Yang Ikut

Saturday, 22 September 2012

Isu matematik anak-anak

Reactions: 
Seorang ibu mengirimkan saya email bertanyakan masalah anaknya yang tidak begitu berminat dengan matematik. Tidak hanya tidak berminat, tidak juga mampu menguasainya.

Ada beberapa isu yang patut difahami oleh ibu bapa, apabila mengulas mengenai penguasaan matematik di kalangan anak-anak mereka. Ia berlegar di antara otak kiri dan otak kanan manusia.


Malangnya, kerana dalam sistem pendidikan kita, matematik telah dianggap sebagai 'core subject' yang menentukan hidup mati peperiksaan seseorang, penguasaan matematik dianggap sebagai penentu kepintaran manusia. Hakikatnya tidak. Matematik hanyalah sekadar subjek. Ada orang yang bijak matematik, tetapi tidak bidang lain. Begitulah sebaliknya. Cuma apabila matematik telah menjadi subjek wajib, yang menentukan seseorang calon itu masuk universiti atau tidak, maka tidak banyak pintu harapan untuk mereka yang gagal matematik.


Seperti juga halnya dengan penguasaan bahasa Melayu. Adakah boleh dikatakan mereka yang gagal bahasa sebagai tidak bijak, kalau mereka cemerlang dalam subjek lain?


Manusia ini dikatakan mempunyai dua hamisfera otak. Mereka yang dominan otak kiri akan fasih matematik dan sains, dan lebih kepada logik. Sebaliknya, mereka yang otak kanannya lebih dominan, mereka ini mempunyai aspek pemikiran yang tajam, beremosi dan berada dalam dunianya sendiri.


Tidak begitu ramai mereka yang bijak matematik dan sains yang pandai dalam hal kebahasaan. Begitu juga sebaliknya. Manusia seperti saya, kalau perlu menghadiri peperiksaan matematik lagi sekali belum tentu lulus. Tetapi, saya tidak kisah kalau diminta untuk menghadiri peperiksaan geografi atau sejarah - kerana saya tahu saya boleh menghafalnya dalam masa beberapa hari. Ia mudah melekat di kepala saya, berbanding matematik.


Saya boleh mengarang dengan cepat. Tetapi saya tidak berminat mengira.


Saya tidak pasti bagaimana teman saya, misalnya Dr Ben. Dia pandai menulis juga walaupun dia seorang yang terlibat dalam dunia sains. Mungkin, agak beruntung bagi sesetengah manusia yang menguasai kedua-duanya. Prof Shahrir Mohd Zain, seorang pakar matematik terkenal negara misalnya, adalah seorang ahli bahasa yang hebat.


Bagaimana pun, tidak semua akan menjadi seperti mereka. Ada yang boleh menguasai sebelah hamisfera otak sahaja.


Teman saya, pakar sains komputer di sebuah syarikat minyak di Asia Timur tidak pandai dalam hal bahasa, walaupun saya tahu kami tidak akan mampu menandinginya dalam hal matematik di sekolah dulu. Saya agak malang kerana berada di kelas 5 Sains 1 di sekolah - sekolah paling depan, yang rata-ratanya adalah pelajar Cina. Saya rasa seperti menjadi manusia paling bodoh dalam kelas itu. Setiap kali subjek matematik tambahan diajar, saya ponteng dan duduk di wakaf. Sesekali merokok di belakang bangunan. Apa yang boleh saya buat?


Saya berjaya ke universiti kerana saya berpeluang mengikuti Tingkatan 6 - yang tidak ada satu pun subjek matematik dan sains. Saya masih merangkak ketika mengambil pelajaran Geografi 4 - kerana ada pengiraan di situ. Saya lulus cemerlang dalam semua subjek lain kerana saya tidak dipaksa mengira.


Jadi, sesekali apabila ada anak-anak yang tidak mampu menguasai matematik, kita perlu perhatikan juga. Adakah tidak mampu ini kerana fungsi otaknya, atau kerana sikapnya. Ada orang yang berusaha sangat teruk, tetapi gagal juga. Mereka yang otak kirinya lebih dominan, lebih mudah menangkap apa yang diajar oleh guru. Tanpa ulangkaji pun, mereka berjaya dengan markah yang tinggi.


Tetapi, ada orang yang gagal matematik bukan kerana otak kirinya. Mereka gagal kerana 'self fullfilling prophecy'. Saya sudah menulisnya dahulu. Mereka ini patut diubah tabiat belajar mereka.

 

1 comment:

Dr. Ben said...

saya tulis perkara picisan saja Doc hahaha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails