Yang Ikut

Tuesday, 2 October 2012

PhD: Kalau anda bagaimana?

Reactions: 
Aku menerima email daripada seorang pembaca. 

Assalamualaikum, 

Encik FakirFikir. Saya merupakan pelajar PHD. Saya baru je beberapa minggu memulakan pengajian. Saya ada sedikit kecelaruan kerana saya dapat buat PHD ni secara ekspres dimana saya tidak perlu buat master. Masalahnya ialah, saya adalah jugak bertanya dengan pensyarah saya tentang PHD ni. Patut ke saya buat master dulu atau teruskan sahaja PHD saya ni. Ada yang tak bagi dan ada yang bagi, jadi saya nak bertanya lah En.Fikir. Kalau En. Fikir jadi saya la, En Fikir buat PHD terus atau bagaimana. Cuma nak pendapat sahaja. Semoga pendapat En.Fikir akan beri sesuatu yang positif untuk saya.

------------------------------

Kalau anda bagaimana?

Sebenarnya trend terus melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD bukanlah hal baru. Ia biasanya ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang. Bagaimana pun,mengikut pengamatan aku,  isu ini muncul kerana trend mutakhir ini juga menunjukkan pelajar ijazah sarjana muda sebenarnya tidak begitu banyak membaca. Ada pula yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Walaupun ada yang mendapat CGPA yang baik, aku tidak pernah percaya itu kayu ukur yang sempurna. Banyak yang mempunyai CGPA yang baik sebenarnya tidaklah semestinya mereka itu manusia terbijak yang terhasil oleh universiti.

Jadi, ada pandangan yang meminta mereka mendapatkan ijazah sarjana dahulu. Sekurang-kurangnya mematangkan mereka. Mereka yang memiliki ijazah sarjana sekalipun, malah yang sudah ada PhD juga adakalanya masih ada kelompangan kersarjanaan. Mereka ada masalah di sana sini. Ada yang gagal menguasai pengetahuan, ada pula yang gagal menguasai metodologi. Ada yang tidak memiliki kedua-duanya. Apatah pula kalau sekadar ada ijazah sarjana muda.

Aku tidak berminat berdebat mengenainya. Sekarang ini ia menjadi tugas kami para akademik muda untuk mengubah semua ini. Kerana akhirnya, kamilah juga yang menjadi guru mereka.

Menjawab soalan pembaca ini, bagi aku ia bergantung kepada dirinya sendiri. Kemampuan yang kita miliki, kitalah yang mampu mengukurnya. Pelajar-pelajar muda ini mungkin akan lebih bijak daripada mereka yang lain, kalau kena caranya. Mereka juga mungkin akan menjadi bertambah buruk kalau tersalah jalannya.

Tidak semua pelajar dewasa yang menyambung PhD yang bijak. Jadi, adakalanya usia bukanlah penentu. Orang muda juga ada kelemahan, tetapi ada kekuatan lain. Tetapi kerja keras dan 'nasib' itulah kriteria yang selalu bersangkutan dalam pengajian PhD.

Idealnya, mereka yang bijak ini sepatutnya diselia oleh manusia yang bijak juga. Katakanlah mereka ini yang sebenarnya masih tersangat muda, diselia oleh mereka yang sebenarnya lebih mementingkan 'CV' demi untuk mendapatkan jumlah pelajar yang ramai, tetapi hakikatnya 'tidak' menyelia, mereka akan menghadapi masalah yang besar.

Apatah kalau penyelia mereka ini datangnya dari aliran pelajar PhD ialah mereka yang bebas terbang di langitnya sendiri, berenang di lautan ilmu yang terbuka. 

Bagaimana pun, biasanya untuk mendapatkan penyelia yang serba sempurna tidaklah selalunya berlaku. Dalam kelok normal hidup manusia, ada yang baik, ada yang kurang. Ia bukan salah sistem. Ia hal yang semulajadi.

Sebaliknya, kalau pelajar tadi memang mampu menerobos dunia PhD, sekalipun tanpa perlu penyeliaan yang ketat, itu memang hebat. PhD ialah pemikiran. Adakalanya tidak bergantung kepada siapa yang menyelia, dan apa yang diselia. Tidak ramai pelajar seperti ini sebenarnya. Apatah dalam budaya pendidikan 'spoon feeding' yang bermula di sekolah dan kini menular di universiti. Sampai ke peringkat PhD pun, nampaknya 'spoon feeding' ini terus berlaku. 

Aku sendiri sebenarnya memiliki pelajar 'genius' yang menyambung PhD tanpa perlu melakukan ijazah sarjana ini. Aku akui mereka melalui jalan yang sedikit mencabar berbanding pelajar yang lebih 'dewasa'. Mereka kekurangan idea dan pemikiran tidak begitu tajam.

Bagaimana pun, aku berpandangan mereka perlu didewasakan. Aku telah merancang agar mereka menjadi dewasa. Mereka perlu menjadi tutor agar mereka terdedah dengan pembacaan. Aku juga bercadang agar merekalah yang mengendalikan bengkel latihan aku selepas ini, dan aku hanya sekadar menjadi jurutunjuk sahaja. Mereka juga 'wajib' mengikuti siri latihan akademik yang aku kendalikan. Mereka juga bakal menjadi 'penyelia' untuk pelajar ijazah sarjana muda.

Ia sedikit teruk dan memenatkan. Sekurang-kurangnya itulah jalan yang mampu menjadikan mereka dewasa. 

Bagaimana pun, tidak semestinya itulah caranya. Setiap orang ada jalannya sendiri. 

Ada yang tidak perlu didewasakan. Tetapi mereka perlu banyak membaca. Membaca lebih banyak dari orang lain. Sebab mereka ini tidak ada pengalaman dalam hidup. Dengan hanya membaca, mereka mendapat pengalaman baru.

Kepada pembaca tadi, kalau dia tidak mendapat penyelia yang membantunya menjadi dewasa, dia perlu berkerja lebih kuat. Tidak ada sesiapa yang akan menolongnya. 

Bagaimana pun, jangan ditakutkan akan kekurangannya. Mereka yang ada ijazah sarjana pun tidak sesempurna mana. Aku tahu. Aku telah bertemu dengan bermacam jenis pelajar. 

Cuma, apabila kita telah melangkah - jangan berpatah balik. Teruskan. Peluang hanya datang sekali. Tetapi ubahlah cara kita mengharunginya. Kalau dahulu berjalan, sekarang berlari. Kalau dahulu membaca tanpa ambil tahu maknanya, sekarang mulalah belajar dari mereka yang pakar bagi satu-satu hal yang anda tidak tahu.

Keterukan itulah yang menjadikan anda seseorang.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails