Yang Ikut

Friday, 25 November 2011

Rakaman penghargaan untuk dua sahabat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 


Saya sudah menyiapkan pembetulan tesis beberapa hari dulu. Memandangkan masa yang diberi untuk proses pembetulan sangat singkat, hanya 7 hari, maka saya pasti saya tidak mungkin akan menghantarnya tanpa bantuan teknikal dari pihak lain.

Sekarang ini, dua sahabat baik saya di Adelaide dalam perjalanan ke kampus Magill untuk menyerahkan tesis yang sudah dijilid kepada penyelia saya.

Teman baik saya ini, Idris dan Shafizul jugalah yang melakukan proses printing di sana. Masa yang agak panjang diambil kerana tesis perlu di'bind' dalam bentuk halaman 2 sided. Ini bermakna ia memerlukan mirror format. Saya juga tidak tahu melakukannya. Kedua-dua sahabat inilah yang melakukannya.

Mereka juga melakukan cetakan di malam hari di ofis mereka. Malam dipilih kerana waktu itu semua orang sudah pulang. Nanti agak janggal pula kalau dilihat orang tesis psikologi dicetak di fakulti yang lain. Lagi pula, jumlah cetakan 5 salinan bagi tesis setebal 280 halaman agak banyak.

Kedua-dua teman saya ini jugalah yang menghantar ke kedai bagi tujuan penjilidan kulit keras semalam. Ia mengambil masa 8 jam waktu berkerja. Hanya pagi ini sahaja mereka boleh mengambilnya semula untuk dihantar kepada penyelia saya. Mereka juga mendahulukan wang mereka bagi semua perbelanjaan berkaitan. Selain masa, ia melibatkan kos minyak pula.

Terima kasih tidak terhingga kepada kedua-dua mereka. Mereka yang saya tahu sangat penat dengan kerja-kerja PhD, ditambah letihkan dengan pekerjaan saya pula.

Dalam dunia ini - kalau anda ingin meminta pertolongan, mintalah daripada kawan-kawan yang sama ada selalu mengutuk anda, atau menjadi bahan kutukan anda.

Mereka ini sebahagian dari teman yang sama ada sering mengutuk saya, atau dikutuk saya. Ayat sms mereka selalunya berbisa. Di dalam blog ini juga, sesekali kawan saya yang seorang itu akan memberikan komennya. Kalau anda melihat ada ayat yang seolahnya mencerca, menggunakan pengenalan 'anynomous', itu ialah salah seorang dari mereka.

Terima kasih daun keladi. Teman baik sukar dicari, teman dicela mudah sekali.

Thursday, 24 November 2011

Bengkel SEM

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seorang ahli akademik aka Blogger yang banyak menulis berkaitan hal penyelidikan dan statistik, bertanya aku bila akan aku kendalikan bengkel Structural Equation Modelling (SEM). SEM ini juga ialah sejenis statistik yang jarang-jarang digunakan di negara kita, tetapi ia antara kaedah statistik terbaik dalam penyelidikan. Ia mampu menganalisis hal-hal yang tidak mampu diterangkan oleh software SPSS dan SAS.

Software SEM ini banyak. Antara yang terkenal dan banyak dipakai ialah LISREL dan
AMOS. LISREL mungkin terkenal di Amerika Syarikat dan Kanada, tetapi tidak di rantau lain. AMOS mungkin antara software yang yang mampu menandingi LISREL, dan dianggap sebagai software yang baik dalam konteks SEM ini. Ia juga mudah dan agak 'friendly', tetapi ia tetap ada kelemahannya. Ia tidak boleh menganalisis multi level data.

Kini muncul pula Mplus. Mplus mungkin statistik yang dianggap sempurna dalam hal SEM ini. Ia mampu menganalisis data individual dan multi-level. Tetapi, software ini aku belum pandai lagi. Baru berjinak-jinak dan hanya sesuai untuk kegunaan sendiri sahaja. Belum boleh mengajar orang lain.

Bila akan aku kendalikan bengkel SEM?

Nanti tunggu masa yang lapang dan sesuai.

Wednesday, 23 November 2011

Pelajar master dicari

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Melihat Dr Ben mengiklankan pengambilan calon Master di sini, saya pun cuba melakukan sesuatu juga. Saya juga mencari calon Master dalam psikologi.

Ini untuk mereka yang berminat dengan bidang job stress, prestasi kerja dan organizational climate.

Mengapa saya membuat iklan ini, atau Dr Ben mengiklannya di blog, tetapi tidak bagi kebanyakan orang lain. Banyak sebab. Salah satunya, kami adalah penulis blog. Keduanya, kami mungkin sedikit sebanyak sudah tercicir dari aliran mainstream dunia akademik.

Saya ingin mencari pelajar baru kerana saya ingin mencuba sesuatu yang baru. Saya mahu pelajar terdedah dengan kajian yang lebih kompleks, menggunakan analisis yang sedikit tinggi, dan menulis dengan cara yang baru. Tidak ada lagi kajian mencari sebab tekanan kerja di Sekolah Menengah Sekinchan.

Itulah harapan saya.

Saya mahu pelajar psikologi kita dapat dipisahkan dengan aliran lama yang hanya ingin menguji hubungan di antara satu-satu perkara (aka korelasi). Saya mahu generasi baru kita dilatih dengan cara yang lain. Saya mahu pelajar menganalisa fenomena yang ujud bagi satu-satu perkara. Saya mahu pelajar kita mengkaji sesuatu yang belum diketahui oleh pengkaji dunia yang lain.


Oh ya. Saya juga tidak menggunakan SPSS dalam analisis.

Hubungi saya di fakirfikir at gmail dot com.

Seperti biasa, saya bukan Professor!

Tuesday, 22 November 2011

Ok. Jadi!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, seorang kawan lama, bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar tempatan, telefon dia kata 'ok, jadi!'.

Apa yang jadinya?

Aku akan menulis kolum di suratkhabar. Kolum yang aku rancang "Psikologi dan Masyarakat'. Insyaallah, kalau jadi bulan depan.

Suratkhabar mana? Nanti aku update.

Sunday, 20 November 2011

Apakah proposal kajian?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini aku menulis hal yang tidak semuanya relevan untuk pembaca. Ia mungkin hanya sesuai untuk pelajar.

Proposal kajian sangat ditakuti oleh pelajar. Apatah lagi pelajar tahun akhir yang sebelumnya tidak terbiasa dengan penyelidikan. Sebenarnya bukan hanya pelajar tahun akhir, pelajar yang ingin membuat PhD juga bimbang dengan proposal kajian.

Hakikatnya, proposal hanyalah cadangan sahaja. Ia akan berubah sedikit, atau berubah seluruhnya setelah anda melakukan kajian lapangan.

Apakah pokok utama proposal kajian. Orang sangkakan tajuk yang hebat dan menggerunkan.

Sebenarnya tidak. Kita bukan mahu anugerah Nobel. Kita hanya mahukan topik kajian sahaja.

Perkara pertama yang patut dilihat ialah apakah 'gap' atau kelompangan kajian. Kajian bermula dengan kajian-kajian lalu, atau apa yang pernah dihuraikan penyelidik lain berdasarkan teori tertentu.

Apa yang belum dilihat dari perspektif teori atau kajian lalu itulah yang dikatakan 'gap'. Itulah yang ingin kita lakukan kajian.

Setiap kali pelajar datang bertemu dengan penyelianya, walaupun pelajar mungkin akan menghuraikan pelbagai masalah untuk mendapatkan tajuk yang sesuai, hakikatnya penyelia sudah tahu apakah 'gap' bagi kajian yang akan dilakukan oleh pelajar. Ini khususnya bagi hal yang dikuasai oleh seseorang ahli akademik.

Kalau penyelia sudah mengetahuinya, mengapa mereka tidak memberitahu pelajar? Bukankah tugas pensyarah itu membantu pelajar?

Sebenarnya itulah sebahagian proses pembelajaran. Proses mencari tajuk dan maklumat itulah yang membentuk tradisi ilmu di kalangan mahasiswa. Proses itu melibatkan pemikiran, kemahiran menaakul dan ketahanan emosi. Inilah yang sebenarnya cuba dibentuk dalam penyelidikan. Itulah sebabnya mereka yang masuk universiti sepatutnya berbeza dengan mereka yang tidak.

Bukan ijazah yang kita cari. Keupayaan menjadi manusia berfikir itulah yang kita mahukan.

Jadi, apakah yang dikatakan proposal penyelidikan.

Ia hanya nota mengajar anda berfikir.

Itupun kalau anda merasakan anda pelajar universiti yang luarbiasa.

Saturday, 19 November 2011

Bersikap biasa tidak menghilangkan apa-apa

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kalau anda berjalan kaki di dalam universiti, anda akan dapati ada segelintir daripada mereka membawa gaya yang luar biasa. Gaya luar biasa yang saya maksudkan itu ialah bersikap sombong dan merasa sangat besar. Perwatakan mereka ini adakalanya menggerunkan pelajar.

Ada pelajar yang merasakan bahawa manusia seperti ini sebagai cukup besar dan hebat. Ada yang sangat formaliti dan 'power distance'. Cara mereka melayan pelajar sama seperti tauke besar melayan pekerja buruh dari Bangladesh. Di zaman saya belajar dulu, ada seorang Professor yang akan membuangkan kertas kerja pelajar ke dalam tong sampah kalau kita tersalah menulis nama ayahnya yang sepatutnya diletakkan tanda -- di hadapannya. Ada pula yang pelajar hanya boleh datang berjumpa kalau ada temujanji. Kalau tidak, jangan sesekali menunjuk muka.

Saya tidak pasti ada atau tidak lagi budaya akademik seperti ini di zaman ini. Tetapi sesekali saya terhidu ada juga. Terutamanya mereka yang memegang jawatan tinggi di jabatan atau fakulti.

Gaya ini menjadikan manusia ini dipandang tinggi. Walaupun saya selalu merasakan orang akademik hanya perlu bersikap biasa sahaja.

Beberapa tahun dulu, ketika saya memulakan pengajian PhD, saya mengirimkan email kepada seorang ahli akademik di sebuah universiti. Caranya menjawab agak melukakan. Mereka melayan kita seperti kita ini hanya budak sekolah darjah 5. Itupun, permintaan saya bukanlah besar sangat. Saya hanya memintakan soal selidik sahaja.

Satu hari saya terbaca satu artikel yang ditulis oleh seorang ahli akademik. Kerana beliau menggunakan teori yang hampir sama dengan penyelidikan saya, saya mengirimkan email bertanyakan dia sesuatu. Malangnya, ia tidak dilayan sedikit pun.

Tidak mengapalah. Itu cerita lama. Tidak lama selepas itu, saya menulis satu jurnal dan diterima. Pembuat teori itu, seorang profesor ternama dari Eropah menjadi Ketua Editornya. Kami saling berhubungan selepas itu melalui email berdasarkan beberapa sarannya. Dia juga mengenali saya, kerana dia juga adalah rakan baik penyelia saya.

Selepas hari itu, saya tahu begitu mudahnya untuk kita berurusan dengan profesor ternama dari luar yang ada ratusan penerbitan, berbanding ahli akademik biasa yang hanya ada satu dua penerbitan sahaja. Mengalami pengalaman buruk itu, saya jarang lagi berurusan dengan ahli akademik seperti itu. Lebih baik saya menulis sahaja email bertanya pembuat teori.

Saya tidak tahu sama ada anda pernah mengalami pengalaman seperti ini.

Sebab itu, saya sangat jarang untuk tidak menjawab email orang, sama ada ia penting atau tidak. Saya tahu, apabila seseorang itu mengirimkan kita email, tentulah mereka ada harapan besar daripada kita.

Zainol, teman baik saya di Australia tahu bagaimana caranya untuk memerangkap manusia seperti ini. Dia selalu berkata, 'nanti, biar aku google tengok nama orang ini. Hebat atau tak'.

Psychosocial safety climate

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam aku menulis berkaitan hal 'safety climate'. Pada asasnya, bidang ini dipelopori oleh ahli akademik dari bidang kejuruteraan dan keselamatan pekerjaan. Sebab itu, bidang ini banyak mengkaji mereka yang berkerja di sektor pembinaan, keretapi dan pekerja off-shore.

Aku harap selepas ini aku dan Dr Ben dapat bergabung. Kalau tidak pun untuk penyelidikan, boleh bergabung bersembang di kedai kopi tajuk ini.

Dalam bidang psikologi, kami ada banyak konsep berkaitan 'climate'. Pada akhirnya, kajian mengenai climate ini boleh jadi - climate apa sahaja. kalau anda menggoogle, anda akan temui puluhan konsep climate. Ini adalah sebahagian dari bidang kajian aku.

Bidang spesifik aku ialah psychososial safety climate. Ia merujuk kepada sejauh mana organisasi memberikan keutamaan kepada kesejahteraan psikologi pekerja.

Kedengarannya agak pelik. Ia memang pelik dalam konteks kita. Sebab itu, di negara kita, kalau anda ingin meminta cuti sakit - kita perlu memberikan kesakitan sakit fizikal. Jarang kita diberi cuti sakit kalau kita mengadu stress atau murung.

Kita juga cenderung untuk mentertawakan orang yang memberitahu kesihatan mentalnya terjejas. Sebabnya, dalam definisi masyarakat kita - sakit hanya bersifat fizikal.

Kita juga jarang bertemu dengan pakar kalau dilanda kemurungan. Sebaliknya kita sanggup meredah kampung di pedalaman mencari bomoh Siam terbaik.

Dalam erti kata yang lain, tidak ada kesihatan psikologi dalam kamus hidup kita.

Di Barat, anda boleh meminta cuti sakit kalau dilanda stress. Anda juga boleh membuat tuntutan Work Cover (seperti Perkeso) kalau anda diserang sakit yang agak lama. Ini menunjukkan ciri-ciri psychososial safety climate. Budaya kerja yang memberikan keutamaan kepada hal-hal bersifat psikologi.

Di Malaysia tidak ada sesiapa pun yang peduli akan hal ini. Kita mungkin tidak tahu bahawa majoriti yang membunuh diri di Malaysia ialah para pekerja. Jarang orang yang sakit jantung akan bunuh diri, tetapi banyak mereka yang dilanda kemurungan.

Kita juga mungkin belum menyedari mengapa begitu banyak orang terlibat kemalangan di jalanraya semasa pergi dan balik kerja. Ia bukan semata-mata kerana jumlah kenderaan yang banyak atau jalan yang teruk.

Ia mungkin disebabkan oleh 'Cognitive failure'. Cognitive failure ini berlaku apabila kita hilang fokus kepada satu-satu perkara. Misalnya walaupun kita membaca, kita sebenarnya berfikir perkara lain. Ketika kita memandu, otak kita mungkin sedang berfikir hal kerja. Semua ini adalah hal-hal psikologi.

Puncanya mungkin dibawa dari tempat kerja.

Ini adalah antara bidang kajian aku sekarang.

Tulisan aku bagi hal ini antara yang banyak dibaca.

Friday, 18 November 2011

Berakhirlah cerita PhD aku!

13 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi ini, sebaik sahaja habis kelas 'Bengkel Menulis Research', aku membuka email.

Congratulations!

Ia email dikirimkan dari Graduate Research Centre. Ia menerangkan butiran penyelidikan PhD aku.

Seorang pemeriksa memberi markah pass forthwith - tanpa pembetulan.

Seorang lagi memberi minor correction. Aku diberi masa seminggu untuk menyiapkan pembetulan kalau aku mahu dikurniakan ijazah tahun ini.


Berakhirlah cerita PhD aku.

Jangan bimbang, aku tak perlu dipanggil Dr.

Aku tetap sebagai FakirFikir.

Apakah 'safety climate'?

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dr Ben bertanya apakah yang aku maksudkan dengan safety climate?

Agak sukar untuk kebanyakan orang luar memahami makna patah kata ini, kerana climate itu sendiri merujuk kepada hal-hal yang berkaitan cuaca. Tetapi itulah gaya bahasa Inggeris.

Safety climate dalam bidang kami tidak ada kena mengena dengan cuaca. Ia merujuk kepada iklim organisasi yang mengutamakan keselamatan pekerja.

Di Barat, safety climate dianggap hal yang utama, sekalipun di sektor yang tidak terdedah dengan risiko bahaya. Di Universiti Adelaide atau Universiti South Australia, kami sudah terbiasa dengan bunyi siren yang menyebabkan semua orang perlu keluar dari tempat masing-masing dan berkumpul di tempat yang disediakan. Walaupun tidak ada pun sebarang kejadian yang tidak diingini, seperti kebakaran - tetapi semua orang bergerak keluar seolah-olah ada sesuatu yang berlaku.

Ia memang bersifat ujian, tetapi ia sangat kerap.

Ia cuma bagi menyedarkan pelajar dan pekerja, kalau ada sesuatu yang berlaku, siren akan berbunyi - maka semua orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Sebab itu, tanda keselamatan ada di mana-mana. Untuk memanjat tangga membaiki bangunan misalnya, telah tertulis arahan 'hanya mereka yang berkelayakan sahaja'. Tidak semua orang dibenarkan naik. Ini semua adalah bentuk safety climate.

Di setiap simpang jalan, kalau ada sedikit sahaja pun lubang untuk dibaiki, akan ada papan tanda atau kun yang dipasang. Ia dipagar pula. Semua pekerja perlu memakai kasut dan pakaian keselamatan. Semua ini adalah safety climate.

Safety climate ini akan lebih teruk lagi di industri yang berisiko. Di Australia, pelanggan tidak dibenarkan masuk ke dalam kedai membaiki kereta. Kita hanya berurusan di kaunter sahaja. Jangan dipersoalkan lagi kalau kita berkerja di kilang atau di syarikat minyak. Semua ini ialah safety climate.

Kanak-kanak berumur 7 tahun ke bawah tidak dibenarkan duduk di kerusi hadapan dalam kereta. Sebabnya kalau berlaku kemalangan, mereka akan ditimpa kecelakaan yang teruk. Mereka juga ada kerusi mereka sendiri dan hanya boleh duduk di belakang.

Semua ini adalah pembudayaan safety climate.

Sebab itu, kalau berlaku malapetaka - kita selalu mendengar angka kematian yang tinggi di negara sedang membangun, berbanding di negara maju.

Bagaimana di negara kita?

Anda tidak perlu membuka buku. Anda hanya perlu membuka mata dan lihat di sekeliling anda.

Cerita mandi sungai

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kali ini kita bercerita hal biasa sahaja. Hal anak kampung zaman 80-an.

Sekarang saya tinggal di Putrajaya. Setiap hujung minggu, anak saya minta saya bawakan dia ke satu kolam renang awam. Kadang-kadang saya sempat, kadang-kadang tidak.

Sebenarnya kehidupan anak-anak kecil dengan air tidak dapat dipisahkan.

Di masa dulu, di tahun 80-an, saya juga bermain air. Tetapi, waktu itu saya tidak tahu pun ada istilah kolam renang. Kami hanya mandi air sungai sahaja. Ada beberapa 'port' baik untuk kami mandi sungai. Rumah saya hanya 500 meter dari sungai, tetapi ia bukan 'port' yang baik. Sebab setiap kali kami mandi sungai, suara jerit dan hiruk pikuk akan menyebabkan keluarga kami tahu kami sedang bermain air sungai. Kami akan dipanggil pulang.

Kakak saya sangat ditakuti. Bukan hanya oleh saya, oleh kawan-kawan saya juga. Kalau dia menjerit dari rumah pun, semua kami akan cabut lari.

Jadi kami selalunya memilih sungai yang agak jauh dari rumah. Kami bermain 'aci sembungi' di celah pohon rumbia dan perdu rumput. Kadang-kadang kami bermain perang dengan membalingkan selut batas sungai.

Cara kami bermain juga agak ganas. Kadang-kadang kami memanjat pohon tinggi di tepi sungai, dan terjun ke dalam sungai. Kadang-kadang kami lawan menyelam siapa paling lama.

Jangan melawan kami berenang. Masa itu stamina masih kuat. Kami boleh berendam di dalam air tiga hingga empat jam. Kadang-kadang waktu maghrib baru balik.

Apabila tiba musim hujan, air sungai selalu melimpah. Inilah musim paling bahaya. Air mengalir deras. Tetapi kami sukakannya.

Sebab itu keluarga kami tidak suka kami mandi air sungai. Isunya ialah bahaya.

Tetapi, sekarang ini, anak-anak kampung tidak tahu lagi mandi air sungai. Untuk berenang pun, kita perlu mencari jurulatih dan membayar pula. Di kampung mana ada kolam renang. Jadi banyak yang tidak tahu berenang. Mereka lebih banyak melepak di kedai sehingga larut malam.

Bagi saya, tidak tahu berenang lebih membahayakan.

Oh ya. Kami juga tidak ada pakaian mandi seperti sekarang. Kami hanya telanjang bulat. Kami tidak peduli sesama kami.

Cuma, ada ketika-ketikanya kalau ada anak dara lalu di batas sungai, kami terus berendam dan tidak mahu naik lagi.

Semua ini hanya nolstalgia. Sekarang ini, kalau pun saya diajak mandi kolam atau berenang di laut, saya tidak mahu. Saya rasa rimas kalau saya basah.

Thursday, 17 November 2011

Jangan membuang masa melakukan kajian

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apabila saya menulis mengenai "Tea Room Sex Study', saya pasti tidak ramai pembaca di luar yang tahu apakah sebenarnya yang ingin saya sampaikan. Ia sebenarnya menerangkan betapa asas utama dalam penyelidikan sains sosial atau apa sahaja yang berkaitan manusia, kita mestilah mempunyai etika.

Dalam konteks hari ini - di banyak negara maju, menjalankan kajian berkaitan manusia tanpa mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Etika, bermakna anda sedang melakukan jenayah dan boleh dipenjara.

Apa sebabnya? Sebabnya kajian yang kita lakukan mungkin memberikan implikasi buruk terhadap subjek kajian. Ia juga boleh menyebabkan implikasi buruk terhadap diri kita juga - misalnya diserang ketika melakukan kajian atau disaman di kemudian hari. Tanpa mendapat persetujuan Jawatankuasa Etika, kajian kita juga berkemungkinan bias, tidak bermoral dan tidak pada landasan yang betul.

Bagaimana di Malaysia?

Kajian sains sosial di Malaysia masih berada pada tahap yang mundur. Sepanjang yang saya tahu, kecuali sebuah universiti, tidak ada universiti lain yang mensyaratkan setiap kajian mengenai manusia mesti mendapatkan kelulusan etika. Setakat ini juga, kelulusan Jawatankuasa Etika hanya disyaratkan dalam bidang perubatan sahaja.

Sila update saya jika saya salah.

Di Malaysia, terdapat begitu banyak suara yang mendesak agar akademik menerbitkan kajian mereka di jurnal ISI. Ia seperti juga kecenderungan masyarakat kita untuk membina perumahan indah di atas bukit. Kita sangat teruja untuk mendapatkan hasil yang indah dalam masa yang cepat.

Itu cara kita. Ia budaya kita.

Sayangnya, tidak ada sesiapa pun yang ambil tahu untuk memastikan semua kajian ini melalui penilaian Jawatankuasa Etika. Etika penyelidikan ini ibaratnya menanam cerucuk besi di dalam tanah sebelum bangunan dibina. Tanpanya, buatlah sebaik mana pun bangunan, lama-kelamaan bangunan akan runtuh.

Bagi penerbitan di jurnal antarabangsa yang besar, ada sesetengahnya meminta nombor rujukan kelulusan Jawatankuasa Etika. Ada pula yang meminta surat yang menyatakan kajian kita sudah mendapat penilaian oleh Jawatankuasa ini.

Tanpanya, buatlah sebaik mana pun kajian, tulislah secantik mana pun ayat dan gunalah analisis yang komplikated sekalipun, kajian anda akan ditolak lebih awal lagi.

Dalam erti kata lain, janganlah membuang masa anda melakukan kajian kalau tidak ada kelulusan Jawatankuasa Etika. Ia sama seperti menabur benih padi ke padang rumput.

Untuk semua rakan akademik muda yang lain, marilah kita bersama berjuang untuk hal ini. Kita sedarkan universiti kita akan hal ini, kerana inilah ibu segala penerbitan jurnal ISI.

Kenapa aku menghilang?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah banyak hari selepas Hari Raya AidilAdha, aku tidak menulis. Banyak sebab yang tidak jelas. Pertamanya aku lebih banyak demam dari normal. Isteri aku pula mendapat satu projek catering untuk 'family day' untuk sebuah syarikat - jadi aku terusung sama menjadi manusia sibuk berulang alik ke Pasar Borong Serdang. Terima kasih Sdr Ajaq kerana meminjamkan aku van Unser.

Mutakhir ini pula, aku mendapat seorang pelajar PhD. Orang muda biasanya banyak ideanya. Semangat masih keras membatu. Aku juga gembira dengan anak-anak muda seperti ini - tidak kiralah apa bangsanya.

Tetapi, aku sedang cuba mengubah trend penyeliaan. Aku meminta orang luar menjadi penyelia kedua. Tidak lain, tentulah bekas penyelia aku di Australia dulu. Seperti biasa, dia akan bersetuju. Pada masa depan, aku rasa inilah antara gaya baru penyeliaan yang cuba aku terapkan. Sekurang-kurangnya, kajian kita tidak akan lagi bersifat 'lokal' atau 'syok sendiri'.

Di masa depan, aku rasa inilah antara kaedah yang baik kalau kita teringin untuk menjadi universiti bertaraf dunia. Kita boleh memberi peluang pelajar kita menulis bersama sarjana dari luar yang ada kepakaran dalam satu-satu bidang. Walaupun tidak semua hal yang mereka tahu, tetapi mereka ada kelebihan yang boleh dikongsi.

Sesiapa yang berhajat untuk membuat PhD dengan cara ini, contact aku.

Di peringkat universiti aku di sini, aku tidak pasti sama ada mereka bersedia atau tidak dengan cara ini. Aku perlu menulis surat dulu memberikan alasan.

Beberapa hari dulu, aku cuba mengubah format peperiksaan. Aku cuba menjalankan peperiksaan berasaskan menjalankan analisis menggunakan perisian di dalam bilik makmal. Maksudnya pelajar perlu menjawabnya dengan menganalisis terus menggunakan komputer berdasarkan soalan yang disediakan.

Percubaan aku ditolak kerana format universiti masih berkisar 'pen' dan 'kertas'. Tidak mengapa, aku akan mencuba lagi di masa depan. Alasan aku mudah sahaja, penyelidik hari ini menyelesaikan masalah statistik di depan komputer, dan bukan lagi di atas kertas.

Beberapa hari lepas, aku cuba mengajar NviVo. Malangnya, ada masalah teknikal software dan kelas perlu dibatalkan. Aku selalu frust dengan hal semacam ini.

Sebenarnya kesibukan aku masih seperti biasa. Setiap Jumaat, aku masih ada meeting dengan penyelia aku di Australia melalui telefon.

Friday, 4 November 2011

Salam Aidil-Adha buat pembaca

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ingat nak menulis sesuatu. Tapi tak jadi. Aku nak kena balik kampung dahulu. Sudah banyak tahun aku tak beraya dengan keluarga. Isteri dan anak aku sudah balik kampung dengan keretapi beberapa hari dulu.

Pagi tadi membuka email, "I am writing to advice you that we have been just advised by one of your examiners that due to some unexpected personal issues they will not be able to submit their report today. We have been assured that the report will be here by the 22 November...".

Nampak gayanya terpaksalah aku menanggung debar beberapa minggu lagi untuk mendapatkan keputusan PhD aku ini. Harapnya semua dipermudahkan.

Petang ini aku bertolak balik ke rumah isteri aku di Sungai Kerang, Perak. Pagi esok cadangnya akan balik ke kampung aku di Changlun. Pagi Ahad nanti, sesudah sembahyang raya bertolak balik semula ke rumah isteri aku. Isnin malam akan balik semula ke Kuala Lumpur.

Siapa kata raya di Malaysia pengalaman yang menyeronokkan? Ia mungkin memenatkan.

Selamat hari raya Aidil Adha buat semua pembaca.

Juga buat semua teman-teman di Malaysia dan juga di Adelaide.

Ingatan untuk mereka yang di Adelaide - Nizam Pooraka, Zainol, Idris, Sayuti, Dr Kamarul, Syed, Supian dan mereka yang lain, tidak ada yang lebih buruk dalam hidup selain beraya di padang dan makan ketupat yang dibalut plastik!

Maaf zahir dan batin.

Tuesday, 1 November 2011

Tearoom sex!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tajuk kali ini agak menggerunkan, tetapi ia sebenarnya tidak ada apa-apa. Ia isu etika penyelidikan.

Tearoom sex study - kajian PhD yang dilakukan oleh Laud Humphreys di Washington University pada pertengahan tahun 1960-an, dianggap satu kajian sosiologi yang paling kontroversi.

Humphreys - dalam kajiannya ini cuba melihat adakah lelaki mempunyai perbezaan karektor manusia, atau dalam kata yang lain adakah manusia ini berbeza dalam kehidupan pribadi dan kehidupan sosial.

Kajian dilakukan ke atas pelaku homeseksual di tandas awam di Amerika. Tandas awam inilah yang dikenali sebagai 'tearoom'. Humphreys, menempatkan dirinya di dalam tandas awam tersebut. Melihat kepada lelaki homoseksual ini masuk ke dalam tandas, beliau memperkenalkan dirinya sebagai penyelidik. Bagaimana pun, beliau juga berperanan sebagai 'watchqueen' - orang yang memerhatikan kalau ada polis yang masuk. Dengan membunyikan batuk atau isyarat tertentu, maka pelaku homoseks di dalam tandas ini sedar kehadiran pihak berkuasa.

Dengan cara inilah, beliau menjadi lebih akrab dengan pelaku homoseksual ini. Beliau boleh mewawancara mereka. Banyak dari mereka yang mahu diwawancara ini ialah mereka yang ada pendidikan.

Bagaimana pun, Humphreys tidak hanya sekadar itu sahaja melakukan kajiannya. Masih banyak maklumat yang belum terungkap.

Beliau juga mengekori pelaku seks ganjil ini dan mencatatkan nombor plat kereta mereka. Menggunakan nombor plat kereta ini, beliau mendapatkan pula alamat rumah subjek. Setahun kemudian, beliau menjejaki rumah subjek kajian - dengan mengaku sebagai ahli banci kesihatan. Sekali lagi beliau menemuduga mereka tanpa bertanya maklumat homoseksual pun.
Yang ditanya ialah kesihatan mereka.

Apa kesalahan kajiannya?
1. Beliau membantu subjek melakukan jenayah dengan bertindak sebagai 'watch queen'.
2. Beliau mencatatkan plat kereta tanpa pengetahuan subjek kajian.
3. Untuk mendapatkan nombor lesen, beliau memberitahu jabatan polis bahawa beliau ialah penyelidik pemasaran. Senarai nombor lesen dan maklumat pribadi ini diminta diletakkan di dalam peti surat.
4. Ketika ke rumah subjek, beliau tidak memberitahu pun tujuan sebenar kajiannya ialah berkaitan homseksual. Sebaliknya, beliau menipu dengan menyatakan beliau mengkaji aspek kesihatan.

Bagaimana pun, hasil kajiannya ini, banyak kisah kecurangan manusia bernama lelaki ini terungkap.

Banyak daripada mereka bukanlah pelaku homoseksual sepenuhnya, tetapi adalah mereka yang mempunyai isteri. Mereka juga memberitahu kehidupan mereka tertekan selepas isteri mempunyai anak. Jadi, cara lain ialah mendapatkan kepuasan di tandas awam. Mereka juga ada pendidikan dan beragama. Hanya sedikit sahaja subjeknya ialah mereka yang bujang, dan pelaku homoseksual sejati.


Kajian ini hanya disedari sebagai menggangu kehidupan peribadi manusia, pada akhir kajiannya apabila ada panel penilai universiti tidak bersetuju dengan kajiannya. Mereka mengatakan ia kajian yang tidak beretika dan menerobos ruang rahsia manusia. Tesis PhD ini telah dibantah banyak pihak. Hampir separuh daripada ahli akademik di jabatan telah meninggalkan universiti. Suratkhabar mengecam kajian ini.

Bagaimana pun, Humphrey berkata kajiannya ini telah banyak membantu masyarakat. Hasil kajiannya juga telah membuka ruang pihak polis mengesan dan menangkap pesalah deviance seks ini.

Paling utama, kajian ini mengungkap cerita sebenar kisah makhluk manusia. Ia mengungkap cara kita berlakon. Kita berlakon baik, tetapi realitinya kita mungkin tidak sebaik seperti yang kita lakonkan dalam keluarga kita.

Kita mungkin manusia terhodoh dalam realiti sebenar.

Cara Humphreys mendapatkan data mungkin antara yang terburuk di zamannya. Tapi kini, kajiannya ini antara yang selalu disebut manusia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails