Yang Ikut

Friday, 13 July 2012

Agama selalu menjadi boneka manusia pelik!

Reactions: 
Kita berasa pelik, apabila ada lagi manusia yang sanggup melakukan sesuatu yang diluar jangkaan di zaman moden ini. Seorang lelaki tidak berbaju, membawa sebilah pedang samurai, dan mengamuk di tengahari di Jabatan Perdana Menteri Putrajaya. Dia mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi yang mahu menghapuskan kebatilan.

Pelik bukan?

Bertambah pelik, membawa bersamanya ialah dua wanita. Seorang daripadanya bukanlah orang biasa, tetapi lulusan universiti agama tanahair. Jadi, pengikutnya bukanlah orang yang tidak ada pengetahuan asas mengenai agama.

Pelik bukan?

Hakikatnya tidak. Banyak manusia yang telah menjadikan agama sebagai benteng mencipta pengaruh. Mereka sangkakan hanya mereka sahaja yang betul, dan apa yang difahaminya adalah yang benar-benar tulen. Biasanya pencipta atau sifu agama ini bukanlah mereka yang datang dari gerakan agama.

Penghujung 1970-an, 913 pengikut Jim Jones telah mati membunuh diri sendiri kerana meminum wain yang diletakkan racun. 276 daripadanya kanak-kanak. Jim Jones telah menubuhkan aliran agamanya sendiri yang dikenali sebagai "The People Temple", yang asalnya di San Francisco tetapi kemudiannya mengasingkan diri ke sebuah hutan di Guyana.

Sesiapa yang mahu keluar dari agamanya ini akan diugut akan dibunuh oleh para malaikat kerana menjadi pembelot.

Mereka memilih membunuh diri sendiri setelah wakil senator dari Amerika Syarikat datang memujuk mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Anehnya, walaupun senator ini dijemput datang, tetapi kemudiannya dia turut dibunuh.

Setelah itu, Jim Jones mengajak pengikutnya membunuh diri dengan alasan satu revolusi untuk keamanan manusia. 'Kalau kita tidak mampu memiliki kebahagiaan di dunia, jalan terbaik ialah mendapatkan kebahagiaan di akhirat'.

Ilusi syurganya itu sangat menakutkan. Dia memanipulasi manusia lain. Dia menjanjikan syurga, tetapi kehidupan beragamanya seolah di neraka. Pengikutnya yang berkahwin, tidak boleh melakukan hubungan seks, sebaliknya perlu memerhatikan pasangan mereka melakukan hubungan seks dengan orang lain. Kanak-kanak didera di bahagian dubur dengan meletakkan serbuk cili. Bagi mengelakkan dia dianggap anti kulit hitam, wanita kulit hitam dijemput datang untuk melakukan oral seks dengan lelaki berkulit putih.

Pelik tetapi benar. Tetapi itulah dunia mereka yang telah menggunakan agama untuk kepentingan diri.

Jones sebenarnya ialah manusia kecewa, datang dari keluarga pecah belah. Dia dipelihara oleh bapanya seorang pemabuk, yang tidak berkerja. Setiap hari memakinya dengan 'Son of Bitch!'

Tidak hanya di Amerika, di Jepun sekitar pertengahan tahun 1990-an ada juga kejadian yang serupa. Shoko Asahara, seorang lelaki yang buta sebelah mata, dan hanya mempunyai penglihatan kabur di sebelah mata yang lain, telah menubuhkan agama baru yang mampu menarik ribuan pengikut.

Klimaks kepada kepercayaannya ialah mendapatkan syurga dengan membunuh manusia lain yang dianggap tidak adil. Dia telah mengarahkan pengikutnya melepaskan gas beracun di sebuah subway di Tokyo hingga menyebabkan 13 terbunuh dan ratusan lain cedera.

Agama telah menjadi jalan mudah untuk manusia kecewa menjadi ternama.

Ikuti tulisan selanjutnya dalam Kosmo! edisi Jumaat nanti.

1 comment:

daddydee said...

entah mengapa semua ini terjadi...memang pelik..

bila di baca entri jaya negara, memang saya tak boleh terima...

makin ramai manusia yang mengalami tekanan ya doc???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails