Yang Ikut

Monday, 12 March 2012

Anda berasa selamat?

Reactions: 
Apabila saya membaca berita bahawa Malaysia adalah negara yang paling selamat, yang berada pada ranking ke-19 daripada 153 buah negara di dunia, saya sebagai pengkaji sains sosial selalu bertanya apakah metodologi penyelidikan yang digunakan. Malaysia juga dikategorikan sebagai paling selamat di Asia Tenggara. Saya tidaklah bertujuan meragui hasil kajian, atau bersikap untuk tidak mempercayai apa sahaja yang dilaporkan, tetapi saya bertanya apakah pembolehubah yang digunakan untuk menganalisis data tersebut.

Saya tidak terkejut kalau dikatakan Malaysia negara selamat dari segi kestabilan politik. Saya juga tidak berasa janggal kalau di negara kita bebas dari penembak curi atau lanun laut. Ia hal yang jarang-jarang berlaku.

Atau, adakah selamat yang dinyatakan itu hanya berdasarkan penilaian terhadap kejayaan kita dalam menghadapi anacaman terrorist. Inilah yang patut diberitahu.

Bagaimana pun, saya percaya selamat sepatutnya dinilai dari perasaan semua orang.

Tidak boleh semua pembolehubah di negara lain digunapakai di negara kita. Perasaan selamat daripada letupan bom kereta seperti di Iraq atau Afghanistan, kalau diuji di negara kita tentu tidak relevan. Setiap negara ada kayu ukur rasa selamatnya sendiri mengikut budaya jenayah sesebuah negara.

Bagaimana pun, rasa selamat itu bersifat universal. Ia membuatkan kita hidup tanpa sebarang ancaman.

Terus terang, saya tidak berani membiarkan anak saya pergi sekolah berjalan kaki walaupun jaraknya cuma 500 meter sahaja dari rumah saya. Begitu banyak kes culik dan anak yang hilang membuatkan saya tidak mampu percayakan sesiapa sahaja yang tidak saya kenali.

Adakah anda juga berasa tidak selamat seperti saya?

Saya juga tidak begitu yakin kalau isteri saya bercita-cita berjalan kaki seorang diri di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Pasar Chow Kit, kerana saya bimbang beg tangan isteri tangan isteri saya akan diragut. Saya tidak begitu bimbang dengan beg tangan isteri saya. Tidak ada banyak wang di dalamnya. Saya selalu mengurangkan wang dalam beg tangan isteri saya. Saya juga tidak bimbang dengan tangan isteri saya. Dia tidak pernah memakai seutas pun barang kemas, baik yang original atau tiruan.

Saya cuma bimbang nyawa isteri saya atau dia ditimpa musibah lain. Banyak sangat peragut di setiap lorong di bandar kita. Malah, di Changlun pun ada sesekali berita peragut yang muncul. Kalau pun peratus kejadian ragut dibandingkan lebih 27 juta penduduk ini tentulah sangat kecil, tetapi saya tidak kisah dengan populasi manusia. Saya hanya pentingkan keselamatan keluarga saya.

Setiap kali memarkir kereta saya di pasaraya, saya selalu berfikir banyak kali. Saya bimbang kereta saya tiada lagi setelah saya siap membeli belah. Saya selalu berasa was-was kalau kereta saya sudah berkunci atau tidak. Saya bimbang kalau ada beg komputer atau barang berharga yang akan kelihatan dari luar kereta. Ini akan menyebabkan kereta saya pecah.

Saya langsung tidak ada ketiga-tiga prasangka buruk ini ketika di Australia. Kereta saya tidak pernah berkunci. Rumah saya juga tidak dipasangkan mangga. Saya berasa selamat, walaupun saya tahu ada juga sesekali berita penyangak muncul di kaca televisyen.

Setiap kali mengambil wang di bank, saya akan memerhatikan kalau-kalau ada orang mengekori saya. Saya juga terperasan, orang yang beratur di depan saya, sesekali memerhatikan saya yang beratur di belakang mereka. Saya tidak salahkan mereka. Saya tidak salahkan prasangka mereka kerana saya tahu itulah yang sepatutnya. Mereka tidak patut ambil tahu sama ada saya ini ada PhD atau pensyarah di universiti terkenal. Mereka patut menjaga keselamatan diri.

Satu malam, ketika di Pasar Borong Selangor, seorang wanita mengubah beg tangannya ke bahagian hadapan badan apabila sedar saya sedang berjalan di belakang. Tidak salah. Dia berasa tidak selamat.

Setiap malam, kita akan mendengar ada kes bunuh, rogol dan bermacam lagi. Ada penyamun yang mengikat mangsa dengan wayar telefon, atau mengugut dengan pisau dan parang. Berita-berita ini tentu membuatkan saya tidur tidak lena kalau saya tidak mengenakan kunci dan mangga di pintu rumah saya, menjadikan saya berasa seperti memenjarakan diri sendiri.

Semua ini adalah perasaan tidak selamat.

Sekalipun statistik menunjukkan Malaysia selamat, tetapi saya tidak. Saya tidak kisah dengan apa sekalipun formula matematik yang mereka gunakan, tetapi saya kisah dengan formula psikologi rasa selamat saya. Saya lebih percaya apa yang saya dengar dan lihat.

Adakah anda seperti saya? Beranikah anda tidur di dalam kereta seorang diri di R&R yang gelap dan tidak ada orang jam 1 pagi? Saya berani tidur. Itu kalau di Australia dahulu, sekarang tidak lagi. Saya tidak takutkan hantu. Saya lebih takutkan manusia.

Tidak perlulah saya bertanya anda sama ada anda patut membiarkan isteri atau anak dara anda berjogging seorang diri jam 6 pagi.

Anda berasa selamat? Secara jujur, saya katakan tidak.

3 comments:

Kolek Kecil said...

Saya pun rasa tak selamat...

umu6point said...

Setuju sangat2 dengan tuan..

Di tinggalkan suami keseorang bersama anak di rumah semalaman menyebabkan saya lebih rela tidak tidur dan berjaga sepanjang malam.

*Kejap2 menjenguk tingkap dapur dan pintu ruang tamu..huhuu

Norsha said...

terlewat 1/2 jam mengambil anak dr sekolah juga blh membuat hati jadi tak menentu....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails