Yang Ikut

Friday, 16 March 2012

Penyelia dan penyeliaan - pesan untuk calon siswazah

Reactions: 
Hari ini aku bercakap hal apakah yang dimaksudkan dengan penyelidikan. Penyelidikan untuk pelajar PhD bukkanlah untuk membolehkan kita sampai ke bulan. Penyelidikan hanyalah sekadar untuk menguji sesuatu teori, atau menyumbangkan sesuatu dalam dunia ilmiah.

Sempat juga berbual dengan beberapa pelajar. Banyak daripadanya berkisar hal penyelia dan penyeliaan. Banyak masalah kajian bukanlah kerana kajian itu sendiri, tetapi adakalanya penyelia itulah masalahnya. Adakalanya penyelia mahukan proposal yang lengkap seolah-olah itulah kitab sahih yang tak diragui.

Ini hal yang bagi aku sangat salah. Proposal hanyalah sekeping surat rangka cadangan sahaja. Tugas penyelialah untuk melihat sama ada kajian itu dapat dilakukan atau tidak. Ia bagi memastikan pelajar tidak terjatuh longkang dalam perjalanan PhD mereka nanti. Tidak lebih daripada itu.

Pelajar juga manusia. Penyelia juga manusia. Semua kita ada tanggungjawab. Hidup bukan sekadar dalam dunia teori. Pelajar juga ada keluarga untuk disara. Ada kerja sebagai manusia yang perlu dilakukan.

Banyak sangat kes, pelajar perlu menunggu sehingga 1-2 tahun bagi membolehkan kajian dapat dilakukan. Semuanya memerlukan green light pensyarah yang mahukan proposal yang sempurna. Ada yang sudah masuk tahun ketiga.

Ini hal yang salah, aneh dan songsang. Sekiranya penyelia di tempat pelajar tadi, apakah perasaan anda?

Masalah utamanya ialah kerana pensyarah tidak menyelia, tetapi lebih menunjukkan bakat aristokrat. Sepatutnya, apa yang lompang dalam proposal itulah yang patut diberitahu kepada pelajar. Masalahnya, ada juga penyelia yang tidak tahu. Puncanya, kerana kurang pembacaan. Tugas pensyarah sepatutnya membaca. Daripada pengetahuan tadi, mereka menunjuk jalan.

Aku selalu tidak bersetuju dengan apa alasan sekalipun kalau pelajar terpaksa menghabiskan banyak masa untuk menyelesaikan proposal.

Tugas pensyarah ialah membantu memberitahu apa yang tidak kena, dan bukannya hanya mencari apa yang tidak kena. Sekadar mencari apa yang tidak kena boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia tidak perlu anda menjawat jawatan sebagai orang akademik.

Sebab itulah dunia penyelidikan kita tidak berkembang seperti orang lain. Untuk pelajar yang merancang melakukan PhD, selidikilah dulu siapa yang bakal anda pilih sebagai penyelia anda. Anda membayar yurannya. Jangan terpengaruh dengan mereka yang ada begitu banyak kertas persidangan, kerana adakalanya persidangan hanya membolehkan kita makan hidangan lazat hotel sampai kenyang. Ilmu yang dibawa pulang tidak sebanyak mana.

Tanyalah juga teman-teman anda yang lain juga.

Jangan memilih jalan payah dalam penyelidikan. Penyelidikan ini sesuatu yang menyeronokkan, bukan membebankan.





No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails