Yang Ikut

Saturday, 28 July 2012

PhD - Biarlah logik

Reactions: 
Kita selalu bercakap tentang buruknya penyelia dalam penyeliaan pelajar.

Kali ini kita bercakap tentang pelajar pula.

Mutakhir ini, aku mempunyai beberapa pelajar. Aku harus memuji mereka ini. Muda dan bertenaga. Ada fikiran positif.

Dua daripadanya ialah pensyarah, seorang di universiti tempatan, dan seorang lagi di universiti swasta. Seorang lagi ialah bekas pelajar aku sendiri. Dia adalah pelajar cemerlang di jabatan kami, jadi dia terus melompat ke program PhD tanpa melalui ijazah sarjana di bawah program Bright Sparks.

Tatkala aku mempunyai mereka yang bernas, sesekali aku didatangi juga orang dari luar dunia akademik. Agak berusia. Mereka ada pengalaman yang banyak dalam dunia pekerjaan. Ada jawatan besar.

Mereka ini agak bermasalah. Bukan kerana tidak bijak. Tetapi mereka gagal memahami tujuan PhD itu sendiri. Mereka gagal menyelami konsep teoretikal kajian.

Mereka sepertinya terkeliru di antara penulisan akademik dan penulisan popular. Inilah yang membezakan dunia akademik dengan tidak.

Tanpa pengetahuan mengenai asas penyelidikan, kajian tidak mungkin boleh dilakukan. Tanpa pengetahuan mengenai apakah yang dikatakan 'akademik', mustahil untuk menyudahkan PhD. Ia akan menjadikan tajuk kajian sepertinya datangnya daripada mimpi, dan kemudiannya cuba diterapkan dalam kajian.

Ia hal yang salah.

Sesiapa sahaja yang memilih untuk melakukan PhD, mereka sebenarnya memilih dunia untuk bermimpi dengan teori. Mereka berangan-angan hal yang tak mampu terjangkau orang biasa. Bukan kerana PhD itu susah, tetapi kerana itulah rentaknya permainan orang akademik. Ia dunia dongeng yang penuh dengan idealisme. Ia kemungkinan tidak mampu pun diterapkan dalam dunia nyata.

Mereka ini datang dengan artikel yang entah siapa yang menulisnya. Ia bukan jurnal. Ia bukan buku. Ia tulisan biasa sahaja.

Mereka juga tersalah anggap bahawa penyelidikan haruslah apa yang 'belum dilakukan orang'. Konsep 'belum dilakukan orang' yang salah itulah yang selalu ada kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian pasca siswazah.

'Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda cuba menguji 'kesan biji batu dengan stress'. Ia tidak ada dalam landasan teori yang boleh kita mengajukan tajuk sebegitu. Kecualilah kalau 'batu' itu ingin menguji 'stres' dalam bidang kejuruteraan seperti yang dikaji oleh Dr Ben. Batu itu mungkin ada landasan teorinya.

"Belum dilakukan orang' tidak bermakna anda ingin mengkaji tekanan kerja di kalangan mereka yang tidak berkerja. Ia tidak berasas melihat kepada topiknya.

Sebab itulah, sebagai pelajar, sebelum berjumpa dengan penyelia, harus bersedia. Tidaklah penyelia itu mengharapkan yang terbaik, tetapi tentu juga tidak mengharapkan sesuatu yang tidak berasas.

Lebih malang, mereka ini bertanya pun adakah mereka boleh menyiapkan dalam tempoh masa yang pendek kerana matlamat mereka ialah untuk mendapatkan PhD.

Cara termudah untuk mendapatkan PhD ialah dengan membelinya secara online!

1 comment:

Wan said...

bila dunia akademik tak lagi dipandang tinggi...title 'dr' pun nak dijual beli...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails