Yang Ikut

Friday, 30 September 2011

Kita patut saling membantu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada seorang pelajar yang tidak diketahui namanya, telah mengirimkan aku emel bertanyakan tentang satu teori job stres. Aku harap pada masa hadapan, pembaca menulis nama, atau sekurang-kurangnya nama samaran apabila mengirimkan emel bagi hal yang berkaitan akademik. Tidak mengapa bagi hal yang lain. Ia sudah menjadi adab dalam dunia keilmuan apabila kita memperkenalkan diri terlebih dulu bagi satu-satu hal.

Ada seorang pelajar PhD seperti aku dari UK mengirimkan emel bertanyakan hal statistik. Aku pernah bersua dengan beliau dalam satu persidangan di Kota Kinabalu, 2 tahun lalu. Entah bagaimana - dalam proses menggoglenya, beliau bertemu dengan blog aku. Emelnya pula sangat formal - walaupun aku tidak begitu kisah sangat hal formaliti. Tetapi, itu adalah sebahagian daripada cara yang betul, apabila kita memulakan sapaan dalam hal orang yang tidak kenal wataknya.

Sayangnya, aku tidak begitu banyak dapat membantunya kerana beliau hanya ada seminggu sahaja waktu untuk menghantar tesis. Aku hanya boleh membantu apa yang termampu.

Beberapa tahun dulu, seorang pembaca blog, juga seorang pelajar dari UK mengirimkan email bertanyakan sesuatu. Aku sudah terlupa apa yang ditanyanya. Tetapi, ia juga berkisar hal akademik. Beliau kini sudah pulang ke Malaysia, dan juga kini menulis blog seperti aku. Anda boleh membaca blognya seperti dilinkkan di laman ini.

Sebenarnya ada beberapa orang lain yang juga menuliskan email bertanyakan sesuatu. Ada yang boleh aku bantu, ada yang tidak. Ada yang bertanya hal ujian personaliti, ada yang bertanya hal masalah psikologi. Ada yang boleh aku jelaskan, ada yang tidak.

Adakah dengan belajar ilmu psikologi, anda mampu menyelesaikan masalah orang lain? Sebenarnya tidak. Kami hanya sekadar membantu apa yang terdaya. Kami juga ada masalah kami sendiri, seperti orang lain. Ada yang mampu ditangani, ada yang tidak.

Tetapi itulah fungsi blog. Kita saling bertanya dan berkongsi pandangan. Ada yang boleh diterima, ada hal yang kita tidak sehaluan. Bagaimana pun, pada akhirnya - sesiapa pun kita, kita tetap memerlukan orang lain. Seorang doktor mata yang hebat sekalipun, tidak berupaya mengeluarkan habuk yang masuk ke dalam matanya. Dia memerlukan orang yang lain pula membantunya.

Aku juga - seperti anda semua, tidak akan tahu semua - dan akan juga mempunyai banyak beban seperti orang lain. Tetapi aku percaya dengan menolong orang lain (dalam psikologinya, kita kenali sebagai altruism) - satu masa nanti ada orang lain pula yang akan membantu kita. Orang yang pernah kita bantu mungkin tidak akan berpeluang membantu kita, tetapi mereka pula akan cuba membantu orang lain.

Begitulah kitar hidup.

Harapnya, blog ini menjadi sebahagian jalan membantu manusia.

Thursday, 29 September 2011

Kita semua sama sahaja

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam ruangan komen, ada pembaca mencadangkan agar guru diberikan latihan semula kerana ada tanggapan bahawa guru sendiri kelihatannya kurang bermaya dalam mendidik anak-anak.

Pastilah, sebagai bukan guru - aku tidak layak memberikan pandangan dalam hal seumpama ini.

Bagaimana pun, bagi aku - meletakkan salah kepada guru yang tidak bermaya dalam mendidik anak-anak juga bukanlah satu tindakan yang betul. Sebenarnya kelompok manusia tidak bermaya ini ada di mana-mana, dalam setiap ceruk pekerjaan. Ia bukan hanya guru. Ia merangkumi semua. Kita mungkin salah seorang darinya.

Masalah utama bukanlah kerana kurangnya komitmen - tetapi ada satu hakikat yang perlu kita fahami, kita sedang hidup dalam dunia yang peluang pekerjaan sangat terbatas. Kawah persaingan ekonomi telah menyebabkan kita semua berpusu-pusu untuk berkerja apa sahaja, asalkan diberi wang. Kita semua ada keluarga untuk diberi makan. Setidak-tidaknya, kita perlu memberi makan diri kita sendiri.

Dalam ruang pekerjaan yang sangat terbatas, banyak graduan muda memilih apa sahaja kerja, asalkan ada jaminan untuk mereka terus survival. Ada yang memilih menjadi polis, ada yang memilih menjadi tentera. Ada yang memilih memasuki perkhidmatan awam, atau menjadi buruh swasta.

Hakikatnya, kita semua telah memohon apa sahaja pekerjaan. Kita tidak kisah sama ada ia merupakan kerjaya yang menjadi minat kita atau tidak.


Bayangkan, graduan bidang angkasa lepas misalnya - terpaksa memohon menjadi guru setelah bersusah payah belajar belajar di universiti. Begitu juga bidang lain seperti agrotech - yang sekarang ini kita tidak dengar lagi istilah ini. Ia menjadi istilah yang sudah pupus.

Istilah ini datangnya dari mana? Ia datang dari invisible hand yang mempromosi satu-satu bidang agar kelihatan begitu gah. Tiba-tiba, ia bertukar lagi apabila invisible hand ini bertukar ganti. Ia memomokkan istilah yang lain pula. Mahasiswa yang keluar dari universiti terpinga-pinga apabila diberitahu tidak ada pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang pengajian mereka.

Jadi - dalam keadaan serba keliru dan tidak pasti, manusia memilih apa sahaja pekerjaan. Minat hanyalah dongeng di zaman ini. Yang benar-benar nyata ialah wang membayar hutang dan membeli makan.

Sebab itu, apabila ada yang berpandangan bahawa guru juga patut diberikan tarbiah, sesekali kita juga perlu mendongak sedikit tinggi melihat puncanya yang asal. Puncanya utama ialah pasaran kerja. Kita tidak mampu mengubah semua manusia dalam keadaan mereka itu sebenarnya adalah manusia yang telah dipilih oleh kerjanya, dan bukan mereka yang memilih pekerjaannya.

Kalau kita ada ruang pekerjaan yang luas, pastilah manusia akan memilih kerja yang disukainya. Mereka akan menjadi manusia yang hebat dengan melakukan hal yang disukainya. Tetapi mereka akan menjadi bonzai apabila terpaksa hidup dalam cuaca yang tidak ada banyak pilihan untuknya bernafas.

Ada yang mampu bertahan, ada yang tidak. Ada yang mampu mengawal gelodak hatinya, ada yang karam.

Jadi - jangan terkejut kalau ada polis yang memukul orang awam - walaupun mereka patut menjaga keselamatan orang awam. Mereka menjadi polis bukan kerana ingin menegakkan undang-undang, tetapi menjadi polis kerana itu sahaja peluang yang datang pada waktu itu. Jangan begitu panik kalau ada guru yang tidak mampu mendengar suara bising anak-anak, kerana itu bukan suara yang mahu didengarnya. Ada pensyarah yang menggoda anak muridnya, kerana mereka bukanlah dilahirkan untuk mendidik manusia. Mereka hanya ditakdirkan menjawat pekerjaan yang bukan miliknya. Ada pula merasuah dengan kuasa jawatannya, kerana minatnya ialah wang dan bukannya memberikan perkhidmatan.

Kalaulah kita semua mampu memilih apa yang kita sukai, tentulah dunia ini tidak menjadi padang ujian lagi. Ia menjadi ruang sepi yang sangat membosankan. Kita akan pulang kerja dengan tersenyum sepanjang hari.

Tetapi - ia tidak akan jadi begitu. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun ini.

Wednesday, 28 September 2011

Spoon feeding dalam budaya kita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah hampir 3 minggu aku menjadi warga akademik. Sedikit sebanyak aku belajar banyak hal baru yang jarang aku lihat di dunia swasta.

Bagaimana agaknya pelajar kita?

Aku rasakan, kita masih lagi sukar untuk mencantas 'spoon feeding' dalam budaya pendidikan kita. Aku tidak begitu pasti sebabnya.

Tapi aku jangkakan - inilah yang sedang berlaku dalam tradisi pendidikan kita sejak dari tadika lagi. Pelajar hanya diajar untuk mengikut semua yang ditunjukkan guru. Kita jarang meminta mereka berfikir atau meneroka sesuatu. Kita banyak menerapkan apa yang ada di dalam buku. Menjadikan sesuatu yang bersifat teori itu, benar-benar teori.

Di Barat, pelajar sekolahnya di bawa berjalan meredah kota. Sesekali melawat muzium. Sesekali ke pasar. Sesekali berkelah di pantai. Tujuannya ialah untuk belajar berfikir dan memahami manusia.

Kita lain, guru atau pensyarah adalah manusia yang sangat keramat. Walaupun guru atau pensyarah tidak menganggap mereka begitu, tetapi itulah yang sedang dibenihkan dalam budaya 'jarak kuasa' kita. Ada jurang psikologi yang besar di antara mereka yang di atas dengan yang di bawah. Yang bawah tidak berani mengkritik yang di atas, sekalipun ada pandangan yang tidak betul. Yang di atas pula, tidak sedia menerima teguran yang di bawah sekalipun salah.

Dalam keluarga kita pun, ada jarak kuasa di antara abang sulung dan adik bongsu. Ia adalah hal yang disebabkan dalam konteks budaya.

Hasilnya, kita hanya sedia untuk menerima apa sahaja, tetapi tidak mampu menolak -kerana menolak pandangan mereka yang di atas adalah kesalahan psikologi besar. Hasilnya, budaya kita tidak mampu melakukan anjakan pemikiran yang besar.

Bagaimana untuk mengubah semua ini?

Ia sebahagian pekerjaan kita semua. Tentulah ia pekerjaan utama semua akademik yang ahli atau tidak.

Tuesday, 27 September 2011

Ekpedisi Amal DrBen dan FakirFikir

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku dan Dr Ben bercadang untuk memulakan ekspedisi amal kami dengan program di sekolah luar bandar. Tujuan kami untuk membantu anak-anak kita di luar bandar dengan kaedah pembelajaran berkesan. Kami juga merancang untuk memberitahu anak-anak sekolah ini bahawa sains bukan topik yang susah.

Setakat ini, sudah ada satu sekolah di Negeri Sembilan yang akan kami kunjungi.

Mengapa aku ingin membuat kerja-kerja begini. Sebenarnya, sudah banyak kaedah yang diperkenalkan bagi membantu pelajar. Ada yang berjaya, ada yang gagal.

Program yang aku buat ini sebenarnya merupakan idea original aku sendiri. Aku tidak mendapatkan latihan spesifik bagi perkara ini. Tetapi aku ada latihan formal dalam psikologi. Ia bermula apabila aku didedahkan dengan psikologi kognitif di universiti. Ia mengajar kita bagaimana otak menggelintar maklumat. Otak membuka cluster (folder) maklumat yang kita simpan. Sebab itulah, kita akan susah mengingat banyak perkara kalau kita tidak melatih membina cluster di dalam otak.

Bayangkan begini. Kita diminta isteri membeli garam, gula, kicap, taugeh, bawang, belacan, ikan jenahak, kopi Kapal Api, minyak masak, ajinomoto, roti dan beberapa barang lain. Ia terlalu banyak untuk dihafal. Ia terlalu banyak untuk diingat.

Sedangkan, otak kita sebenarnya mampu membuat perkara yang lebih baik dari itu. Yang kita perlu hafal bukanlah barang yang patut dibeli. Yang patut kita buat ialah memberikan cluster kepada barang tadi.

Dalam pelajaran pun, anak-anak kita membuat perkara yang sama. Sebaik sahaja membuka mukasurat pertama, mereka melihat ada lebih 300 patah perkataan. Mereka juga tahu ada 12 bab untuk dibaca. Ini menggerunkan. Bukan untuk mereka sahaja, untuk kita juga. Akhirnya, tidak ada satu pun perkara yang akan dibaca.

Sebab itulah, aku rasa hal ini patut diberitahu. Apatah lagi struktur bahasa Melayu membolehkan kita menghafal dengan lebih mudah. Ia bersifat ayat aktif sahaja.

Program kenal sains pula akan dikendalikan oleh Dr Ben. Itu bidang kepakaran beliau. Beliau yang akan memperjelaskan hal itu. Kalau seorang guitarist pun boleh mendapat PhD dalam bidang sains, apalah sangat untuk lulus periksa di peringkat sekolah. Itu mungkin sebahagian daripada trademark program kami. Kami tidak datang dengan gaya yang formal yang tampak bergaya. Kami datang dengan gaya kami.

Malamnya, kami bercadang untuk berbual santai dengan masyarakat. Kami akan ceritakan apa itu universiti. Apa itu belajar.

Kami juga bercadang untuk bermalam di rumah atau asrama pelajar sahaja. Kami tidak bercadang bermalam di hotel, walaupun kami ada duit. Kami akan cuba memerhati apa yang berlaku dalam rumah pelajar ini. Bagaimana persekitaran hidup mereka. Itu juga sebahagian asas pendidikan mereka.

Sesiapa yang memerlukan program kami, bolehlah menghubungi kami. Jangan bimbang, ia percuma. Tidak ada sebarang niat tersembunyi. Kami hanya sekadar ingin membantu dengan cara kami.

Walaupun usaha kami tidak akan mengubah dunia ini, tetapi kami harap kami ada sesuatu yang telah dicuba untuk membantu mengubah nasib manusia.

Thursday, 22 September 2011

Mereka atau kita yang berubah?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

SEBELUM BACA, KLIK IKLAN INFO DARI BLOG KRENMAUT. ABAIKAN GELARAN DR YANG DITULIS ITU. SEBARKAN MAKLUMAT INI KEPADA SESIAPA YANG MEMERLUKAN. INI ADALAH PROGRAM USAHASAMA KAMI MEMBANTU MASYARAKAT, TIDAK TERIKAT DENGAN MANA-MANA ORGANISASI, DAN TIDAK ADA SEBARANG MOTIF KEUNTUNGAN.


----------------
Dunia yang kita hidup sekarang sebenarnya adalah milik generasi yang terkemudian dari kita. Merekalah yang sedang mengubah aliran pemikiran manusia.

Beberapa hari dulu,
apabila anak aku bertanya mengapa tidak bertanya pandangannya dulu - ia seolah-olah menunjukkan betapa anak-anak zaman ini sudah melupakan tradisinya. Kalau ia bercakap begitu di hadapan bapa yang konservatif - yang hidupnya di kampung, pastilah anak kecil itu akan didenda. Mereka akan berkata bahawa anak itu tidak tahu adab.

Hakikatnya, bukan anak itu yang berubah, tetapi kita sebagai orang dewasa yang tidak berubah. Kita sangka kita hidup di zaman 70-an atau 80-an, mengikut corak yang diajarkan oleh ibubapa kita. Hakikatnya kita hidup di alaf yang lain - tatkala generasi muda ini sedang didedahkan dengan persekitaran yang lain.

Tiga puluh tahun dari sekarang, anak-anak kita ini juga akan berhadapan dengan soalan yang sama apabila mereka mempunyai keluarga sendiri. Mereka akan diajukan dengan persoalan yang lebih kompleks, yang tidak dapat kita bayangkan sekarang.

Di masa silam, ibu bapa kita mengajar kita dengan rotan. Sekarang ini, siapa lagi yang masih menyimpan rotan? Rotan di masa lalu bukan sekadar perlambangan manusia yang salah akan dihukum, tetapi juga simbol kehidupan masyarakat tradisi yang bermain dengan alam. Mereka ke hutan mencari makan - menjual daun palas, buah kelubi dan menahan jerat pelanduk. Mereka tahu kalau ada ular besar atau binatang buas dengan mendengar bunyi burung atau tupai.


Banyak bahan dari hutan ialah simbul mereka. Rotan salah satu darinya. Kulit berduri rotan dikupas. Buahnya yang kecil itu pula dimakan. Jadi rotan adalah kehidupan mereka. Ia simbol mendidik anak-anak. Ia simbol kehidupan.

Sekarang ini - sekalipun anda garang dan menggantungkan rotan di bilik tidur, ia tidak mempunyai apa-apa makna. Anak-anak sekadar melihat rotan sebagai satu benda sahaja. Ia tidak mempunyai makna tersirat perlambangan apa pun. Sebab itu, ia tidak digeruni lagi. Malah, anak-anak kita akan ketawa besar kalau kita mengugut akan memukul mereka dengan rotan. Ini kerana rotan telah menjadi bahan asing yang patut dijadikan hiasan.

Sebab itu, kalau anda melihat pemikiran atau perlakuan yang pelik anak-anak kita, kita patut bertanya mereka yang sudah berubah, atau kita yang tidak berubah?

Tuesday, 20 September 2011

Dunia ini berputar

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa tahun dulu, aku diselia orang lain.

Beberapa hari terakhir ini, tiba-tiba aku mempunyai 5 orang pelajar tahun akhir untuk diselia. Sebenarnya dunia akademik ini adakalanya sedikit meriangkan. Kita berinteraksi dengan anak muda, yang umurnya puluhan tahun lebih muda dari umur aku. Apabila mereka mencadangkan tajuk kajian, ada ketikanya mungkin inilah juga yang difikirkan penyelia aku belasan tahun dulu. Banyak tajuk yang dihasilkan pelajar datangnya dari 'mimpi', dan bukannya dari pembacaan. Seperti juga aku belasan tahun dulu.

Pada usia semuda itu, pengalaman kita masih kurang. Kita teruja dengan sesuatu dengan cuba menyelidikinya. Bagaimana pun, kita tidak pula tahu dari sumber mana kita membacanya. Kita hanya memakai teori serkap jarang. Mereka menciptakan tajuk dulu, kemudiannya berfikir di lingkar tajuk itu. Itu adakalanya menjadikan pemikiran agak tumpul, kerana cuba memaksa diri berfikir dalam kepompong tajuk yang mereka ciptakan.

Tapi, sekurang-kurangnya itu proses pembelajaran. Semua dari kita pernah melaluinya. Setinggi mana pun kita sekarang, kita juga sebenarnya seperti anak-anak muda ini juga puluhan tahun dulu. Kabur, keliru tetapi teruja.

Aku juga mengjar dua subjek - metodologi penyelidikan dan statistik. Metodologi penyelidikan ialah topik kegemaran aku puluhan tahun dulu, dan juga kini. Ia tidak menjadi masalah.

Statistik ialah topik yang selalu mengganggu CGPA aku di universiti dulu. Aku seperti anak-anak muda ini, keliru dan sesekali berasa cuak.

Cuma sejak aku membuat PhD - aku mula sedar susahnya statistik hanyalah permainan minda sahaja. Tidak ada apa yang teruk pun. Dunia sekarang, statistik dijalankan oleh pelbagai software. Tidak perlu tahu angka dan simbol lagi. Lain, kalau belajar statsitik untuk menjadi ahli statistik. Kalau sekadar untuk menjalankan kajian, tahu sedikit sebanyak asas statistik sudah memadai.

Dahulu, kami belajar statsitik di bilik kuliah. Pensyarah menulisnya di white board, kami menyalinnya semula. Habis semester, apa yang aku belajar hanya menyalin kuliah, dan bukan ilmunya.

Realitinya, statistik perlu belajar dengan data, dan bukan tulisan. Bermain dengan data itulah statistik. Dulu, kami diminta mengutip data setelah tahu semua formula. Aku rasa itu jalan yang salah dan panjang. Pelajar patut diminta mengutip data dahulu, kemudian kita ajarkan mereka bagaimana menjalankan analisis. Itu jalan lebih mudah.

Dulu, aku menjadi pelajar yang selalu mencari salah pensyarah. Sekarang, aku berada di hadapan pelajar dan anak muda ini. Mereka juga mungkin sedang berkata sesuatu.

Dunia berputar. Satu hari nanti, mereka pula akan berada di hadapan kelas. Ada orang lain sedang memerhati dan menilai mereka.



Saturday, 17 September 2011

Kalau begitu, belum tentu begini

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kerana sejarah bergantung kepada penilaian masing-masing, maka dikatakan bahawa kerana si A telah melakukan penentangan di zaman penjajah, maka si A harus diangkat sebagai nasionalis. Ini kerana si A melawan penjajah. Ini antara hujah yang berlegar sekarang ini.

Dalam psikologi ada dibincangkan hal seperti ini. Orang mengaitkan dua perkara kerana berdasarkan rasional. Katakan begini. (i) Bunga ia spesis yang wangi. (ii) Bunga tahi ayam termasuk dalam spesis bunga. Maka (iii) bunga tahi ayam juga wangi. Atau 'Melayu ialah bangsa yang peramah'. 'Ahmad ialah seorang Melayu'. Jadi, 'Ahmad seorang yang peramah'.

Sebenarnya, ia hubungan tidak berkaitan. Walaupun bunga bersifat wangi, tetapi bunga tahi ayam tidak. Walaupun Melayu itu peramah, belum tentu Ahmad seorang yang peramah. Dia mungkin seorang yang pendiam.

Sebab itu apabila anda membaca apa-apa sahaja laporan atau berita, anda harus bijak menggunakan akal anda. Anda harus berdiri atas kapasiti anda, dan bukannya mengikut corak pemikiran yang dilagukan oleh pihak lain - sekalipun mereka itu ialah idola anda.

Kalau kita menggunakan hujah setiap yang menentang penjajah ialah nasionalis, maka adakah Chin Peng juga harus dianggap nasionalis? Harus diingat, yang menentang penjajah itu belum tentu kerana bangsa atau negara. Jepun juga menentang penjajah Inggeris, tetapi mereka bukanlah nasionalis kerana mereka ada agenda lain. Komunis juga menentang Inggeris, tetapi belum tentu mereka nasionalis.

Yang duduk diam di atas rumah, yang tidak berbuat apa-apa - tidak pula boleh dianggap sebagai bukan nasionalis. Semuanya bergantung kepada niat yang ada di lubuk hati seseorang.

Kerajaan Siam membenarkan Jepun menggunakan negaranya untuk dijadikan jalan ke Tanah Melayu. Sekali pandang, ia bukan langkah yang bersifat nasionalisme, kerana membenarkan kuasa asing - apatah lagi gerombolan tentera memasuki negara. Bagaimana pun, akhirnya diketahui bahawa langkah itulah yang menyelamatkan Siam dari dijajah.

Malaysia juga kononnya tidak pernah terjajah. Aku tidak mahu mengulasnya. Pembaca lebih bijak dan arif. Anda tidak perlu ada jawatan atau kelulusan yang besar untuk mengulas pandangan ini. Yang perlu anda tahu - sejarah ditentukan oleh sesiapa yang menulisnya.

Yang paling utama - sedikit fikiran yang waras dengan dapat berfikir - kalau begitu, belum tentu begini.

Thursday, 15 September 2011

Aku bukan aku yang dulu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Transisi ini memang memedihkan.

Aku sedang dalam proses untuk percaya bahawa aku bukan lagi aku 4 tahun yang dulu. Aku keluar rumah seawal jam 6.30 pagi. Di Adelaide aku boleh keluar dari rumah ikut suka waktu. Tiada jalanraya yang macet. Malah, aku juga boleh tidak keluar dari rumah.

Aku juga perlu percaya bahawa aku perlu menjadi orang lain. Kerja lamaku sebelum ke Adelaide, aku boleh berseluar jean dan berbaju t. Sekarang - walaupun tidak ada polisi yang menyatakan tidak boleh berseluar jean dan berbaju t, tetapi aku belum lagi melihat orang lain melakukannya. Jadi, aku terpaksa akur - atau dalam istilah psikologi - confirmity. Kita perlu ikut apa yang majoriti lakukan.

Walaupun jam kerjaku anjal - boleh datang dan balik tidak ikut waktu seperti kakitangan awam yang lain - tetapi aku memang terbiasa tidak pulang awal. Aku memang ada banyak kerja. Aku tidak biasa pulang sebelum jam 5 petang. Itu rutin hidupku dari dulu lagi.

Tapi sekarang, kalau aku pulang selepas jam 5 - aku tidak mampu lagi untuk menilai bahawa gadis penjaga tol itu sebagai manusia yang indah walaupun dia tersenyum lebar dan bercakap sopan. Aku lelah melewati jalan yang sesak - melihat kerdipan lampu signal kereta, sesekali terkejut dengan warna merah lampu brek - kereta celah mencelah. Ia merimaskan. Dan kemudiannya, tiba-tiba aku diminta membayar seringgit dua - sedangkan aku tadinya sedang melewati jalan yang sesak.

Hey. Ini hal yang sungguh janggal. Aku melewati jalan yang macet, tapi aku diminta membayar pula. Deretan tol di setiap lorong di ibu kota ini - seperti pukat tunda pula. Ia menangkap semua. Tidak kira siapa yang melaluinya. Tapi - jam petang yang sesak itu - aku selalu percaya bahawa hanya anak ikan bilis yang susah - yang ada beberapa keping wang kertas merah di dalam poket - yang melaluinya. Ikan jerung akan menggunakan jalan udara. Ia lebih cepat.

Entah berapa liter minyak yang habis dalam sesak trafik kota ini. Keretaku tidak bergerak, tetapi petrol kian kering. Kemudiannya, aku perlu mengisi petrol lagi. Ia tidak murah. Ia mahal untuk orang yang hanya ada beberapa keping wang kertas di dalam poket. Berapa juta pengguna jalanraya sehari. Ah, sungguh beruntung saudagar minyak.

Sampai di rumah - jam sudah malam. Aku tidak ada waktu untuk berfikir lagi. Kemudiannya aku membuka televisyen. Berita apakah ini? Janggal dan pelik. Seperti aku sedang menonton berita gosip pula. Ia berita yang menyesakkan telinga. Tidak ada berita yang yang membuka ruang untuk aku berfikir. Tolonglah.

Tapi - aku perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa aku kini sedang menjadi aku yang lain. Aku bukan lagi aku yang dulu.

Monday, 12 September 2011

Kita semua terpaksa

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari lalu, aku menghabiskan masa membaca kisah hidup A Samad Said. Walaupun beliau mempunyai gelar 'Datuk", beliau lebih senang hanya disapa Pak. Kata Pak Samad, beza antara penulis dan seniman itu mudah sahaja. Penulis menulis apa yang disukai orang, manakala seniman menulis sesuatu sekalipun ia tidak disukai. Dalam hal ini, aku juga cuba menulis dengan cara kedua.

Dua hari lalu - aku mengorbankan imej kusutku dengan memangkas rambut di sebuah kedai Cina di Sungai Kerang. Aku mencari kembali semua seluar dan baju kemeja yang sudah 4 tahun aku sembunyikan di dalam almari di rumah isteriku. Aku sangka dengan sedikit kemas, ia akan menghilangkan imej kusutku. Nyatanya tidak. Ia mengusutkan daya fikirku. Ia mengusutkan gelojak batinku.

Hari ini, aku melakukan sesuatu di luar sukaku. Aku ada talipinggang baru. Aku berseluar slack. Cuma aku mampu bertahan sedikit kerana aku masih mampu memakai baju berlibat hingga ke siku - dan tidak diseterika pula.

Hari ini aku juga kembali ke ruang kerja. Aku seolah-olahnya menjadi lulusan universiti yang baru pertama kali mendapat kerja. Aku mula mengajar. Bagus juga. Sudah lama aku tidak berbual dengan anak muda. Aku tanya apa cita-cita mereka. Pada akhirnya, aku memberitahu - apa pun pada akhirnya yang terlebih utama bukanlah jenis kerja yang kita idamkan. Yang utama ialah ada kerja dan ada wang. Itu sahaja. Cita-cita hanyalah angan-angan.

Aku diberikan satu bilik dan sebuah komputer. Tetapi ternyata dunia kian sibuk. Ada proposal PhD untuk aku teliti. Sebenarnya mudah sahaja. Ia bukan bidang kepakaran aku. Jadi, aku boleh lupakan.

Besok aku berkerja lagi. Aku terpaksa mewangikan badan dan menyapu minyak rambut. Aku terpaksa memakai pakaian kemas. Aku terpaksa menyedapkan mata orang.


Nizam, kawanku di Adelaide akan ketawa besar. Melihat isteriku membelikan tali leher untukku, sudah cukup dia mengetawakan aku. Tapi, aku belum memakainya lagi.

Aku terpaksa. Semuanya kerana wang.

Seperti kamu juga. Kamu terpaksa kerana wang.

Saturday, 10 September 2011

Barang basi pun kita akan membelinya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ada ura-ura syarikat telekomunikasi ingin menaikkan caj perkhidmatan pra bayar sebanyak 6 peratus. Sebulan dua yang lalu, syarikat televisyen berbayar juga cuba membuat perkara yang sama, yakni menaikkan caj perkhidmatan mereka.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang sudah naik di Malaysia ini. Sampai ke satu tahap, kita tidak ambil peduli lagi.

Kita mungkin tidak begitu kecewa kalau kenaikan ini mengambil kira kenaikan mutu perkhidmatan.

Di rumah aku di Changlun, seorang teman aku merungut kerana siaran televisyen berbayarnya tidak dapat menerima saluran TV1. Dia cuba membuat aduan. Dia mengadukan masalahnya. Seorang kakitangan menjawab bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kerja mereka hanya mengutip bil.

Setelah pergi ke satu pejabat, dia diminta pergi ke pejabat lain di Kangar. Sampai di sana, dia diminta pula untuk mengadukan masalahnya dengan menelefon bahagian khidmat pelanggan. Dia menjadi seperti bola, di tolak ke sana sini. Akhirnya, dia membuat keputusan memotong sahaja perkhidmatan itu. Tetapi, dia diminta untuk membayar lagi bagi pemotongan.

Rungutan juga selalu kedengaran apabila siaran tidak diterima apabila hari hujan atau mendung. Tetapi pengguna tetap juga membayar harga yang sama, sedangkan pada hari atau bilangan jam yang siaran tidak dapat diterima, ia perlu diberikan rebet.

Di kampung aku di Changlun, tidak semua perkhidmatan broadband Internet dapat diterima. Hanya satu sahaja 'line' yang boleh mengakses Internet. Itupun, dengan syarat kita perlu mencari beberapa lokasi tertentu di luar rumah, dan bukannya duduk di dalam rumah. Ini hal yang janggal dan pelik.

Sepatutnya, hal inilah yang perlu ditingkatkan dulu. Bukannya hanya mencari peluang dengan menaikkan caj dan harga.

Kelajuan internet juga kita sebenarnya tidak selaju mana. Ia begitu lembap.

Di Australia, perkhidmatan telekomunikasinya secara relatifnya murah. Pengguna juga ada banyak pilihan kerana terdapat begitu banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan. Dengan $10, anda boleh menelefon ke Malaysia selama 200 minit. Sekiranya anda melakukan topup sebanyak $30, anda akan menerima kredit sebanyak $150. Ia cukup untuk anda bercakap selama sebulan.

Bagi sesetengah syarikat telekomukasi, anda boleh membuat panggilan percuma ke talian telefon yang lain. Sesetengahnya pula menawarkan sms atau panggilan percuma kepada talian yang sama. Ia bergantung kepada pakej yang anda langgan.

Begitulah cara mereka bersaing. Kerana ada banyak syarikat, kita boleh memilih yang terbaik dan sesuai dengan corak penggunaan kita.

Dengan melakukan topup sebanyak $10, anda akan mendapat 1.8 GB akses internet. Ia lebih dari cukup kalau sekadar mengakses Internet biasa. Anda juga tidak perlu menggunakan komputer, cukup diakses internet melalui telefon bimbit sahaja - kerana ia tetap laju.

Bagaimana pun, kalau kita menggunakan perbandingan ini, nanti akan ada yang berhujah bahawa $10 itu ialah RM30. Jadi ia masih mahal. Sebenarnya, ini hujah yang selalu digunakan bagi menunjukkan negara kita masih memberikan harga yang murah.

Sebenarnya tidak. Gaji yang diterima oleh pekerja biasa - seperti tukang cuci dan pekerja kilang lebih kurang $550-650 seminggu. Jadi, nilai $10 itu sebenarnya masih kecil. Pekerja biasa kita mungkin hanya bergaji RM550-650 sebulan. Jadi nilai RM 10 itu sudah boleh dikira mahal.

Sebab itulah telefon Blackberry tidak terkenal pun di Australia sebab orang boleh mengakses Internet dari apa sahaja jenis telefon bimbit.

Tetapi, apa yang pengguna biasa boleh lakukan? Kita tidak boleh berbuat apa kalau dinaikkan apa caj sekalipun. Kita tidak ada banyak pilihan.

Pemerintah perlu melakukan sesuatu agar monopoli ini dapat dipecahkan.

Mereka yang terlibat juga perlu prihatin bagi menjaga nasib pengguna.

Seorang ahli politik apabila diajukan soalan berkaitan kenaikan caj televisyen berbayar, berkata bahawa kalau tidak ada wang, janganlah dilanggan. Ini satu komen yang sangat mengecewakan. Mereka sepatutnya memberi reaksi yang memihak pengguna, kerana mereka kita pilih untuk menjaga kita.

Kalau tidak, satu hari nanti - barang basi pun terpaksa kita beli kerana tidak ada banyak pilihan lagi. Sekarang ini pun, kita selalu menonton rancangan yang diulang-ulang.

Apa boleh kita buat?

Thursday, 8 September 2011

Sejarah bergantung siapa yang menulisnya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini, di Malaysia - setiap hari didebatkan siapakah Mat Indera, sama ada dia seorang pejuang atau pengkhianat. Nama Mat Indera ini tidaklah kita mendengarnya, sehingga hanya beberapa hari ini sahaja.

Kita tidak mengulas siapa Mat Indera. Itu biar ahli sejarah yang menulis dan menceritakannya. Sayangnya, dalam budaya kita - tidak siapa yang mahu menulis. Jadi, banyak bahan bacaan kita hanya bergantung kepada sumber yang ditulis orang luar.

Sebenarnya, sesuatu peristiwa itu ialah fakta. Kemalangan bas di tengah lebuhraya adalah fakta. Bagaimana pun, pentafsiran sejarah bukanlah satu fakta. Ia bergantung kepada sudut penglihatan seseorang. Sebab berlaku kemalangan misalnya akan diulas dari pelbagai sudut. Polis mungkin akan mengulasnya dari sudut pemanduan yang tidak mengikut peraturan. Penumpang akan mengulasnya berdasarkan bas yang terhoyong hayang. Pemandu lain di lebuhraya akan menceritakan bas ini telah memotong mereka satu jam yang lalu. Pemandu akan menceritakan yang sterengnya tidak dapat dikawal. Mekanik akan mengulas mengenai enjin yang sudah lama tidak diselia.

Inilah yang dikatakan penafsiran sejarah. Sesuatu yang fakta akan diulas dan dinilai dari pelbagai sudut pandangan. Ini bukanlah bermakna peristiwa yang terjadi itu adalah hal yang palsu. Tidak. Kebenaran bergantung kepada siapa yang melihat apa, dan apa yang dilihat siapa.

Hal ini sudah banyak ditulis oleh E.H Carr, tokoh sejarawan yang banyak menulis hal falsafah dan sudut penafsiran sejarah. Kalau anda ingin mendebatkan hal sejarah, anda patut membaca bukunya What is History?.

Dalam kes Mat Indera ini, kalau kita membaca laporan akhbar dan internet, terdapat banyak sudut pandangan yang berbeza. Ahli keluarga Mat Indera menerangkan watak Mat Indera berbeza dengan apa yang diceritakan oleh ahli keluarga mangsa. Mangsa pula menceritakan hal yang berbeza dengan apa yang diceritakan keluarga Mat Indera.

Jadi siapa Mat Indera?

Kita jangan terperangkap dengan apa yang kita baca, dan apa yang kita dengar dari sebelah kiri atau kanan. Kita bacalah buku E.H Carr dulu bagaimana sejarah sepatutnya diintepretasikan. Sekurang-kurangnya kita akan menjadi manusia yang lebih matang dan adil dalam memberikan penilaian terhadap apa sahaja kejadian yang sedang berlaku dan telah berlaku.

Sudut pandangan ini juga akan berubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Ia bergantung kepada perubahan pemikiran manusia yang menyebabkan penafsiran terhadap sesuatu juga berubah. Gaddafi dan Mubarak telah dianggap wira pada masa yang lalu, tetapi kini telah menjadi petualang bangsa. Polemik mengenai siapa Hang Tuah dan Hang Jebat juga berubah dengan berubahnya struktur pemikiran manusia.

Kita harus menjadi manusia yang adil menilai sejarah. Dan keadilan itu hanya boleh berlaku kalau kita membaca dan ada ilmu asas mengenainya.

Wednesday, 7 September 2011

Bapa borek, anak rintik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, aku berjalan-jalan di sekitar kampung. Pohon ketum tumbuh merata-rata. Warga dewasa dan anak mudanya juga sudah menjadikan air ketum seperti wine baru orang Melayu.

Apa parahnya air ketum ini?

Sebenarnya tidaklah ia membawa kematian kalau diminum sebaldi sekalipun. Tidaklah juga ia seperti heroin yang bakal menjadikan manusia sanggup menyamun dan mencuri. Tidak juga akan menjadikan manusia khayal seperti menagih ice yang menyebabkan orang terjatuh longkang. Ia tidak sehebat itu. Ia biasa sahaja. Ia bukan dadah dalam erti kata sebenarnya.

Bagaimana pun, ada kesan sosial yang jarang dilihat orang. Ada musibah yang lebih besar yang sedang menanti.

Bayangkan begini. Bapanya menjadi penagih tegar air ketum. Diminum pagi dan petang. Duduk berkumpul dan menghabiskan masa. Seluruh masyarakat sudah tahu siapa yang menjadi peminum tegar. Semuanya bukan orang jahat. Mereka orang kampung berhati mulia. Sayangnya, tabiat menagih air ketum ini sedang membentuk tabiat baru yang sedang diperhatikan anak-anak.

Satu hari - ada anak lelaki mereka menjadi penagih ganja atau ice. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana bapanya mampu mengur anak lelakinya?

'Ali, ayah dengar awak dah mula berjinak-jinak dengan ganja ni. Betul ke? Soal ayah.

'Kita ini sama je ayah. Saya menagih ganja, ayah menagih ketum. Tak ada beza ayah. Yang berbeza ialah bahannya saja'. Jawab anak.

Sebenarnya itulah kesan sosial yang lebih bahaya. Ia proses jangka panjang yang berlaku tanpa kita sedar.

Dalam hidup kita ini, 'bapa borek anak rintik' inilah yang sedang memerangkap masyarakat Melayu. Apabila ibu bapa tidak bersolat, mereka tidak boleh menegur anaknya yang tidak bersolat. Apabila ada ibu bapa yang berlaga ayam, mereka tidak boleh menegur anaknya yang berjudi. Kuasa menegur itu hilang apabila kita sendiri terlibat sama dengan hal yang yang kita rasa tidak patut.


Tidak pastilah, apakah orang Melayu ini hanya berfikir untuk tempoh yang pendek sahaja. Tidak seperti bangsa Cina. Mereka sudah merangka masa depan generasi mereka sejak dilahirkan lagi. Ada yang dilatih menjadi tukang, ada yang dirangka menjadi pakar. Ada pula yang dilatih menjadi peniaga.

Kita pula - kalau boleh ingin menjadikan anak kita manusia berjaya. Tetapi kita pula jarang melihat ke dalam diri kita sendiri. Kita jarang melihat kegagalan kecil kita yang sedang membina kecelakaan yang lebih besar untuk generasi depan kita.

Sayang, tidak ada seorang pun peminum air ketum yang akan membaca blog ini.

Memurnikan minda masyarakat

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Antara yang paling susah dalam hidup ialah mengubah rutin hidup.

Aku kini di Changlun. Ia pekan kecil yang biasa sahaja. Lima belas tahun dulu, tiada internet di sini. Sekarang ada beberapa buah cyber cafe. Ada beberapa buah kedai mamak yang bernyala 24 jam. Ada juga kedai serbaguna 24 jam. Ada sebuah KFC yang baru sahaja dibuka.

Ia sepertinya sedang mengalami krisis identiti.

Masa seperti ini, jam 11.16 malam - masih ramai warganya sedang minum kopi dan teh tarik. Cyber cafenya masih jenuh dengan budak sekolah bawah umur - sepertinya masih bersekolah rendah yang sedang bermain game. Siapa ibu bapa mereka? Tidakkah ibu bapa mereka mencari mereka - atau ibu bapanya sedang kalut mencari wang pada jam seperti ini?

Di Adelaide - jam 11 malam - aku sudah lama bermimpi. Anak muda yang dikatakan kafir juga sudah lama lena. Yang dikatakan negeri pengeluar wain terbesar juga tidak ada lagi yang merayau dan berlegar di sana sini. Tetapi di negara yang setiap hari orang sedang sibuk dengan pemurnian agama - yang sedang sibuk dengan mencari siapa yang paling baik dalam mengikuti ajaran agama - mencari tajdid baru - anak-anak sekolahnya pula sedang sibuk bermain games.

Sepatutnya, anak-anak sekolah inilah yang dimurnikan cara hidupnya. Anak-anak yang leka inilah yang patut dikejutkan dari mimpi kelamnya. Bukan menambah kusut lagi perdebatan agama yang tidak kunjung padam. Bukan mencari siapa yang terlebih sesat di antara kita. Anak-anak dan masyarakat yang sedang 'sesat' inilah yang patut dimurnikan.

Changlun satu waktu dulu hanyalah pekan kecil yang tidak ada apa-apa. Sekarang ini, ia bukan lagi Changlun yang dulu. Ia kota para penagih ice, heroin, ganja dan ketum. Ia kota anak-anak muda belasan tahun merempit. Beberapa hari dulu, ada seorang pelajar sekolah menengah mati terlanggar kereta ketika sedang menunjukkan aksinya.

Krisis identiti ini sedang lahir di mana-mana. Tatkala Universiti Utara Malaysia menjadi destinasi para ilmuan berbincang teori dan ilmu pengetahuan baru, nampaknya ia tidak mengubah apa-apa terhadap minda warga masyarakatnya. Bahkan, ia menyebabkan Changlun berubah menjadi kota yang asing untuk warganya sendiri. Ia membangun dengan cepat - hingga ada di kalangan kita tidak sempat mempersiapkan diri.

Kasihan anak-anak muda ini.

Mereka terperangkap dalam pembangunan fizikal yang pantas, tetapi sayangnya ia tidak sama-sama membangun minda mereka.

Sebab itulah - para pembuat polisi perlu bertanya sedikit nasihat para pemikir sosial dalam merangka pembangunan fizikal. Kita tidaklah perlulah sangat begitu cepat untuk menubuhkan bandar baru, menyediakan lebuhraya atau membangunkan rumah mewah - kalau masyarakatnya tidak pula dibekalkan dengan sedikit bekal untuk hidup dalam pentas baru. Minda masyarakat setempat perlu dikaji terlebih dulu.

Sayangnya, ia kini sedang menjadi masalah untuk kita semua. Sebab itulah, kalau anda melihat kewujudan rumah pangsa yang menempatkan warga setinggan yang dipindahkan - walaupun rekabentuk rumah sangat cantik, tetapi ia sangat kotor. Kain baju digantung di sana sini. Sampah dibuang sesuka hati. Anak-anak masih kecamuk.

Sebabnya mudah sahaja - kita hanya memajukan fizikal kota, dan bukan 'mengotakan' minda masyarakat. Kita hanya berharap untung wang ringgit, tetapi mengabaikan untung nilai masyarakat. Pembangunan Kampung Baru juga mungkin berhadapan dengan masalah yang sama kalau profil sosial warganya tidak dikaji terlebih dulu.

Krisis identiti ini sedang berlaku di mana-mana.

Changlun juga tidak terkesamping. Ia sedang berdepan dengan kekusutan dan krisis identiti yang mungkin lebih parah dari kota New York.

Tuesday, 6 September 2011

Changlun - kini aku pulang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, aku sampai di KLIA. Pagi ini, aku di Changlun. Aku menemui semula apa yang hilang beberapa tahun ini. Tadi, turun dari kapal terbang Air Asia di Alor Setar - aku singgah di pekan Jitra bersama teman lama Khalid - yang banyak memberikan aku hutang sepanjang aku belajar ini. Pesanan pertama tentulah sebungkus nasi lemak dan sebiji roti canai banjir. Sepanjang 4 tahun yang lalu, inilah perkara indah yang telah hilang.

Di KL LCC Terminal pagi tadi - jam 5 manusia sudah bersesak di lapangan terbang. Seperti biasa, setiap kali berjalan - sama ada orang akan memerhatikan kepelikan kita, atau kita yang sedang memerhatikan kepelikan orang. Ia hal yang jarang ada di Adelaide. Di sana, kita tidak peduli dengan orang lain. Orang juga tidak peduli akan hal kita. Tidak ada sesuatu yang dianggap pelik.

Semalam, beberapa orang teman menghantar aku pulang. Terima kasih. Maaf, kerana aku tidak menitiskan air mata. Sebenarnya, aku tidak akan menitiskan air mata untuk hal seperti ini. Aku sudah menitiskan banyak air mata ketika ayah aku pulang menemui Tuhan tahun 1980, dan kemudiannya aku sekali berasa sayu kerana tidak sempat berada di sisi abang aku di saat terakhir hayatnya.

Antara yang datang itu - termasuklah blogger kontroversi
SwingingBowl yang selama 4 tahun ini menjadi antara rakan yang dibawa berbincang apabila kami ada hal untuk ditulis. Cara beliau menulis mungkin agak keras, dan sesekali tidak sesuai dibaca remaja bawah umur. Tetapi, hakikatnya itu hanyalah perwatakan virtualnya sahaja. Di luarnya, beliau seperti orang lain juga. Caranya menulis juga mungkin tidak akan seperti aku. Tetapi, aku pula berbeza di dunia luar.

Sebab itulah, jangan terpesona dengan apa yang anda baca.

Adelaide kini sudah menjadi sebahagian dari sejarah cerita aku. Aku akan cuba tuliskan hal yang lain pula.

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang Kepala Batas ke Jitra, kita akan melihat banyak sawah bendang sudah bertukar rupa. Ia menjadi kawasan perumahan baru. Ada besi dan tiang dipacak di sana sini. Ada jentera berat sedang mengambus.

Kita selalu melihatnya. Kita sentiasa memerhatikannya.

Yang mungkin jarang kita bertanya - tanah siapakah itu. Dan siapa pula pemilik baru tanah itu?

Malaysia - aku kini di sini. Aku akan menulis sesuatu untuk tanahairku.

Monday, 5 September 2011

Selamat berjumpa lagi Adelaide

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi jam 7.22. Ini mungkin pagi terakhir aku menulis dari Adelaide, kecualilah aku datang kembali ke sini pada ruang yang lain. Aku selalu berharap aku akan datang kembali ke sini.

Isteri aku sudah siap mengemaskan barang-barang untuk dibawa pulang. Termasuk sekotak bual epal untuk dibahagikan kepada keluarga di Malaysia. Tidak ada bezanya buah epal di Adelaide dengan epal yang dijual di pasar malam Changlun. Cuma, baik sedikit buah epal ini mungkin datang dari kebun di Adelaide Hill.

Aku akan datang lagi ke Adelaide?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Penyelia aku sudah menulis satu proposal untuk dihantar ke universiti aku di Malaysia. Kalau permohonannya diluluskan, aku mungkin akan kembali lagi. Kalau tidak, aku akan berada di Kuala Lumpur beberapa tahun lagi. Atau akan mati di situ.

Orang selalu mengingatkan aku akan 'sepak terajang' permainan politik di universiti. Sebenarnya, secara jujur aku tidak begitu peduli sangat hal itu. Aku tidak begitu menganggap tempat kerja sebagai sangat nolstalgik dalam hidup. Kalau aku tidak suka, aku akan berhenti dan mencari kerja lain. Tempat kerja bukanlah ibu bapa kita yang tidak ada galang ganti. Kalau aku mampu berkerja untuk seberapa lama, aku akan teruskan. Jadi, kalau ada orang yang ingin bermain politik pun - biarkan mereka bermain.

Jadi, begitulah prinsip hidup aku. Umur aku sudah menghampiri 40 tahun. Aku tidak perlu ambil pusing dengan 'senioriti' di tempat kerja. Paling lama aku berkerja pun cuma 15 tahun, sebelum aku berpencen. Gaji yang bakal aku dapatkan pun mungkin tidak akan lebih besar dengan gaji aku dahulu. Jadi, tidak perlulah aku ambil hirau sangat hal ini.

Apa perancangan depan aku selepas ini? Sebenarnya, aku ada beberapa hal lain yang lebih utama. Misi aku ialah untuk memberikan khidmat untuk anak-anak sekolah luar bandar. Aku harap dapat menghimpunkan 'non government individual' bagi mengadakan beberapa program di luar bandar. Tunggu pengumuman selanjutnya. Buat masa ini, aku dan Krenmaut akan mencuba sesuatu. Dia di Amerika pula. Harapnya dia tidak bermastautin dan berkahwin lagi satu di sana.

Untuk pelajar universiti yang berminat dengan hal statistik dan menulis, aku juga sedang merancang sesuatu. Jangan bimbang - aku akan menawarkan khidmat secara percuma. Ia sebahagian dari hobi aku. Sesiapa yang ingin bertanya soalan berkaitan hal ini, email aku.

Kepada semua teman di Adelaide, terima kasih semua. Anda telah menjadi sebahagian dari keluarga untuk tempoh 4 tahun ini. Maaf - kalau ada yang tersalah dan tersilap. Juga kepada anak-anak muda yang mengenali aku. Moga anda akan menjadi pelajar yang baik. Juga berhati-hatilah. Moga-moga juga anda tidak begitu teruja dengan banyak benda yang baru - baik dalam hal keduniaan, atau hal beragama.

Ingat, sangat mudah mencari salah orang, dari mencari dosa sendiri. Jadi berwaspadalah dengan banyak hal.


Moga-moga kita berjumpa lagi.

Selamat berjumpa lagi warga Adelaide!

Sunday, 4 September 2011

Selamat tinggal Adelaide - II

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat tinggal Adelaide!

Sepanjang usia hidupku - aku banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Ia bukanlah kota kesukaanku. Aku lebih sukakan pekan Changlun yang kecil. Ia tiada apa-apa, tetapi membahagiakan. Di sana semua sanak saudara dan teman akrabku tinggal. Ada yang sudah mati, ada yang masih hidup. Changlun mengajar aku makna kehidupan yang susah semasa kecil.

Kuala Lumpur pula mengenalkan aku dengan alam dewasa. Ia membuka pintu untuk aku mengenal makna kehidupan yang keras. Manusia hipokrit dan penuh tipudaya. Kuala Lumpur juga membuka aku pintu untuk mengenal buku akademik dan hal ilmu.

Sebahagian dari kecil masa hidupku dihabiskan di Jakarta. Ia kota yang lebih keras. Ia kota pertembungan manusia kaya dan papa kedana. Ia kota pertembungan antara hanyir lendir dan zikir. Berbezakah manusia alim yang hidupnya bercakap soal kebaikan dengan kuli pengutip najis yang ingin membersihkan kota? Berbezakah nelayan miskin yang sampan kecil di Muara Angke telah menjadi rumahnya, digigit nyamuk dan agas - saban hari menghidu bau busuk sampah sarap yang hanyut - dengan seorang alim yang tidur di dalam masjid sepanjang malam tanpa sebarang gangguan?

Kita tidak tahu. Tuhan yang memberi pahala hidup manusia. Kita hanya menjalani tugas sesuai dengan apa yang telah disuratkan.

11 tahun dulu - aku ke Dhaka - ia kota yang lebih keras dengan manusia papa yang dilayan lebih buruk dari anjing kurap. Satu hari - terdapat sebiji donut yang tidak sempat kami makan. Ia menjadi basi keesokan harinya. Majikan aku mahu membuangnya sahaja ke dalam tong sampah. Datang seorang kaya Bangladesh - dia berkata jangan dibuang. Katanya, pemandunya masih layak memakannya.

Menafsir apakah yang dimaksudkan 'makanan' juga berbeza dalam konteks berbeza. Lihatlah betapa kita ini hidup dalam dunia yang sama, tetapi kita memberi erti yang berbeza bagi sesuatu. Bergantung kepada siapa kita, dan di mana kita.

Sepanjang 4 tahun ini - aku berkelana di Adelaide. Ia kota kecil yang aman. Ia bukan Kuala Lumpur. Ia juga bukan Jakarta, apatah kota Dhaka. Di sini manusia hidup tanpa darjat. Yang sedang menunggang basikal di tepi jalan itu mungkin seorang jutawan. Yang menaiki kereta buruk berasap hitam juga mungkin profesor ternama. Yang menaiki kereta Hyundai Excell buruk berwarna perang yang asapnya berkepul di waktu pagi - ada lekuk kemek di pintu kereta tentulah aku yang bukan sesiapa.

Di sini tiada siapa pun pedulikan anda.

Adelaide juga bandar pertemuan warga Melayu yang berkelana atas banyak sebab. Ada yang datang kerana kecewa. Ada yang singgah kerana menuntut ilmu. Ada yang lari dari sistem kenegaraan yang mereka tafsirkan sebagai tidak memberi ruang hidup yang sempurna. Ada yang datang entah tanpa apa sebab.

Jangan ingat kami bersatu. Kami bertemu, tetapi belum tentu punyai citra mimpi yang sama. Apa yang menjadikan kita berbeza. Jawapannya mudah sahaja. Kita mempunyai makna kita sendiri bagi setiap perkara. Seperti supir di Dhaka yang melihat donut basi sebagai makanan. Atau seorang alim yang mengimpikan bidadari yang jelita dengan bertasbih sepanjang malam, dan seorang nelayan hamis yang mengharapkan sejuta pahala dengan menongkah ombak keras mencari makanan untuk manusia. Kita berdiri atas prinsip dan tafsiran kita sendiri.

Adelaide bandar yang nyaman. Anda boleh menjadi apa sahaja di sini kalau anda mahu. Anda boleh menjadi warga Barat berambut Blonde, atau lelaki gagah bertatoo di kaki. Kalau mahu meneguk secawan anggur pun tidak ada siapa ambil peduli. Di sini juga anda boleh memegang apa sahaja mazhab, tanpa mazhab dan tafsiran agama. Siapa boleh berkata apa kepada anda? Tidak.

Adelaide bandar yang cantik. Ia memberikan anda warna dan wangi bunga. Ia menyejukkan. Kadang-kadang sangat panas. Berjalan dan hidupilah ia selagi anda masih ada waktu. Kalau anda masih bernyawa besok pagi - anda bersukurlah kepada Tuhan kerana masih memberikan anda secebis nafas.

Selamat berjumpa lagi Adelaide. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi sahabat.



Saturday, 3 September 2011

Selamat tinggal Adelaide - I

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semalam, aku dijemput untuk menyampaikan pembentangan dalam siri seminar yang dianjurkan oleh fakulti. Ia merupakan acara bulanan yang diadakan setiap Jumaat pertama. Ia juga merupakan siri seminar yang biasanya disampaikan oleh ahli akademik sama ada dari dalam atau luar negara. Aku diberi masa 30 minit untuk membentangkan kajian aku - "Job stress story: Malaysia experience'.

Seperti biasa, aku jarang mempunyai perasaan gugup atau bimbang. Ia sebahagian dari kelebihan yang Tuhan berikan kepada aku.

Aku mulakan pembentangan dengan kata-kata 'My first language is Thai, Malay is my second language, and English is only my third language. So, if you can understand Avatar language, you can understand my language too". Semua hadirin menepuk tangan.

Beberapa soalan ditanya oleh peserta. Ada yang bertanya 'what is your next research?' Ada pula yang bertanya 'Do you have intention to develop your own scale?'.

Ini bagusnya membentang sesuatu di hadapan orang Barat. Mereka akan menghargai anda. Dalam budaya Asia, kita cencerung mencari kelemahan. Tujuannya ialah menunjukkan kita lebih baik.

Habis pembentangan, beberapa orang datang berjumpa aku. Bertanya itu dan ini. Terasa seperti aku ini seorang sarjana yang besar pula.

Semalam juga ialah hari terakhir aku di kampus. Agak sedih juga. Beberapa orang kenalan aku - termasuk guru bahasa Inggeris aku datang untuk menonton pembentangan aku. Dia memberikan aku kad dan sebatang pen sebagai tanda persahabatan. Hampir semua kakitangan di Centre for Applied Psychological Research juga hadir - kerana katanya ini mungkin kali terakhir mereka melihat aku. Tidak pasti lagi sama ada aku akan kembali.

Sebenarnya aku ada banyak lagi kawan baik yang lain. Seorang daripadanya juga guru bahasa Inggeris aku. Jacquie Moller - wanita yang mengajar aku Arts in English. Dia jugalah yang mengedit kata penghargaan dalam tesis aku.

Semalam, sebelum aku pulang - penyelia aku memberikan buku 'Mplus'. You must to keep this. Katanya. Ini buku yang paling mahal. Mahal, kerana ini ialah buku program statistik Mplus yang canggih itu. Mplus ialah program yang lebih complicated - tetapi mampu menganalisis banyak hal yang tidak dapat dilakukan oleh AMOS dan HLM. Lebih mahal, dalam buku ini terdapat no siri untuk menginstall software Mplus. Paling mahal - dalam buku ini penyelia aku menulis sesuatu.

Isnin ini aku akan pulang.

Selamat tinggal Adelaide. Aku ada banyak tugas yang menanti di Malaysia.

Thursday, 1 September 2011

Aku terlupa anak aku bersekolah di Barat

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tinggal 4 hari sahaja lagi aku di bumi Adelaide. Isteri dan anak aku akan pulang ke Malaysia, lambat 10 hari daripada aku.

Beberapa hari lalu, aku memberitahu anak aku yang hari Jumaat esok ialah hari terakhir sekolahnya. Ini kerana, sebaik sahaja aku balik ke Malaysia, tentulah susah untuk isteri aku menghantar anak aku ke sekolah. Lagi pula, sekarang ini kami sudah berpindah rumah dan menumpang di rumah seorang kawan (terima kasih).

Aku memberitahu anak aku ketika dalam perjalanan ke sekolah. Aku memandu kereta, dan anak aku duduk di belakang. Hanya kami berdua.

Perbualannya lebih kurang begini.

Aku: "Man, hari Jumaat ni ialah last day Man school tau. Ayah dah nak balik Malaysia. Nanti Umi tak sempat nak hantar Man ke sekolah lagi".

Tiba-tiba, jawapannya mengejutkan aku dari mimpi.

"Awah (ayah), you never asked my opinion pun". (Nota: Anak aku pelat untuk menyebut ayah ketika kecil. Jadi dia menyebutnya awah. Sampai sekarang pun, walaupun dia boleh menyebut ayah, dengan aku dia hanya memanggil awah).

Aku sebenarnya tak sangka yang anak berusia 6 tahun itu sudah boleh menjawab begitu. Dalam budaya kita, kita menentukan segalanya untuk anak kita. Malah, ketika anak sudah berusia dewasa dan mahu berkahwin pun, kita masih lagi memberikan kata putus.

Tetapi, ia berbeza dalam budaya Barat. Anak-anak mempunyai pandangannya sendiri. Anak-anak diasuh di sekolah untuk berani menyuarakan pandangan dan membuat keputusan.

Apa yang dipersoalkan anak aku ialah sesuatu yang benar. Kita patut berbincang dengan mereka dahulu. Itulah caranya mereka dididik. Kita tidak boleh berkata apa yang kita lakukan semuanya betul. Mereka juga patut ada hak dalam menentukan hala tuju mereka.

Tersentak dari pertanyaan anak aku tadi - aku bertanya balik - sampai bila dia mahu bersekolah. Dia menjawab - dia mahu bersekolah lagi.

Aku tidak ada pilihan lagi. Isteri aku perlu menghantarnya ke sekolah untuk seminggu lagi.

Kita patut memberikan sedikit kuasa untuk anak-anak kita menentukan jalan terbaik untuk mereka.

Aku juga tidak patut terlupa bahawa anak aku diasuh dalam sistem pendidikan Barat.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails