Yang Ikut

Sunday, 31 July 2011

Kasihan dia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Pagi semalam, seorang pemuda yang gagal dalam permohonannya menukar jantina di Mahkamah Tinggi telah meninggal dunia kerana dikatakan diserang sakit jantung, yang berpunca dari kemurungan yang teruk. Setiap hari akhbar akan membuat liputan dan memberikan sensasi yang berlebihan mengenai berita pertukaran jantina ini.

Masyarakat kita juga berminat mengenainya. Tetapi apa yang kita telah lakukan?

Kita kurang berminat untuk membincangkan puncanya. Kita kurang cenderung mencari jalan mengatasinya agar tidak ada orang lain yang juga mengulang perkara yang sama.

Kita lebih berminat untuk memberikan hukuman kepada pemuda tadi. Bagi sesetengah orang, adalah lebih baik untuk mereka berkata bahawa pemuda tadi lebih baik mati dan kemudiannya dibakar di neraka. Banyak orang ingin menjadi Tuhan dan memberikan hukuman. Banyak orang lebih cenderung untuk menyalahkan pemuda tadi kerana hasratnya ingin mengubah kejadian Tuhan.

Bagaimana pun apa yang kita bantu untuk memahami perkara ini.

Kes pemuda ingin menjadi pemudi, atau pemudi ingin menjadi teruna, bukanlah asing dalam kajian psikologi. Banyak orang yang telah mengkajinya. Banyak orang yang tahu mengenainya. Pelajar psikologi perkembangan sudah diajar dengan subjek ini di tahun pertama lagi.

Bagaimana pun, kerana kita cetek pengetahuan maka kita suka mencari jalan tengah yang memihak kepada diri kita. Hakikatnya, kerana kita tidak berada dalam situasi pemuda tadi, kita tidak tahu apa yang dirasainya. Tidak ada sesiapa menemuduganya. Habis-habis tinggi, wartawan pergi mencari fotonya memakai pakaian wanita, dan mensensasikannya. Ia boleh melariskan jualan akhbar.

Kasihan dia. Dia menjadi bahan manipulasi dan tertawa orang di negara yang kita tidak suka membaca dan mengkaji. Dia menjadi bahan orang yang suka memetik satu dua ayat al-Quran untuk menunjukkan mereka alim agama - dan kemudiannya mengeluarkan hukum lebih tegas dari para ulama.

Kita telah membelanjakan wang jutaan ringgit untuk memodalkan pusat didikan kanak-kanak, yang pastinya disorong oleh daya populariti ahli politik. Tetapi, adakah kita telah menjadikan asas pengetahuan psikologi manusia untuk menubuhkan pusat seumpama itu? Adakah kita telah menerapkan ilmu yang boleh menghindarkan seseorang bertukar untuk menjadi jantina lain dengan berpandukan teori pembelajaran sosial?

Itulah realiti yang sedang kita alami. Kita telah menghabiskan banyak masa untuk mencari salah manusia. Tetapi kita jarang mendebatkan apa yang boleh kita lakukan bagi menghindarinya. Kita lebih suka membaca berita pemuda ini balik ke rumah dan berkonflik dengan keluarganya sahaja, sesekali dia tidur di dalam kereta.

Dalam dunia ini bukan seorang sahaja manusia bertukar jantina. Dan juga bukan seorang yang telah dipulihkan dari berhasrat menukar jantina. Semuanya berasaskan ilmu pengetahuan.

Kasihan dia. Dia mati dalam keadaan semua orang ingin mencari salahnya. Dia mati dalam keadaan orang yang fakir pengetahuan sedang memberikan hukuman yang paling hina untuk dirinya. Sama ada tindakannya salah atau betul, kita boleh memberikan pertimbangan yang adil kalau kita bersandarkan kepada asas ilmu.

Moga-moga Tuhan memberikan jalan yang lebih bahagia untuknya di akhirat.


Saudara Alfindani meminta aku menulis hal budaya ilmu masyarakat kita. Nanti aku tuliskan berdasarkan apa yang aku tahu.

Saturday, 30 July 2011

Berita hari Sabtu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini di rumah aku ada Garage Sale. Ia bukan projek aku. Ini projek isteri aku. Dia perlu memulangkan banyak barang yang dibelinya selama 4 tahun dari garage sale. Rumah perlu dikosongkan.

Beberapa hari ini aku sibuk dengan banyak perkara. Ada satu lagi kertas untuk ditulis. Ada juga chapter kawan aku untuk dibaca. Ada juga kertas proposal pelajar untuk disemak. Semua ini adalah antara kerja mereka yang ingin bergelar akademik - membaca, menulis dan mengkaji.

Tadi, terserempak dengan seseorang. Dia meminta aku menulis satu proposal kajian mengenai pekerja di Malaysia. Ini hal yang bagus. Kalau ada rezeki, ia mungkin projek yang baik untuk aku. Ia bukan projek wang. Aku hanya berminat hal kajian. Selama ini susah berjumpa dengan peluang untuk membiayai kajian. Kali ini, harapnya menjadi.

Ada seorang pembaca memberi komen bagaimana banyak polisi ditentukan pembuat dasar, dan bukannya berdasarkan kajian. Aku perlu katakan aku setuju dengannya. Tidak banyak yang kita boleh lakukan kalau ia tidak diubah. Kita harus bersedia menjadi masyarakat yang membaca, mengkaji dan melakukan sesuatu berdasarkan penemuan saintifik.

Semakin banyak ahli akademik kita dipinggirkan, semakin banyaklah kangkung yang tumbuh. Semakin banyak kangkung yang tumbuh, semakin kusutlah fikiran dan minda masyarakat kita.

Kajian tidak hanya bermula apabila anda mempunyai data. Kajian yang baik bermula sebelum itu lagi. Nanti aku tulis.


Friday, 29 July 2011

Jangan katakan aku kangkung!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di masa lalu, sebahagian kerja aku ialah melatih eksekutif yang baru lulus universiti untuk menjadi pengurus. Sebahagian dari caranya ialah menyuruh mereka melakukan kerja-kerja 'low class' dulu sebaik sahaja masuk kerja. Kerja utamanya ialah mengedar flyers di depan pasaraya, atau ke rumah flat. Ada di antara yang kekal, ada di antaranya yang lari.

Prinsip aku mudah sahaja. Untuk menjadi pemimpin yang baik, anda perlu menjadi orang bawah dahulu. Melakukan kerja-kerja busuk - kerana bila sampai masanya anda menjadi pemimpin, anda tahu realiti pekerjaan peringkat marhaen.

Masa berlalu. Bunga kembang beberapa kali. Daun jatuh gugur juga banyak kali.

Aku semakin tua. Tadi, isteri aku terserempak dengan seurat lagi uban di atas kepala, menjadikan total sekarang dua urat. Tak mengapalah. Isteri aku tentu gembira, kerana semakin banyak uban - semakin banyaklah gadis cantik di tepi jalan yang tidak terpikat dengan aku. Dan impian aku pergi melancong ke China seperti Salleh Yaakob hancur lebur.

Sekarang aku berada dalam dunia yang lain. Dunia akademik yang mengkaji hal yang tidak diketahui orang umum. Kami dalam dunia kami sendiri. Itu bahasa indahnya. Bahasa mudahnya, - kami dalam dunia syok sendiri.

Seperti mana aku melatih para eksekutif lulusan universiti yang ada ranking atau tidak, begitulah style aku sekarang juga.

Aku akan meminta pelajar di bawah seliaan aku, menghantar model kajian untuk dilihat oleh manusia akademik lain. Bukan hanya di dalam Malaysia, yang terkemuka dalam bidangnya di luar negara juga. Biar mereka memberi komen. Biar mereka mencela atau memuji. Biar mereka memberikan reaksinya.

Selama ini, dunia kajian kita hanya syok sendiri. Kita terhibur dengan banyak perkara kerana kita hanya membincangkannya di kantin universiti. Kita berkata bahawa kajian kita adalah yang terbaik dalam dunia. Sedangkan, kajian kita mungkin tidak mampu pun mencecah darjah kesarjanaan orang kampung aku di Changlun.

Sebaik sahaja menghantar ke jurnal terkemuka - jurnal dengan gembiranya - I am sorry Bro. Your research is not suitable to our journal. Send it to Jurnal Kangkung. They will accept your paper easily.

Sebab itulah, kita perlu lakukan sesuatu. Kita perlu paksa pelajar kita menghantar proposal atau model research kita untuk masyarakat akademik berkelas dunia. Jangan bimbang kalau bahasa Inggeris anda buruk dan jelek. Mereka tidak mengutamakannya. Mereka akan melihat apa jenis kajian yang sedang anda tunjukkan.

Sesiapa yang menjadi pelajar aku - aku tidak tahu apa yang sedang anda rasakan. Anda mungkin sedikit kepenatan. Tetapi percayalah, anda sedang belajar sesuatu.

Aku bukanlah ahli akademik. Aku datang dari dunia yang lain. Aku datang dari dunia yang tidak suka aku dilabelkan sebagai kangkung! Aku juga tidak mahu pelajar aku menjadi kangkung yang harganya sangat murah di pasaran - dan hanya tumbuh di celah longkang!

Wednesday, 27 July 2011

Pandangan salah terhadap kos penyelidikan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tidak ada apa yang hendak ditulis.

Kita tulis hal akademik. Salah tanggap terhadap kos penyelidikan.

Banyak orang beranggapan bahawa tidak perlulah dikaji banyak hal (variables) bagi sesuatu topik kerana ia akan meningkatkan kos penyelidikan. Ini pandangan yang salah.

Sebenarnya kos penyelidikan tidak bertambah dengan banyaknya pembolehubah yang dikaji. Kos penyelidikan bertambah dengan penambahan bilangan subjek.

Katakan anda hanya mengkaji satu pembolehubah (burnout), kos pengangkutan untuk bertemu dengan seorang subjek - katakan RM 5 akan digunakan. Sekiranya anda menambah dengan 5 pembolehubah (burnout, depression, job stress, job demands, job resources), kos pengangkutan sebanyak itu juga. Yang bertambah pun mungkin halaman soal selidik, tetapi ia sebenarnya hanya meningkat 2 sen sahaja.

Jadi, kepada pelajar atau pengkaji, sekiranya anda ingin melakukan penyelidikan, ada baiknya anda menguji banyak pemboleubah. Jangan terpedaya dengan pandangan bahawa semakin banyak pembolehubah, maka semakin besar kos penyelidikan.

Katakan ada bertemu 200 subjek (200 x RM 5) = RM 1000, jadi sebanyak itu jugalah sekalipun anda hanya mengkaji satu pembolehubah. Semakin banyak pembolehubah, semakin banyak perkara yang boleh anda tulis.

Monday, 25 July 2011

Siapa yang kita boleh percaya?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam satu iklan bank, ditunjukkan bagaimana jujurnya rakyat Australia. Dompet yang berisi wang diletakkan di tengah jalan, dan diselitkan kad alamat pemilik dompet. Didapati, dompet ini dikembalikan. Bagi melihat adakah kejujuran manusia berubah, jumlah wang yang lebih banyak diletakkan di dalam dompet. Didapati bahawa, dompet itu tetap dikembalikan. Iklan ini memetik, 95% rakyat Australia boleh dipercayai.

Iklan tadi - sebenarnya merujuk kepada satu kajian mengenai kejujuran rakyat Australia.

Readers Digest Australia, mengeluarkan senarai profesyen yang dipercayai tahun 2011. Berdasarkan survey, pekerja kesihatan seperti doktor dan paramedik berada pada senarai teratas profesyen yang boleh dipercayai. Penjual kereta, ahli politik dan tele-marketers tetap berada pada senarai yang bawah. Hampir 20 tahun dulu, ketika aku masih belajar di universiti, ahli politik dan penjual kereta tetap berada pada ranking paling buruk.

Senarai tahun ini juga mendapati pelacur adalah lebih dipercayai dibandingkan beberapa kerjaya lain.

Bagaimana di tempat kita.

Kalau dompet kita terjatuh, peluang untuk kita mendapatkannya mungkin sangat sedikit. Tidak banyak lagi manusia yang boleh kita yakini lagi.

Katakan anda terjumpa dompet yang jatuh, dan ada wang yang banyak pula - bagaimana yang harus anda lakukan.

Kalau anda seorang yang jujur, anda akan memulangkannya kepada si empunya dompet. Bagaimana pula, katakan dalam dompet itu tidak ada sebarang tanda indentiti pemilik. Apa yang harus anda lakukan?

Anda mungkin akan memulangkannya kepada pihak berkuasa, dengan harapan mereka akan mencari pemiliknya. Bagaimana pun, sesekali dalam benak kita akan bertanya - bagaimana pula kalau mereka pula yang akan mengambilnya.

Sebenarnya - itulah simptom yang menjadikan budaya tidak jujur ini berlaku. Kita tidak percayakan sesiapa lagi. Kalau kita memberi kepada pihak lain, besar kemungkinan pihak lain ini akan mengambilnya pula. Tidak ada jaminan ia akan sampai ke tangan pemilik yang malang itu.

Tentulah - kita membuat kesimpulan ini berdasarkan pengalaman kita, atau cerita dari orang lain. Dalam dunia ini, tidak ada sesiapa pun lagi yang boleh dipercayai.

Semua orang akan mengambil kesempatan dan memanipulasi.

Apa yang boleh kita lakukan?

Friday, 22 July 2011

Cerita PhD saya - Part 2

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya bernasib baik kerana saya memang seorang penulis, walaupun tidak terkenal. Ini menjadikan saya boleh menulis lebih cepat. Kalau saya dapat menulis tesis dalam bahasa Melayu, mungkin ia akan lebih cepat lagi.

Orang selalu takutkan bahasa Inggeris. Bahasa hanyalah medium. Bagi saya, kelemahan utama menulis bukanlah bahasa, tetapi pada struktur ayat. Orang yang lemah menulis, mereka akan lemah dalam semua bahasa juga. Jadi, bukanlah bahasa itu yang menghalang penulisan, tetapi kemahiran mengolah pemikiran itulah halangan utamanya.

Ketika saya masih muda, saya selalu menulis surat cinta kepada kekasih saya. Sekarang ini, saya tidak boleh lagi menulis surat cinta itu, kerana kekasih saya sudah berkahwin dengan saya. Saya tidak boleh 'mengayat'nya lagi kerana dia tidak akan percaya. Jadi, sebab itu saya tidak lagi menulis surat cinta yang berbunga-bunga.

Koleksi surat itu masih ada dalam simpanan album isteri saya.

Sepanjang saya di sini, saya berpeluang melihat banyak perkara. Ada di antara pelajar PhD kita yang terpaksa pulang lebih awal. Anda ingin tahu mengapa?

Saya teringat kata kawan saya, PhD ini bukan kita punya. Ia milik penyelia kita. Kita hanya akan ada PhD sendiri bila kita menyelia orang lain.

Anda tahu maknanya? Kalau anda menjadi pelajar, ikut sahajalah rentak penyelia anda, walaupun adakalanya ia bukan mudah. Jangan sesekali kita menunjuk pandai, kerana ia tidak akan berguna apa pun. Kita akan dianggap pelajar juga. Kalau kita asyik bertekak dengan penyelia kita, akhirnya kita juga yang akan menanggung nasib buruk.

Masalah pertembungan dan krisis pelajar-penyelia ini nampaknya berlaku banyak di antara mereka yang masih muda dan baru berjinak dengan dunia pekerjaan. Sebenarnya, dalam dunia ini, semua yang kita lakukan adalah 'permainan'. Jadi, bermainlah dengan cara yang pintar.

Ketika saya baru mendaftar dulu, saya ikut sahaja apa yang penyelia saya cakapkan. Saya tidak kisah, walaupun ia tidak logik. Bayangkan, beliau meminta saya melakukan kajian populasi. Ia bukan projek kecil. Ia kajian yang patut ditaja. Walaupun saya tidak ada wang, saya lakukan juga.

Waktu itu, banyak perkara yang ingin saya kaji sebenarnya terpengaruh dengan idea penyelia saya.

Kini, setelah beberapa kali kajian, beliau tidak kisah lagi dengan apa yang ingin saya kaji. Malah, saya boleh merancang apa yang saya mahukan, dan bagaimana kajian yang ingin saya lakukan. Saya juga kini boleh memberi pandangan terhadap kajiannya pula. Beliau kini menjadi seperti rakan baik saya. Adakalanya, saya boleh mengajak beliau minum kopi.

Dulu, saya perlu membuat appointment kalau ingin bertemu dengan penyelia saya. Kini, saya hanya perlu menjenguk muka ke biliknya dan terus bertanya. Saya boleh mengirim sms atau telefon kalau ada hal yang sangat mendesak.

Sebab itulah, saya rasa perkara pokok dalam proses kajian PhD ialah memberi ruang untuk membina kepercayaan orang terhadap kita dulu. Kemudian, semuanya akan lebih mudah apabila kita sudah membina reputasi kita sendiri.

Anda mungkin tidak tahu, bahawa saya jugalah yang melakukan proses screening pelajar dari Malaysia yang memohon untuk membuat PhD di bawah penyelia saya.

Nanti saya sambung pengalaman saya membuat PhD. Ia mungkin berguna untuk anda.

Cerita PhD saya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tinggal 32 hari sahaja lagi sebelum saya menghabiskan cerita PhD di bumi Australia. Saya tidak tahu sama ada saya sedang gelisah atau gembira. Saya tidak terasa apa-apa sangat sebenarnya. Ada satu lagi manuskrip perlu saya siapkan sebelum saya boleh memberi titik akhir kepada tulisan kajian saya.

Terus terang, saya sebenarnya sudah bosan dan agak keletihan. Sepanjang 4 tahun ini, inilah jadual hidup saya. Mencari wang untuk membolehkan rakan-rakan saya di Malaysia melakukan kutipan data. Kalau saya ada wang gaji yang lebih, saya akan menggunakannya. Kalau tidak ada, saya akan menelefon teman-teman saya di Malaysia. Mereka ini baik dan rakan terbaik saya. Sehari atau dua, mereka memasukkan wang itu ke akaun saya.

Saya ada banyak kawan yang baik sebenarnya. Salah seorang darinya ialah bekas rakan sekerja saya. Dialah yang melakukan proses transaksi upah ini. Sudah hampir 4 tahun dia memegang kad Maybank saya. Dia tahu berapa baki wang yang saya ada, malah dia lebih tahu dari saya tarikh kenaikan gaji saya. Dia bukanlah seorang akauntan. Beliau ialah pereka grafik. Dialah yang melukiskan banner FakirFikir seperti yang anda lihat di atas.

Tetapi dia seperti saya juga. Dia tidak ada banyak wang. Jadi, untuk mendapatkan wang, saya terpaksa menghubungi orang lain.

Selepas data diperolehi, saya menganalisisnya. Tetapi kerana saya melakukan banyak kali kutipan data, 6 kali sebenarnya - maka sebelum saya sempat siap menganalisis data, biasanya akan ada data baru yang sampai pula. Inilah yang membolehkan kerja menulis saya tidak pernah ada titik hujungnya.

Sekarang ini pun - dengan hanya baki 32 hari, saya sedang lagi menganalisis data yang baru. Kalau saya pemilik universiti ini, saya akan memberikan anugerah kepada diri saya sendiri, kerana menjadi penyelidik yang rajin. Itulah yang membuatkan saya tidak pernah ada wang dalam poket.

Pengalaman belajar PhD ini bagus juga. Saya belajar banyak analisis statistik yang kompleks. Saya juga menulis banyak jurnal. Setakat ini sudah ada 6 jurnal yang diterima. Malah, saya kini boleh menjadi penilai jurnal orang lain. Saya juga sudah boleh mengendalikan bengkel penulisan jurnal saya sendiri, semuanya berdasarkan pengalaman saya.

Tetapi jangan bimbang, saya tetap begini juga. Kalau ditakdirkan saya mendapat PhD pun, tidak perlulah saya dipanggil Dr. Saya lebih senang dipanggil Saudara Fakir sahaja. Bagi saya, PhD hanyalah sekeping kertas untuk memasuki alam pekerjaan. Tidak ada lebih atau kurangnya saya berbanding orang lain. Banyak orang di kampung saya, tidak tahu pun sekarang ini saya di Australia. Setiap kali saya balik, saya hanya beritahu saya kerja di Kuala Lumpur.

Tetapi ada satu hal yang pelik dengan diri saya. Saya ini tergolong dalam Type A personality. Saya akan pastikan semua kerja dilakukan dengan cepat dan sempurna. Saya rasa itu hal yang akan menyusahkan pelajar saya nanti. Saya takut mereka tidak terbiasa dengan cara saya berkerja.

Apa lagi yang saya belajar?

Banyak.

Satunya - saya dapati tidak ada sesiapa pun yang bergelar Profesor di universiti Barat yang sombong. Ada di antara mereka yang kini adalah kawan baik saya.

Di tempat kita bagaimana?

Thursday, 21 July 2011

Apa yang hendak aku ceritakan?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
12 haribulan Julai, jam 5 pagi aku sampai ke stesen bas Jalan Duta. Ada beberapa manusia di situ. Aku memilih satu warung untuk minum. Tapi, jam masih sangat pagi. Memandangkan aku sudah lama di Australia, jam 5 pagi pun terasa panas. Aku minta air soya sahaja. Tujuan aku pagi ialah bertemu seorang teman lama, yang kali terakhir kami berjumpa ialah tahun 2000, ketika aku sakit teruk. Itu lebih 10 tahun dulu.

Teman baik aku ini seorang ustaz - tapi karektornya sebagai seorang 'rockers' menjadikan orang tidak tahu bahawa dia seorang yang alim dalam hal agama dan fasih dalam bahasa Arab. Dia adalah teman baik aku sejak di UKM lagi. Dia juga tahu sedikit sebanyak hal perubatan Islam kerana dia pernah berguru di Darul Shifa. Dia juga sebenarnya pernah sakit seperti aku sekitar hujung tahun 1990-an.

Teman baik aku ini menaiki bas dari Kota Bahru. Aku pula dari Changlun. Kami berjanji bertemu di Kuala Lumpur.

Jam 8 pagi - aku mengambil teksi dan bergerak ke depan The Mall. Di situ aku bertemu dengan kawan baik aku ini. Kami menaiki LRT menuju ke Masjid Jamek. Kami mencari kedai mamak di situ. Aku tidak ingat berapa gelas teh tarik yang aku minum pagi itu. Mungkin 3 gelas. Kami berbual banyak hal. Banyaknya hal akademik kerana teman aku ini sedang lagi belajar PhD di sebuah universiti utara tanah air.

Tiba-tiba teman aku terserempak dengan temannya, lulusan PhD. Kami berbual. Teman baik aku memperkenalkan aku pada temannya. Melihat aku berseluar jeans lusuh dan berbaju T, berambut serabut - dia sepertinya tidak percaya bahawa aku juga 'sekapal' dengannya. Dia sempat berkata "Eh, macam tak percaya yer". Aku tidak kisah sangat pun orang percaya atau tidak. Teman baik aku yang berjaket Levis dan berkasut Nike ketawa besar. Sebenarnya dia juga seperti aku. Orang juga tidak akan percaya!

Dalam bahasa Melayu telo Kelantan, kawan aku memberitahu temannya itu - Adjunct tu! Sebenarnya beberapa hari sebelum itu, penyelia aku singgah di universiti tempat aku berkerja di Kuala Lumpur. Dia ada memberitahu ketua jabatan aku - yang dia ada rancangan untuk melantik aku menjadi Adjunct Researcher di universiti aku belajar sekarang. Ini bagi membolehkan aku terus menjadi sebahagian dari pasukan penyelidik di sini, biar pun aku sudah pulang ke Malaysia. Insyaallah, ia akan berlaku setelah aku lulus PhD.

Jadi aku mungkin sekali sekala akan datang ke Adelaide lagi. Itu yang bagus.

Sebenarnya, itulah aku. Aku selalu berpakaian serabut. Teman aku juga begitu. Tetapi aku selalu percaya bahawa otak yang baik lebih penting dari berpakaian cantik, walaupun aku tahu masyarakat kita di Malaysia tidak sukakannya. Tidak mengapalah.

Setelah teman itu berlalu pergi, teman aku memberitahu. Jangan kisahkannya, dia tu "mat skema".

Kami kemudiannya berpindah dari kedai mamak itu. Kami melangkah pergi ke kedai mamak yang lain, di depan Central Market. Ini tempat kami ketika muda-muda dulu. Di sana beberapa cawan teh tarik lagi aku pesan.

Apa yang hendak aku kisahkan di sini?

Aku pun tidak tahu.

Wednesday, 20 July 2011

Universiti patut menjaga reputasinya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku sepertinya sedikit terkedu apabila ada satu anugerah yang menggunakan nama ahli politik popular tempatan, seperti yang dilaporkan di dalam akhbar semalam. Kawan-kawan aku tersenyum sinis mendengar berita ini. Bagaimana pun, hari ini - dengan adanya berita bahawa ia masih dalam perbincangan, hal ini sedikit melegakan.

Sebenarnya universiti bukanlah kedai kopi yang boleh membancuh dan menjual kopi kepada sesiapa sahaja. Universiti patut dianggap sebagai institusi keilmuan yang tinggi dan dihormati. Sebab itu, dalam banyak hal, ia tidak sewajarnya menciptakan anugerah tanpa mengambil kira banyak hal yang berlingkar di balik tabir dunia kesarjanaan itu sendiri.

Kalau ini tidak dijaga, pada masa depan kita akan mendengar beratus-ratus anugerah yang menyebabkan masyarakat merasa loya mendengarnya. Universiti patut mempunyai standardnya yang tersendiri bagi menjaga reputasinya. Kalau tidak, ia akan menjadi bahan ketawa masyarakat.

Orang akan berasa bangga kalau diberikan Anugerah Tun Mahathir kerana orang tahu, nama itu membawa bersamanya reputasi dan sumbangan besar untuk manusia. Orang juga akan berasa kagum kalau anugerah Tun Suffian Hashim - tokoh besar dalam dunia perundangan. Anugerah Pak Sako - nasionalis dan penulis juga mungkin akan mengharumkan nama penerimanya.

Ini bermakna, tokoh itu haruslah benar-benar ada kredibiliti dalam bidangnya. Popularitinya bukanlah syarat utamanya, tetapi pencapaian luar biasa itulah yang patut dijadikan kayu ukur. Bagaimana pun, ada orang yang menikmati kedua-duanya sekaligus. David Beckham seorang yang popular. Tetapi beliau juga seorang yang luar biasa dalam permainan bolasepak. Ia mungkin ikon yang sesuai dalam anugerah sukan. Bagaimana pun, beliau mungkin belum lagi mennjangkau standard luar biasa itu dibandingkan banyak tokoh sukan lain, seperti Pele atau Maradona.

Hari ini, setiap hari kita mendengar universiti bersaing untuk menjadi yang terbaik. Ramai pensyarah dihantar ke luar negara bagi mendapatkan ilmu terkini. Semua ini bersangkutan untuk menjadikan universiti tempatan terus mempertahankan reputasinya dalam dunia intelektual.

Bagaimana pun, semua ini akan dilupakan kalau universiti tersilap langkah. Semua ini akan diremehkan kalau ada hal lain yang tidak dijaga secara baik.

Tuesday, 19 July 2011

Bodek yang sedang memakan kita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bodek mungkin hal yang janggal bagi kebanyakan masyarakat dunia yang lain. Tetapi bodek sudah menjadi rutin hidup masyarakat kita. Setiap hari, kita kalau boleh ingin membodek sesiapa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada kita.

Orang kecil seperti kita perlu membodek orang yang lebih besar dengan harapan kita mendapat sedikit manfaat. Guru biasa perlu membodek pengetua agar mudah dinaikkan pangkat. Pensyarah perlu membodek para birokrat agar mudah diluluskan geran penyelidikan. Pegawai kerajaan perlu membodek pengarah berpangkat besar dengan belajar bermain golf agar ia memudahkan banyak urusan pekerjaan.

Bodek. Dari mana istilah ini datang dan siapa menciptakan istilah ini kita tidak begitu tahu. Tetapi bodek ini telah berakar umbi dalam jiwa kita, menjadikan bodek ini darah baru yang mengalir dalam urat saraf kita. Tanpa bodek kita akan mati sebelum mencapai usia yang sepatutnya.

Siapa yang mengajar kita membodek ini. Di universiti, para pelajar seolah-olahnya sudah diberitahu bahawa kalau ingin mendapat markah yang baik, bodek terlebih utama dari banyak membaca buku. Berdiri di tengah panas di lapangan terbang menunggu menteri pulang adalah terlebih utama untuk mendapat gelar 'Datuk' berbanding dengan berjalan di tengah kampung melihat siapa yang susah tidak cukup makan. Mencium tangan orang besar terlebih mulia sebagai tanda penghormatan, walaupun jarang mencium jari kasar ibu tua di rumah.

Bodek ini kini sedang memakan masyarakat kita sedikit demi sedikit. Bodek telah menyebabkan banyak orang naik lebih cepat walaupun orang tahu jasa orang itu mungkin tidak ada. Malah penilaian prestasi kerja sekarang ini tidak lagi perlu mengisi borang atau menunjukkan kecemerlangan kerja, tetapi siapa yang pintar membodek akan dilayan mulia.

Di kaca televisyen dan suratkhabar berita bodek ini telah menenggelamkan hal yang terlebih utama untuk dibahaskan. Orang lebih suka menayangkan berita sumbangan derma ahli politik, dari menunjukkan berita anak yatim yang hanya ada sehelai seluar dalam berlubang. Orang sanggup berbelanja puluhan ribu membeli iklan muka depan suratkhabar untuk meraikan harijadi dari menghulurkan derma di tabung masjid.

Semua ini adalah budaya bodek.

Dari mana datangnya bodek ini?

Inilah budaya fuedal yang sedang membalut minda kita walaupun kita mengaku kita ini adalah antara manusia termaju di dunia.

Selagi mana kita tidak boleh menghilangkan budaya bodek ini, selagi itulah kita tidak akan mampu menjadi manusia berjiwa besar dan menjadi masyarakat kreatif. Kita tidak mampu berdebat dan berfikir secara rasional kerana minda bodek sedang menapis keupayaan akal kita yang waras.

Anda ingin membodek siapa besok pagi?

Dari mana ia bermula

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah banyak hari aku tidak menulis.

Tidak banyak hal yang mampu aku fikirkan.
Aku cuma ada 35 hari lagi sahaja sebelum aku menghantar tesis. Stres atau tidak? Entahlah. Aku tidak berapa pasti.

Apakah berita utama di Malaysia sekarang. Politik. Politik. Politik.

Tidak mengapalah. Itu budaya kita. Berperang untuk kuasa.

Tapi, aku ada dua berita hari ini. Kedua-duanya tersiar dalam Harian Metro.

Berita1 dan Berita2 adalah dua berita yang berbeza, tetapi inti ceritanya sama sahaja. Dalam dunia hari ini, peluang untuk mendapat pasangan yang baik mungkin tidak sebesar untuk mendapat untuk mendapat mereka yang teruk. Kehidupan masyarakat kita kian parah. Dadah, jenayah, krisis rumahtangga semuanya sudah menjadi berita biasa kita.

Ada orang menyalahkan ibubapa kerana tidak mendidik anak dengan hidup beragama. Ibu bapa pula menyalahkan faktor ekonomi kerana kita perlu berkerja lebih teruk dengan upah yang sedikit.

Dari mana semua ini bermula?

Semuanya bermula apabila semua orang hanya bercakap hal wang. Semuanya bermula apabila semua orang hanya inginkan pangkat dan kekayaan.

Kita terlupa asal usul datang dan di mana mayat kita akan dikambuskan.


Saturday, 16 July 2011

Bengkel yang satu lagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Alhamdulillah. Bengkel menulis dan membaca jurnal selesai. Tidak tahulah peserta faham atau tidak. Terima kasih kepada 16 peserta yang hadir. Gambar nanti aku update.

Sesiapa yang teringin belajar AMOS atau HLM boleh contact aku. Sebelum aku balik, aku ingat nak buat sesuatu yang bermanfaaat. Aku rasa, aku boleh ajar banyak mediation testing - Monte Carlo, Sobel, dan bootstrapping. Ia percuma.

Friday, 15 July 2011

Bengkel menulis dan membaca!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tinggal lebih kurang 40 hari sebelum aku perlu menghantar tesis untuk diperiksa bagi menutup cerita aku di Adelaide. Sepanjang 4 tahun ini, aku rasa - banyak juga berita gembira perjalanan menulis tesis dan jurnal. Aku cuma bernasib baik kerana berpeluang belajar dengan penyelia yang bagus.

Tadi pagi, aku menerima emel dari sebuah jurnal antarabangsa.


Dear Mr. Idris:

It is a pleasure to accept your manuscript entitled "The effect of globalization on employees’ psychological health and job satisfaction in Malaysian workplaces" in its current form for publication in the Journal of Occupational Health".

Banyak yang sudah aku tulis. Hakikatnya, ia bukanlah menjadikan kita terlebih pandai, ia hanya sejauh mana kita beruntung atau tidak. Itu sahaja.

Esok, aku akan mengendalikan bengkel "Menulis dan membaca jurnal". Bukanlah bermakna aku terlebih pandai dari orang lain. Ia hanya sekadar berkongsi ilmu. Tentu setiap orang ada pandangan dan caranya yang tersendiri. Apa yang cuba aku kongsi ialah cara aku. Itu sahaja.

Seperti biasa, ia percuma.

Aku tidak pasti sama ada penganjur mengenakan bayaran atau tidak. Kalau dikenakan bayaran pun, ia mungkin untuk membiayai kos makan dan minum.


Aku tidak tahu hal itu.

Selamat datang untuk mereka yang akan datang. Untuk yang tidak mahu datang, boleh sambung tidur dan menonton televisyen.

Thursday, 14 July 2011

Facebook!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bayak cerita dari Malaysia yang patut aku rakamkan.

Satu malam, aku di cyber cafe. Tiba-tiba ada seorang lelaki tua, yang pada pandangan aku bukanlah orang senang. Umurnya mungkin dekat 70 tahun kalau dilihat dari segi fizikalnya. Aku bertanya-bertanya apa orang tua seperti dia buat di cyber cafe di tengah malam seperti itu.

Kebetulan, meja komputernya ada di belakang aku.

Sebelum aku keluar dari cyber cafe itu, hatiku yang bertanya apa yang lelaki tua itu buat tentunya akan selalu memasang curiga. Itu penyakit hati yang tak dapat aku ubat. Aku menjeling ke arah komputernya.

Apa dia buat?

Facebook!

Hah. Ini buktinya rakyat Malaysia bukan buta komputer. Ini buktinya rakyat Malaysia begitu hebat. Cuma aku selalu berfikir, usia seperti itu tidak patut menjadi orang muda lagi. Lebih baik melepak sahaja di surau.

Di depan cyber cafe itu ada satu warung kopi. Aku dengan seorang kawan minum kopi di situ.

Tidak lama lelaki tua itu keluar dari cyber cafe dan menuju ke arah motosikalnya. Sambil perlahan-lahan dia menolak keluar motornya dari parkir.

Aku tidak tahu apa patut aku katakan. Walaupun aku tidaklah menyalahkan orang tua yang ingin bermain facebook, tetapi aku rasa setiap orang ada waktunya.

Sebab itu, anak dara patut berhati-hati apabila bermain di facebook!

Wednesday, 13 July 2011

Kita boleh menjual dan membeli ilmu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ziarah76 bertanya - dah sampai mana, saya di Alor Setar la ni?

Tadi pagi aku menjejakkan kaki ke Adelaide. Kalau aku di Kedah, mungkin aku sempat minum kopi secawan dengan Sdr Ziarah.

Banyak cerita dari Malaysia yang patut kita dengar. Betapa pangkat dan darjat ini telah menjadi sebahagian dari nota baru dalam kamus hidup orang kita.

Satu malam, ketika di hotel - tatkala sedang berbual dengan seorang kawan, tiba-tiba melintas di depan kami seorang VIP yang dahulunya seorang Timbalan Menteri. Dia sudah lama bersara.

Kawan aku mencuba menunjuk mesra..."Ini Datuk...". Lantas kenamaan itu menjawab "Tan Sri"

Tak mengapalah. Darjat dan pangkat telah menjadi mercu tanda kita.

Satu malam, seorang teman lama aku menelefon. Kami bertemu dan berbincang. Dia behrajat untuk menyambung pengajian peringkat master. Aku katakan agar dia ke universiti tempatan yang ada dekat dengan kawasan kami sahaja.

Dia tidak begitu teruja sebenarnya. Katanya, dia bukan mahukan ijazah. Dia mahukan ilmu. Dia banyak bercerita bagaimana banyak temannya yang ada ijazah tinggi. Ada yang ada ijazah sarjana. Sayangnya, mereka tidak mendapat apa-apa pun pengetahuan.

Ada yang menyambung pengajian kerana bagi memudahkan kenaikan pangkat. Mereka ini tidak pun mementingkan citra ilmu. Sebab itu, banyak yang mengupah sahaja individu tertentu bagi membuat tugasan atau menulis kajian untuk mereka. Kerana yang membuat ini tidak pun mementingkan ilmu, tetapi hanya pangkat, dan mengambil upah itu pula tidak memandang pun makna 'ilmu' dan mencari wang sahaja, maka akhirnya semua orang sanggup berbuat apa sahaja.

Kasihan. Dunia hari ini ilmu sudah menjadi barang dagangan sahaja. Semuanya kerana ingin memiliki darjat dan pangkat.

Teman itu bercerita, kalau dia mahu - dia boleh mendapat ijazah sarjana dengan mudah, bahkan boleh mendapat gelar 'doktor'. Dia boleh mengupah orang sahaja membuatkan semuanya untuknya.

Barangkali inilah antara petaka yang sedang melanda dunia orang kita. Kita tamak dan haloba. Kita hanya memandang gelar, tetapi bukan kualitinya. Kita sanggup berbuat apa sahaja asalkan kita dipandang mulia, walaupun kelakuan kita untuk mendapat gelar yang mulia itu penuh kehinaan.

Kerana itu, dia tidak terangsang lagi untuk menyambung pengajian kalau itulah caranya. Satu hari nanti, ilmu mungkin boleh dibungkuskan dalam plastik dan dijual di kedai runcit. Sesiapa sahaja boleh membeli dan menjualnya kalau ada wang yang cukup.

Kawan aku ini - adalah teman baik aku dari zaman sekolah lagi. Di sekolah menengah, kami sudah berbincang hal Plato dan Aristotle.

Kerana hajatnya itu - dan dia tidak ada pilihan yang banyak lagi untuk lari dunia palsu yang penuh kehinaan, aku terpaksa bersetuju untuk menyelianya. Ia bukan penyeliaan dari seorang guru kepada pelajar - tetapi pengkongsian ilmu dari seorang teman kepada teman.

Aku rasa, itulah makna persahabatan yang menyumbang kepada dunia keilmuan.

Kalau ada sesiapa yang ingin mengupah aku?

Aku cuma boleh menjawab - "Sebagaimana syurga itu begitu luas, neraka juga mampu menampung semua jenis manusia penipu!"

Monday, 11 July 2011

Update ringkas - Edisi Malaysia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari di Malaysia. Jalan sesak, panas dan kacau bilau politik membingitkan telinga. Tidak sempat aku update apa yang berlaku. Terlalu sibuk. Turun di Kuala Lumpur. Memandu kereta di celah lorong jalan dan lebuhraya memang menghabiskan wang. Oh tidak. Kereta pick-up yang aku pinjam sudah diisi minyak penuh, dan diberi pula kad touch n go. Semuanya sudah dibiayai oleh anak saudara aku yang budiman.

Dua hari di Kuala Lumpur bertemu banyak orang. Sibuk. Kemudiannya berkejar ke Johor Bahru. Membentang dan melihat pembentangan.

Petang terakhir, seorang sarjana dari Australia, tiba-tiba datang ke arah aku sambil bertinggung di depan aku yang sedang duduk di atas kerusi bertanya banyak hal fasal penyelidikan. Dia gembira dengan aku. Aku katakan, bukan aku, tetapi supervisor aku yang merancang semuanya. Supervisor aku gelak sahaja. Dia terus bertanya bagaimana aku menulis jurnal dan melakukan banyak kajian. Dia juga memceritakan bagaimana kertas kajiannya ditolak.

Sambil berbual, dia bertanya sama ada kertas kualitatif aku sudah terbit. Aku katakan ya.

Sebelum aku pulang - melihat banyak pembentang dari Malaysia yang berambut pendek dan berbaju kemas, dia bertanya aku - bila mahu potong rambut? Aku kata tidak boleh, idea penyelidikan aku ada di bawah rambut yang serabut!.

Melewati jalan dari hotel ke lapangan terbang Senai, banyak polis sedang melakukan pemeriksaan. Keseokan harinya ialah hari untuk mereka yang ingin menunjuk rasa - Bersih 2.0.

Bagi aku, sesiapa sahaja kita - dari arah mana sekalipun - sama ada yang ingin melakukan demontrasi, atau ingin menentangnya - semuanya akan menjadi sesuatu yang baik kalau ia demi kebaikan negara. Ia hanya sesuatu yang menjengkelkan, dari blok mana sekalipun - kalau ia bertujuan untuk politik kepentingan diri.

Sekarang aku di Changlun - bandar kecil yang selalu menjadi kota rujukan jatidiri. Malam ini aku pulang ke Kuala Lumpur, naik bas. Malam besok aku akan kembali ke Australia.

Saturday, 2 July 2011

Update di kala sibuk

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah beberapa hari tidak sempat update. Sibuk. Data survey aku tidak mahu menjadi dengan analisis hierarchichal linear modelling (HLM). Apa bezanya software ini? Ia biasanya digunakan untuk analisis multi level data. AMOS yango dianggap canggih dalam analisis structural equation modelling tidak boleh digunakan bagi tujuan multi level data. Software yang paling baik setakat ini ialah MPlus. Tapi aku tidak sempat menguasainya lagi. Ada sebulan lebih sahaja lagi sebelum aku menghantar tesis.

Stres!

Besok pagi aku bertolak ke Melbourne. Menginap sehari di rumah kawan sebelum aku pulang ke Malaysia. Di Kuala Lumpur, penyelia aku Prof Maureen Dollard akan menyampaikan syarahan di kampus perubatan, UKM pada 5 Julai, 2.30 petang. Sesiapa yang tidak ada kerja, dan berminat dalam hal psikologi boleh datang. Aku juga ada di sana. Boleh email aku kalau takut tersesat.

6 Julai, aku akan singgah di UM. Kami ada perbincangan akademik di sana.

Malamnya aku bertolak ke Johor Bahru. 7 - 8 Julai kami ada pembentangan di Monash University. 8hb malam aku bertolak balik ke Penang dengan Air Asia. 9-11 Julai aku di Changlun bagi urusan mengorek rebung dan mengail ikan puyu. 12hb aku terbang balik ke Melbourne, dan kemudiannya ke Adelaide. 14hb aku menjadi tutor membantu penyelia aku mengajar AMOS di universiti.

17hb aku adakan bengkel bagaimana menulis dan membaca jurnal.

25 Ogos aku menghantar tesis. Doakan aku.

Hidup ini sibuk bukan?

5hb September aku mengucapkan selamat tinggal untuk warga Adelaide.

Semoga aku pernah menjadi teman yang baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails