Yang Ikut

Sunday, 25 March 2012

Pilihanraya kita mendekat

Reactions: 
Deru angin pilihanraya sedang menujah lanskap politik Malaysia. Di Bandar Baru Bangi bendera parti Barisan Nasional dan PAS sudah mula tergantung di sana sini, seolah-olah esoknya ialah pilihanraya. Setiap hari juga, kita akan mendengar orang awam bertanya bila tarikh pihanraya. Politik dan pilihanraya kini sudah menjadi menu makan baru orang kita - satu hiburan yang boleh melupakan seketika kos harga barang yang kian tinggi, dan taraf hidup relatif yang kian teruk.

Bagaimana pun, apabila kita dikhabarkan bahawa ada seorang anak ahli politik yang masih lagi muda belia mampu memiliki kereta mewah, atau ada di antara anak-anak menteri ini sudah berupaya memegang jawatan besar dan dibayar gaji yang tinggi pula, masyarakat mula bertanya apakah kelebihan mereka ini berbanding orang lain. Adakah mereka ini memang benar-benar berupaya?

Banyak graduan muda kita yang ada kelulusan tinggi, tidak pula mempunyai kerja. Malah, ada yang melanjutkan pengajian lepasan ijazah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada kerana peluang kerja semakin teruk, atau mengidam gaji yang besar. Yang benar tinggal untuk mereka hanyalah harapan sebenarnya. Hanya beberapa orang yang terlepas. Selebihnya masih survive untuk mencari gaji yang baik dan pekerjaan yang elok.

Sebab itu, orang awam mula curiga dengan banyak hal. Dahulu, kita selalu menonton filem hindustan yang sesekali kita mula berdetik betapa teruknya ahli politik India. Tatkala rakyat di bawah masih lagi hidup susah, mereka yang di atas ini hidup bermewah-mewah. Nampaknya, apa yang dipaparkan dalam cerita hindustan seolah-olahnya cerita mengenai kehidupan politik kita juga.

Apabila ada cadangan agar menteri mengisytiharkan harta dan aset mereka, ada yang menolak. Kononnya ia bagi tujuan keselamatan.

Sebenarnya, dalam era tatkala orang bercakap mengenai ketelusan, tidak ada salahnya masyarakat awam mengetahui harta yang dimiliki ketua yang mereka pilih dalam sistem pilihanraya. Bukan lagi rahsia apabila orang mengetahui berapa nilai aset Bill Gates atau Syed Mokhtar. Kalau jutawan ini hidupnya tetap selamat, mengapa pula ahli politik merasa tidak selamat kalau diisytihar harta?

Tidak selamat oleh jenayah, atau tidak selamat oleh persepsi politik?

Pilihanraya sudah mula dekat. Dunia sekarang ini, semua orang memerhatikan apa yang ketua mereka lakukan. Sesiapa yang curang dengan kuasa, pada akhirnya akan ditentukan nasibnya oleh pilihanraya. Itu pun kalau mereka masih percaya bahawa dunia hari ini, masyarakat sudah berubah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails