Yang Ikut

Monday, 24 September 2012

Mengajari hal konsep kepada anak-anak

Reactions: 
Sejak bulan puasa lepas, aku mula memberikan kuliah berkaitan topik 'nafsu' kepada anak aku. Umurnya yang hanya berusia 7 tahun, terpaksa pula berpuasa dalam cuaca yang panas , tentulah sangat tergoda dengan semua jenis makanan. Di Australia dahulu, cuacanya dingin, dan masa pula singkat. Tidak ada banyak makanan yang menggoda seperti di Malaysia.

Setiap kali ke pasaraya Maidin, dia akan cuba membeli itu dan ini. Kalau boleh apa yang terasa ingin dimakannya, akan diambilnya.

Aku memberitahunya itulah nafsu. Kita inginkan semuanya. Tetapi apabila telah mendapatkannya, kita tidak berminat lagi dengannya. Setiap kali selepas berbuka puasa, apabila dia hanya menjamah sedikit dan meninggalkannya, aku mula bertanya - Apakah itu? Dia mula tahu itulah nafsu, walaupun kadang-kadang dia menyebutnya 'nasfu'.

Semalam - aku ke Bagan Lalang. Di sana dijual bermacam-macam mainan. Dia seperti biasa, ingin membelinya. Aku membisikkan ke telinganya, 'masih ingat apa itu nafsu'. Dia mengangguk. Dia tahu, dia hanya ingin mendapatkannya sahaja, walaupun dia tidak patut membeli pun mainan itu.

Percubaan kali ini berjaya.

Aku beritahu hero sebenar ialah mereka yang berjaya melawan nafsu. Superman sepatutnya boleh membunuh semua semua orang kerana dia kuat. Tetapi dia mengawal nafsunya dengan hanya membunuh manusia jahat sahaja. 

Sebenarnya tidak mudah mengajar hal berkaitan konsep kepada anak-anak. Ia sesuatu yang tidak kelihatan. Bagaimana untuk memberitahu mereka apakah yang dikatakan iman atau apakah yang dikatakan kesetiaan. Ia tidak sama memberitahu mereka apakah yang dikatakan basikal atau kereta.

Bagaimana pun, pada usia mereka inilah, kita patut mengajarkan mereka konsep. Mereka lebih mudah menerimanya. Usia mereka ini, mereka ingin tahu semua perkara. Sebab itulah mereka bertanya hal yang pelik-pelik.

Bagaimana pun, ia tidak boleh diberitahu sekali lalu seperti kita mengajar pelajar dewasa di universiti. Kanak-kanak ini daya imaginasinya sangat tinggi.

Apabila kita berjumpa sesuatu perkara yang ada kaitannya, mungkin itulah waktu yang sesuai untuk mengajar mereka.

Satu hari, ketika menaiki motosikal masuk ke dalam hutan tidak jauh di kampung aku, anak aku bertanya "Ayah, Tuhan ada di dalam hutan kan?". Aku tanya balik, 'Siapa yang beritahunya? Katanya dia cuma mengagak sahaja.

Bayangkan, mereka sudah mula bertanya hal ketuhanan walaupun masih sangat kecil. Siapa kata kanak-kanak tidak bijak berfikir.

Aku beritahunya Tuhan berada di mana-mana. Kita tidak melihat Tuhan, tetapi Tuhan melihat kita.

Satu hari - di dalam kereta, sepupunya yang sebaya usia dengannya bertanya pula, "Uncle, Tuhan ada atas langit kan?"

Anak aku menjawab: "Tak ayah kan.. Tuhan ada kat mana-mana kan".

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails