Yang Ikut

Thursday, 25 October 2012

Apa yang patut saya lakukan?

Reactions: 
Saya menerima email dari sebuah universiti di Australia untuk menjadi pemeriksa kepada dua tesis Tahun Kepujian dalam bidang psikologi.

Sekali pandang, tentulah kita mengandaikan bahawa tidak ada apa yang istimewanya menilai tesis pelajar pra-siswazah.

Hakikatnya, ia senario yang tidak sama sekali dalam konteks penyelidikan pelajar tahun akhir kita. Pelajar-pelajar ini menyediakan tesis yang memang tujuannya untuk diterbitkan ke dalam jurnal. Cara mereka menulis, menganalisa dan menghuraikan topik kajian seolah-olahnya seperti mereka yang profesional dalam bidang mereka.

Sayang sekali, inilah antara yang tidak ada di kalangan pelajar kita. Sekalipun pensyarah bercakap dan mengkuliahkan perkara ini setiap hari, ia tidak menjadi juga. Banyak pelajar kita, walaupun CGPAnya baik, tetapi nampaknya masih 'blur' dalam banyak hal. Seolah-olahnya pelajarnya kita tidak bersedia pun untuk menjadi ahli sarjana. Mereka datang ke universiti seperti datang ke sekolah.

Ini tahun kedua saya menyelia pelajar saya. Ada yang berkualiti, banyaknya yang masih belum mencapai ke tahap yang diharapkan.

Apa masalah mereka?

Masalah pokoknya ialah mereka masih dikategorikan sebagai pelajar buta huruf. Mereka buta huruf apabila perlu membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris. Ia tidak hanya kepada pelajar pra siswazah, pelajar yang mengambil master dan PhD pun ada yang masih teraba-raba membaca bahasa Inggeris.

Hasilnya mereka bergantung kepada bahan bacaan bahasa Melayu atau Indonesia. Tidak menjadi masalah dalam hal ini. Cumanya, tidak semua tulisan dalam bahasa Melayu dan Indonesia ini mencapai tahap kesarjanaan penyelidikan yang diharapkan. Ada yang diterbitkan di jurnal yang tidak ada penilai. Ada yang menulis kajian secara semborono tanpa mengikut hukum hakam penyelidikan. Ada 'kesesatan' yang dilakukan, yang kemudiannya menyesatkan orang lain. Ini yang kita takuti.

Apa yang boleh saya lakukan? Saya sebenarnya tidak boleh melakukan apa-apa kalau pelajar kita tidak mampu menerokai pengetahuan. Ada puluhan ribu kajian ilmiah yang boleh didapati secara online. Tetapi ia tidak berguna sedikit pun, kerana pelajar kita tidak memahaminya.

Malang sekali, ada pelajar yang tidak faham pun bahasa Inggeris yang mudah - misalnya 'weakness'. Mereka tidak mahu membeli kamus. Mereka tidak mahu belajar bahasa Inggeris. Mereka hanya mahu lulus.

Saya seorang yang boleh berbahasa Melayu dengan agak baik. Saya tidaklah fasih bahasa Inggeris. Saya memang lemah dalam aspek tatabahasa. Tetapi saya boleh memahami bahan bacaan berbahasa Inggeris dengan sangat baik. Saya juga boleh menulis dalam bahasa Inggeris dengan cepat walaupun tatabahasanya tunggang terbalik.

Tetapi, nampaknya ini tidak begitu terjadi kepada sebahagian kecil pelajar kita. Mereka yang lemah bahasa Inggeris ini nampaknya akan mengadu mereka tidak dapat menemui bahan. Saya tahu, dalam dunia moden ini, bahan bukan masalah. Buta huruf itulah masalah utamanya. Kalau mereka tidak memahami apa yang dibaca, sangat mustahil mereka boleh menulis.

Apa yang boleh saya lakukan?

Saya bukan guru bahasa Inggeris.

Saya juga anak kampung seperti mereka. Tetapi saya tahu saya akan selalu berusaha. Sayang sekali, tidak semua pelajar saya akan berbuat begitu.

1 comment:

mulan said...

Akak tanya my students result bahasa Inggeris diaorang (sebab dah tak tahan dgn tahap ke"APACHI"an English mereka). Percaya ke tak result paling corot adalah "B"... majoriti dapat "A" or "A+". So, siapa la kita nak kata bahasa Inggeris diaorang tak bagus...cikgu kata bagus.. examiner kata bagus..sekolah kata bagus..kementerian kata bagus...menteri kata bagus...negara kata bagus...hanya kita yang still tak nampak keBAGUSan bebudak yang membawa "berbakul bakul A" ke alam universiti...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails