Yang Ikut

Tuesday, 9 October 2012

Kualiti penyelidikan kita

Reactions: 
Sejak terjun ke dunia akademik, aku berpeluang bertemu banyak orang. Aku juga berpeluang memberikan penilaian terhadap beberapa kertas akademik antarabangsa yang dihantar ke jurnal. 

Benarlah, tidak semua orang mampu menjadi yang terbaik. Tetapi, semua orang mampu mencuba menjadi yang terbaik.


Beberapa hari ini, aku dikirimkan 2 kertas persidangan yang dianjurkan oleh sebuah universiti tempatan. Setelah berkali-kali membacanya, aku mengambil keputusan untuk mengirimkan email kepada penganjur memaklumkan yang aku tidak berhajat untuk meneruskan pembacaan. Sebaliknya, aku meminta penganjur memberitahu kepada penyelidik, sekiranya mereka ialah pelajar, minta mereka menghubungi aku.


Aku rasa itu jalan terbaik untuk dunia akademik kita.


Teruk sangatkah penyelidikan kita?


Tidaklah semua. Tetapi ada yang sampai ke tahap tidak layak untuk dinilai. Mereka tidak serius. Tidak serius dengan kaedah menulis. Tidak serius dengan pengetahuan. Bahkan, tidak serius untuk mendapatkan cara yang betul bagaimana selayaknya makalah akademik ditulis.


Tidak hanya sekadar cara menulis, ada yang menghumbankan semua pembolehubah dalam satu kolam menjadikan kita tidak tahu apakah yang mahu dikaji dan apakah yang dikatakan lompang kajian.


Mereka memilih subjek secara semberono tanpa mengikut hukum metodologi yang betul. 


Menjadikan aku bertanya, apa yang terjadi dengan dunia pendidikan kita ini?


Aku mungkin terdidik di Barat. Aku mungkin terpengaruh dengan orang Barat. 


Tetapi, harus diingat bukan jugalah semua penyelidik di Barat menulis secara yang baik. Ada kertas akademik yang perlu ditolak juga. 


Tetapi penolakan itu bukanlah atas dasar 'tidak layak dibaca'. Ia ditolak kerana tidak sampai ke tahap kredibiliti kersarjanaan tertentu. 


Bagaimana kalau kita membiarkan kertas ini diterima? 


Ia akan menyebabkan orang merasa bahawa apa sahaja kajian boleh diterima begitu sahaja. Lambat laun, mereka ini bakal pula mengajar anak-anak kita di universiti dengan hal yang salah. Anak-anak kita pula yang dibesarkan dalam iklim pengetahuan yang salah, akan terus mengulang dosa yang sama.


Kalau begitu, mengapa tidak membantu membaca dan menilainya sahaja. Ia membantu pengkaji.


Tidak juga sebenarnya. Mereka ini perlu dibantu dengan cara yang betul dalam penyelidikan dan penulisan. Mereka perlu dibantu di tahap asas lagi. Membantu mereka dengan komen-komen tidak akan memastikan budaya penyelidikan kita dapat diubah.


Teruk sangatkah kita ini? Hakikatnya tidak. Kita perlu belajar berubah dan lebih serius. Hidup bukan sekadar bersidang. Akhirnya kita hanya pulang kekenyangan buah tembikai dan makanan lazat di hotel.


Tatkala kita riuh bersidang, ada baiknya kita bertanya wang siapakah yang sedang kita belanjakan. Apatah lagi, kalau yang kita bentangkan itu adakah penyelidikan yang hakikatnya tidak pun layak untuk dibaca.


Aku tidak pernah peduli kalau orang mahu memanggil aku Dr atau tidak. Tetapi aku sangat peduli kalau ada yang mendakwa mereka adalah penyelidik, sedangkan hakikatnya tidak.

2 comments:

Dr. Bentara said...

so true bro... takat ni aku pastikan student aku hantar paper yang sekurang-kurangnya tak memalukan aku sebagai supervisor.

MFTAQIYUDDIN said...

Boleh Dr, dengan menggunakan medium blog Dr ni, berkongsi lebih detail tips penulisan pengkajian PhD/paper ni?

Saya dapati, melalui penulisan Dr dalam blog, Dr ada banyak idea bernas.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails