Yang Ikut

Sunday, 18 March 2012

Bila persidangan adakalanya...

Reactions: 
Satu malam, seorang pelajar yang sedang membuat PhD memberitahu aku, 'tetapi Encik, saya lihat dia banyak paper'. Aku tanya balik: 'Paper apa?'. 'Dia banyak buat paper konference'. Aku jawab, "ooo".

Sebenarnya banyak yang kita perlu belajar lagi dalam hidup ini. Jangan banyak tergoda dengan hal yang kita tidak tahu salur galurnya. Banyak menghadiri persidangan tidak bermakna seseorang itu tinggi tahap kesarjanaannya. Memang ada yang hebat. Tetapi ada segelintirnya tidak.

Sekarang ini, persidangan telah menjadi satu bisnis baru. Ia bisnis yang bagus untuk membuat wang. Label akademik diusung sekali agar mudah dijual. Menambah ayat 'International' di hadapannya menjadikan persidangan itu lebih gah kelihatannya.

Ia bisnis kerana setiap peserta perlu membayar wang penyertaan.

Ada persidangan ini, yang tidak melakukan sebarang 'pewasitan (review) proses untuk menyaring kertas persidangan yang dihantar. Mereka menerima segalanya. Ada pula yang melakukan proses review - tetapi hanya melihat tatabahasa. Mereka tidak menyemak konsep, isi dan metodologi, apatah lagi statistik dan kualiti kertas yang lain.

Persidangan seperti ini banyak dilakukan di negara Asia, dan juga beberapa negara lain di Asia Barat. Malaysia juga, adakalanya tidak terkecuali.

Persidangan yang benar-benar berkualiti, melakukan proses review sama beratnya dengan proses review kertas jurnal. Dalam semua bidang, ada persidangan besar yang tersendiri. Anda sepatutnya tahu bidang anda.

Kerana itulah budaya kita, jadi jangan terkejut kalau kita lihat dunia kesarjanaan kita tidak berkembang biak dengan baik.

Ada di antara kami, kerana merasa hebat dan besar, menjadikan persidangan ini sebagai pentas untuk membalun pelajar yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyelidikan. Mereka membalun pelajar ini untuk menunjukkan mereka hebat dan besar. Sebahagiannya telah ditulis oleh kawan aku di blognya.

Pesan untuk pelajar yang berhadapan dengan situasi seumpama ini, dicela dan dibelasah teruk dalam persidangan, tanyalah soalan ini kepada yang bertanya anda itu: "Boleh tak saya dapatkan tulisan anda dalam kertas jurnal? Atau tanyalah juga "How many ISI papers that you have? I hope I can use it for my research?". Harapnya dengan cara ini, kita akan dapat melakukan counter attack kepada pembalun akademik ini. Atau, yang paling tajam - 'May I google your name?'

Ingat, kita menyertai persidangan bukan untuk dihina atau dicela, menjadi mangsa manusia akademik yang berasa mereka besar dan hebat. Kita menyertai persidangan untuk belajar sesuatu. Kita menyertai persidangan untuk mendapatkan cadangan yang boleh dimanfaatkan.

Setelah dua kali menyertai persidangan seumpama itu, kini aku memilih untuk hanya duduk diam di bilik aku. Aku tidak mahu membazirkan masa aku. Aku juga tidak mahu hanya sekadar kenyang makan buah tembikai di luar bilik persidangan.

1 comment:

Anonymous said...

Saya baru sekali ini bertamu di blog saudara dan rasa teruja juga membaca kandungan dalam label PhD.

Saya seorang calon PhD di sebuah universiti tempatan di utara semenanjung. Oleh sebab inilah universiti tempat saya mengaji sejak sarjana muda saya kira pengetahuan saya tentang tradisi kesarjanaan ilmuan di universiti lain adalah kosong. Bagaimanapun saya sangat beruntung dikurniakan seorang penyelia yang sangat tinggi nilai kesarjanaannya, mementingkan ilmu dan bukan mengejar pangkat. Melalui beliau saya diajar untuk menilai jurnal dan persidangan terbaik dalam bidang kami pada hari pertama bergelar pelajarnya.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan saudara berkaitan kualiti persiangan akademik. Banyak persidangan dianjurkan di serata tempat, tapi mencari yang benar-benar bagus untuk kita membentangkan kertas tidaklah mudah. Selama 4 tahun bergelar penyelidik saya telah berkesempatan membentang di lima buah persidangan dalam dan luar negara. Saya akui tidak semua yang dianjurkan di luar negara berkualiti, dan tidak semua yang dianjurkan dalam negara tidak berkualiti. Yang penting pada saya dalam menilai kualiti sesebuah persidangan ialah sejauh mana kertas yang saya bentang boleh dibawa selepas persidangan tersebut. Setakat ini saya berpuas hati dengan persidangan yang saya sertai. Sebuah kertas yang dibentang di Malaysia sudah jadi satu bab dalam buku yang diedit. Satu lagi sudah diterima di jurnal Scopus. Kertas-kertas yang saya bentang di luar negara masih dalam proses pewasitan jurnal empat bintang.

Antara tip menilai persidangan yang baik bagi saya ialah dengan meneliti siapa pengerusi bidang-bidang persidangan (track chair). Jika nama beliau adalah tidak asing dalam bidangnya persidangan tersebut mungkin mempunyai nilai. Satu lagi ciri ialah jika persidangan tersebut anjuran persatuan atau kumpulan ulung bidang berkaiatan. Contohnya bagi saya dalam bidang pemasaran persidangan anjuran American Marketing ACademy (AMA) adalah yang terbaik. Pokok pangkalnya rajin membaca membolehkan anda tahu banyak perkara tentang persidangan.

Terima kasih sudi membaca.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails