Yang Ikut

Saturday, 20 October 2012

Hidup ini sibuk bukan?

Reactions: 
Kebelakangan ini agak sibuk. Iklim pekerjaan universiti tidaklah sesejuk seperti yang dijangka. Bagaimana pun, ia tidaklah seteruk berkerja di sektor swasta. Antara pekerjaan aku yang paling memenatkan ialah berkerja di kilang belasan tahun dulu. Siang dan malam sama sahaja. Tetapi waktu itu umur masih muda. Tenaga masih banyak.

Pekerjaan aku yang yang kedua teruk ialah ketika aku berkerja di Cijantung, Jakarta. Ia teruk kerana sifat pekerjaan itu sendiri. Aku menjadi pengurus, tetapi tidak dibekalkan wang. Terpaksa pula berurusan dengan para bekas jeneral tentera. Pejabat aku letaknya di sebelah kem Kopasus - kem tentera pasukan elit tentera Indonesia.


Yang mungkin terindah ialah ketika berkerja di Blok M, Melawai Jakarta. Ini kerana aku dibekalkan autoriti dan wang. Banyak yang aku impikan mampu aku lakukan. Walaupun ada kekangan pengurusan seperti biasanya, tetapi ia antara yang paling indah dalam hidup aku. Aku mengurus manusia. Sesekali aku mengajar. Sesekali bermain dengan helah pengurusan.


Iklim akademik lain rentaknya. 


Kesibukan bergantung sejauh mana kita mahu ia menjadi sibuk atau tidak. Aku boleh diam di dalam bilik. Cuma keluar untuk ke kelas. Aku juga boleh pulang awal dan datang lambat. 


Tetapi, rutin aku tidaklah pernah seperti itu. Aku bukan manusia seperti itu. Aku selalu memilih menjadi sibuk.


Petang tadi aku menghabiskan sesi pengajaran statistik AMOS untuk pelajar pasca siswazah aku. Seminggu yang lalu aku mengajar mereka hal yang lain. Minggu depan, aku mempunyai jadual yang lain.


Cuma di celah-celah sibuk itu, aku dijemput untuk menjadi penilai jurnal besar dalam bidang kami - Journal Occupational and Organizational Psychology.


Tidak pernah seumur hidup aku, aku bermimpikan dijemput menjadi penilai untuk makalah yang besar dan pelik cara analisis mereka. Mereka juga menggunakan metodologi yang jauh berbeza. Kita patut mengakui bahawa kita sudah ketinggalan begitu jauh dalam aspek metodologi. 


Awalnya, melihat kepada tajuk penyelidikan, aku menjangkakan bahawa itu ialah tulisan penyelia aku. Bimbang kalau aku tersalah memberi penilaian.


Beberapa hari lalu, penyelia aku - menelefon. Katanya dia sedang sibuk menilai satu jurnal yang dihantar ke JOOP. 


Hah, rupanya kami sedang menilai kertas yang sama!


Itu mungkin perkara yang terindah dalam hidup ahli akademik. Apabila kami berpeluang membaca tulisan hebat, dan diberi peluang menentukan hidup mati kertas itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails