Yang Ikut

Wednesday, 16 May 2012

Sebulan ini

Reactions: 
Lama tidak menulis. Sebulan 3 hari. Tidak menulis lama sebelum atau selepas orang sedang bercerita tentang BERSIH 3.0. Sepanjang sebulan ini, aku tidak ke mana-mana pun. Tidak ada sebarang aktiviti. Sesekali aku minum kopi di Kopitiam di Bandar Baru Bangi. Mendengar band menyanyikan lagi rock lama. Era "Temple of the King' atau "Black Magic Woman'. Ini lagu terhebat di zamannya.

Sesekali aku singgah makan laksa di warung sepupu aku di sebuah bandar di pinggir kota.

Berapa pendapatan penjual laksa di kota ini?

Berapa agaknya gaji seorang lulusan PhD yang kerjanya mengajar di universiti ternama negara?

Sebenarnya, penjual laksa lebih kaya daripada manusia yang ada gelar Dr di depannya.

Dengan memiliki 2 buah warung, yang ada beberapa buah meja, purata pendapatan sehari ialah RM 2,000. Maksudnya dalam sebulan pendapatan kasar mereka ialah RM 60,000. Ada gaji pensyarah sebanyak itu?

Sudah lama aku tidak balik ke kampung. Tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Dunia akademik ini dunia yang sesak dan dunia yang sibuk. Apa yang sesak dan apa yang sibuk?

Membaca tulisan latihan ilmiah pelajar universiti, membaca kertas kerja mereka, aku seolah-olahnya cuba membandingkan aku hampir 17 tahun dulu. Aku menjadi janggal kenapa mereka tidak mampu menulis dan mengolah dengan baik. Mengapa ada konstruk pemikiran yang tidak terjangkau oleh akal fikir mereka.

Beberapa lama aku berfikir. Apa yang sedang melanda dunia universiti kita.

Akhirnya aku tahu 3 jawapannya.

Pertamanya - mereka belajar kerana untuk CGPA yang baik. Mereka mencuba banyak jalan pintas, menjadikan mereka tidak mahu berfikir sebaiknya. Mereka hanya mahukan markah, bukan ilmunya. Dunia hari ini, semua orang bercakap hal angka. Bukan hal lain.

Keduanya. Mereka juga tidak mahu membaca. Mereka hanya menggogle apa sahaja fail pdf yang bertebaran dalam dunia internet. Mereka tidak kisahkan sama ada apa yang mereka baca itu rojak pasar malam, atau sampah di depan pintu tandop. Mereka ambil dan masukkan kesemuanya. Mereka tidak tahu di mana sumber asalnya.

Ketiganya. Plagiat. Mereka telah mencuri sebelum bergelar pekerja lagi. Mereka tidak peduli. Copy dan paste. Potong dan tampal. Menjadikan apabila kita membaca apa yang mereka tulis, kita tidak berasa teruja. Tidak juga akan ketawa. Tidak juga akan gembira. Selain merasakan mengapa mereka memilih jalan ini. Tidakkah lebih baik mereka tidak masuk universiti selepas habis sekolah? Mereka boleh berkerja atau berkahwin. Juga boleh menjual laksa. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu membuang masa dengan perbuatan yang tidak ada sedikit pun nilai dalam dunia kesarjanaan.

Aku belajar banyak dari pengalaman ini. Menjadikan aku merasakan menjadi pensyarah tidaklah iklim yang memberangsangkan. Ia dunia kilang melahirkan pekerja, bukan manusia. Itu sahaja.

Untuk nota - aku tidak pernah melakukan plagiat sejak hari pertama aku masuk universiti. Walaupun markah aku tidak pernah baik, tetapi aku akan merasa itulah aku yang sebenarnya.

Sayang, dunia google ini telah merosakkan anak-anak kita yang digoda dengan markah yang tinggi.

Percayalah, anda tidak akan ke mana. Lebih baik menjual laksa di tepi jalan. Sekurang-kurangnya anda mendapat wang yang banyak, dan kejujuran anda tidak pernah diragui. Kalau diragui pun, tidak ada siapa yang ambil peduli.



2 comments:

alfindani said...

Akhirnya.... :)

Teknologi yg terlampau memudahkan melahirkan generasi yg malas berfikir..

Kita sendiri hari ini berapa banyak nombor telefon yg kita ingat? Berbeza zaman sblm henfon jd brg murah, deretan nombor telefon semuanya dalam hafalan kita.

Sekarang? Nombor hp isteri sendiri pun tak ingat! :)

alien said...

igtkan brader masih merantau di mana2..hehe

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails