Yang Ikut

Monday, 27 August 2012

Beruntungnya kalau berpangkat besar

Reactions: 
Musim anak-anak muda lulusan sekolah masuk universiti sudah bermula. Tahniah aku ucapkan kepada yang berjaya.

Mengapa anda perlu masuk universiti?

Bukan untuk menjadi pandai. Bukan juga untuk kaya raya. Ada perkara lain yang lebih penting daripada itu.

Anda perlu masuk universiti untuk dapatkan kerja yang berpangkat tinggi.

Bukan untuk riak dan bongkak. Ada cerita lain.


------------------

Beberapa hari dulu, aku ke hospital di utara tanah air.

Cerita 1

Aku ke sebuah jabatan. Aku berpakaian jean, dan berbaju T tanpa kolar. Ini baju rasmi aku. Aku cuba menguruskan hal abang ipar aku yang kemalangan. Tujuan aku ialah untuk mendapatkan surat doktor bagi tujuan tuntutan ilat. Tiba di kaunter, ada dua orang. Percayalah, pangkat mereka tidak akan lebih besar daripada aku untuk masa sekarang dan 10 tahun mendatang.

Seorangnya agak ramah. Seorang lagi, tidak senyum - tetapi gayanya bercakap agak sombong. Mungkin sebab aku 'orang kampung' dan tidak berbahasa Inggeris. Aku tidaklah memberitahu aku ini seorang blogger, atau pensyarah universiti. Aku tidak mahu menunjukkan apa-apa tanda yang membolehkan identiti aku dikenali orang.

Pekerja penjaga kaunter tadi bercakap mengalahkan doktor. Dia cuba memberikan aku kuliah.

Tidak mengapalah. Aku diam. Dia tidak tahu aku sudah lama trauma melihat jadual kuliah.

Aku tersilap. Aku tidak memberitahu siapa aku.

Tidak. Aku tidak tersilap. Aku tidak suka menjaja hal yang tak patut dijaja.

Cerita 2

Aku turun ke Jabatan yang lain pula. Di sana, mulanya aku bercakap sedikit sebanyak hal bantuan kerusi roda. Mulanya, kelihatannya banyak prosedur. Aku diberitahu ada borang itu dan ini.

Belajar dari kesilapan aku di jabatan yang pertama tadi, aku mula memberitahu siapa aku.

Aku beritahu pekerja kaunter di jabatan itu, bahawa bidang aku sekarang agak mirip dengan bidang kerja di jabatan mereka. Tetapi aku dari UM.

Perbualan yang mulanya agak baku jadi berubah. Mesra yang berlainan.

Pekerja kaunter tadi meminta aku tunggu sebentar di dalam sebuah bilik. Tidak lama kemudiannya, datang ketua jabatan menemui aku. Dia begitu mesra. Kami berbual dalam bahasa Melayu disulam bahasa Inggeris. Semua hal nampaknya menjadi mudah.

-----------------

Tahu apa moral cerita ini? Tahu kenapa anda perlu masuk universiti dan berpangkat tinggi?

Mudah sahaja. Dalam dunia ini, hanya pangkat yang dipandang orang. Mereka akan melayan anda seperti raja kalau anda berpangkat, tetapi anda dipandang sebelah mata sahaja kalau anda orang biasa.

Tidak mengapalah. Adat dunia kita memang begitu.

3 comments:

alien said...

lumrah dunia..

School Of Tots said...

Masuklah Universiti Nak Supaya Dapat Kerja Pangkat Besar Cerah Masa Depan..

Anonymous said...

Betul tu tuan. Sebab tu lah kalu diberi pilihan Dan Ada kemampuan saya Akan memilih perkhidmatan swasta yang tak melihat kepada kedudukan kita tetapi memandang kepada kemampuan kewangan.
P/s blog ni sangat menarik kerana :
1.saya teringin nak melanjutkan pelajaran tp x mampu
2.bahasa yg menarik
3.sya orang Kedah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails