Yang Ikut

Wednesday, 13 June 2012

Saudagar mimpi - I

Reactions: 
Sekitar tahun 2006, saya diajak teman baik saya untuk menemaninya ke satu pertemuan dengan beberapa orang ahli 'korporat' bagi membincangkan tentang satu projek jutaan ringgit. Saya diminta menemaninya bukan kerana saya ahli korporat. Saya tidak tahu apa satu pun berkaitan perniagaan. Saya diminta menemaninya kerana dia berkata saya tahu 'membaca' orang. Jadi tugas saya hanyalah membaca orang.

Saya mengikut ajakannya. Saya duduk di satu bucu meja di celah-celah manusia 'korporat' tadi sambil memesan secawan kopi. Banyak batang rokok saya hisap malam itu. Saya tidak bercakap sepatah kata pun melainkan memerhatikan perbualan mereka.

Mereka ini ramai. Semua bangsa ada. Melayu, Cina dan India. Lagaknya memang seperti korporat. Tapi bacaan saya, mereka ini 'sengkek' seperti saya juga. Cuma gaya sahaja lebih.

Mereka meminta setiap ahli memasukkan wang sekian puluh ribu, sebagai sebahagian perkongsian saham bagi satu projek yang 'dijamin' dapat. Projeknya ialah projek jual beli minyak mentah. Ini bukan minyak masak. Ini minyak dari perut bumi.

Setelah habis, saya beritahu teman saya mereka ini semua penipu. Jangan bayar sekupang pun. Alasan logik saya mudah. Perniagaan minyak sudah lama sangat di dunia ini. Siapa kita untuk diajak berniaga minyak? Shell, Petronas, Talisman, Schlumberger dan bermacam lagi syarikat besar sudah bertapak dalam bidang ini.

Ini juga bidang untuk berbillion ringgit. Kalau saya dapat projek seperti ini, saya tak akan ajak sesiapa pun. Saya akan 'sapu' seorang diri.

Minyak hanya dijadikan agenda sahaja sebab ia kelihatannya membawa pulangan besar. Siapa yang bodoh pasti akan melabur untuk menjadi salah seorang pemegang saham.

Teman saya setuju. Dia tidak melabur.

Beberapa lama setelah itu, teman saya beritahu ia memang projek yang tidak wujud. Ia hanya projek menipu orang sahaja. Banyak orang terkena, termasuk temannya.

Sebenarnya mudah sahaja melihat manusia 'keparat' yang berlakon 'korporat' ini. Kalau bercakap, mereka bercakap besar. Gerak tangannya kerap. Matanya liar. Mereka akan beritahu yang mereka kenal dengan semua ahli politik, pegawai tinggi kerajaan bahkan sultan sekalipun. Barrack Obama pun mereka ada nombor telefon.

Saya dulunya berkerja dengan sebuah syarikat besar. Pengerusi syarikat saya ialah seorang jutawan. Dia memang kaya. Walaupun saya kuli, tetapi saya baik dengannya. Hubungan saya dengan beliau tidak pernah secara formal. Daripada beliaulah, saya tahu lagak sebenar ahli korporat tulen.

Tetapi dia hanya bercakap perlahan dan relaks sahaja. Dia tidak pernah kelam kabut bercakap hal jutaan ringgit. Sesekali beliau hanya memakai baju pagoda sahaja. Tidak ada pun orang yang tahu yang beliau ini ada banyak wang.

Sebab itu, saya tahu benar projek 'minyak angin' oleh para saudagar mimpi ini.

Anda juga perlu berhati-hati.

Tadi, teman saya sekali lagi mengajak saya untuk satu projek yang lain. Pekerjaan saya tetap sama. Memerhati dan membaca lagak orang. Tetapi saya menolaknya.

Nanti saya cerita apa yang telah dia perhatikan. Modus operandi para penyamun ini tetap sama.

1 comment:

daddydee said...

Thanks Dr. Satu info yang menarik.

Orang kita akan mudah tertarik kalau diumpan dengan wang jutaan ringgit. itu sebab ramai manusia keparat ni wujud.

Penah sekali duduk berbincang dengan seorang kontraktor untuk bincang perihal projek. Tak mahu kalah diajak nya berbincang di hotel walaupun hanya minum coke sahaja. Apa salah kalau bincang kat kedai mamak???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails