Yang Ikut

Monday, 29 October 2012

CGPA, jurnal dan PhD

Reactions: 
Seseorang bertanya.

Assalam tuan FakirFikir.
Saya tertarik dengan kupasan dan perbincangan yang dibentangkan oleh tuan tentang perkembangan dunia akademik masa kini.Walaupun saya tidak pasti institusi manakah tuan berkhidmat, saya pasti tuan mempunyai penglaman yg begitu luas dalam membahaskn tahap intelektual akademia di dalam dan luar negara.


Di sini, saya mempunyai 'kegusaran' yang ingin saya kongsikan dengan tuan. Saya merupakan pelajar phd di UM yg kini sedang menanti panggilan Candidature Defence dalam 1-2 minggu ini, InsyaAllah. Sebagai pelajar PhD di UM, kami diwajibkn menerbitkn penulisan jurnal ISI bagi meluluskn pengajian kami. Alhamdulillah,saya telah menerbitkan 4 penulisan yang diterbitkn di NUS,Canada,UKM dan UM. Terdapat juga 2 penulisan saya semasa pengajian master di USM. Sebagai pelajar PhD, usaha dan tungkus lumus saya dalam mendalami dunia penyelidikan pastilah untuk berjaya dan kalau boleh saya ingin menjalankan program postdoc di luar negara sebagai 'melepas hajat' setelah menjalankan pengajian master & PhD di dalam negara, nak juga rasa kehebatan intelektual yang lebih telus dan terbuka di luar negara.

Apapun,saya berasa agak 'down' apabila mendengar berita kelayakan untuk jawatan pensyarah turut dilihat melalui CGPA semasa ijazah,sedangkn pencapaian saya tidak menepati kriteria yg diperlukan.

Di sini saya ingin merujuk kepada pihak tuan,adakah wajar kriteria CGPA diutamakan sedangkan pelajar telah berusaha untuk mencapai cita-cita dengan niat yang begitu tinggi? Apakah CGPA menjadi kayu ukur dalam melihat kejayaan seseorang ahli akademik dalam ketulenan untuk mendidik dan melebarkn hasil kajian dan ilmu yg digali?

Di sini saya mengharapkan tips dan nasihat daripada tuan untuk saya hadapi kegusaran saya, khususnya apabila berdepan dengan ahli akademik yang tetap meletakkan CGPA sebagai syarat utama dengan tidak memandang usaha dan pencapaian saya. Saya bimbang usaha dan idea akademik saya akan terkubur sedangkan saya mahu ilmu saya dikongsikan kepada generasi akan datang.

Sekian, Terima kasih.

PhD Gusar,UM.Okt 2012


Jawapan saya.

Terima kasih kerana bertanya.

Saya menjawab soalan ini secara umum kerana saya tidak boleh meletakkan diri saya sebagai pendaftar universiti yang menjadi pihak yang memegang polisi berkaitan pekerjaan.

Isu kriteria menjadi pensyarah sebenarnya banyak bergantung kepada universiti. Setiap universiti ada kriteria dan syaratnya yang tersendiri.  Ia bergantung kepada sifat universiti itu sendiri. Terdapat perbezaan di antara teaching universiti dan research universiti. Juga berbeza di antara universiti besar dan universiti kecil.

Walaupun seseorang sudah memiliki PhD, di sesetengah universiti,  ia tidak secara automatik seseorang itu ditawarkan jawatan pensyarah. Calon mestilah mempunyai beberapa jurnal yang disenaraikan di ISI. Ada universiti yang tidak menggunapakai syarat ini. Sebab itu, ada calon yang sudah bergelar Dr, tetapi mereka tidak dianggap sebagai layak memohon menjadi pensyarah kerana ketiadaan kriteria yang ditetapkan.

CGPA juga mungkin antara kriteria lain yang biasanya dipakai dibanyak universiti. Bayangkan kalau ada 10 calon yang memohon jawatan yang sama, dan kesemua  calon mempunyai peluang yang sama banyak, maka dalam hal seperti ini, tentulah CGPA akan membezakan calon terbabit - walaupun pada asasnya CGPA mungkin tidak melambangkan kesarjanaan seseorang.

Kriteria ini mungkin akan berubah kalau calon mempunyai reputasi lain yang boleh dibanggakan. Misalnya telah berkerja di agensi atau sektor tertentu yang mampu menyumbang pengalaman yang istimewa, atau menerbitkan penyelidikan dalam jurnal berkualiti tinggi.

Dalam konteks Malaysia, ada universiti yang hanya mempertimbangkan terbitan yang disenaraikan di ISI. Ada pula universiti yang masih mengambil kira jurnal yang disenaraikan di Scopus. Saudari mungkin perlu melihat sama ada saudari memiliki kelebihan istimewa ini, misalnya adakah terbitan tersebut disenaraikan di salah satunya, atau kedua-duanya.

Bagaimana pun, mungkin ada universiti yang masih mempertimbangkan lulusan PhD yang walaupun tidak ada penerbitan, khususnya bagi bidang-bidang yang mungkin tidak ada kepakaran. Universiti-universiti baru juga mungkin tidak begitu ketat kriterianya berbanding dengan universiti penyelidikan. Jadi, saudari mungkin boleh memohon pekerjaan di universiti-universiti ini.

Keduanya, cara lain ialah menimba pengalaman di universiti swasta. Mereka mungkin akan menerima saudari. Hakikatnya, tidak ada masalah pun kalau berkerja di universiti swasta. Yang berbeza hanyalah sama ada 'glamour' atau tidak. Gaji dan beberapa keistimewaan lain mungkin sedikit berbeza. Itu sahaja. Bagaimana pun, pengalaman itu nanti mungkin berguna pada masa hadapan.

Memohon mengajar secara sambilan atau sebagai pensyarah pelawat juga bukanlah idea yang teruk. Adakalanya, gajinya masih sama, cuma tidak ditolak KWSP dan diberi kemudahan lain. Bagaimana pun, semakin lama anda berada dalam persekitaran universiti, semakin banyak peluang untuk anda bertemu dengan ramai orang yang mungkin membawa anda kepada pekerjaan tetap.

Pada akhirnya, itulah dunia akademia. Pertimbangan untuk anda menceburkan diri ke dalam bidang ini bergantung kepada di mana anda memohon, dan apakah bidang anda. Keistimewaan dan kebolehan yang ada juga bakal membezakan anda dengan orang lain.

Rezeki juga sebenarnya adalah kuasa Tuhan. Kita hanya berusaha sebaik mungkin.




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails