Yang Ikut

Saturday, 3 March 2012

Welcome to academia!

Reactions: 
Sesudah 45 hari, baru aku berjaya membuat pembetulan untuk satu tulisan jurnal. Ia aku tulis bersama penyelia aku, dan seorang lagi ahli akademik di Australia. Pembetulan itu sepatutnya mengambil masa yang pendek sahaja.

Aku mengirimkan email kepada penyelia aku meminta maaf kerana aku agak sibuk. Sibuk dengan kuliah, tutorial, bengkel, penyelidikan dan bermacam-macam lagi. Dunia hari ini, prestasi ahli akademik dinilai untuk semua perkara, dalam dan luar universiti. Dunia hari ini, pensyarah perlu menyediakan kuliah dalam bentuk slide power point. Di masa aku belajar dahulu, pensyarah hanya membaca buku, dan kami menyalinnya semula.

Penyelia aku menjawab semula - Welcome to academia!

Sebenarnya, orang luar mungkin menyangka bahawa kerja mensyarah ini mudah. Ia hanya bercakap. Realitinya tidak. Kita tidak boleh bercakap tanpa membaca. Bercakap tanpa ada penyediaan alat bantu mengajar juga tidak berguna. Kita perlu menyediakan semuanya, agar pelajar kita dapat maklumat terkini sesuatu bidang.

Tugas pensyarah banyaknya letak di otak - atau dalam kata lain berfikir. Untuk menulis sesuatu artikel, kita perlukan fokus yang banyak. Bagaimana tugas berfikir dan menulis ini akan terganggu kalau fokus itu dicuit. Misalnya, anda perlu menulis satu artikel. Bagaimana pun, katakan ada kelas jam 11 pagi, maka agak sukar untuk menulis dari jam 9-11 pagi kerana tumpuan kita sudah berada di bilik kuliah. Apatah lagi kalau jadual kelas yang padat, misalnya selepas jam 11 pagi, ada pula kuliah jam 2 petang.

Mustahil boleh menulis di antara jam itu.

Sesekali, tumpuan kita terganggu apabila ada pula hal lain di celahnya. Misalnya ada pelajar yang memerlukan penyeliaan. Ada pekerja pentadbiran meminta dokumen itu dan ini.

Semua ini menyukarkan tugas berfikir dan menulis. Kerana menulis tulisan akademik bukanlah sebuah karangan. Ia bercampur baur dengan teori, statistik, analisa dan sebagainya.

Jadi, waktu mana pensyarah akan menulis?

Itulah hakikat kerja ahli akademik. Ia tugas susah yang dilihat mudah. Hanya mereka yang mampu melakukan semuanya di celah-celah gangguan itu akan berjaya. Aku belum sampai ke tahap itu lagi.

Kalau aku sudah sampai ke tahap itu, aku sudah tentu bergelar Profesor dan mungkin tidak akan menulis blog ini lagi!

1 comment:

ainishamsi said...

Masalahnya, ada je lecturer yg tak membaca dan tak membuat persediaan masuk ke dalam kelas. haih~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails