Yang Ikut

Sunday, 25 March 2012

Psychosocial safety climate - II

Reactions: 
Seorang kawan, memintakan aku menulis untuk dua hal. Satunya isu berkaitan dengan psychosocial safety climate (PSC) di Malaysia. Dan keduanya, kajian yang menggunakan diari.

Kali ini, aku cuma tulis hal PSC di Malaysia. PSC ialah satu teori baru berkaitan dengan persekitaran kerja yang memberikan keutamaan kepada aspek psikologikal dan kesejahteraan pekerja. Ia muncul tahun 2010. Tulisan pertama terbit ialah hasil karya Prof Maureen Dollard dan Prof Arnold Bakker. Tahun 2011 baru terbit 6 lagi kajian mengenainya, termasuk dua tulisan aku.

Tahun 2012, aku menerbitkan satu lagi kajian mengenainya.

Aku ada dua lagi artikel yang sedang dalam proses review bagi perkara ini. Satunya di sebuah jurnal besar dalam bidang kami, Personnel Psychology.

Sebenarnya, suasana pekerjaan di Asia ini adalah antara lubuk yang paling teruk - antara tempat yang banyak manusianya membunuh diri kerana kerja. Banyak faktor. Satunya, kita tidak mempunyai polisi pekerjaan yang baik seperti di Barat. Kesatuan sekerja kita juga tidaklah sebaik fungsinya seperti di negara maju. Majikan telah menjadi raja, dan pekerja menjadi hamba.

Bagaimana pun, apa pilihan yang pekerja ada? Dalam suasana ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, peluang untuk dibuang sangat tinggi, pengangguran yang ketara dan kemasukan pekerja asing yang banyak - sama ada kita kecewa dengan kerja atau tidak, kita terpaksa berkerja. Tidak ada banyak pilihan untuk kita.

Kalau kita lihat buruh binaan yang berkerja tanpa aspek keselamatan yang memadai, tanpa topi dan kasut keselamatan, berkerja juga walaupun tanpa adanya sijil kemahiran yang perlu, apalah sangat diharap dengan keselamatan psikologikal. Tidak ada siapa pun yang memandangnya. Lihat sahaja di lebuhraya, bagaimana masyarakat kita berkerja. Ada pekerja pemungut sampah melintas lebuhraya di celah-celah sibuk kenderaan. Mereka membersihkan rumput sambil menonggelkan pinggul ke arah jalan, tanpa ada papantanda.

Apa diharap dengan kesejahteraan psikologi?

Berapa banyak organisasi kita yang ada ahli psikologi atau kaunselor bagi membantu pekerja. Sangat sedikit. Kita hanya mementingkan kerjaya jurutera, akauntan, atau kerja-kerja lain yang boleh menghasilkan wang. Tidak ada siapa pun tahu apakah peranannya, ahli psikologi.

Sekiranya anda tertekan, bolehkah anda memberitahu majikan anda, anda sedang stress? Tidak boleh. Siapa mahu melayan anda. Mereka lebih bersimpati kalau anda diserang selsema, walaupun selsema tidak membawa mati. Bolehkah anda memberitahu mereka anda tertekan kerana konflik dengan rakan sekerja, atau kemurungan kerana memikirkan kemarahan pelanggan? Tidak. Anda cuma boleh memberitahu majikan anda satu perkara. Sama ada anda mahu terus berkerja atau berhenti.

Di agensi kerajaan, memang sesetengahnya ada kaunselor. Tetapi, menjadi satu masalah pula kalau pekerja bertemu dengan kaunselor. Mereka ini bakal di'cop' sebagai pekerja bermasalah. Lebih baik bertemu bomoh atau membeli MC. Orang tidak akan melabelkan anda apa-apa.

Sedangkan di Barat, sesiapa sahaja yang tertekan boleh merujuk kepada kaunselor. Malah pelajar juga boleh bertemu dengan kaunselor kalau tertekan.

Bagaimana di Malaysia? Apa yang anda tahu dengan peranan kaunselor. Tidak banyak. Orang lebih tahu kaunselor yang merancang hari kerjaya di sekolah, atau kaunselor yang melakukan kerja promosi kolej swasta. Itulah sahaja kerja yang kita tahu. Lebih teruk, sesiapa sahaja boleh menjadi kaunselor, asalkan pandai bercakap dan wajah sedikit tampan.

Jadi, apakah yang kita harapkan mengenai PSC di Malaysia? Adakah anda mengharapkan majikan akan melayan perasaan kerja anda?

Itulah jawapan aku untuk soalan si penanya tadi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails