

Sebagai permulaan, kami tidak mensasarkan jurnal ISI yang berstatus tier 1. Cukuplah apa-apa jurnal yang disenaraikan di ISI. Pada masa hadapan, mereka akan meletakkan sendiri sasaran mereka.

Saya sendiri masih mempunyai 4 projek penyelidikan. Itu sahaja sudah cukup untuk diri saya sendiri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails