Yang Ikut

Friday, 1 June 2012

Gua alaf 21

Reactions: 
Kita hidup di alaf 21, dengan segala keindahan teknologi yang membolehkan kita menyelongkar semua peristiwa dan maklumat.

Kita juga tidak lagi hidup di zaman yang mana pengetahuan menjadi satu jurang. Pengetahuan hanya menjadi jurang kepada mereka yang malas dan tidak mahu mencarinya sahaja.

Kita boleh membaca semua idea demokrasi dan hak asasi manusia, walaupun ada ketikanya kita dibelasah juga dengan suara sumbang bahawa kita ada cara kita sendiri. Tentulah, memang ada norma dan nilai yang harus dipegang, tapi bukan bermakna bahawa semua yang didatangkan dari luar itu tidak berguna dan ditolak mentah-mentah.

Hidup berubah, zaman berubah, cara manusia berfikir juga berubah.

Di masa silam, kita diingatkan agar taat dengan pemerintah, jika tidak kita akan mendapat 'tulah'. Manusia juga tidak dibolehkan bertanya dan mempersoalkan apa sahaja yang dilakukan pembesar, kerana rakyat perlu bersikap hamba. Taat dan percaya.

Hari ini, manusia telah pergi ke serata dunia. Mereka bertemu dengan bermacam ideologi. Kalau tidak mampu mengembara atau melancong, mereka mengembara melalui intenet. Ada banyak hal yang mula dibandingkan mereka. Mereka bertanya mengapa di sesetengah negara ada lebuhraya, tetapi tidak perlu dibayar tol seperti di negara kita. Mereka juga bertanya mengapa di negeri yang kering dan tiada air, tetapi bil airnya percuma.

Semakin banyak manusia membaca dan berjalan, semakin banyak yang ditemui mereka.

Mengapa di sesetengah negara, hidup pemimpinnya biasa sahaja. Tiada perlu karpet merah, bunga manggar dan protokol yang pelik. Kalau ada yang mengkritik pemimpin, mereka tidak pula dikecam, apatah diancam. Semuanya berjalan seperti biasa, tegur menegur di antara satu sama lain.

Bagaimana pun, ia masih hal yang pelik di Malaysia walaupun kita sudah ada bangunan tertinggi di dunia. Kita tidak boleh mengkritik. Kita hanya boleh memuji. Kalau ada sedikit kritikan, nanti muncul bermacam individu dan NGO datang membela. Biasanya, si pengkritik akan menerima padahnya.

Sayang, di dunia tanpa sempadan, kita masih lagi tinggal di gua kelam.

Kita masih lagi terangsang untuk hidup seperti di zaman purba. Kita ada mulut tapi tidak dapat bersuara. Kita ada jari, tetapi kita hanya boleh menaip untuk pujian dan kata manis.

Akhirnya, kita tidak akan dapat pergi ke mana juga. Kita masih hidup di gua alaf 21.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails