Yang Ikut

Wednesday, 4 July 2012

Pengajian pasca siswazah - Pencerahan 4

Reactions: 
Dalam pencerahan 1, seorang pembaca bertanya adakah dia di jalan yang betul apabila memilih untuk menyambung pengajian peringkat sarjana? Adakah juga pengajiannya ini hanya membolehkannya berkerja sebagai pensyarah? Soalan yang paling menuja akal - apakah sebenarnya pengajian lepasan ijazah jika akhirnya semua kajian tersadai di dalam kertas jurnal atau buku sahaja?

Hakikatnya, setiap orang memilih untuk jalan hidupnya sendiri. Anda boleh terus hidup sekalipun tidak belajar tinggi. Malah, dari segi ekonomi pun, ramai yang kaya raya sekalipun hanya bersekolah rendah sahaja.

Jadi, untuk apa kita belajar tinggi? Malah, dalam banyak keadaan - sekalipun lulus, belum tentu ada pekerjaan terhidang di depan mata.

Sebenarnya, itulah uniknya manusia. Kita semua berbeza. Kalau semua orang sama, tentu dunia ini tidak indah.

Kita hidup di dunia ini sebenarnya sekadar singgah mengisi masa. Kita tidak hidup untuk kerja atau makan sahaja. Ada orang suka berfikir. Jadi, dia mengisi hidupnya dengan berfikir. Ada orang yang kuat tenaga, dia mengisi hidupnya dengan berkerja berat. Ada orang yang tidak ada apa-apa, jadi dia memilih hidupnya menjadi orang yang tidak ada apa-apa. Lebih teruk, ada yang memilih menjadi manusia tolol dan ditololkan.

Apa gunanya menyelidik kalau tidak diguna sedikit pun. Malah, perlu pula berkorban, dan selalu terkorban. Ibu bapa menjeling setiap kali meminta wang. Untuk menghisap sebatang rokok pun, adakalanya perlu 'pau' teman yang lain. Tatkala teman lain menaiki kereta besar, kita masih terkial-kial mencari wang mengisi minyak motor.

Terhina bukan?

Tidak temanku.

Memilih untuk lari tidak akan kesudahannya. Adakalanya kita tidak tahu apa yang akan berlaku 10 atau 20 tahun dari sekarang. Hidup bukan sekadar esok pagi, atau beberapa minggu lagi.

Puluhan tahun dulu - aku memilih menyambung master kerana ia menjadi cita-cita dan hobi aku. Aku tidak pernah berangan-angan pun untuk kerja yang baik atau gaji besar. Aku cuma merasakan melanjutkan pelajaran akan memuaskan nafsu hidup aku. Aku meneroka. Aku mengkaji. Peduli apa orang lain membacanya atau tidak. Ia membantu mengasah pengetahuan kita. Ia memuaskan hati kita. Peduli apa orang lain.

Kerja dulu, belajar kemudian? Atau bagaimana?

Idealnya, kerja dahulu belajar kemudian adalah lebih baik bagi pengajian lepasan ijazah. Banyak ilmu yang kita tak akan temui di buku teks ada di tempat kerja. Buku hanya mengajar konsep, tetapi bukan pengalamannya. Pengalaman itulah guru terbaik. Bagi program bersifat pengurusan seperti MBA misalnya, Henry Mintzberg (guru tersohor dalam bidang pengurusan) berpendapat kerja dahulu adalah lebih baik. Ilmu pengurusan tidak boleh diajar di bilik kuliah.

Realitinya susah. Sesudah berkerja, kita banyak tanggungjawab. Banyak hutang. Kembali ke universiti, ibarat kembali ke lubuk tanpa wang. Ia menyakitkan.

Kalau ilmu tidak mampu dimanfaatkan, jadi untuk apa? Siapa tahu. Peduli apa kalau tesis atau kajian kita tidak dibaca seorang pun manusia. Siapa tahu beberapa tahun lagi, ada seorang manusia membacanya - dan dia mendapat manfaat daripadanya. Cukuplah. Pengetahuannya tadi menjadikan dia sedikit tahu berbanding dengan banyak orang lain yang tidak membaca. Seorang yang membaca biasa biasanya orang yang mempunyai sifat penerokaan juga.

Jadi, jangan peduli sangat kalau ilmu akan tersadai di perpustakaan. Lebih baik begitu.

Lihat, berapa banyak manusia telah rosak kerana membaca hal tidak berguna. Buku lucah, majalah hiburan, gosip dan segala macam bahan serdak caci maci. Kalau kita bercita-cita untuk membolehkan manusia lain memanfaatkan apa yang kita hasilkan, tulis atau kajilah hal yang songsang. Banyak peminatnya. Tapi merosakkan.

Siapa kata ada master atau PhD hanya untuk jadi pensyarah?

Saudara perlu berani menongkah pemikiran masyarakat. Apa yang dikatakan itu hanya pemikiran yang dimasakkan dalam minda kualiti masyarakat kita sahaja. Di dunia maju, pemandu lori pun melakukan PhD. Ini kerana mereka ada minda yang sihat. Orang tidak pelik pun, kalau manusia pencen atau kerja lekeh menyambung PhD. Sebab masyarakat mereka berfikir.

Di tempat kita bagaimana?

Aku dulu tidak menjadi pensyarah pun. Aku berkerja di banyak tempat. Jawatan yang aku pegang juga tidaklah lekeh sangat.

Ingat - ilmu sains sosial tidak menghasilkan kemahiran boleh nampak di mata. Dengan ilmu yang anda miliki, anda akan jadi seseorang yang ada kualiti tersendiri. Ada orang yang bijak mempengaruhi, ada yang pandai membina hubungan. Ada yang tidak takut cabaran, ada yang berani membuat keputusan.

Ini adalah hasil ilmu yang bakal menjadikan anda 'seseorang'. Ia bukan sekarang, atau tahun depan. Ia mungkin belasan tahun nanti. Tapi, akar ilmu itu mungkin sedang ditanam sekarang.

Anda juga tidak pasti siapakah anda puluhan tahun nanti. Satu malam, tiba-tiba aku dihubungi seseorang melamar aku kerja sebagai pensyarah. Dia bertanya, aku ada master atau tidak?

Bayangkan, kalau aku tidak ada master waktu itu, bagaimana jawapannya. Dengan tidak semena-mena, dengan master yang aku lulus lama dahulu, membawa aku ke luar negara pula untuk PhD. Aku berkawan dengan banyak orang terkenal dan tidak terkenal. Ada kenalan di Germany, Belanda, Sepanyol, UK dan banyak lagi.

Banyak dari perkara dalam hidup ini kita tidak tahu.

Jadi, janganlah mengalah. Sudahi hidup anda mengikut gerak hati anda. Kalau anda berhenti pun, siapa boleh menjamin anda akan mendapat kerja yang baik? Kalau anda lulus nanti, tidak ada juga siapa pun yang boleh menjamin anda akan menjadi manusia terpuruk. Hidup kita ini sebenarnya ada di landasan takdir.

Salah atau tidak jalan yang pembaca ini pilih?

Hidup ini tidak ada salah dan benar. Hidup ini hanya sekadar mengisi masa dan ruang. Adakalanya kita menjadi helang di atas, adakalanya menjadi anjing di jalanan.

Jadi apa salahnya mengisi masa dengan hal yang berguna untuk diri sendiri. Gelap, cerah atau malap hidup kita bukan ditentukan oleh manusia. Sama ada pengajian lepasan ijazah menjadi trend atau tidak, itu hanyalah persepsi. Ia bergantung kepada diri kita. Setiap orang ada alasannya sendiri.

Kita pilihlah jalan kita sendiri. Peduli apa dengan orang lain?

Ia akan menjadi trend untuk orang lain, tetapi tidak untuk aku. Untuk kamu juga tentunya!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails