Yang Ikut

Saturday, 7 April 2012

Catatan Adelaide - terima kasih teman

Reactions: 
Terima kasih kepada semua teman-teman di Adelaide. Petang ini aku akan pulang ke Malaysia.

Terima kasih kerana menjadi sahabat. Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari keluarga. Ia antara keindahan yang hilang, kenangan yang tak dapat diulang. Tetapi, ia juga pengalaman yang tak dapat dilupakan. Persahabatan di luar negara adalah pengalaman yang indah.

Sama indahnya melihat daun yang gugur di musim luruh. Sama asyiknya melihat bunga mewarna mekar di musim bunga. Sama hebatnya dengan menghidu segar angin dan dingin embun di waktu pagi di musim sejuk.

Hujung tahun 2007 aku datang ke Adelaide. Ia perjalanan yang tidak diduga. Bertemu beberapa orang anak dara. Kemudiannya bertemu pula dengan komuniti Melayu di Adelaide. Ada yang menjadi sahabat kekal, ada yang sekadar mengisi catatan cerita.

Beberapa hari ini, banyak bantuan yang tidak terhingga mereka berikan. Menumpangkan rumah, memasakkan makanan yang sedap, membawa aku mengelilingi Adelaide Hill, dan yang terbaru mereka membuatkan kek ucapan tahniah untuk aku. Tentulah ini semua cerita yang tak akan dapat dilupakan buat selama-lamanya. Ia kenangan terindah, lebih indah dari keindahan kota Adelaide. Hidup ini menjadi indah kerana apa yang ada di sekeliling kita. Hidup ini menjadi indah kerana persahabatan.

Terima kasih buat Dr Kamarul, Kak Nana, Supian, Nani, Idris, Hai, Sayuti, Wan, Safizul, Dr Has, Azam, Yanti, Syed, yatt, Zainol, Miza, Dr Jisman dan semua mereka yang lain. Tak dapat aku tuliskan di sini. Juga buat Abang Zul dan Dr Ros, teman lama yang datang semula menjejakkan kaki ke Adelaide beberapa hari ini. Tentulah, tak semua kenangan lama dapat diulang lagi, kerana ada yang telah pulang dan tidak kembali lagi. Tidak sempat mengulang kenangan bermalam di dalam kemah di bawah jambatan muara sungai di Goolwa, atau duduk di hujung jeti di Moonta Bays. Mungkin di lain kali kita ulang semula apa yang hilang.

Kenangan bermalam di rumah teman lama, Nizam, isteri dan anak-anak membuatkan kita merasa pulang ke rumah sendiri. Kelopak mawar itu akan selalu gugur dan tumbuh semula. Ia yang bakal menjadi debu dan dibawa angin. Tetapi wanginya adalah rakaman yang tak mampu kita hilangkan dari ingatan.

Terima kasih teman. Terima kasih kepada semua yang membantu menjejak kenangan. Terima kasih mengingatkan keindahan yang hilang.

Semoga bertemu lagi di musim yang lain, pada ruang usia yang berbeza.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah dari kami sekeluarga Dr Awang...yg kini bergelar dr..bangga dengan kamu..terima kasih kerana sudi bertandang ke teratak kami yg serba kekurangan ini...jumpa lagi kita di Msia..insyaallah..

NK.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails