Yang Ikut

Thursday, 25 October 2012

Jangan marahkan Mat Saman!

Reactions: 
Selamat Hari Raya Korban kepada pembaca yang beragama Islam. 

Selamat bercuti kepada bukan Islam.

Saya agak sibuk sejak beberapa minggu terakhir ini. Ada juga bermacam-macam cerita. Ada teman wartawan bertanya tentang isu pornografi. Entah apa pula komen yang akan keluar kali ini. 

Nampaknya menjadi pengkaji psikologi ini, kami agak berlainan dengan kebanyakan bidang lain. Kami boleh ditanya dengan banyak hal. Apa sahaja hal berkaitan manusia boleh ditanya. Apa sahaja yang pelik boleh diulas, bergantung sejauh mana kami tahu sesuatu isu.

Pengkaji kejuruteraan mungkin perlu menunggu sehingga berlaku runtuhan bangunan sebelum boleh mengulas. Mereka tidak boleh mengulas bangunan yang tidak runtuh kerana ia bukan isu. Tidak ada sesiapa mahu membaca cerita bangunan KLCC. Tetapi, kalau ia runtuh, ia akan jadi berita besar.

Tidak juga akan ditanya mereka yang pakar dalam perakaunan. Kecuali kalau ada pembentangan belanjawan. Atau, sesekali ada isu 'pelik' dalam hal untung rugi pelaburan. Tetapi ia juga jarang berlaku. Kalau berlaku pun, tidak banyak yang boleh diulas. Ia hal rahsia dan tidak banyak boleh dikongsi dengan orang awam.

Psikologi menceritakan apa sahaja berkaitan manusia. Kami boleh menulis mengapa orang menolak penggunaan kamera automatik mengawal lalulintas. Boleh jadi orang menolaknya bukan sebab isu saman, atau tetapi mungkin kerana kita memang tidak pernah bersedia dengan apa sahaja peraturan? Ia menjadi bertambah riuh apabila orang politik campur tangan.

Ada pihak yang cuba membandingkan negara kita dengan Australia. Kononnya Australia lain, sebab jarak jalannya panjang.

Sebenarnya, tidak ada apa bezanya. Bezanya hanya sikap kita sahaja. Ahli politik yang banyak membangkang isu kamera ini juga tentunya akan memandu mengikut peraturan kalau ke Amerika atau Australia. Anehnya, apabila di negara sendiri, mereka beranggapan apa sahaja yang dibuat pemerintah tidak betul.

Kita selalu marahkan orang Singapura yang memandu laju di lebuhraya kita. Tetapi kita sendiri yang tidak pernah mahu menghormati undang-undang kita sendiri. Kita boleh senaraikan seribu alasan kalau mahu.

Di Australia, kamera ada di kebanyakan lampu isyarat. Kereta perlu diparkir mengikut arah jalan, dan tidak boleh bertentangan. Ada tempat yang hanya dihadkan beberapa minit sahaja parkir. Belum lagi termasuk saman kalau memandu sambil merokok kalau ada anak bawah umur di dalam kereta. Nombor plat yang kelabu juga akan disaman. Kereta yang berasap dan kondisi yang teruk juga akan dikeluarkan saman.

Tetapi mereka mengikut sahaja. Mereka juga kuat membangkang. Tetapi pada hal-hal yang perlu.

Kita bagaimana?

Saya juga selalu disaman kerana memandu laju. Tetapi saya selalu percaya, kamera itu sebahagian cara mendisiplinkan orang kita. Kalau tidak, kita akan menanggung kos yang lebih besar daripada jumlah saman itu. Kita mungkin akan kehilangan orang yang disayang, atau terlantar diam di hospital. Kita juga mungkin menjadi manusia yang tidak berguna apabila hilang upaya akibat kemalangan.

Semua ini lebih besar daripada jumlah saman yang kita bayar.   


1 comment:

alfindani said...

Setuju! semuanya berbalik kepada sikap dan mentaliti.

Slmt hari raya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails