Yang Ikut

Saturday, 4 February 2012

Derma atau meminta sedekah?

Reactions: 
Ia hal yang agak sensitif bagi kebanyakan orang Islam. Takut-takut, kalau kita tidak membuat kebaikan, kita akan dipandang sebagai mereka yang anti kebajikan dan tidak menjadi hamba yang soleh.

Takut-takut, kalau kita tidak menghulurkan seringgit dua kepada pemuda yang berkopiah putih yang datang meminta derma rumah anak yatim, kita ini akan dianggap hamba yang kejam.

Bagi sesetengah orang, kalau tidak mahu memberi pun tidak mengapa. Tetapi janganlah pula hati kecil berdetik berkata apa-apa. Ia tidak baik. Jangan bersangka buruk.

Persoalannya, mereka itu sedang meminta derma, meminta sedekah atau apa?

Apakah yang berbeza di antara wanita Myanmar yang mendukung seorang budak kecil di pintu masjid meminta sedekah, dengan mereka yang datang membawa buku resit dan memohon derma?

Semuanya atas nama kebaikan. Semuanya atas nama survival anak-anak kecil. Warga kaum terpinggir.

Bagi aku, bezanya cuma pada istilah sahaja.

Aku mula curiga dengan banyak sebab. Setiap kali ketika ke sebuah pusat membeli belah harga murah di Putrajaya, pasti ada seorang anak muda yang bekopiah putih memintakan derma membuka sekolah anak yatim. Anak muda ini datang dari mana?

Pada waktu yang lain, aku berjumpa pula dengan anak muda yang lain, yang wajahnya agak sama dengan pemuda tadi, cuma rambutnya agak panjang sedikit juga meminta derma sekolah anak yatim. Mungkin saudara kepada anak muda yang pertama tadi.

Tidak mengapalah, mereka mungkin meminta derma untuk sekolah anak yatim. Kita kena berbaik sangka kerana kalau tidak kita tidak akan dilihat sebagai mukmin yang baik.

Tetapi mengapa sampai pukul 11 malam masih ada yang merayau meminta derma? Di mana mereka ini tinggal? Datang naik apa? Semakin aku pelik, aku melihat mereka ini setiap petang dan malam. Aku tahu kerana aku adalah pelanggan tetap teh tarik. Boleh dikatakan aku akan berada di kawasan itu beberapa hari dalam seminggu, kalaupun tidak setiap hari.

Kita tutup cerita ini.

Tadi petang ketika di Bangi, sebaik sahaja aku membuka pintu kereta, ada 2 pemuda berkopiah tiba-tiba datang ke arah aku meminta derma sekolah anak yatim juga. Mereka ini bukan pemuda yang tadi. Ini dari kumpulan lain. Mereka menunjukkan aku sekeping surat. Tetapi aku tidak bertanya panjang kerana aku cuma berkata terima kasih. Aku harap dia faham.

Ketika aku sedang makan di sebuah kedai, pemuda tadi masuk pula berjalan ke meja orang ramai yang sedang makan. Mereka memintakan derma.

Mengapa harus seberat itu usaha untuk mendapatkan derma? Ia tidak ubah seperti jurujual di Takuban Perahu yang datang mengekori kita di setiap tempat.

Sebenarnya, sejak seminggu ini aku selalu singgah di KFC di sebelah Tol Sungai Besi. Pemuda yang datang meminta derma ini pernah aku lihat di sana juga. Tetapi di sana lain pula pekerjaan mereka. Mereka sedang menjualkan keropok ikan dari pantai timur. Berkopiah putih juga.

Ini semua menyebabkan banyak tanda tanya yang bersarang dalam minda aku. Benarkah mereka ini sedang meminta derma? Atau mereka ini sedang menjalankan perniagaan resit untuk mendapatkan wang.

Mengapa pula harus berkopiah putih? Mengapa tidak hanya memakai topi sahaja. Bimbang-bimbang, orang kafir jadi pelik tidak ada kerjakah 'pak lebai' ini selain meminta wang?

Pihak berwajib perlulah menyelidik hal-hal ini.

Teman aku juga sedang memelihara beberapa anak yatim. Tetapi, tidak pula aku lihat dia berlegar di sana sini mencari wang.

Maafkan aku kalau aku menulis sesuatu yang menunjukkan aku agak anti kebajikan.

2 comments:

alfindani said...

Salaam.

Sebelum musuh Islam memperlekehkan agama, Umat Islam sendiri terlebih dahulu menjadi penyebab runtuhnya imej agamanya.

Kalau ada orang yang mensinonimkan Islam dengan kemiskinan dan perkara2 negatif cepat pulak pakat nak tunjuk perasaan.

Sedangkan itu realiti Umat Islam hari ini, dan umat sendiri tidak mahu melihat ke dalam menginsafi dan memperbaiki kekurangan dan kelemahan sendiri.

Mana sempat nak menginsafi dan memperbaiki diri kalau siang malam bertelagah sesama sendiri berebut kerusi.

Agaknya tuan bleh tulis juga tentang perangai bangsa kita yang mudah sangat nak mengamuk mcm kes gaduh kat KFC i-City baru2 ni. Juga macam geng panglima ludah dan seumpamanya itu.Sikit2 nak mengamuk sj kerjanya. Letih..

Hmm,kot2 kalau lapang2 boleh la jugak sambung entry Membenih Budaya Ilmu - 4.. :)

norizzuddin said...

Kerap terlintas di hati seperti saudara, tapi segera saya padamkan untuk bersangka baik. Tidak mudah kerana kita dikurniakan akal oleh Allah. Kita boleh berfikir, berbagai persoalan timbul.

Kalau rasa nak bagi, bagi dan diam. Kalau tak nak bagi, tak bagi dan diam juga.

Satu hari di Ampang, saya lihat dari jauh gadis kecil "meminta derma" dari meja ke meja. Mengikut kata rakan2 semeja, si gadis itu regular kat situ. Saya keluarkan kamera dan merancang untuk mengambil gambar gadis itu bila dia ke meja kami. Sementara menunggu, kami terus berbual. Sedar2, gadis lansung tidak singgah ke meja kami. Saya rasa kamera saya membuat dia tidak menghampiri meja kami.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails