Yang Ikut

Friday, 9 March 2012

Kitar hidup orang kita

Reactions: 
Sudah 2 hari aku terperangkap dengan kesesakan jalanraya yang teruk, berlaku pula sebaik sahaja kita melangkah masuk ke dalam lebuhraya berbayar. Semalam, aku terperangkap di lebuhraya Sungai Besi, mengambil masa 3 jam untuk sampai dari Putrajaya ke Petaling Jaya. Hari ini, kononnya untuk mengelak kesesakan orang keluar awal pagi, aku tersangkut 4 jam pula. Aku keluar jam 8.30 pagi, dan sampai pejabat 12.30 tengahari. Biasanya cuma 45 minit.

Semua ini kerana isu banjir kilat yang melanda beberapa kawasan Kuala Lumpur dan Selangor dua hari lalu. Terowong SMART ditutup menyebabkan arah aliran trafik kacau bilau.

Siapa yang boleh kita salahkan?

Banjir, kereta, atau lebuhraya?

Sambil mendengar celoteh juruhebah radio Sinar pagi tadi di dalam kereta, aku juga memerhatikan gelagat yang tidak mungkin akan berlaku di negara bertamadun. Tidak juga akan berlaku di kalangan orang yang berfikir.

Seorang lelaki yang sedang terperangkap dalam sesak jalanraya seperti aku, memandu kereta Volvo lama, berada di hadapan kereta aku. Dia memungut kertas resit dan sampah dalam keretanya, lalu dibuang keluar dari kereta. Satu demi satu kertas dan resit dikutip dalam kereta dan dibuang keluar. Tidak lama kemudian, anaknya yang mungkin sekitar 4-5 tahun melakukannya pula. Mungkin mengutip kertas dan sampah di bahagian belakang kereta, dan dibuang ke atas jalan raya juga.

Aku terasa, seperti mahu turun kereta dan mengutip sampah tadi. Dan mungkin, aku juga patut berkata kepada pemandu tadi, tak mengapalah di tempat kerja saya ada banyak tong sampah.

Mengapa orang seperti tidak ada rasa malu?

Beberapa hari lalu, pemadu lori mencampakkan bekas plastik airnya keluar dari lori, jatuh tidak jauh di depan kereta aku. Berderai ketulan ais dan air. Jalanraya kita telah menjadi tempat membuang sampah.

Sampah ini dibawa ke longkang ke sungai. Ia menyumbatkan segala lubang. Ia menutup segala pintu air.

Bila hujan lebat melanda, banjir kilat berlaku. Lorong SMART ditutup atau ada jalan dinaiki air. Kesesakan jalanraya berlaku lagi.

Kerana tidak ada banyak aktiviti ketika kesesakan, ada baiknya kita ambil segala sampah sarap dalam kereta dan buangkannya ke jalanraya. Esok lusa akan banjir lagi. Kita buang lagi.

Begitulah kitar hidup manusia tidak bertamadun segelintir orang kita!

1 comment:

ank_ayah said...

Salam. Da serious2 tergelak pulak dgn ayat second last tu. huhu Astaghfirullah.. Mcm tu ke senario diatas jalan raya di malaysia? Kesian dgn org melayu skrg,bkn saja tkde malu tp tkde adab dan akhlak. Kalau dpn org da tkde malu utk buat apa lg dpn Allah yg kita tk nmpk. Lebih menyedihkan individu yg melakukan perkara tu adalah golongan ibu bapa,bagaimana generasi baru akn dtg mahu membesar menjadi pemuda seperti pemuda pd zaman Nabi?

Sama2 kita tingkatkan usaha dan doa. Amin..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails