Yang Ikut

Sunday, 1 July 2012

Pengajian pasca siswazah - Pencerahan 1

Reactions: 
Aku menerima email dari seorang pembaca. Satu pencerahan dan persoalan yang berguna. Ia agak panjang. Akan diulas kemudian. Pembaca lain boleh memberi komen.

--------------------

Saya (nama dipadamkan) merupakan seorang pelajar master (baru setahun menjadi pelajar master) di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia. Sejak kebelakangan ini saya mula melakukan muhasabah di sebalik perjalanan sebuah kehidupan sebagai pelajar master dan banyak perkara yang memerlukan pencerahan.

Saya mungkin 'hanyut' dalam arus dunia akademik peringkat master apabila niat saya pada asalnya mengambil master menjadi sedikit goyah. Jika diizinkan Allah, saya mahu menerima dan menumpang semangat dan kefahaman daripada pihak Tuan dalam survival di dunia akademik. Saya merupakan seorang yang suka bertanya namun kadang-kadang jawapannya sukar ditemui dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan jawapannya.

Saya akui saya sangat naif tentang dunia akademik peringkat master dan ke atas.

Saya ingin tahu apakah sebenarnya dan untuk apa peringkat master dan PhD diwujudkan? Seolah-olahnya zaman sekarang pelajar lepasan ijazah perlu/hampir wajib menyambung master selepas lulus ijazah pertama, sudah menjadi satu trend, seperti pelajar lepasan PMR perlu menyambung pelajaran pada peringkat menengah atas.

Niat yang saya pasang sewaktu ingin menyambung master adalah kerana sangat minat untuk mengkaji dan menambah ilmu. Biarpun saya tidak kesampaian melakukan kajian yang melibatkan bahan-bahan kimia dan peralatan makmal, sekurang-kurangnya saya dapat melakukan kajian sosial berkaitan dengan manusia dan persekitaran. Namun begitu apabila difikirkan mengenai soal kewangan rasanya saya sendiri tidak mampu bertahan untuk menyambung peringkat seterusnya kerana pengajian master saya ialah pengajian sepenuh masa.

Ujian ini menjadikan saya berfikir dan bermuhasabah adakah minat saya ini sebenarnya menggelapkan lagi masa depan saya? Atau seharusnya saya perlu bekerja dalam bidang penyelidikan? Tetapi masih adakah bidang tersebut untuk insan seperti saya yang hanya mempunyai ijazah?

Jadi apakah sebenarnya hala tuju seorang graduan PhD atau master?

Adakah sebagai satu simbol kepuasan dan titik akhirnya adalah menjadi seorang pensyarah dan tidak boleh terlibat dalam bidang lain secara langsung(penyiaran, marketing dll)?

Adakah trend menyambung pengajian master sejurus selepas ijazah adalah satu langkah kurang bijak jika dibandingkan dengan mengambil ijazah kemudian bekerja dan setelah itu menyambung master/PhD?

Ini adalah lambakan soalan yang saya alami. Agak sukar untuk menyatakan sesuatu yang ideal apabila mengambil master atau PhD sepenuh masa dalam pada masa yang sama mengalami kesempitan wang dengan hanya mempunyai satu niat bahawa cinta akan ilmu sepenuh hati.

Melalui pemerhatian saya sebagai insan yang lemah, saya mempunyai sedikit kekecewaan mungkin disebabkan harapan saya yang sangat menggunung kerana saya percaya jika pihak sekolah tidak mampu mendidik para pelajarnya cemerlang yang sepatutnya (bukan semata-mata exam oriented,dan bebas dari 'jahiliyyah akhlak'), maka universiti sebagai lubuk kepada penyelesaian ini.

Kerana sebagai seorang yang terpelajar dan banyak penyelidikan yang dihasilkan mampu menimbulkan kesedaran, motivasi dan semangat mengenai budaya ilmu, akhlak dan keimanan. Mungkin saya terlalu ideal, tetapi apabila berada dalam dunia akademik (sains sosial) terasa sangat tipis apabila lambakan kajian hanyalah sebagai tatapan yang dibaca, dijadikan jurnal sebagai lambang keistimewaan dan 'grand' seseorang individu yang akhirnya tersimpan dalam buku-buku dan hanya menjadi rujukan oleh orang lain dalam kajiannya dan berkitar di situ sahaja?

Jadi apakah makna di sebalik sebuah jurnal? Jika dilihat isinya, idea dan cadangannya sangat baik tetapi malangnya hanya tersimpan, di'ulang' dalam kertas-kertas (tiada tindakan -kajian sains sosial), jadi saya rasa langkah saya agak kabur. Kabur untuk teruskan langkah mengambil master sehingga PhD.

Tuan, saya memohon bantuan daripada pihak Tuan, sekurang-kurangnya betulkanlah kefahaman dan persepsi saya ini seandainya bertentang dengan realiti yang sebenarnya dan sekurang-kurangnya dapat memberi nasihat kepada saya.

Semoga Allah merahmati Tuan, terima kasih kerana sudi membaca emel saya ini dan mohon maaf teramat sangat atas segala-galanya.

1 comment:

Jαnnαhツ said...

salam.

keputusan untuk sambung master ialah keputusan yg besar dan berat dan memerlukan tanggungjawab yang besar. saya sendiri sedang merasakan itu. bljar master tidak sama dengan bljr degree. kene fokus 24 seven. dan kene kental. bukan nak kata saya ni kental malah saya sendiri cuba mengentalkan hati dan jiwa sendiri.



belajar master bukan senang. one needs to give 300% commitment in doing it.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails