Yang Ikut

Monday, 30 July 2012

Kalau aku jatuh, aku tidak bangun lagi

Reactions: 
Semalam aku melepak bersama seorang teman lama.

Dulu-dulu, kami selalu bercerita, pada tahap umur kami, kalau kami jatuh kami tak akan bangun lagi.

Umur kami yang tidak lagi muda, apabila kami jatuh - misalnya hilang pekerjaan, tidak mungkin kami akan diambil lagi berkerja dengan gaji seperti sekarang. Kami akan dibayar dengan gaji seperti graduan muda sahaja. Orang tahu, kami tidak akan ada pilihan.

Lagi pula, seperti pemain bolasepak, lebih baik mengambil orang muda sahaja. Gajinya murah, tenaganya kuat.

Jadi, kalau kami jatuh, kami tidak ada upaya untuk naik semula. Ini hakikat hidup manusia.

Dia bercerita tentang tiba-tiba namanya naik kerana menjamin seseorang dalam perniagaan. Hutang bank yang besar, menyebabkan dia juga mungkin terseret untuk muflis. Peluangnya untuk membayar juga seakannya tidak mungkin lagi kalau si peminjam gagal melakukan apa-apa.

Dia bukan orang kaya. Kakitangan kerajaan seperti aku juga. Ada duit secukup makan sahaja.

Aku juga, beberapa hari sebelum puasa menerima surat dari peguam. Balu kepada seseorang, yang juga dulunya adalah pengarah sebuah syarikat menanyakan aku akan harta sebuah syarikat. Mereka mahu menuntutnya.

Terkejut besar aku. Orang susah seperti aku juga nampaknya masih ada harta!

Sebenarnya, awal tahun 2000 dulu aku dilantik menjadi pengarah sebuah syarikat. Walaupun aku dilantik sebagai pengarah, aku sebenarnya tidak tahu apa-apa pun. Nama aku digunakan. Tetapi biasanya itulah sebahagian dari cara banyak organisasi beroperasi.

Apabila aku berhenti tahun 2004, aku telah melakukan apa yang patut, termasuklah meletakkan jawatan. Aku juga telah memindahkan syer saham sebanyak 1% kepada pemegang majoriti.

Selepas itu aku berkelana di beberapa buah organisasi lain.

Bagaimana pun, kerana syarikat tersebut masih belum menghantar audit kewangan, maka nama aku masih tetap ada di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Dalam pencarian mereka, nama aku masih tertera di situ. Aku seolah-olahnya masih lagi pengarah, walaupun hakikatnya pengarah sudah beberapa kali bertukar ganti dengan mengisi borang 32A.

Seharian aku menelefon orang itu dan orang ini. Aku menelefon syarikat lama. Aku menelefon seorang sahabat di SSM. Juga bertanya hal ini dengan teman lama, peguam yang hebat juga. Semuanya rupanya sudah selesai.

Aku tahu - pada usia seperti sekarang, aku tidak mahu dilanda sebarang masalah. Kalau aku jatuh, aku tak akan bangun lagi.

Sebab itu, berhati-hatilah kalau nama anda mahu digunakan. Adakalanya anda digunakan, tetapi tidak nama anda. Adakalanya anda tidak digunakan, tetapi hanya nama anda.

Kalau diberi pilihan, elakkan kedua-dua keadaan ini. Bagaimana yang kedua itu akan lebih membuka risiko kepada hidup anda.

Anda tidak akan tahu bila masanya anda akan jatuh. Tetapi jangan biarkan anda jatuh tatkala sedang dimamah usia.

2 comments:

daddydee said...

Dua tahuns sudah sorang kawan offer saya untuk guna nama saya dalam penubuhan kontraktor.. Alhamdulillah, semua yang di rancagn tidak jadi. Kalau jadi, mungkin masalah juga bagi saya...

Dr. Ben said...

nasib baik setel dah... aku baca pun terkejuit...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails