Yang Ikut

Saturday, 28 July 2012

Bagaimana menghindar rasa rendah diri?

Reactions: 
Seorang pelajar matrikulasi mengirimkan aku email bertanya bagaimana menghindar rasa rendah diri? Atau dalam bahasa Inggerisnya inferiority complex.

Ia soalan yang mudah, tetapi susah dijawab.

Rasa rendah diri bergantung kepada siapa anda, dari mana anda, dan di mana anda berada.

Otak kita selalu membuat perbandingan setiap kali bertemu dengan manusia lain. Kita tidak berfikir demikian kalau berdiri di hadapan binatang. Tetapi, perasaan itu selalu ada apabila kita membandingkan apa yang kita ada dengan orang di sekeliling kita, walaupun orang lain mungkin tidak menilai anda sebagai apa pun.

Perasaan ini semakin teruk kalau remaja yang datang dari kampung, dan kemudiannya mula menghidupkan diri dalam suasana baru di asrama yang dikelilingi dengan orang yang status lebih tinggi. Ketika aku di sekolah rendah, setiap kali membuka nasi bekal yang hanya ada lauk ikan haruan kering, sedangkan orang lain membawa bekal daging atau ayam, hati kita mula gelisah.

Inilah rasa rendah diri. Ia perasaan yang diciptakan oleh akal kita sendiri.

Bagaimana menghilangkannya?

Banyakkan berkawan dan begaul. Jangan peduli siapa pun mereka. Pada akhirnya, semakin kita mengenal orang lain, dan semakin orang tahu siapa diri kita, kita akan mula tahu itulah kita yang sebenarnya. Kita tidak perlu merasa rendah diri semata-mata ingin menjadi orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga kita.

Rasa rendah diri ini akan kian menghilang sesuai dengan usia kita. Pada peringkat remaja, ketika kita masih mencari identiti, perasaan ini akan selalu ada. Ia dinamakan konflik identiti - di mana kita masih cuba mencari siapa diri kita yang sebenar.

Semakin kita dewasa, apabila kita mula merasai cabaran sebenar kehidupan, kita tidak begitu peduli lagi untuk merasa rendah diri ini. Kita tidak peduli status orang lain. Yang kita utamakan survival hidup kita sahaja. Perasaan rendah diri ini akan mengurang dengan sendirinya.

Bagaimana pun, untuk menghilangkan semua ini, kuncinya ialah banyak pergaulan.

Semakin kita merasa rendah diri, semakin kita menjadi pemalu dan tidak mahu berkawan dengan orang lain. Kita merasa kita tidak cantik atau miskin. Kita merasa lemah dan kekurangan. Perasaan ini juga boleh menyebabkan kita tidak mempunyai banyak teman yang boleh membantu kita.

Sebaiknya, lawanlah perasaan rendah diri ini. Tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang lebih besar daripada Pencipta. Kita semua hanya orang biasa sahaja. Yang menjadikan ada darjat, ialah diri kita sendiri. Kita yang menciptakannya. Kita juga yang membiarkannya merosakkan diri kita.

Adanya rakan-rakan juga menyebabkan perasaan rendah diri itu sepertinya telah dikongsi bersama orang lain. Kita tidak lagi melihat kita sebagai insan sepi, tetapi kita menjadi hebat dengan adanya banyak teman-teman yang lain.

Percayalah - tidak ada seorang doktor atau bomoh yang boleh menghilangkan penyakit rendah diri ini. Hanya diri kita sendiri yang mampu mengubatnya.

Kita juga tidak akan berjaya dalam hidup dengan perasaan ini. Cuba perhatikan. Banyak orang terkenal sebenarnya tidaklah begitu hebat penampilan mereka. Mereka biasa sahaja. Orang politik misalnya, bukanlah mereka yang tampan atau cantik. Tetapi keyakinan yang ada dalam diri mereka itulah menjadikan mereka kelihatannya seperti ada karisma tersendiri.

Percayalah, jadilah diri anda sendiri. Dengan menjadi diri sendiri, kita tidak perlu merasa rendah diri kerana itulah diri kita, walaupun siapa kita.

Berubahlah!

4 comments:

daddydee said...

dulu saya pun menghadapi masalah yang sama dengan pelajar ini, masalah rendah diri, tapi sperti kata dr pergaulan dapat membantu kita.

MAB said...

terima kasih tuan,satu penulisan yang membuka minda.saya doakan agar tuan dapat terus memberi penulisan yang berguna lagi di masa hadapan.

Anonymous said...

Terima kasih doc atas artikel nih...kenapa saya tak jumpa artikel sebegini daripada motivator2 lain?

-belatong kubur-

Adilah Manaf Celik Vitamin said...

Tersentuh saya membacanya. Terima kasih.

Petua Awet Muda Dan Cantik Macam Ayu Raudhah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails