Yang Ikut

Friday, 28 October 2011

Kuliah pemikiran 1

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tulisan sebelumnya dipadam kerana serangan virus.

Bagaimana kita boleh tahu pemikiran seseorang?

Sebenarnya pemikiran manusia itu boleh ditentukan dengan topik atau fokus perbualan mereka. Dalam psikologi, ayat pertama melambangkan sikap manusia.

Orang yang berfikiran dangkal, biasanya akan lebih menumpukan kepada perkara kecil, atau fokus kepada manusia. Sebab itu, kalau anda selalu melepak di warung kopi, kita akan selalu terdengar orang akan bercakap tentang orang itu dan orang ini. Mereka lebih cenderung bercakap mengenai kehidupan orang lain.

Mereka akan bercakap mengapa si A yang sudah berkahwin 10 tahun tidak lagi mendapat anak, atau mengapa si B menjadi anak dara tua. Yang dibisingkan ialah hal manusia lain, yang tidak ada kena mengena dengan mereka pun.

Dalam kelompok masyarakat kita, manusia seperti ini cukup banyak. Jarang orang seperti ini berfikir mengenai isu yang lebih besar lagi - misalnya, adakah sistem reproduksi manusia ditambahbaikkan dengan teknologi tertentu. Atau bagaimana pihak pemerintah mengambil langkah tertentu bagi menghindarkan isu anak dara yang tidak berkahwin ini.

Adakalanya di kampung kita, atau di pekan kecil di luar bandar, kita jadi resah melihat sampah dibuang di merata tempat. Kita jadi hairan mengapa orang boleh sangat gembira apabila di kampung mereka disediakan jalanraya baru, tetapi tidak pula merasa gelisah apabila majlis perbandaran tidak menyediakan tong sampah yang mencukupi untuk anggota masyarakat.

Di tempat yang menjadi tumpuan pelancong seperti di Nilai 3 pun, sangat sukar untuk bertemu dengan tong sampah. Mengapa masyarakat tidak menjadikan hal tong sampah ini sebagai isu untuk diangkat naik sebagai agenda utama wakil rakyat mereka? Tong sampah memang hal yang kecil, tetapi sebenarnya ia mencakupi isu pemikiran yang besar - yakni kebersihan.

Sebab itulah, sekolah kita perlu memberikan keutamaan kepada pembentukan manusia berfikiran besar dan bukan hanya peperiksaan. Universiti juga patut diberi ruang untuk bercakap isu pemikiran, walaupun ada hal yang mungkin kita tidak suka.

Di Barat, manusia tidak banyak bercakap hal yang remeh. Mereka bercakap hal polisi yang besar. Semuanya kerana itulah yang ditetaskan oleh pemikiran mereka.

Bagaimana di negara kita?

Tidak perlu berfikir begitu jauh. Lihat sahaja agenda ahli politik kita. Lihat sahaja laporan yang tersiar di dada akhbar. Setiap hari mereka hanya bercakap hal manusia lain.

Semua ini melambangkan mentaliti kita juga. Semua ini mencerminkan pojok pemikiran kita.

Thursday, 27 October 2011

FakirFikir kembali

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sejak pagi tadi, aku mula sedar bahawa blog aku tidak boleh diakses. Kini pun, ia masih bermasalah. Cuma dengan GoogleChrome, ia laju sedikit.

Kalau ada sesiapa yang cuba membuka laman ini, ia secara automatik menyebabkan komputer anda menjadi begitu perlahan.

Ia sama ada diserang oleh manusia, atau diserang virus, atau kedua-duanya sekali. Tetapi, aku pasti blog ini hanya diserang virus, dan bukan para penggodam. Ini blog yang tidak ada apa-apa. Lainlah kalau ia blog yang kontroversi.

Terima kasih kepada teman lama, seorang pengaturcara komputer yang telah membantu menyelesaikan masalah ini. Beliau ialah teman lama ketika aku di Sekolah.com dahulu. Beliaulah yang membantu membaca apa masalah yang sedang berlaku. Aku tidak tahu apa-apa berkaitan komputer, aku hanya tahu menulis sahaja.

Terima kasih.

Friday, 21 October 2011

Negarawan terbilang terlantar duka

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam apa sejarah pun, manusia yang ada kuasa akan dibelai dan dipuja. Kemana-mana mereka pergi akan ada manusia yang mengekori dan memberi hormat. Kata mereka menjadi fatwa. Lawak mereka akan disusul dengan tawa, sekalipun lawak itu tidak lucu. Apa sahaja pandangan mereka akan dikatakan sebagai paling bernas, sekalipun ada ketikanya pandangan itu tidak lebih baik dari orang biasa seperti kita.

Ada ketikanya, manusia baik terhukum hanya kerana ada mereka yang ingin menyukai hati pemimpinnya. Ada yang berkata benar, tetapi dinistakan kerana ingin menyanjung kuasa kita. Ada yang dipenjara, malah dibunuh semata-mata kerana ingin terus menjaga kuasa.

Setelah hilang kuasa, mereka ini akan menjadi lebih teruk dari kita.

Hoesni Mubarak adalah contohnya. Setelah beliau jatuh, tidak ada sesiapa memerhatikannya lagi. Malah, mereka menjadi simbol lelucon masyarakat. Antara yang paling kuat ketawa mungkin dahulunya ialah mereka yang paling dekat dengannya. Mereka ini - si kitol dan para pembodek akan mencari manusia lain untuk dipuja. Manusia ini akan selalu ada dalam apa sejarah sekalipun.

Itulah nasib para pemimpin dalam mana sejarah pun, kalau ketika berkuasanya tidak ramah menjadi kuasa, tidak bijak menjalankan tugasnya.

Membaca berita bagaimana Gaddafi - simbol manusia gagah yang berani melawan siapa sahaja, termasuk kuasa Amerika - adalah kisah tragis yang memilukan. Mayatnya diseret di atas tanah. Sekalipun beliau merayu agar tidak dibunuh, akhirnya beliau mati juga.

Pada saat kejatuhannya, tidak ramai lagi yang akan memujanya. Tidak ramai lagi yang akan ketawa bersamanya. Tidak ada siapa lagi yang peduli dengan kata-katanya, yang satu waktu dahulu adalah fatwa.

Juga tidak lagi kedengaran suara si kitul dan pembodek yang akan membisikkan kata yang sedap didengar. Tidak ada lagi sesiapa pun.

Sesiapa pun kita - kalau kita jadi pemimpin, begitulah kesudahannya kalau kita terlupa diri. Baik yang memimpin di organisasi kecil, ketua jabatan atau pemimpin negara. Kita hanya akan dipuja pada saat kita berkuasa. Tatkala kita tidak ada apa-apa, tidak ada siapa pun akan memandang kita.

Kita hanya akan bernasib baik - kalau tatkala kita berkuasa, kita ada sedikit ehsan dengan manusia di bawah. Kalau tidak, kita akan menjadi lebih teruk dari manusia biasa.

Kita semua pembaca, kita bernasib baik ditakdirkan Tuhan tidak menjadi manusia yang ada kuasa. Kita yang ada di bawah tidak akan pernah jatuh lagi, kerana kita tidak pernah pun ada peluang untuk berada di atas.

Moga-moga, tidak ada di antara kita yang kesudahan nasibnya seperti Gaddafi. Tatkala berkuasa dibelai manja, tatkala jatuh dihina dicerca.

Gaddafi - simbol negarawan digeruni menjadi manusia paling terluka. Simbol kuasa manusia yang tak pernah akan kekal. Ia akan pudar tatkala sampai waktunya. Kerana kuasa itu juga makhluk seperti kita.

Permudahkan jalan hidupnya Tuhan.

Wednesday, 19 October 2011

Ceritalah lagi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ceritalah!

Saya telah kembali memasuki ke dunia akademik. Apa yang saya lihat mengenai bidang saya?

Terus terang, tanpa berselindung - boleh saya katakan disiplin psikologi kita tidak berkembang banyak sejak saya meninggalkan universiti tahun 1995. Ia masih berkisar cara dan olahan yang sama.

Sepanjang tempoh itu, memang saya bukan orang akademik. Tetapi, saya terus membeli buku psikologi, dengan diselang seli dengan buku pengurusan. Buku paling mahal yang saya beli berharga lebih RM400, dan kedua mahal berharga RM 379.80. Saya membeli buku ini kerana saya ingin membacanya. Pada masa yang lalu, saya mempunyai sedikit kelebihan wang. Jadi saya mampu membelinya. Tetapi tidak sekarang.

Saya terus membeli buku ketika saya di Jakarta. Saya perlu membeli buku kerana saya takut saya ketinggalan dalam pengetahuan mengenai psikologi. Saya tidak kisah walaupun saya bukan ahli akademik. Bagi saya, membaca ketika di luar dunia akademik lebih menyeronokkan. Saya membaca tanpa paksaan pekerjaan saya. Saya membaca kerana minat.

Dalam dunia akademik, membaca buku sudah menjadi sebahagian pekerjaan. Jadi, membaca adakalanya sudah menjadi beban tugas yang baru.

Bagaimana dunia psikologi kita?

Kita masih berpegang dengan ideologi lama. Saya tidak tahu mengapa. Adakah kerana kita tidak ada banyak waktu untuk meneliti kajian terbaru di luar, atau psikologi dalam konteks masyarakat kita hanya sekadar bidang sahaja. Ia hanya bidang yang ujud di universiti, tetapi tidak di alam pekerjaan.

Hanya sebulan yang lalu, saya bertemu dengan dua orang anak muda yang berkerja sebagai ahli psikologi di jabatan polis. Sebelum ini, jarang kita mendengar ada jawatan ahli psikologi. Saya rasa ia pekerjaan menarik - walaupun menurut dua anak muda ini, kerja mereka bukanlah seperti yang dilakukan oleh ahli psikologi dalam erti kata sebenarnya. Tidak mengapalah.

Dahulu, kajian eksperimen adalah 'core' bidang kami. Sekarang ini tidak lagi. Banyak yang menggunakan soal selidik. Tidak salah menggunakan soal selidik. Tetapi, kekurangan kita ialah method pengumpulan data yang tidak berubah. Kaedah persampelan juga tidak kemas, menjadikan psikologi menjadi bidang yang agak terasing.

Saya tidak pulang ke Malaysia untuk melakukan perubahan. Tetapi, saya ada bertemu dengan banyak orang di universiti. Saya akan cuba ceritakan masalah saya kepada mereka, agar masa depan psikologi akan dapat diangkat.

Antaranya, kajian di Malaysia tidak perlu mendapat kelulusan ethic committee. Ini menjadi masalah untuk kajian itu diterbitkan dalam jurnal yang baik. Cara kita berhujah juga masih menggunakan lenggok tempatan. Misalnya, kajian di Kota Bahru - atau kajian di Sekolah Menengah Sekinchan - semua ini menjadi bidang psikologi kita tidak mampu mencapai tahap global.

Apa yang boleh saya buat?

Saya hanya mampu bercerita. Ceritalah. Ceritalah hakikatnya.

Tuesday, 18 October 2011

Ceritalah!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap malam, sebelum tidur anak saya akan minta saya ceritakan sesuatu. Biasanya cerita pertembungan kuasa baik Ultraman dan rasaksa yang ganas. Anak saya akan tidur dengan memimpikan bahawa kuasa baik akan selalu menang, dan yang jahat akan selalu mati kehinaan.

Itu hanya cerita angan anak-anak. Ketika kita masih kecil, kita juga selalu didendangkan cerita yang sama. Kuasa baik akan selalu menang.

Hakikatnya, semakin kita membesar, kita akan merasa begitu hampa, ia hanya sekadar cerita. Ia jarang terjadi dalam dunia yang sedang kita hidupi sekarang. Banyaknya kuasa baik mati kehinaan, yang jahat terus meraja. Manusia baik yang berkata benar juga akan ditertawakan, dan yang jahat terus didodoikan tindak buruknya.

Kita didendangkan dengan cerita rogol dan bunuh. Kita jadi risau dengan cerita simbah cuka, tetapi tidak pula kita dengar sesiapa yang pernah ditangkap pun. Mangsa malang merana seumur hidup.

Kita juga merasa hampa, Ultraman kita yang gagah jarang datang menolong tatkala ada wanita diragut, ada yang parah, ada yang menuju ajal. Kita tidak dapat melihat kelibat pun siapa yang meragut itu. Tidak ada sesiapa pun yang sempat menolong mereka yang diragut.

Tatkala restoran mamak diserbu para perompak, orang ramai yang duduk bertempiran lari. Tinggallah tauke kedai sendirian menghitung nasibnya. Kita tidak mengharapkan ada seorang hero yang gagah datang membantu. Tetapi, tentulah perompak itu juga terkejut besar kalau semua pengguna yang duduk di kedai mamak itu datang menyerbu.

Sebenarnya, dalam dunia ini, tidak ada sesiapa pun yang akan datang membantu kita. Semalam, seorang warga Pakistan ditemui dalam keadaan nyawa ikan di bawah sebuah jambatan setelah kepalanya ditetak. Dua temannya pula sudah mati berulat.

Itulah realiti hidup kita. Kuasa baik yang menang hanyalah dongeng cerita untuk menidurkan anak-anak. Kitalah sendiri yang akan menyelamatkan kita kalau sesuatu yang buruk terjadi. Jangan bermimpi akan ada kuasa baik mematikan kuasa buruk dalam keadaan yang sangat hina. Ia jarang berlaku lagi di negara kita ini.

Ceritalah. Ceritalah ayahku. Ceritalah yang sebenarnya. Jangan sembunyikannya lagi.

Saturday, 15 October 2011

Anda dicari

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda berminat untuk mengikuti pengajian lepasan ijazah?

Kalau ada yang berminat dalam bidang psikologi, khususnya kajian-kajian berkaitan dengan organization climate, depression, burnout, engagement, flow dan workaholics - saudara/saudari boleh menghubungi saya. Spesifik kajian saya ialah psychosocial safety climate, safety climate dan isu berkaitan kesihatan psikologi pekerja. Sila baca juga Job Demands Resources model.

Antara kebolehan yang diperlukan:
1. Analitikal dan yakin kepada keupayaan akal
2. Rajin membaca dan tidak bosan membaca - membaca 5 jurnal sehari mungkin sebahagian caranya
3. Bekerja dengan cepat dan pantas
4. Sanggup belajar dan menerima kritikan pedas
5. Tidak sombong dan merasa pandai
6. Tidak mudah putus asa
7. 'Fight until the last battle' ialah moto penyelidikan ini.

Saya tidak berminat dengan mereka yang belajar untuk pangkat, tetapi saya berminat mereka yang belajar untuk mendapatkan ilmu baru. Saya langsung tidak berminat dengan mereka yang kuat membodek, tetapi malas. Mereka yang berkaitan tidak perlu menghubungi saya.

Target penyelidikan ini ialah untuk penerbitan dalam jurnal A+ dalam bidang psikologi.

Kajian yang akan dilakukan akan menggunakan kaedah multi-level dan SEM. Kepandaian statistik yang hebat tidak diperlukan. Keupayaan berfikir itu yang terlebih utama. Saya akan mengajar anda statistik yang berkaitan.

Sila lihat bidang kajian saya di Google Scholar dengan menaip Idris,M.A + Dollard, M.F.

Oh ya, saya bukan Profesor.

Selamat mencuba.

Thursday, 13 October 2011

Bagaimana kalau...

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari kita mendengar ada jenayah yang dilakukan manusia. Setiap hari ada penagih, perompak dan perogol yang ditangkap. Setiap hari ada sahaja mereka yang dimasukkan ke pusat serenti. Setiap hari ada sahaja orang yang dimasukkan ke dalam lokap atau penjara.

Semua ini bermakna, setiap hari mereka yang ditahan ini akan diberi makan. Semua ini bermakna ada kos yang sedang ditanggung oleh rakyat di luar, atas kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah. Aku tidak tahu berapa kosnya.

Pada masa yang sama, setiap tahun pelajar kita mengikuti pengajian tinggi di universiti tempatan dan luar negara. Ada 272,000 kemasukan ke IPTA bagi pelajar ijazah sarjana muda, dan 33,000 bagi pelajar diploma setiap tahun. Walaupun secara dasarnya mereka ini dibiayai, tetapi sebenarnya mereka meminjam wang dari badan-badan tertentu dan terpaksa membayar balik selepas tamat pengajian. Malah, mereka yang melanjutkan pengajian ke luar negara, walaupun kelihatannya seperti dibiayai - hakikatnya mereka juga berhutang. Mereka perlu membayar balik kalau mereka gagal dalam pengajian. Mereka juga mungkin akan dilanda muflis, kalau mereka gagal dan tidak pula ditawarkan pekerjaan.

Apa isunya?

Isunya, tatkala penjenayah dan penagih dadah yang melakukan kesalahan dibiayai sepenuhnya, mereka yang bakal menyumbang sesuatu untuk negara diminta membayar semula.

Kita tidak mempertikaikan bayaran semula mereka yang belajar di bangku universiti. Kita perlu ada wang untuk membiayai pelajar lain di masa hadapan.

Tetapi, ada baiknya banduan lokap dan pusat serenti ini diminta membayar kos bagi jumlah hari mereka ditahan. Mereka telah melakukan kesalahan, dan mereka harus menanggung kos atas kesalahan mereka.

Di Thailand, pesalah yang ditahan lokap perlu membayar kos sebanyak 100 baht (RM10) sehari. Ini bermakna, pesalah atau keluarga mereka perlu menanggung kos bagi kesalahan yang mereka lakukan.

Mengapa kita tidak membuat hal yang sama?

Ada baiknya, dengan semakin banyaknya kesalahan jenayah yang dilakukan manusia yang tidak mahu menghormati norma kebaikan, kos itu ditanggung oleh mereka sendiri, dan bukannya orang lain. Tidak wajar rakyat yang baik pula yang perlu membayar sara hidup mereka sedangkan mereka ini sedang merosakkan kita.

Wednesday, 12 October 2011

Artis, dakwah dan agama

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak berapa hari yang lalu, beberapa orang artis telah ditemubual oleh wartawan untuk bertanyakan pandangan mereka mengenai hukum hudud.

Walaupun tidak salah bertanyakan pandangan itu, tetapi kumpulan yang ditanya itu tentulah bukan kumpulan sasaran yang betul. Mereka mungkin boleh ditanya hal ibadat yang umum, tetapi mengapa harus ditanya mereka yang bukan ahlinya bagi hal yang agak kompleks.

Persoalan hukum hudud itu juga tidak patut ditanya pandangan pun. Ia sudah termaktub dalam hukum. Hal seperti ini dengan mudah akan dijawab oleh para ulama yang ahli dalam hukum. Kalau media ingin mencipta sensasi pun, tentu ada banyak hal lain yang boleh ditanya. Misalnya, adakah mereka berpuasa kalau penat atau letih sangat berlakon. Jadi jawapan mereka mungkin boleh dijadikan panduan sama ada patut atau tidak kegiatan seni yang memenatkan dilakukan ketika bulan puasa.

Bertanya hukum hudud kepada mereka yang bukan ahli, samalah seperti bertanya susah atau tidak teori matematik kepada mereka yang belajar sastera.

Tatkala pandangan artis itu dapat dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia - kita pula membaca berita bagaimana Bob Lokman ditahan penguatkuasa agama kerana memberi tazkirah di sebuah masjid. Beliau diatahan kerana memberi kuliah tanpa tauliah.

Kita tidak mempertikaikan tindakan penguatkuasa itu. Benar, tidak semua orang patut memberikan kuliah agama. Kalau semua orang dibenarkan, maka bermakna sesiapa sahaja boleh bercakap hal agama. Bimbang, akan ada hal yang tidak betul disampaikan pula.

Bagaimana pun, tentu agama bukanlah sesempit itu. Tentu ada hal-hal yang patut dibolehkan. Walaupun bercakap di dalam masjid, tidak semestinya seseorang itu hanya bercakap hal agama sahaja. Misalnya, katakan guru ingin memberikan tazkirah berkaitan dengan gejala sosial pelajar untuk mengingatkan jemaah masjid tentang perlunya menjaga anak-anak, tentu ia bukan hal yang salah. Mereka mungkin menceritakan pengalaman sebenar mereka.

Begitu juga kalau ada seseorang pakar ingin mengajar ilmu bagi satu-satu bidang, walaupun ia selepas waktu solat di masjid - menjadikan ia seperti 'tazkirah', adakah hal seumpama ini juga tidak boleh dibenarkan?

Begitu juga Bob Lokman atau sesiapa sahaja yang ingin menceritakan pengalaman mereka, yang mungkin ada sedikit daripadanya dapat dimanfaatkan ahli masyarakat, adakah hal seumpama itu boleh atau tidak?

Atau hal seumpama itu mungkin hanya boleh disurahkan di luar masjid, dan bukan di dalam masjid?

Semua ini patut didefinisikan semula. Semua ini patut diperjelaskan. Kalau tidak, ia akan memberi imej buruk kepada agama kita sendiri.

Kita bimbang - tatakala mereka yang sudah insaf dan ingin memberikan kebaikan dihalang, tetapi mereka yang masih bergelumang dengan hal salah dibenarkan pula. Orang bertanya mengapa tidak diserbu mereka yang sedang bermaksiat di disko dan kelab malam. Mengapa harus ditahan orang yang berdakwah di dalam masjid?

Semua ini bukan kerana agama kita begitu sempit. Semua ini kerana kita kabur dan keliru dengan definisi yang kita ciptakan sendiri.

Mungkin ada baiknya ada label bagi kuliah tertentu. Misalnya bagi tazkirah berbentuk agama, kita berikan label 'A' - dan mereka ini patut mendapat tauliah terlebih dahulu. Bagi tazkirah berbentuk umum - kita berikan label 'U' - dan mereka ini tidak perlulah mendapatkan tauliah kerana mereka hanya ingin bercakap hal kebaikan, dan bukan spesifik hukum ibadat.

Label ini perlu digantung ketika mereka memberikan ceramah.

Itu pun, kalau kita berasa itu hal yang perlu. Walaupun yang patut kita bimbang ialah mengapa banyak orang yang tidak mahu ke masjid, dan bukannya siapa yang sedang memberikan tazkirah.





Tuesday, 11 October 2011

Budaya penyelidikan kita

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Menyorot tulisan Dr Ben di lamannya.

Aku selalu tidak puas hati apabila orang akademik kurang bercakap hal research, tetapi rancak bercakap hal yang dibincangkan orang awam di kedai kopi. Aku juga selalu gelisah apabila membaca cara anak-anak muda di universiti berfikir - cara mereka berfikir sama seperti orang lain juga. Ia sama seperti anak-anak muda yang memburuh di tepi jalan atau di bawah bumbung kilang.

Aku juga tidak suka apabila penyelidikan sarjana atau PhD, kelihatannya sama seperti penyelidikan pelajar ijazah sarjana muda sahaja. Yang berubahnya hanya jumlah halaman, dan bukannya jumlah idea baru dan hasil yang memberahikan.

Aku gelisah bukan kerana aku pandai, atau orang lain itu tidak pandai.

Aku tidak merasa gembira kerana bagi aku - universiti patut memainkan fungsinya. Universiti tidak patut menelurkan kaki bodek yang menghasilkan pandangan mengelirukan, tetapi universiti menghasilkan orang bijak yang boleh memberikan manfaat kepada manusia di luar.

Kalau orang di dalam universiti - baik kakitangan atau pelajar menghasilkan sesuatu yang sama seperti orang lain - kita tidak perlu tubuhkan universiti. Lebih baik bangunkan banyak kilang. Kita akan dapat menyediakan lebih banyak pekerjaan. Kita boleh juga bangunkan banyak kedai. Kita boleh bercakap hal makan, minum dan perut. Kita bangunkan banyak panggung wayang. Kita akan menghasilkan lebih banyak pelakon dan artis yang muda, cantik pula.

Sebab itulah - universiti patut berbeza dengan institusi lain. Kalau tidak berbeza, ia bukan universiti. Kalau semata-mata mengajar, itu sekolah. Kalau sekadar untuk mendapatkan sijil, itu kilang cetak. Kalau hanya datang dan bergossip, itu pejabat. Kalau hanya menghasilkan anak muda yang tahu berkerja, kita sudah ada banyak pusat kemahiran.

Apa yang akan membezakan universiti dengan 'benda' lain?

Universiti patut ada banyak research. Reserach itu pula bermula dengan 'Re' - maksudnya kajian itu mestilah baru dan bukan hanya mengulang-ulang apa yang dibuat orang sahaja. Dalam erti kata yang lain, mengulang tanpa tahu punca. Melakukan kajian yang memberikan manfaat. Membuat sesuatu yang tidak diketahui orang.

Aku selalu menjadi manusia yang gelisah.

Buat permulaan - aku terpaksa melakukan sesuatu. Aku perlu adakan 'bengkel penulisan dan penyelidikan'. Kali ini untuk pelajar tahun akhir universiti. Ia akan diadakan setiap Jumaat jam 10-12 tengahari.

Kalau anda pelajar universiti, anda juga boleh datang kalau mahu. Aku tidak kisah.

Saturday, 8 October 2011

Yang saya hampir tahu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apabila sesekali saya duduk bersama kawan-kawan lain, saya terkesan satu hal yang menjadi topik besar perbincangan. Pangkat, gaji dan imbuhan.

Saya tidak katakan ia hal yang tidak penting. Saya berbohong kalau saya katakan ia tidak penting.

Bagaimana pun, saya juga melihat banyak hal lain.

Sesekali saya juga melihat kajian-kajian pelajar lepasan ijazah kita. Saya membaca kajian-kajian terdahulu. Saya tidak boleh menulis panjang dalam ruangan ini. Ia tentu tidak menggembirakan teman-teman saya yang lain.

Saya dapati - kesilapan utama kita ialah metodologi dan kerangka kajian. Banyak dari kajian kita hanya menggunakan beberapa pembolehubah. Malangnya, bagi setiap pembolehubah itu pula, mereka menggunakan soal selidik yang ada terlalu banyak item (soalan). Ada yang sampai 60 item, hanya untuk mengukur satu perkara.

Saya rasa ini hal yang salah. Kita menggunakan banyak soalan bagi mengukur satu perkara sahaja. Akhirnya, dalam kajian kita yang ada lebih dari 200 soalan, yang diukur hanya 3 perkara. Mustahil jurnal akan menerima kajian yang hanya cuba mengukur tiga perkara.

Sepatutnya, kita menggunakan item yang sedikit - tetapi mengukur banyak perkara. Misalnya 5 item bagi satu pembolehubah. Bayangkan berapa banyak pembolehubah yang boleh kita bincang kalau ada 200 item? Sekurang-kurangnya, kita ada banyak peluang untuk menerokai banyak perkara baru.

Bayangkan juga bagaimana kalau 3 pembolehubah tadi tidak signifikan? Apa yang boleh kita laporkan.

Kita juga tersalah konsep dalam mencari jurang penyelidikan. Kita berkata kalau kajian sebelum ini tidak menggunakan responden orang Cina misalnya, maka dengan melakukan kajian ke atas orang Cina, ia telah mengisi kelompangan kajian.

Sebenarnya itu lompang yang paling lemah. Kelompangan kajian (gap) ialah mencari sebab kepada sebab, atau hasil kepada hasil. Itulah jurang penyelidikan yang patut kita teroka. Menggunakan kelompangan kajian hanya berdasarkan jenis sampel - bukan satu sumbangan yang besar.

Sebab itu, saya rasa cara berfikir warga universiti perlu berubah. Kita perlu mengubah topik perbualan di kantin universiti. Banyakkan berbincang hal kajian. Banyakkan perbincangan hal utama, dan bukan hanya isu gaji dan pangkat.

Saya tahu di Barat topik mereka lain. Setiap kali saya duduk bersama Maureen, De Jonge atau Christian Dormann, inilah topik utama mereka. Mereka berbincang tentang konsep baru. Mereka berbincang tentang software statistik terkini. Mereka mencari ilham bagaimana mengutip data dengan lebih relevan. Sebab itu mereka selalu terkehadapan. Kajian mereka yang hebat datang dulu, kemudiannya barulah reputasi mereka. Kita pula ingin mendapatkan pangkat profesor dahulu, kemudiannya baru bercakap hal kajian. Itupun kalau kita masih ingin bercakap.

Kalau kita sendiri tidak berubah, tentulah pelajar kita juga tidak berubah. Kalau kita sendiri keliru dengan budaya penyelidikan, jangan paksa pelajar kita berfikir dengan cara yang pelik dalam menjalankan kajian.

Saya tahu saya tidak akan mampu mengubah budaya fikir di universiti. Saya hanya mampu memberitahu pelajar saya sahaja.

Yang saya hampir tahu - saya mungkin tidak akan lama dalam iklim universiti kita. Saya datang dari dunia yang lain, dan tentulah saya akan lebih betah di dunia saya yang dulu.

Thursday, 6 October 2011

Undilah

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Undilah, ia mesej yang baik. Ia mesej untuk kita bersama memaju dan membina negara ini. Ia mengajak kita semua melaksanakan hak kita.

Bagaimana pun, apabila ia dikatakan sebagai tidak sesuai, hingga tidak dibenarkan ditayangkan di kaca tv - sesekali aku terfikir - apakah pula yang dianggap sesuai?

Video ini mungkin telah memulakan ayat 'masalah' di hadapannya. Atau ada watak politik yang berlawanan arah. Tetapi hakikatnya, ia sebahagian dari kita juga.

Kalau pun klip video ini ada menyebut 'masalah' di depannya, apakah itu yang menjadikan kita takut. Kita semua sebagai rakyat patut menyelesaikannya. Negara ini bukan milik sesiapa. Ia milik kita semua.

Tetapi - begitulah. Demokrasi hanyalah patah kata yang mudah disebut, bukan untuk dilaksanakan.






Wednesday, 5 October 2011

Hantu sebenar filem hantu kita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini, kita sedang hangat dengan lambakan cerita hantu yang menjadi kegilaan sebahagian besar masyarakat kita.

Salahkah menonton atau meminati cerita hantu? Salahkah juga para penggiat seni melakarkan misteri cerita hantu dalam lensa kamera mereka?

Sebenarnya, menonton atau meminati cerita hantu bukanlah satu kesalahan. Filem hanyalah dongeng cerita yang menghentikan kita seketika dari lelah berkerja. Jadi, kalau menonton filem hantu itu mampu melegakan perasaan kita, apa salahnya kalau kita ingin menonton.

Bagaimana pun, hakikat yang perlu diketahui - baik cerita Melayu atau Indonesia, cerita hantu kita tidak sama seperti konsep hantu masyarakat Barat, Korea atau Jepun. Filem hantu kita dimasukkan bersama dengan hal tahyul yang lain. Dalam filem kita, tidak ada hero yang cuba melawan memusnahkan watak hantu. Sebaliknya, kita akan memasukkan unsur bomoh dan pemujaan - sebagai kononnya itulah caranya kita mengusir atau memanggil hantu.

Hantu itu pula menjadi seolah-olah hero yang sukar dikalahkan. Ia begitu kuat. Walaupun kalau dibandingkan dengan filem dari luar, hantu kita masih berwajah 'manja'. Plot cerita juga tidak akan seganas filem Freedie vs Jason. Jalan cerita yang tidak kuat dan tidak kreatif menjadikan cerita hantu kita tidak ubah seperti cerita hantu yang dibualkan oleh masyarakat kampung. Ia juga tidak ubah cerita nenek moyang kita juga.

Inilah silapnya filem kita.

Kita tidak kreatif - tetapi memasukkan pula banyak unsur tahyul, asap kemeyan dan puaka. Ini telah menghilangkan misteri hantu itu sendiri, tetapi menanam benih khurafat dalam masyarakat. Filem hantu kita tidak menakutkan, tidak seram tetapi kelakar. Yang kita takutkan bukanlah imej hantu itu, tetapi khurafat dan tahyul itulah. Itulah yang merosakkan pemikiran kita.

Filem hantu Barat, menakutkan. Ia menyeramkan. Jarang kita ketawa menonton filem hantu mereka. Tetapi, mereka tidak pula menanamkan unsur khurafat - kecuali bagi filem-filem Draculla. Itupun, kerana filem Draculla tidak bersifat seram, sebaliknya lebih kepada mitos pertembungan watak putih dan hitam. Ia filem aksi yang baik.

Kita juga, kalau mampu menghasilkan filem hantu yang baik - yang seram, tetapi tidak tahyul, tentu akan mampu menerobos pasaran luar. Orang tahu itu bukan hantu yang betul, tetapi menakutkan.

Sayangnya, kita tidak begitu kreatif dalam hal ini. Kita memainkan semula cerita tahyul yang berlegar dalam masyarakat.

Tahyul dan khurafat itulah 'hantu' sebenar yang sedang menakutkan kita. Bimbang-bimbang ia akan menular dan membinasakan daya fikir kita.


Tuesday, 4 October 2011

Selamat malam Kuala Lumpur

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Jam 7.12 malam.

Di Adelaide waktu ini jalan telah sunyi. Di Kuala Lumpur, jalannya masih sesak. Para penyamun, penyangak dan pengorup masih berurusniaga.

Jam 7.12 malam. Aku masih di pejabat. Aku kembali ke rutin sibuk yang lama. Aku baru sahaja menyiapkan proposal bagi memohon geran penyelidikan dari sebuah agensi. Aku tidak tahu bagaimana nasib aku. Aku hanya sekadar mencuba di celah sesak persaingan. Tetapi, kami bersaing dengan cara kami. Siapa yang mampu menawarkan dimensi intelektual yang pelik, mungkin menang bergaya.

Ohh. Mungkin tidak juga. Mungkin ada cara lain orang menilainya. Banyak hal yang kita tidak tahu juga.

Ada satu jurnal sedang diperbaiki.

Dunia ini dunia sibuk. Esok mengajar lagi. Ilmu seolah-olahnya barang yang pelik untuk graduan. Aku semakin pelik.

Monday, 3 October 2011

Saya rasa sangat terbakar!

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah 3 minggu saya berada dalam lingkar dunia akademik. Saya mengajar. Saya juga memerhatikan. Saya juga menegur. Saya tetap sayangkan anak muda yang bakal menjadi pengganti kita semua.

Saya dapati, walaupun masalah bahasa menjadi penghalang utama anak-anak muda di universiti untuk menghasilkan kajian yang baik, tetapi masalah utama yang menghalang mereka sebenarnya bukanlah bahasa. Masalah utama ialah kemalasan berfikir, dan tidak mahu menjangkau lebih jauh.

Saya terkejut besar ketika ada seorang pelajar saya menterjemahkan 'burnout' sebagai 'terbakar'. Saya tidak pernah mendengar perkataan ini sebelum ini. Kalaulah ayat burnout itu terlalu teknikal, saya masih bersimpati dengan terjemahan tadi. Burnout mungkin jarang dipakai dalam masyarakat awam. Saya masih sedia menerima hakikat itu.

Tetapi apabila pelajar saya menterjemahkan likert scale 'poor' sebagai 'miskin', saya berasa semakin curiga. Tidak pernah saya mendengar dalam soal selidik - poor diterjemahkan sebagai 'miskin'. Ia sepatutnya membawa maksud 'tidak'. Kalau ia diterjemahkan sebagai 'lemah' pun, sekalipun maknanya sudah lari - saya masih boleh menerimanya lagi.

Jadi - apa isu sebenarnya?

Isunya ialah kita sangat malas berfikir secara logik. Mustahil dalam soal selidik yang bertanya persepsi, akan ada jawapan 'miskin'. Logik akal sepatutnya dapat membuat penilaian sebelum kita menterjemah. Kalau dibuka kamus, tentulah akan ditemui makna sebenar poor dalam konteks soal selidik.

Mustahil juga 'burnout' dimaknakan sebagai terbakar kalau mereka membacanya dengan lebih keseluruhan ayat dengan baik. 'Saya terbakar di tempat kerja saya'. Mustahil terbakar sedangkan apa yang dikaji ialah tekanan kerja. Lainlah kalau kajian itu berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja. Mungkin masih ada relevannya, kalau pun logik akal tidak begitu.

Jadi, apakah bahasa Inggeris masalah utama pelajar kita? Bukan. Masalah utamanya ialah kemalasan. Dengan ujudnya banyak sofatware terjemahan secara online, menjadikan anak-anak muda ini dengan lebih cepat menggunakannya tanpa berfikir panjang mengenainya.

Bayangkanlah, kalau tugasan itu dalam bahasa Inggeris. Saya pasti ia akan lebih teruk - dan peluang untuk plagiarism akan lebih tinggi.

Kali ini baru saya rasa sangat terbakar! Saya terbakar kerana pelajar kita semakin lama semakin miskin berfikir dan malas berusaha.

Saya akhirnya tahu mengapa pelajar ijazah sarjana muda di luar negara sudah dapat menerbitkan tulisan dalam jurnal yang baik, tetapi tidak di kalangan anak muda kita. Semuanya kerana kita kita malas dan menganggap universiti hanya sekolah untuk mendapatkan sijil semata-mata.

Anak-anak muda - universiti bukanlah tempat untuk kita mendapatkan sijil. Universiti ialah tempat untuk kita berfikir. Untuk mendapatkan sijil dan ijazah, kita tidak perlu datang ke universiti. Pergilah ke Jalan Pudu - di sana terdapat banyak kedai cetak yang boleh mencetak apa sahaja untuk anda.

Apa salahnya kalau kita semua pandai?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Satu malam, di pekan Changlun aku dan kawan lama terpaksa berpindah restoran mamak dua kali kerana kami ingin membincangkan topik budaya orang kita. Kerana jam sudah 12 malam, restoran mamak yang kami singgah sejak jam 11 malam ditutup. Jadi kami beredar ke kedai lain. Kali ini kami duduk sampai jam 1.30 pagi. Nasib baik Changlun sudah maju. Sayangnya, budaya kita tetap begitu.

Sama ada anda terkesan atau tidak, ada satu budaya janggal dalam masyarakat kita. Kita bimbang akan ada orang yang lebih pandai dari kita, kerana kita takut kita akan kehilangan sesuatu. Dalam kata yang lain, kalau ada orang lain yang lebih pandai, takut-takut nanti kita akan menjadi bodoh.

Ini paradigma yang salah, janggal dan pelik. Sebab itulah, kalau kita berasa pandai sedikit, kita kalau boleh tidak mahu ilmu kita dikembangkan. Takut-takut nanti orang lain tahu ilmu kita, dan kita tidak ada kelebihan lagi.

Dalam ilmu tradisional, tidak semua orang boleh diajarkan ilmu yang diketahui. Kononnya, guru perlu menyimpan sedikit ilmunya yang tidak perlu diperturunkan kepada anak murid. Ia boleh menjadi 'senjata' yang boleh digunakan kalau-kalau nanti, ada anak murid yang ingin melawan guru.

Hakikatnya, dalam ilmu moden pun - kita ragu-ragu juga kalau ada anak murid kita atau orang lain yang lebih pandai dari kita. Nanti mereka akan melawan guru. Nanti kita akan lebih bodoh dari mereka pula.

Sebenarnya, tidak ada masalah pun kalau orang lain pandai. Ia tidak akan menjadikan kita sedikit pun bodoh. Kita tetap ada kemahiran sebanyak itu juga. Kalau kita ajar semua ilmu kita sekalipun, dan orang yang kita ajar itu sepandai kita pun, kita tetap begitu. Kalau semua 28 juta rakyat Malaysia pandai dan ada pengetahuan yang sama, ia tidak mengurangkan apa-apa pun pada diri kita. Ia tidak menghilangkan kepandaian orang lain.

Tetapi ini antara kepercayaan karut kita. Kita kalau boleh ingin menjadi hero dengan tahu semua, dan orang lain tahu sedikit sahaja. Untung-untung, orang lain akan bergantung harap kepada kita.

Dalam dunia pekerjaan, kalau anda perhatikan - budaya tamak pengetahuan ini ada. Kalau kita tahu di mana sumber boleh mendapatkan bantuan misalnya, kita tidak mahu memberitahu orang lain. Kalau kita tahu ada hal yang boleh dibuat bagi menyelesaikan masalah, kita tidak mahu beritahu. Kita dengan bangganya berkata, 'kalau disuruh aku, aku boleh settlekan benda tu'. Seolah-olahnya benda itu mudah sahaja untuk kita. Mengapa tidak diajarkan apa yang kita tahu kepada orang lain?

Tamaknya kita ini - bercampur dengan sedikit rasa iri - menjadikan kita lebih rela membiarkan orang lain bodoh untuk menjadikan kita sebagai manusia yang tahu semua.

Ia dongeng yang patut diubah. Ia dongeng yang sedang menjadi anai-anai yang memandulkan budaya ilmu kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails