Yang Ikut

Sunday, 28 August 2011

Salam Aidilfitri untuk semua

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin.

Kalau di Malaysia, sekarang ini keadaan tentu sibuk. Sibuk dan kalut dengan bermacam hal.

Di jalanraya sibuk dengan kemalangan. Di pasaraya, sibuk pula dengan baju raya. Di malam raya, sibuk menunggu penjual melelong kuih raya.

Emak mula sibuk menukar langsir baru. Karpet yang lama patut dibuang. Anak-anak sudah mula pulang berkampung. Ada yang bertambah menantu. Ada yang menambah cucu.

Ada yang sibuk menukar wang siling. Ada pula yang sibuk mencari daging. Ada yang baru mencari-cari di mana kubur orang tuanya.

Belum lagi bercampur urusan seludup mercun dan bunga api dari Thailand. Inilah musimnya membuat wang.

Bagaimana di Adelaide?

Kami hidup seperti biasa. Tidak ada apa yang disibukkan. Tidak perlu baju baru. Tidak perlu ketayap baru. Tidak perlu kuih baulu. Tidak perlu mencari buluh membakar lemang. Tidak perlu apa-apa. Sudah lama aku tak mendengar lagu raya.

Sedikit sahaja keperluan beraya di rantau orang ini. Menunggu khabar bila tarikh berhari raya, dan kemudianya dimasak serba sedikit makanan.

Selamat hari raya semua.

Yang sedang bermain mercun, jangan sampai terbakar tangan. Yang bakal memandu, awaslah banyak lembu di tengah jalan. Yang tak ada wang, anggaplah pulang ke kampung satu pelaburan. Yang menjadi bekas kekasih, anggaplah semua yang menjadi bekas ini hanyalah barang recycle. Jangan bersedih dan bermuram durja.

Untuk yang senasib dengan aku beraya di rantau orang - raya sebenar ialah apabila kita tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk berhari raya.

Maaf zahir dan batin dari aku dan keluarga.

Semoga raya ini membahagiakan.

Wednesday, 24 August 2011

Membenih budaya ilmu - 3

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap kali kita berada di dalam bas, atau berada di lapangan terbang, kita akan melihat bangsa kulit putih sedang membaca. Membaca sudah menjadi tradisi mereka di mana-mana sahaja. Dalam budaya kita, membaca adalah untuk mereka yang belajar sahaja.

Itu pun tujuannya hanyalah untuk lulus periksa.

Mengapa kita tidak ada budaya membaca?

Aku biasa mengajar di universiti swasta milik kerajaan. Menjadi polisi universiti, setiap pelajar perlu menulis semua hasil kerja dalam bahasa Inggeris. Ia motif yang baik.

Malangnya, dalam zaman ketika internet menguasai maklumat, pelajar kita tidak mengambil peluang untuk membaca dan menulis kembali pengetahuan mereka. Sebaliknya mereka hanya melakukan copy and paste. Hinggakan apabila kita membacanya, kita tahu ia bukan hasil karya pelajar. Ia hasil ciplak yang sangat berkualiti buruk.

Ia bukan dilakukan seorang dua. Ia dilakukan kebanyakan pelajar.

Sebab itu - aku lebih sukakan pelajar menulis dalam bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya kalau mereka menciplak pun, mereka sudah belajar menjadi penterjemah yang baik.

Bayangkan, di bangku universiti lagi anak-anak muda kita tidak membaca. Mereka mencari jalan senang dengan harapan mendapat markah yang baik. Mereka menjadi manusia malas yang tidak bermaruah. Mereka hanya ingin mendapatkan hasilnya sahaja. Mereka tidak peduli jalan yang telah diambil.

Mengapa begitu?

Kita sebenarnya malas untuk berfikir. Tidak ada sesiapa pun yang peduli sama ada kita boleh berfikir dengan baik atau tidak. Orang hanya peduli markah yang baik. Itu juga menjadi masalah dalam sistem pendidikan kita. Kita terlalu memberikan keutamaan kepada CGPA. Kita terlalu ghairah mendapat ijazah kelas pertama.

Orang terlupa - ia hanya markah. Ia tidak membawa apa-apa. Tidak ada gunanya kalau lulus cemerlang kalau otak tidak berfikir. Sebab itulah, orang tidak peduli lagi kalau anda mempunyai beberapa keping ijazah sekalipun. Sebab itu juga, ada kecenderungan orang membeli sahaja ijazah palsu. Sebab orang tahu - tidak ada banyak sangat bezanya antara ijazah yang asli atau palsu. Tidak ada sesiapa pun yang akan menguji ilmu yang anda miliki. Mereka hanya bertanya nilai CGPA sahaja.

Beberapa hari lagi, aku bakal masuk semula ke alam universiti. Aku pasti akan bertemu lagi dengan budaya ciplak ini.

Dalam penulisan, kita akan tahu bagaimana seseorang itu menulis dengan pengetahuannya atau menulis semula apa yang telah dikatakan orang. Kalau anda pelajar, anda perlu hafal hukum ini. Aku tidak akan menjadi guru anda semua. Tetapi aku harap blog ini membantu anda.

Kita cenderung menulis 'WHAT' dalam penulisan kita. Menceritakan kajian Ahmad bertemu sesuatu. Kajian Ahmad pula disokong kajian Ali. Kemudian diceritakan pula kajian Ali. Sebab itulah, kita adakalanya bosan membaca tulisan seperti ini. Hampir seluruh halaman hanya menceritakan hal 'WHAT'. Sebabnya mudah sahaja. Kita percaya, dengan banyak halaman, ia akan melihat kita rajin membaca.

Hakikatnya, itu ialah bentuk penulisan orang yang malas berfikir. Tulisan berbentuk ini mudah sahaja. Anda perlu membaca abstrak kajian orang lain sahaja, dan menulis semula.

Penulisan dari pemikiran sebenarnya bermula dengan 'HOW' dan "WHY'. Jadi, anda bacalah seratus buku sekalipun - ia tidak akan memaksa anda berfikir dan meneliti proses kejadian kalau hanya berfikir hanya "WHAT". Kerana bacaan cara ini bukannya menghuraikan apa yang ditemui orang lain. Bagaimana pun, membaca satu makalah pun sudah memadai kalau ia bermula dengan HOW dan WHY. Daripada proses inilah otak anda berfikir. Banyak penemuan yang baik bermula dengan tradisi berfikir 'HOW' dan 'WHY'. "WHAT' hanya ditulis sedikit sahaja bagi menyokong tulisan tadi.

Tapi, apakan daya, kita sememangnya diajar begitu. Kita memang diajar untuk menulis dengan banyak. Kita hanya menilai kuantiti, dan bukannya kualiti.

Nanti sambung.

Tuesday, 23 August 2011

Misi tamat

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
23 Ogos 2011.

Jam 7.18 malam, waktu South Australia.

Aku tiba di Australia 2 Oktober 2007. Muda lagi waktu itu. Sekarang sudah hampir genap 4 tahun.

Setelah sekian lama, mengharungi bermacam cerita - menulis proposal, melakukan kajian, membentangkan kajian, menulis dan memperbetulkan ejaan, mempelajari statistik baru yang tidak pernah didengar - akhirnya aku siap menulis sebuah tesis setebal 261 halaman. Syukur kepada Allah kerana memberikan aku ruang dan kesempatan yang baik.

Besok pagi aku akan mencetak, dan akan menghantar tesis hari Khamis ini. Menutup suka duka belajar PhD.

Tamatlah misi aku belajar.

Aku akan jadi pandai? Tidak ada bezanya aku dengan orang lain. Lebih sedikit, kalau aku lulus, aku boleh letak gelar Dr di hadapan. Itu sahaja. Lebih-lebih tinggi pun, aku tahu sedikit sebanyak pengetahuan dalam bidang aku. Tetapi aku akan tetap jahil bidang orang lain. Malah untuk mengajar subjek bahasa Melayu darjah 1 pun aku tidak mampu.

Hakikatnya, ia sama sahaja. Menjadikan kita berbeza kerana aku ditakdirkan terpilih membuat PhD. Aku juga melalui jalan mudah sepanjang alam persekolahan. Orang lain mungkin terjatuh longkang beberapa kali.

Sama ada kita ada gelar atau tidak, ia hanya ciptaan manusia. Aku perlu ada PhD kerana ia sebahagian dari syarat pekerjaan aku.

Berat sedikit apabila kita belajar, ia kita akan diuji. Orang kaya diuji dengan hartanya. Orang yang belajar diuji dengan pengetahuannya. Banyak sudah orang yang tersungkur kerana tertipu oleh ilmunya. Anda selalu menonton di kaca televisyen setiap hari. Moga -moga aku dijauhkan dari sifat riak dan terlupa diri.

Terima kasih semua pembaca yang membaca FakirFikir sepanjang aku di Adelaide ini. Terima kasih juga kerana anda menjadi teman untuk aku bercerita, ada cerita yang berguna - ada yang boleh anda lupakan. FakirFikir akan tetap menulis selagi ada kesempatan.

Doakan aku lulus.

Aku mahu balik berbuka puasa. Sudah hampir dua jam lalu matahari jatuh.

Aku hanya sempat minum seteguk air dan merokok dua batang.

Monday, 22 August 2011

Tahap hidup manusia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ini adalah pandangan aku sendiri. Tiada kaitan dengan sebarang teori dalam ilmu psikologi.

Cuma sesekali kita renungkan usia kita. Pada hemat aku, kita hanya mempunyai 4 tahap kitaran usia yang setiap tahapnya mengambil masa 15 tahun. Mengapa 15 tahun? Sebab 15 tahun itu sebenarnya sekejap sahaja. Anda yang membaca blog ini sudah pun menghabiskan lebih 15 tahun hidup sebagai manusia. Bila kita membelek album gambar lama, seperti baru semalam sahaja kita berada di bangku sekolah. Kita masih ingat lagi semua muka manusia di sebelah kita. Cuba bandingkan pula wajah mereka sekarang. Semuanya sudah menjadi manusia lain.

Usia di antara lahir -15 tahun.
Usia 15 tahun ialah bermulanya zaman anak remaja. Untuk mencapai ke usia 15 tahun, ia terasa begitu panjang. Mungkin sebab usia kita yang masih kecil, kita tidak boleh bergerak begitu jauh. Kesibukan kita hanya sekadar bermain. Banyak daripada kehidupan kita bergantung dengan apa yang ditetapkan oleh ibubapa kita. Ini zaman paling indah. Ini zaman paling meriangkan. Ia tidak akan dapat kita ulang lagi. Inilah juga usianya yang membuka kita dengan pintu kejahatan dan kebaikan. Inilah masanya kita belajar merokok dan memulakan aktiviti nakal.

Usia 15 tahun -30 tahun.
Sebahagian dari usia ini dirasakan begitu cepat. Bayangkan, setelah sahaja tamat PMR, tiba-tiba kita akan mengambil pula SPM. Kemudiannya kalau kita berjaya, kita akan memasuki universiti. Kalau tidak, kita kemudiannya akan memasuki alam pekerjaan. Kita juga mula berkahwin. Mula bercinta. Mula sibuk dengan rutin dunia. Masa inilah kita memulakan kisah hidup sebagai manusia. Ada yang mula mendapat anak.Sesekali sesak dengan masalah kewangan. Bertukar kerja beberapa kali. Ada yang dibuang kerja. Kita mula hidup sendiri. Tiada lagi keluarga yang menghulurkan wang kepada kita seperti dulu. Kitalah yang membantu keluarga. Ini menjadikan masa kita semakin cepat, semakin tidak dirasa.

Usia 30 tahun ke 45 tahun.
Ini usia yang paling pantas berlalu. Sebaik sahaja anda memasuki usia 30 tahun, terasa masa seperti cepat berjalan. Kita mula terasa kita semakin tua. Kita tidak boleh merasa kita berusia 20-an lagi. Kita bukan anak remaja lagi. Anak-anak kita semakin membesar. Mereka mula bersekolah menengah atau ke universiti. Kita perlu berkerja lebih kuat bagi menyara kehidupan keluarga. Masa ini lebih pantas dari tahap sebelumnya. Rambut kian beruban. Gigi patah satu demi satu. Pinggang mula sakit. Berjalan sedikit terasa kepenatan. Melihat wajah di cermin, kita tahu kedutan wajah itu menghilangkan usia silam kita. Kalau kita masih merasa kita masih muda seperti sebelumnya, berwaspadalah. Kalau kita rasa banyak lagi membuat dosa, berusahalah untuk berubah. Kerana tahap di depan kita akan lebih pantas berlalu.

Usia 45-60 tahun.
Selepas usia ini, kita mula menghitung hari berpencen. Hutang masih menimbun. Anak mula meninggalkan kita dan membina keluarga mereka sendiri. Kita tidak ada apa-apa lagi. Kita mula kehilangan kawan-kawan bersuka ria. Kita mula kehilangan banyak orang yang rapat dalam hidup kita. Kesepian itu mula menjadi sahabat baik kita. Kita sesekali mengenang masa silam yang telah kita tinggalkan. Mengenang semula kekasih lama yang meninggalkan kita. Untung-untung kalau anak kita berjaya, kita merasa gembira. Kalau mereka dilanda masalah, usia kita semakin menyesakkan. Tambahan pula kalau hidup kita masih kais pagi makan pagi.

Umur 60 tahun ke atas.
Untung-untung kalau kita masih hidup lagi. Usia ini hanya bonus sahaja.

Anda di tahap mana sekarang? Aku sudah melewati dua tahap. Hanya ada satu tahap sahaja lagi. Moga aku menjadi manusia. Selamat malam semua. Suka atau tidak, kita akan melalui semua tahap ini dengan cepat sekali.


Saturday, 20 August 2011

Friday, 19 August 2011

Lima hari lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ingat nak ulas rungutan Kak Intan - pensyarah warga intan mengenai beban kerja pensyarah Malaysia. Ini cerita yang orang luar universiti jarang tahu. Orang jarang tahu hal ahli akademik yang sibuk dengan susun kerusi meja, mesyuarat sana sini - dari pagi sampai ke malam, politik pejabat - tikam belakang puji di depan. Ini semua hal-hal bukan akademik yang jarang anda dengar. Ia tidak diterbitkan di mana-mana jurnal ISI atau tidak.


Kita sambung cerita sibuk aku pula.


Sudah banyak hari sebenarnya dunia aku ini tidak lagi sempat melihat jam. Ini adalah minggu terakhir aku menjadi pelajar tua. Ada 5 hari sebelum aku menghantar tesis. Ia menutup cerita pengajian aku. Sama ada ia sempurna atau tidak, ia akan dinilai orang lain. Sama ada aku stres atau tidak, aku tidak begitu pasti. Aku sudah bosan sebenarnya. Aku tidak berapa kisah sangat lagi.


25 Ogos ini, aku patut menghantar tesis aku. Itu cerita penamat.


Selepas itu, aku tidak tahu sibuk apa lagi yang akan datang bertandang. 2hb September - aku dijemput membentangkan kajian aku dalam satu seminar. Entah apa patut aku cakap selama satu jam seorang diri. Kalau dalam bahasa Melayu - aku mungkin boleh bergebang dari pagi sampai ke malam. Ini dalam bahasa Inggeris - di depannya warga akademik Australia yang tidak faham Melayu dan juga Siam.

5 haribulan September aku balik Malaysia, meninggalkan musim sejuk Australia ke dalam haba panas meruap politik tanahair.

Tunggu aku Malaysia.












Polemik Universiti Malaya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Anda tentu telah membaca kritikan terhadap Universiti Malaya seperti tersiar dalam Utusan Malaysia semalam. Hari ini, ada lagi rentetan berita bagi perkara tersebut. Klik sini.

Isunya ialah kritikan terhadap langkah pengurusan UM menyasarkan penerbitan dalam jurnal yang diranking di dalam ISI dan Scopus. Harus diingat, semua jurnal yang dimasukkan dalam ranking ini ialah jurnal berkualiti, dinilai penilai yang baik, dan tentulah juga perlu melepasi tahap kriteria penyelidikan akademik yang berkualiti.

Jadi, tentulah apabila penerbitan jurnal yang diranking dalam ISI dan Scopus itu menjadi syarat prestasi ahli akademik, maka banyak yang rasa tidak berpuas hati. Sebabnya ia tidak semudah yang dijangka. Mungkin kesemua jurnal yang diranking dalam ISI dan Scopus itu pula perlu ditulis dalam bahasa Inggeris.

Aku bagaimana?

Aku tidak datang dari kepompong akademik. Aku datang dari dunia luar.

Tapi bagi aku - itulah satu caranya untuk kita menterjemahkan kualiti sebagai ahli akademik. Aku selalu melihat, banyak ahli akademik kita - termasuk segelintir kecil profesor yang hanya menghantar makalah mereka ke jurnal yang rendah kualitinya. Anda yang tidak terbiasa dengan penulisan jurnal mungkin tidak begitu tahu. Banyak jurnal sosial sains yang diterbitkan di Eropah misalnya, yang biasanya bermula dengan Euro XXXX sebenarnya jurnal yang teruk.

Mengapa harus profesor menghantar ke jurnal seperti itu? Mengapa harus menggunakan geran penyelidikan yang tentunya ialah wang rakyat - untuk menulis makalah ke dalam jurnal yang rendah reputasinya.

Mereka harus mencari jurnal lain yang lebih baik.

Bagaimana pun, adalah pula mustahil kalau jurnal ISI atau Scopus menerimanya kerana kajian itu pula hanya menggunakan kaedah korelasi, t-test dan anova. Ia antara statistik yang sesuai untuk pelajar ijazah sarjana muda sahaja.

Jurnal yang baik juga memerlukan penyelidikan yang baik dengan motodologi terkini. Semua ini memerlukan akal yang kreatif dan penaakulan yang baik.

Sebab itu, apabila ada yang tidak setuju dengan syarat penerbitan dalam jurnal ISI/Scopus, aku rasa itu hal yang tidak berapa wajar. Sebagai ahli akademik, apakah lagi bukti bahawa kita ini terlebih baik dari orang awam?

Yang mungkin perlu dibangkitkan bukanlah syarat penerbitan tadi. Yang perlu dibincangkan ialah sejauh mana universiti kita telah menyediakan prasarana atau geran penyelidikan yang mencukupi.

Jangan kita hanya teruja dengan penerbitan jurnal yang baik, tetapi akses untuk maklumat sangat terbatas.

Atau, permohonan mendapatkan geran penyelidikan dilembapkan dengan birokrasi atau politik dalaman yang menyusahkan.

Aku tahu mengenainya. Aku pernah merasainya. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku dan Zainol.

Inilah hal yang patut disidangkan.

Thursday, 11 August 2011

Marilah mempromosikan agama

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita kini sedang berdepan dengan banyak isu keagamaan. Tidak tahulah ia benar-benar isu, atau isu itu tiba-tiba tertimbul. Bertahun-tahun kita hidup bersama tanpa konflik atau pertembungan agama.

Kini, umat Islam dihadapkan dengan banyak isu. Isu pertelagahan di antara aliran ahli sunnah dan juga wahabbi mungkin antara isu yang sudah lama berlegar secara diam dalam korpus pemikiran ulamak kita. Orang awam mungkin tidak begitu tahu mengenainya, sehinggalah mutakhir ini apabila muncul begitu banyak debat mengenainya.

Di masa silam, orang hanya mendebatkan pertembungan ini dengan istilah kaum tua dan kaum muda. Kini, isu wahhabi dan sunnah ini kian bertambah bingit.

Tidak cukup dengan pertembungan sesama kita, kini seolah-olahnya ada pula isu mengenai persaingan agama di antara Islam dengan agama lain. Ia ditampilkan dengan banyak isu berkaitan masjid, gereja, istilah Allah dan terkini serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Selangor.

Dalam isu melibatkan agama, sepatutnya mereka yang arif mengenainya memberikan tanggapan mereka. Benarlah, orang awam ada hak bersuara. Benarlah, agama itu kita semua menjaganya. Tetapi, ada hal-hal yang kita tidak begitu arif.

Namun, apabila ahli politik pula muncul di tengahnya, ia memberikan keadaan yang keliru bertambah serabut. Kita sudah dihadapkan dengan banyak isu lain. Isu anak-anak kita yang tidak tahu mengucap kalimah syhadah dan membaca Bismillah sudah cukup menjadi asas ketakutan kita. Ia ditambah lagi dengan gejala zina dan buang anak. Kes dadah juga tidak kesudahan. Sesekali ditambah dengan kisah murtad.

Bila semua ini akan berakhir?

Sampai waktunya, setiap agensi penjaga agama - menjadi badan yang benar-benar berfungsi dalam hal keagamaan. Bukan sekadar badan yang mengeluarkan sijil nikah kahwin, atau mengedar beras zakat. Ia patut lebih luas dari itu.

Di Australia, hampir kebanyakan gerejanya ada aktiviti kebajikan mereka sendiri. Mereka ada kelas membantu anak-anak kurang upaya. Mereka adakan aktiviti derma dan charity. Mereka berjalan-jalan dan mengajar manusia. Mereka tidak begitu bercakap hal agama. Tetapi, itulah caranya mereka mempromosikan agama.

Badan agama kita juga patut ke arah itu. Tidak lagi perlu begitu banyak berjaga malam mencari anak muda yang berkhalwat dalam kereta.

Kita perlu mulakan dari aktiviti asas. Memberikan didikan dan mempromosikan agama. Tentulah, agensi ini ada wang yang banyak. Ada baiknya wang ini digunakan bagi tujuan ini.

Masalahnya, ulamak kita sudah lama dipinggirkan. Ulama perlu bercakap mengikut skrip yang ditentukan pihak yang berkaitan. Kalau tidak mereka akan digam. Kalau tidak mereka akan dikatakan sebagai ulama pembangkang atau ulama pemerintah.

Hakikatnya, ulamak mengajar manusia dalam hal agama. Mereka patut diberi peluang bercakap apa yang mereka tahu berdasarkan upaya ilmu mereka. Janganlah terlalu banyak aktiviti sekatan atau label melabel. Ia tidak baik untuk agama. Ia tidak baik untuk kita.

Akhirnya, akhirat kita tidak ke mana, dunia kita sudah lama merana.

Kemelut bangsa ini tidak akan berakhir kalau kita hanya sibuk dalam berpolitik.

Melihat kepada kes kalimah Allah dan yang terbaru ini, isu serbuan JAIS ke atas gereja, lihatlah siapa yang sebenarnya begitu cepat melatah.

Ia bukan orang lain. Ia bukan orang lain. Ia orang kita.

Kita sibuk dengan banyak perkara. Kita kalut dengan banyak hal.

Akhirnya, kita terlupa ada anak dara kita sedang bersahur dengan teman lelakinya di dalam bilik jam 3 pagi.

Malang sekali kita.

Wednesday, 10 August 2011

Membenih budaya ilmu - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Kita kononnya percaya bahawa menjadi orang Melayu kita tidak boleh bangga diri kerana ia akan bertentangan dengan ajaran agama. Kita kononnya perlu menjadi sufi yang merendah diri. Jangan tunjukkan kehebatan kita.

Benar, kita tidak menunjukkan kehebatan dan kemampuan kita. Sayangnya kita menjadi ahli sufi yang separuh masak. Kita hanya tidak menunjuk dalam hal keilmuan. Tetapi, tidak pula kisah kalau membina rumah banglo 3 tingkat, atau ada kereta mewah berpuluh biji. Kita tidak mahu berbangga dalam hal yang patut, tetapi berbangga dalam hal yang tidak patut.

Sebab itu, kalau ada manusia hebat dalam penciptaan misalnya - kita akan merendahkannya. Kita memandang sinis. Kita sebaliknya berbangga kalau ada orang yang hebat dalam hal kekayaan dunia.

Budaya ini dipupuk dari mana?

Sejak kecil lagi, dalam masyarakat kita, kita diasuh untuk mencapai kejayaan. Kita diasuh untuk berbangga dengan kejayaan seseorang. Misalnya, kalau ada anak seseorang mendapat 10A1, kita akan berkata - wah pandainya anak si polan dan si polan. Kalau ada seseorang di kampung kita menjadi kaya raya, kita akan berkata - wah, banyak sungguh duit dia.

Kita cenderung memberi keutamaan kepada matlamat akhirnya sahaja. Kita tidak bertanya bagaimana anak si polan itu mendapat 10A1. Kita tidak juga bertanya bagaimana Pak Ali tiba-tiba menjadi kaya raya. Kita tidak berfikir caranya, kita hanya melihat hasilnya.

Seperti juga kalau 2 + 2 = 4, kita hanya melihat hasilnya juga. Kita tidak diasuh untuk berfikir kenapa 4, dan bukan 5.

Tradisi tidak berfikir itu sekarang ini sedang menjadi halangan besar bangsa kita. Sistem kita sendiri sedang membenihkannya.

Anda bacalah suratkhabar Melayu. Suratkhabar kita tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Suratkhabar kita memaksa kita menelan apa sahaja yang kita baca. Kalau dikatakannya putih, maka semua orang harus percaya bahawa ia putih dan bukan hitam.

Benar, apa yang dilaporkan oleh akhbar adalah fakta. Tapi banyak hal yang disembunyikan menyebabkan kita mandul berfikir. Ia sama seperti anak kecil menangis dan memberitahu ibunya, kakak sulung telah memukulnya. Ia fakta yang benar. Tetapi, anak kecil tadi tidak memberitahu kenapa kakaknya memukulnya. Tidak pula diceritakan oleh anak kecil tadi bahawa dia telah menarik rambut kakaknya. Inilah fakta yang tidak diceritakan.

Pandangan ahli akademik yang neutral telah tidak ada lagi. Bukan kita tidak ada tokoh yang hebat. Dulu kita ada Syed Hussien al-Attas. Sekarang ini, kita masih ada banyak lagi cendekiawan tempatan yang hebat. Khoo Kay Kim salah satu darinya. Bagaimana pun, kini banyak dipetik pandangan ahli akademik yang kita pun tidak tahu apa latar ilmunya. Ingat, ada gelar pensyarah di depan nama seseorang bukanlah bermakna mereka itu cendekiawan. Banyak juga yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Aku berkata benar. Aku mungkin salah satu darinya,

Tulisan yang ada pun tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Ruangan yang baik seperti ditulis oleh Prof Taib Othman atau Nordin Selat mungkin hanya sedikit. Kalau ditulis pun mungkin tidak ada sesiapa yang membacanya lagi.

Semua ini menjadikan otak kita tidak berfikir secara kreatif lagi. Malah, berfikir secara pelik dan kreatif menjadikan kita dianggap orang gila.

Anda tidak percaya?

Besok pagi, sebaik sahaja terbangun dari tidur - beritahulah ibu bapa anda, atau rakan-rakan anda bahawa anda akan mencipta satu formula baru bagi mengurangkan asap kereta. Atau beritahulah bahawa anda akan mencipta roket baru ke bulan.

Semua orang akan ketawa terbahak-bahak.

Tetapi, cuba anda beritahu bahawa anda ingin menjadi calon Raja Lawak atau artis Akademi Fantasia. Semua orang akan berbangga dengan anda. Orang akan kagum dengan keberanian anda.

Itulah cara kita berfikir. Kita berfikir untuk menjadi hebat dalam perkara tidak penting. Masyarakat pula meneguhkan sikap tadi. Tetapi, kalau anda berfikir sesuatu yang hebat, orang akan menganggap anda gila.

Bagaimana pun, kalau anda bercerita bahawa malam tadi anda terserempak dengan hantu pocong di tepi kubur - ia akan menjadi berita besar. Banyak orang akan percaya dengan anda. Banyak orang akan bertanya dan ingin mendengar lebih lanjut cerita aneh tadi. Sebab itu, orang kita sangat teruja dengan cerita pelepah pinang berwajah manusia, air menitis dari batang petai atau sejadah berdiri.

Kita suka mendengar cerita aneh tanpa perlu banyak berfikir. Kita sebenarnya jarang berfikir.

Budaya tidak berfikir ini sebenarnya diajar dalam sistem kita. Di universiti, tidak banyak lagi mahasiswa kita yang berani menyatakan pendapatnya sendiri. Ini kerana guru yang mengajarnya juga tidak ada pendapatnya sendiri. Kita mengulang balik apa yang telah ditulis dalam buku. Kita mengulang balik apa yang pernah dibuat orang lain.

Hasilnya kita tidak berbuat apa-apa pun yang baru. Kita kemudiannya mendidik mahasiswa kita dengan hal yang sama juga. Mengulang kesilapan yang kita lakukan setiap hari.

Bersambung.

Tuesday, 9 August 2011

Aku kembali

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku sebenarnya hendak menulis hal budaya ilmu orang Melayu. Tetapi memandangkan aku baru sahaja siap menulis dua kertas jurnal serentak dalam masa beberapa hari ini, biarlah aku minum kopi dulu malam ini. Penat dan letih juga.

Aku kehilangan hari cuti Sabtu dan Ahad. Hari Ahad baru aku terjumpa formula statistik alternatif. Hari Isnin baru aku sambung menulis. Hari ini baru siap draft pertama.


Begitulah, penatnya mengaji PhD. Masalahnya aku cuma ada 10 hari sahaja lagi.

Kalau tidak ada aral, besok pagi aku tuliskan hal budaya ilmu itu.

Untuk malam ini, aku hanya ucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca.

Nanti aku balik Malaysia nanti, siapa yang ada masa - bolehlah contact aku untuk minum kopi secawan dua.

Aku dan
Dr Ben ada projek amal yang sedang menanti. Projek mengajar anak-anak sekolah di kampung yang banyaknya orang kita. Banyak daripadanya pula susah. Kalau ada sesiapa yang berminat untuk turut serta, hubungi beliau.

Kita mungkin boleh sumbangkan sesuatu untuk masyarakat. Kita mungkin tidak ada duit, tetapi kita ada sedikit pengetahuan yang boleh dimanfaatkan. Ini juga sebahagian dari cara kita membentuk budaya ilmu masyarakat.



Saturday, 6 August 2011

Tiada update maknanya aku sibuk

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Maaf, tidak mampu untuk menulis beberapa hal mutakhir ini. Sebenarnya aku sangat sibuk dengan banyak pekerjaan dunia. 5 hari cukup aku duduk di perpustakaan, menaip tanpa henti. Sudah ada 4,000 perkataan. Sepatutnya ia bakal menyudahkan kertas terakhir aku. Itu sepatutnya.

Sampai ke satu analisis statistik (anda tidak perlu tahu apa maksudnya)- ICC (i) dan Fiii, tiba-tiba nombor yang keluar tidak sepertinya. Angka itu menyebabkan aku tidak boleh menulis lagi kertas aku kerana ia adalah punca ilmu statistik.

Semalam - aku ke pejabat. Bertemu penyelia aku - aku katakan padanya - yang aku ingin menyerah kalah.

Dia kata, jangan bimbang. Cuba lagi. Sebenarnya aku sudah mencuba 100 cara.

Hah. Ada kurang 20 hari lagi aku akan menghantar tesis.

Jadi - aku berhenti dulu update.

Wednesday, 3 August 2011

Yang terindah ialah yang tertinggal - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Matahari jatuh dan matahari naik lagi besok pagi. Begitulah masa yang berlalu. Saat indah di bumi Australia ini bakal ku tinggalkan. Aku boleh berangan untuk datang lagi, tetapi aku pasti ia tidak akan sama lagi. Tahun 2007, minggu ke dua bulan puasa seperti inilah aku datang ke bumi Adelaide ini, meneka untuk nasib hidup di bumi orang. Masa berlalu. Bunga kembang dan layu. Daun tumbuh dan gugur. Alam bertukar warna. Angin panas bertukar sejuk. Sejuk bertukar panas. Aku semakin tua di dalamnya. Ketika aku datang, anak aku - Luqman Hakiem baru 2 tahun setengah. Tahun ini dia sudah belajar (dipaksa) berpuasa. Sudah 3 hari dia berpuasa. Melihat isteriku sedang menggoreng ikan masin pun, dia berlari menerpa ke dapur tidak mampu menahan lapar. Seperti aku di masa kecil terliur dengan ais batu yang dijual sebongkah 20 sen. Hah. Masa berlalu. Kini mereka sedang menggantikan kita.

Masa berputar. Alam berubah wajah. Aku juga kian berubah wajah. Sesekali aku cuba tersenyum di depan cermin, tetapi nampaknya kedutan muka yang datang dulu. Dulu aku selalu bertanya, di manakah letaknya keindahan manusia. Pada mata, hidung, mulut, gigi atau muka. Aku cuba mencarinya beberapa lama. Cuma beberapa hari ini aku bertemunya. Keindahan kita, bukan terletak pada diri kita. Keindahan dan ketampanan kita terletak kepada siapa yang melihatnya. Bayangkan yang melihat kita ialah seorang buta, maka secantik mana pun kita tidak ada gunanya. Jadi, kecantikan, keindahan itu semua hanya khayalan. Ia bukan milik kita. Ia milik orang lain yang melihatnya.

Tahun berubah. Ini tahun ke empat aku berada di Australia. Ia terasa seperti beberapa hari yang lalu sahaja. Melewati Rundle Mall, melepasi Hindley Street - menaiki bas melewati Magill Road, beberapa kali bas bertukar jadualnya - kita pun berubah rupa. Ada orang baru datang. Ada yang pulang. Ada yang menghilang. Proses itu akan berlaku lagi untuk sekian lama lagi. Kita tidak tahu. Ada orang lain yang akan menggantikan tempat kita. Kita hanyalah pejalan kaki di muka bumi ini.

Hampir 20 tahun dulu aku masuk universiti. Masih lincah seperti anak-anak muda yang baru menjejak kaki ke universiti tahun ini. 10 tahun kemudiannya aku berada di tempat lain pula. Aku menjadi orang lain. 10 tahun kemudiannya aku berubah menjadi manusia yang lain pula.

Itulah proses hidup. Tidak ada apa yang kita bawa dalam poket. Yang kita bawa hanyalah kenangan. Yang kita bawa hanyalah pengalaman dan cerita. Ia mungkin berguna. Ia mungkin tidak boleh dipakai.

Akhirnya, yang tetindah ialah yang tertinggal.

Selamat malam pembaca.

Tuesday, 2 August 2011

Membenih budaya ilmu - I

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dibandingkan dengan bangsa lain, bangsa Melayu tidaklah mempunyai tulisan kita sendiri. Di zaman pra-sejarah, ada banyak tulisan yang terpamir, misalnya di Gua Niah atau di beberapa tempat lain. Tetapi, ia bukanlah tulisan dalam erti kata masyarakat sekarang ini, ia lebih merupakan tulisan atau lukisan kuno.

Penemuan batu bersurat pula menunjukkan kita sama ada terpengaruh dengan tulisan Sankrit atau Arab. Walaupun tulisan Jawi kita ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi huruf itu datangnya dari masyarakat Arab. Kemudiannya tulisan roman moden pula mengubah cara kita menulis.

Ini menunjukkan bangsa Melayu bukanlah bangsa yang menulis. Ia berbeza dengan orang Cina, India, Jepun atau orang Arab. Malah, bangsa Siam, jiran kita yang terdekat juga ada memiliki tulisan mereka sendiri.

Maksudnya, tradisi kita menulis ini sangat baru. Itu pun setelah kita dijajah atau dipengaruhi oleh beberapa tamadun lain. Bahasa yang kita pakai sekarang ini pun banyak yang dipinjam dari tamadun lain. "Kapal" misalnya, disebut dalam buku sejarah ialah bahasa yang dipinjam dari bahasa Siam - 'Phao'. Kalau anda menggogle, hari Sabtu yang kita pakai ini disebut Sabato di Itali. Ini menunjukkan kita ini tamadun yang masih baru.

Sebab itu, dalam budaya kita - kita masih berpegang dengan tradisi lisan. Ia cerita yang dibawa dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kerana ia bersifat lisan, maka tentulah ia boleh ditokok tambah di sana sini, sesuai dengan siapa yang bercerita dan siapa pula yang mendengarnya. Kita banyak mendapat tahu nama tempat atau sejarah lokal masyarakat berdasarkan cerita lisan ini. Tidak ada muzium atau tulisan yang membuktikannya. Ia dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi.


Dan cerita itu pula mungkin ditiru dari tempat lain. Itu yang kita tidak tahu. Hang Tuah mungkin cerita betul, atau juga cerita yang disadur dari Pendewa Lima dari epik India. Kita tidak tahu.

Tapi kerana budaya kita bermula dengan budaya lisan, dan bukannya menulis, jadi tradisi ilmu kita banyak bertokok tambah dengan hal mitos, dongeng dan sesekali mungkin fitnah. Bahan bertulis boleh dibaca, dan orang boleh membuat kritikan, atau komen yang membina. Tetapi, tidak ada apa yang boleh dilakukan kalau ia bersifat lisan.

Buku-buku yang kita anggap sebagai menceritakan tamadun kita - misalnya Sejarah Melayu yang dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang juga - sebenarnya berbaur dengan banyak perkara mitos yang diragui. Anda perlu membacanya. Anda akan dapati bagaimana muntah lembu ini melahirkan manusia. Begitu juga dengan Hikayat Merong Mahawangsa.

Ini bukanlah bermakna buku itu tidak betul. Tetapi itulah caranya manusia berfikir pada waktu itu. Pemikiran bercapah di antara dua perkara, ada yang logik, ada yang dongeng. Ada yang fakta, ada yang khayal. Ia mungkin bagi menarik perhatian masyarakat waktu itu. Mungkin juga itulah cara manusia berfikir.


Sebenarnya, sampai sekarang pun, begitu jugalah cara kita berfikir. Sesekali apabila anda membaca suratkhabar, anda akan dapati di zaman moden ini pun ada suratkhabar yang sukar melaporkan cerita sejadah berdiri. Pastilah wartawan itu tahu ia bukan cerita yang patut dilaporkan. Tetapi mereka menulis juga. Banyak juga cerita misteri dan tahyul yang ada dalam laporan berita kita.

Begitu juga dengan banyak hal lain.


Tatkala kita baru singgah di klinik membeli ubat, kita juga sangat terpesona dengan hujah penjual ubat di pasar malam. Kita seolah-olah percaya, mungkin untung-untung apa yang dihujahkan penjual ubat tadi betul. Sedangkan kita juga tahu, kalau benar penjual ubat itu betul, dia mungkin sudah ada klinik sendiri - tidak perlu berpindah dari satu pasar malam ke pasar yang lain. Tatkala kita baru sahaja balik dari belajar Fizik Gunaan di waktu malam, kita jadi pula
seram sejuk melalui kawasan berkubur.


Kita cuma bernasib baik - dengan datangnya Islam, banyak ilmuwan kita yang lahir. Mereka inilah kumpulan sarjana waktu itu - yang kita gelar sebagai alim ulama. Mereka inilah yang banyak menulis. Mungkin inilah antara bahan bacaan yang membolehkan manusia membahas atau merujuk semula sumbernya, walaupun ada daripadanya yang sukar dijejak sanadnya. Tetapi kerana yang mengajar juga tahu akan ilmu sesuatu bidang, maka mereka tahu sumbernya - yang mungkin disebut dalam kitab yang lain.

Apabila orang bertanya mengapa masyarakat kita tidak cenderung dengan tradisi ilmu, jawapannya mungkin pelbagai. Ini baru permulaan. Nanti kita sambung lagi.

Monday, 1 August 2011

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Salam Ramadhan dan selamat berpuasa untuk semua pembaca.

Ini kali yang ke empat aku berpuasa di Adelaide sejak tahun 2007. Tahun 2008 aku berpuasa di Malaysia. Sudah banyak tahun juga tidak terliur dengan air tembikai di tepi jalan, atau ayam panggang di pasar ramadhan. Puasa di Adelaide kurang cabarannya. Jam 5.30 nanti dah berbuka. Cuacanya pula sejuk.

Puasa di sini serba serbinya 'cool'.

Selamat berpuasa untuk semua. Nikmatilah bulan Ramadhan ini sementara masih ada masa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails