Yang Ikut

Monday, 27 June 2011

Bagaimana memahami jurnal?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seseorang bertanya: 'Boleh tak bagi cadangan, macam mana nak memahami sesuatu jurnal akademik dengan cepat. Maksudnya, nak kesan point penting dalam satu-satu jurnal'.

Soalan ini sebenarnya tidak boleh dijawab di dalam blog. Ia perlukan sedikit latihan praktik.

Bagaimana pun, umumnya kita membaca jurnal atas sebab tertentu. Kita tidak perlu mengetahui setiap butir dalam jurnal yang ditulis. Kalau kita ingin memasak nasi lemak, kita membacanya hanya untuk mengetahui cara atau resipi nasi lemak. Kalau kita ingin mencari bahan pelik yang ada dalam resipi nasi lemak, maka bahan yang 'pelik' itu sahaja yang patut kita cari.

Jadi membaca jurnal sepatutnya bersebab.

Biaasanya ada dua perkara asas yang ingin kita cari - kelebihan atau kekurangan. Biasanya kita ingin mencari kelebihan satu-satu kajian untuk menyokong kajian kita. Kalau kita ingin mencari kelemahan, ia biasanya bagi membuktikan kajian kita lebih baik atau sebab apa kita ingin melakukan kajian.

Itu sahaja tujuan umum kita membaca jurnal, agar kita boleh memetik (cited) kajian seseorang.

Tidak perlulah kita menghafal semuanya. Kita mungkin hanya ingin tahu cara kutipan data mereka sahaja. Kita juga mungkin sekadar ingin tahu definisi sesuatu perkara. Kita juga sekadar ingin mendapaatkan cara data dianalisis, dan ingin berhujah bahawa cara yang kita gunakan adalah sama seperti yang pernah dibuat orang, atau ingin memberitahu cara kita menganalisis adalah lebih baik.

Ada bahan yang kita hanya ingin masukkan ke dalam bahagian pengenalan, ada pula yang ingin kita masukkan pada bahagian perbincangan. Jadi semuanya bergantung kepada motif pembacaan. Maksudnya, kita menetapkan motif terdahulu baru membaca. Itu kaedah paling cepat memahami satu-satu tulisan jurnal.

Kita membaca atas sebab tertentu. Sebab itulah point utamanya.

Sekiranya yang bertanya ialah seorang pelajar di Adelaide, anda boleh menghubungi Sdr Sufian. Kami akan mengatur satu lagi bengkel 'bagaimana untuk membaca' selepas aku pulang dari Malaysia 12 Julai nanti. Mungkin, bengkel kali ini akan dibantu oleh guru penulisan aku - Jacquie Moller.

Jangan bimbang - ia percuma.

Saturday, 25 June 2011

Keganasan isteri yang tidak kita tahu

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Rumahtangga ialah padang permainan sebuah keluarga. Seperti biasa dalam permainan, ia melibatkan kegembiraan, kesedihan dan adakalanya keganasan.

Selalu kita mendengar isteri disimbah cuka oleh suami, atau keganasan melampau oleh suami yang menyebabkan isteri menderita. Ia sering kita baca dalam akhbar.

Jarang kita mendengar keganasan isteri terhadap suami.

Semalam, saya menerima sms dari seorang kawan, bertanya sama ada saya mempunyai sesiapa yang arif dalam hal perundangan. Teman saya ini diminta oleh satu keluarga di kampung saya, untuk membawa anak lelakinya balik dari Melaka. Anak lelakinya kini terlantar koma di rumah.

Saya bertanya apa sebabnya. Dalam ceritanya, teman saya itu memberitahu, lelaki ini telah koma kerana dipukul oleh isterinya. Saya tidak tahu bagaimana bentuk pukulan atau keganasan yang telah dilakukan hingga menyebabkan koma. Jarang saya membayangkan akan ada suami yang dipukul begitu ganas oleh isteri hingga koma. Sehabis ganas yang saya dengar hanyalah kes membaling pinggan dan pecah di muka.

Lelaki yang koma ini, saya kenal. Tetapi sudah puluhan tahun saya tidak melihatnya. Dia mungkin muda belasan tahun dari saya. Itu pun saya lihat, ketika saya masih remaja dulu, ketika hidup saya lebih banyak di kampung. Lelaki ini pula masih kanak-kanak waktu itu. Setelah dia menjadi seorang lelaki dewasa, saya tidak tahu pula bagaimana karektornya. Tetapi berdasarkan watak anak-anaknya, dia seorang budak kurus yang baik. Dia bukanlah berada dalam karektor mereka yang nakal, setidak-tidaknya seperti karektor saya.

Sebenarnya, itulah antara cerita yang jarang kita dengar. Saya biasa mendengar ada isteri yang ditampar atau dipukul dengan ganas oleh suami masing-masing. Ada di antaranya ialah teman saya sendiri. Seorangnya daripadanya, saya membantunya menghantar pulang ke kampung terpencil di Negeri Sembilan jam 1 pagi. Jalan berliku-liku, gelap dan hutan memang menyeramkan. Tetapi, saya tidaklah terkejut sangat hal ini. Dia wanita. Wanita selalu menjadi simbol mangsa keganasan.

Bagaimana pun, lelaki yang dipukl oleh isteri hingga koma hanya saya dengar malam tadi. Saya tidak tahu cerita sebenarnya lagi, dan apa kesudahan cerita ini.

Pagi tadi, sesudah subuh, teman saya sudah berada di Melaka. Mereka dalam urusan membawa lelaki malang ini pulang ke kampung.

Kasihan dia. Jarang orang ambil tahu keganasan isteri!



Thursday, 23 June 2011

Keakuran dan ketaatan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dalam disiplin psikologi sosial - ada dua hal yang selalu dibincangkan bagi menunjukkan bagaimana prilaku manusia ini cenderung disebabkan oleh orang lain. Ini dibincangkan dalam topik keakuran (conformity) dan ketaatan (obedience).

Apakah conformity?

Selalu dalam mesyuarat, kita sesekalinya bersetuju dengan orang lain. Apabila kita lihat banyak orang mengangkat tangan tanda setuju, kita jadi serba salah kalau tidak bersetuju. Kita pun tumpang mengangkat tangan juga sebagai tanda setuju, walaupun hati kecil kita berkata tidak. Dalam proses pengundian secara terbuka - misalnya dalam perlantikan ahli jawatankuasa kelab, hal ini selalu berlaku.

Sebab itu, dalam banyak hal - kita selalu dengar orang bising-bising apabila selesai mesyuarat. Ada banyak hal yang dirungutkan, walaupun tadinya mereka yang merungut ini bersetuju juga.

Obedience pula - taat yang mebuta tuli. Dalam politik, atau gerakan agama - hal ini banyak terjadi. Ahli taat dengan apa sahaja kata pemimpin, tanpa berfikir hal itu salah atau tidak. Tiada sebarang penggunaan mekanisme berfikir.

Sebab itu, apabila membaca suratkhabar - kita adakalanya berasa jelek dan pelik apabila ada ahli yang berkobar-kobar menyatakan pandangan atau arahan ketuanya sebagai betul dan benar. Sedangkan, kita semua tahu apa yang disebutkan ketua mereka itu adalah hal yang salah.

Anda tidak perlu menggogle hal ini. Cukuplah kalau anda membaca suratkhabar atau melihat berita televisyen.

Apakah keakuran dan ketaatan ini satu hal yang bermasalah. Adakalanya tidak, tetapi selalunya mencetuskan sesuatu yang buruk.

Ia menjadi buruk - apabila dalam hal tertentu kita tidak dapat membincangkan hal secara rasional. Di Parlimen, wakil rakyat tidak dapat membincangkan banyak masalah rakyat dengan lebih rasional kerana mereka terdorong untuk akur dan taat dengan ahli dan organisasi. Apabila dikatakan nuklear sesuatu yang baik - walaupun semuanya tahu, ada juga kesan tidak baik, tetapi orang bersetuju juga.

Begitu juga dalam hal agama. Ada hal-hal yang hanya sekadar perkara cabang. Tetapi kerana gurunya menyebut bahawa itu adalah hal yang tidak boleh, atau kerana falsafah ajarannya menyatakan ia hal yang salah, maka orang selalu membuat hukuman terhadap orang lain tanpa berfikir panjang.

Bagaimana untuk menghindar dua hal ini?

Belajarlah agar lebih terbuka dan menjadi sedikit cerdik.

Wednesday, 22 June 2011

Demo dan kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sekarang ini di Malaysia, orang sibuk dengan demontrasi. Setiap orang ada hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan demontrasi, asalkan ada alasan yang baik bagi setiap pandangannya.

Di Australia, sudah banyak kali aku melihat demontrasi di depan bangunan Parliament South Australia. Di sini, demontrasi adalah perkara yang halal. Asalkan ia adalah bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia. Pernah aku melihat, ada sekumpulan kecil warga, tidak sampai 50 orang berdemontrasi bagi menghalang pemerintah membuka lombong arang batu di tempat mereka. Alasannya tentulah bagi menghalang pencemaran alam sekitar.

Beberapa bulan lalu, pelajar dan kakitangan University Adelaide mengadakan piket dan demontrasi bagi meluahkan rasa marah mereka. Aku tidak begitu pasti sebab mereka. Mungkin sebab pemotongan subdsidi kesihatan. Aku hanya sempat berjalan dan tidak pula bertanya mereka.

Di University of South Australia, setahun lalu kakitangannya mengadakan mogok dan tidak mahu terlibat dengan aktiviti pekerjaan. Termasuklah tidak mahu memberi kuliah dan memeriksa kertas peperiksaan. Bagaimana pun, kerana mogok dan demontrasi adalah hal yang halal dan bukan salah, mereka yang ingin bermogok ini disediakan tempat untuk melakukan demontrasi ini. Ia di depan universiti. Ada kawasan yang dikhaskan untuk mereka. Ia dilakukan di setiap cawangan.

Kerana ia bukan hal yang salah, ia tidak menjadi masalah kalau ada yang ingin mengikutinya atau tidak. Bagaimana pun, penyertaannya hanyalah sedikit. Kurang dari 100 orang.

Mengapa tidak ramai?

Alasannya mudah sahaja. Manusia ini bersifat seperti boomerang. Aku sudah menulisnya di sini. Kita akan gemar melakukan hal-hal yang dilarang. Tetapi, kita tidak berminat kalau kita disuruh. Ia tidak menjadi hal yang mengasyikkan lagi kalau ia dibenarkan.

Sebab sesuatu yang dilarang itu, kalau dilakukan ia adalah sesuatu yang bersifat mencabar. Manusia sukakan cabaran. Apatah lagi, dalam keadaan suasana meriah seperti itu. Yang menyertainya demontrasi, mungkin tidak memahami pun apa maksud demokrasi, malah ada yang tidak pernah mendaftar mengundi pun. Tetapi, dalam keadaan tertentu, manusia sebenarnya terpengaruh pula dengan keakuran. Orang menyertainya kerana ada kawan-kawan lain menyertainya.

Aku tidak berapa ingat aku sudah menulis hukum keakuran atau tidak.

Ini menjadikan kita adakalanya melihat demontrasi seperti satu temasya pula.

Jangan datang lagi Jun!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada apa hendak ditulis. Juga tidak ada perkara hendak dibuat. Sudah hampir 4 tahun aku di Adelaide. Jadi banyak yang sudah selesai. Kehidupan aku sekarang ini banyak bersantai. Berpindah dari satu kampus ke satu kampus. Isnin aku di Magill, semalam di City West, hari ini pula di City East. Nampaknya susah juga hidup tak ada benda yang hendak dibuat ni.

Sesekali, kalau terserempak dengan sesiapa bertanya statistik, aku berborak dulu hal statsitik. Kalau terserempak dengan kawan-kawan bertanya bagaimana menulis abstrak, aku berborak pula hal abstrak. Ini musim aku memberikan khidmat sosial percuma.

Bulan Jun ini ialah bulan emak aku melahirkan aku. Seingat aku, semasa aku kecil dulu, perut aku buncit dan selalu berkaki ayam. Tidak tahulah sama ada aku susah atau itu 'trend' anak-anak zaman 70-an.

Beberapa dekad sudah berlalu. Hidup aku ini, hendak dikatakan berjaya tidak juga. Hendak dikatakan gagal, juga tidak. Hidup aku secukup ada sahaja. Sekarang ini, aku tidak ada kereta, rumah juga tidak ada. Hutang yang banyak.

Dibandingkan ayah atau emak aku, aku mungkin berjaya. Aku sudah hidup di dua buah negara luar. Sudah beberapa kali naik kapal terbang. Sudah ada dua keping ijazah. Kalau aku lulus PhD, aku akan ada 3 keping. Tapi 2 ijazah aku - sudah koyak rabak. Aku tidak pernah menjaganya, atau memasukkan ke dalam frame. Entahlah. Aku tidak berminat sangat. Sijil sekolah aku sudah lama lunyai.

Beberapa hari lagi umur aku masuk 39 tahun. Entah tua, entah muda. Bergantung kepada siapa yang mengira umur aku.

Bulan Jun biasanya bulan yang baik untuk aku. Aku mendaftar masuk universiti tahun 1992 pada hari jadi aku. Itu lama dulu.

Bulan Jun tahun 2011 ini pun baik juga nampaknya. Minggu lepas sebuah makalah aku diterima untuk penerbitan jurnal.

Pagi tadi, membuka email ada tertera "Dear Dr. Idris: I am so happy that we have arrived at this moment when I am able to write that we are happy to accept your paper for publication in the International Journal of Stress Management . Congratulations!

Jangan terkejut pula, kalau tertera nama Dr di depan nama ayah aku. Setiap kali kita menghantar manuskrip ke jurnal, mereka akan menggunakan istilah Dr untuk nama kita tidak kira sama ada kita ini sudah ada PhD atau tidak. Ia bagi mengelakkan tersalah 'downgrade' manusia.


Begitu juga kita. Kalau menulis email kepada Ketua Editor, biasanya kita letakkan gelar "Prof" di depannya. Tidak kiralah mereka profesor atau tidak. Ia bagi mengelakkan kita tersalah pangkat. Orang jarang marah kalau kita meletakkan sesuatu yang lebih baik.


Bulan Jun - aku kalau boleh mengharapkan ia lambat datang. Ia hanya menambah usia aku walaupun aku masih merasa aku seorang remaja!


Sunday, 19 June 2011

Bagaimana menulis jurnal dengan cepat?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Hari ini tiada aktiviti. Suhu dingin musim sejuk menikam tulang. Jadi aku tulis hal akademik yang sesuai untuk mereka yang berkaitan.

Bagaimana menulis dengan cepat? Keduanya bagaimana menulis dari hati - dalam erti kata lain 'knowledge crafting', dan bukannya sekadar menulis balik apa yang telah ditulis orang lain.

Setiap orang ada caranya. Ini ialah cara yang sesuai untuk mereka yang sealiran dengan aku.

Setiap kali menulis, kita mestilah menetapkan sasaran untuk menyiapkan kerja kita. Misalnya 5 hari. Tulis apa sahaja yang kita rasa betul dan sesuai, asalkan kita mampu menyiapkan dalam masa 5 hari.

Menjadi masalah menulis tulisan akademik ialah kita banyak menghabiskan masa dengan membelek semula kertas kajian orang lain untuk menjadi rujukan. Adakalanya, kita merujuk dan melompat dari satu artikel ke artikel yang lain. Ini pada akhirnya menyebabkan kita tidak menulis sepatah ayat pun sepanjang hari.

Sebenarnya, kalau step 'membelek' ini dapat kita kurangkan, kita mampu menulis dengan lebih cepat.

Bagaimana caranya?

Setiap kali menulis, jangan lagi dibelek kertas orang lain. Sebelum menulis, kita tetapkan beberapa hari untuk membaca sahaja (katakan 5 hari). Ambil sedikit nota kalau kita rasa ada hal yang tidak mampu diingat. Bagaimana pun, adalah lebih baik melatih otak untuk mengingat apa yang dibaca, dan juga mengingat siapa penulisnya. Lama kelamaan anda akan terbiasa dan tidak perlu membuat nota.

Ketika proses membaca, ada baiknya jangan menulis manuskrip. Kita jangan bebankan mental kita dengan dua perkara serentak. Kita hanya membaca, dan bukan menulis. Katakan membaca 5 artikel sehari, jadi dalam 5 hari sudah ada 25 artikel. Sebenarnya 5 artikel untuk dibaca sehari bukanlah susah sangat. Kebanyakan artikel sebenarnya mengulang hal yang hampir sama, cuma dengan pendekatan berbeza. Misalnya topik berkaitan job stress. Ia hal yang lebih kurang sahaja.

Selesai waktu 5 hari membaca, kita tetapkan pula 5 hari untuk menulis. Jangan dibelek artikel yang sudah kita baca, kecuali sangat perlu. Kita mungkin hanya sesekali membuka kertas orang lain untuk membuat citation, misalnya Mathieu & Taylor (2011). Dengan cara ini, kita akan mampu mengurangkan potensi 'plagiat' yang berlaku secara tidak sengaja. Kita juga mampu menulis dari hati kita sendiri. Kita juga boleh menulis dengan lebih cepat dan baik kerana kita tidak perlu membuang masa dengan melakukan proses 'pembelekan' kertas orang lain.

Boleh menulis dalam masa 5 hari bagi manuskrip jurnal yang panjangnya 7,000 ke 10,000 patah perkataan? Belum cuba belum tahu.

Bagaimana pun, ada hal format penulisan jurnal yang anda perlu tahu (ini telah dibengkelkan minggu lalu).

Kaedah menulis dengan cepat ini akan dibengkelkan minggu hadapan, kalau tidak ada agenda lain.

Friday, 17 June 2011

Jangan jerat leher

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku selalu membaca tulisan anak muda di ambang maut yang disiarkan di Malaysiakini. Anak muda berusia 19 tahun ini bakal dihukum mati kerana kesalahan dadah.

Walaupun tidak memandang serong, tetapi secara peribadi, aku juga tidaklah begitu teruja dengan apa sahaja hukuman yang melibatkan nyawa seseorang itu diambil. Melainkan kalau kesalahannya ialah kerana pesalah itu telah mengambil nyawa orang lain sebelum ini.

Bagi aku, setiap manusia perlu diberi ruang untuk memperbaiki diri. Kalau tidak di dunia luar, mungkin di dalam penjara. Walaupun pesalah dadah misalnya dihukum mati, tetapi di dunia luar pengedaran dan penagihan dadah tetap berleluasa juga. Ia tidak mengurangkan ketakutan manusia untuk terus melakukan kesalahan, sekalipun diacu dengan hukuman mati.

Mengapa?

Kerana manusia yang melakukan kesalahan ini tidak menyedari yang apa yang dilakukan itu salah. Bukan tidak sedar dalam erti kata mereka tidak tahu. Banyak yang melakukan perkara salah ini biasanya mereka yang melalui pengalaman keluarga yang buruk, kehidupan ekonomi yang tidak sihat atau tahap pendidikan yang rendah.

Dalam ruang akal terbatas, kerana persekitaran yang tidak sempurna inilah manusia sanggup melakukan salah. Kalau mereka normal, manusia tidak melakukan tindak kejahatan. Akalnya gagal berfikir secara rasional kerana daya fikir yang merosot.

Manusia normal seperti kita misalnya, tidak akan terbangun dari tidur dan terus berfikir untuk pergi mencuri seekor ayam di reban jiran. Manusia yang normal juga, tidak secara tiba-tiba terfikir untuk pergi menculik atau merogol anak dara orang. Tentu ada sesuatu yang 'tidak normal' dalam minda manusia yang melakukan kesalahan.

Mengambil nyawa pesalah, apatah lagi bagi kesalahan yang pertama kali dilakukan, menutup ruang untuk manusia belajar dari kesalahan. Benarlah, hukuman itu untuk orang lain yang melihatnya. Bagaimana pun, orang yang 'tidak normal' tidak akan belajar juga. Di dalam kelas, sebaik mana pun guru mengajar, akan ada murid yang tidak mampu menjangkau apa yang diajar. Semua ini berbalik kepada latar diri manusia itu juga.

Kita boleh bercakap bahawa buat baik dibalas baik, buat buruk dibalas buruk. Tetapi kita juga mungkin boleh menjadi lebih baik kalau dapat menerima hakikat - buat baik dibalas baik, buat buruk kita ajarlah mereka. Menghukum penjara seumur hidup atau 100 tahun mungkin antara yang boleh kita fikirkan.

Menggantung pesalah menutup segala ruang pembelajaran.

Kita mungkin akan bersetuju kalau satu hari kita juga menanti saat untuk dijerut leher.

Mat Sabu, politik dan kita.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari lalu, seorang teman yang menjadi ketua pemuda sebuah parti politik mengirimkan sms bertanyakan bagaimana pandangan aku mengenai Mat Sabu. Aku tidak tahu mengapa ia bertanyakan soalan itu. Mungkin sebab sekarang Mat Sabu ialah Timbalan Presiden PAS, atau mungkin juga sebab penganjuran demontrasi BERSIH.

Aku tidak menjawab sms itu, kerana aku tidak tahu bagaimana aku harus menjawabnya. Aku juga tidak perlu menjawabnya kerana aku juga bukan orang politik. Lagi pula, aku tidak pernah mengenali Mat Sabu melainkan apa yang aku baca di media. Di masa muda aku, sesekali kalau aku tidak ada kerja, kalau Mat Sabu datang berceramah politik di kampung kami, aku menjenguk juga. Itu ketika dia masih popular di zaman pertengahan 1990-an.

Dia mungkin bukan pemidato yang hebat seperti Anwar Ibrahim atau mempunyai karisma ucapan seperti Tun Mahathir. Ia biasa sahaja, tetapi caranya yang berjenaka itulah kelebihannya. Tidak semua orang mampu membuat orang ketawa.

Bagi aku, Mat Sabu seorang yang kelakar dan berjiwa kampung. Orang seperti ini kalau menjadi Menteri Besar, beliau akan disukai ramai. Ia mempunyai karektor seperti Shahidan Kassim di Perlis atau Isa Samad di Negeri Sembilan. Watak politik seperti ini boleh dengan mudah berinteraksi dengan orang kampung. Sama ada ia watak yang sengaja diwujudkan atau tidak, itu hal lain. Apa yang penting, ialah persepsi masyarakat.

Bagaimana pun, bagi aku - apa pun bentuk pemimpin, yang paling utama ialah mereka ini haruslah tidak mempunyai sifat memanipulasi kuasa untuk kepentingan diri. Sebenarnya kuasa dan politik adalah dua hal yang berkait rapat. Ada yang mampu mengawalnya, ada yang tidak. Banyak pemimpin politik yang kita dengar ada kekayaan luar biasa yang datang kerana kuasa politiknya. Ini antara sifat kepimpinan yang boleh merosakkan masyarakat. Pemimpin seperti ini mudah dirasuah. Anda tentu pernah membacanya.

Adakah Mat Sabu mampu memberikan imej baru kepada PAS?

Kita tunggu dan lihat. Kita tidak perlu menjawabnya. Kita hanyalah manusia yang memerhatikan dinamika politik. Ada ketikanya kita menjadi objek yang dimainkan ahli politik, ada ketikanya kita teruja dengan banyak hal luar biasa ahli politik.

Pada akhirnya, kita perlu kembali ke sudut dapur - melihat sama ada makanan yang boleh dimasak atau tidak, dan memerhatikan sama ada tabung wang siling kita masih ada untuk belanja sekolah anak-anak.

Kita bukan orang politik. Kita hanya mengharapkan kebaikan manusia politik.

Thursday, 16 June 2011

Tribute untuk Gina dan Daddy Jack

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Bekalan rokok Dunhill dari Malaysia sudah terputus 3 hari. Dulu, ketika mula berpijak kaki ke Adelaide, sengaja aku tidak bawakan sebatang rokok pun. Hajat hati hendak berhenti. Cuma bertahan dua hari, akhirnya aku gagahkan kaki melintas Henley Beach Road membeli sekotak rokok Peter Stuyvesant di sebuah kedai minyak. Mahal sungguh. Ia boleh membeli sekartun rokok dari Malaysia.

Tahun 2007 dan 2008 itu juga, masih banyak perokok tegar di kalangan kami. Tahun 2011 ini, hanya aku dan seorang lagi kawan sahaja yang dianggap perokok tegar. Yang lainnya sudah balik Malaysia setahun atau dua tahun lalu. Terakhir balik ialah Fahmi dan Razak. Dulu sesekali kalau ada bekalan rokok dari Malaysia yang dibawa oleh pelajar lain yang tidak merokok, kami akan membahagikan sesama kami.

Paling indah, kalau mendengar berita doktor dari Malaysia datang untuk conference atau urusan lain. Biasanya mereka ini tidak merokok. Jadi peluang untuk mendapatkan bekalan rokok sangat tinggi.

Paling tidak indah, kalau yang datang ialah mereka yang anti rokok. Janganlah dipesan rokok dengan mereka ini. Mereka tidak akan membelinya. Juga mereka yang 'skema' yang melihat membawa rokok seperti membawa candu. Adalah lebih baik memesan mereka belacan dari Melaka. Mereka akan membelinya, tetapi tidak rokok - walaupun belacan adakalanya tersangkut di Imigresen, tetapi tidak rokok.

Mereka tidak salah. Kami para perokok yang salah. Sudahlah susah, merokok pula.

Merokok di Adelaide ini seperti budak-budak sekolah belajar membeli rokok. Ia sesuatu yang mahal, tetapi diinginkan juga. Ada atau tidak, perlu ada sekotak di dalam poket.

Dulu, ketika di tingkatan 6 rendah, aku sudah ada lesen merokok. Bagaimana pun, ia bersyarat. Syaratnya ialah aku perlu mencari duit sendiri. Setiap petang, balik dari sekolah aku terus ke hutan mencari rebung. Rebung itu kemudiannya dikupas dan direbus pula. Kemudiannya baru boleh dijual. Sehari, aku boleh dapat RM15-20. Itu sahaja yang boleh. Tetapi waktu itu, tahun 1990-an, rokok masih murah.

Sesekali aku ambil upah masukkan padi ke dalam guni. Ia dapat menampung belanja rokok seminggu.

Semakin aku tua, tidak ada sesiapa lagi yang melarang aku merokok. Kecuali isteri aku yang sesekali memberi khutbah ringkas kepada aku. Tetapi biasalah, orang perempuan. Aku berikan cubitan manja dia pun tak jadi marah.

Ketika remaja, kita berkongsi rokok. Sebatang dikongsi beberapa orang.

Satu malam, ketika aku dilokapkan - aku merasa kembali rokok berkongsi ramai-ramai ini. Tapi, aku tahan juga tidak merokok. Aku takut nanti aku tertelan air liur sesiapa yang tidak aku tahu latar belakangnya.

Sebenarnya, merokok memang buruk untuk kesihatan. Aku tahu itu. Sudah beribu kali aku melihatnya di sebelah tepi kotak. Aku pernah membacanya di kotak rokok dengan banyak bahasa. Ada dalam tulisan Melayu, Inggeris dan Indonesia. Aku faham, tetapi aku tidak berjaya untuk berhenti.

Satu waktu, ketika ke Bangladesh, aku menginap di satu hotel. Bekalan rokok terputus. Tetapi, bagusnya di hotel itu ada dijual rokok Dunhill buatan Malaysia. Aku membelinya. Aku tidak begitu ingat harganya. Mungkin RM40. Tetapi kerana aku membawa wang dolar Amerika yang diberikan oleh syarikat, aku tidak kisah sangat.

Sudah 7 bulan lebih, sejak ramai perokok tegar pulang ke Malaysia, bekalan rokok dari Malaysia tidak pernah terputus. Hanya aku dan seorang lagi kawan sahaja. Kami tidak bersaing. Kalau dia mendapatkan bekalan, sebahagiannya diserahkan kepada aku. Begitu juga aku. Kami tidak main aci sembunyi. Kami berbuat kebajikan secara adil.

Sejak 3 hari ini, aku meracau menghisap rokok buatan Australia. Ia sedap juga, tetapi harganya tidak sedap. Sekotak rokok harganya $13.50, atau hampir RM35. Ia tidak sesuai dengan orang berjawatan kuli seperti aku.

Tadi, seorang kawan baru pulang dari Malaysia membelikan aku rokok. Aku tidak sabar untuk mengambilnya besok pagi.

Terima kasih Gina dan Daddy Jack!.

Hantu mak Limah mana pula ni?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
(Ini adalah perbincangan psikologi, walaupun tajuknya tiada berkaitan)


Walaupun dalam setiap keadaan, kita cuba memilih warna yang kita sukai, tetapi jarang kita berfikir apakah warna memainkan peranan psikologi dalam hidup kita.

Setiap kali memilih pakaian, kita berfikir apakah warna yang sesuai dengan jiwa kita. Kita juga terangsang dengan warna tertentu bagi menghiasi rumah kita. Bahkan, kita mungkin tidak begitu tergamak meminum air oren yang diletakkan warna hitam.

Kita juga selalu melihat banyak wanita cantik (tidak cantik juga) suka memakai gincu berwarna merah agar kelihatan menawan. Mengapa ada warna tertentu?

Dalam satu kajian beberapa tahun terakhir ini, mendapati bahawa warna juga ada kaitan dengan prestasi. Mereka yang diberikan anagram (permainan huruf) berwarna merah didapati gagal menyelesaikan masalah permainan huruf yang diberikan. Kajian lanjutan juga mendapati mereka yang diberikan kad huruf merah juga cenderung memilih tugasan yang mudah dan ringkas.

Apakah maksud kajian ini? Ini menunjukkan warna merah telah menyebabkan motivasi penyelesaian masalah manusia merosot.

Sebab itu, kalau anda sedang mengikuti kelas peperiksaan, jangan sesekali memakai baju merah.

Bagaimana pun, warna merah ini didapati mempunyai sifat yang lain pula. Ia dianggap sebagai warna seksi dan memberahikan.

Kajian mendapati warna merah membangkitkan tarikan lelaki. Siri ekperimen menunjukkan bahawa wanita yang memakai pakaian merah atau foto wanita dalam warna merah dianggap sebagai lebih mempesonakan bagi lelaki. Bagaimana pun, bagi wanita yang melihat foto wanita lain dengan warna merah, bagi mereka ia tidak ada apa-apa. Ia biasa sahaja.

Sebab itu, bagi wanita - ada baiknya setiap kali menyambut suami anda pulang dari kerja, pakailah pakaian merah atau gincu merah. Ia mungkin menghilangkan penat suami.

Tidak percaya?

Cuba hari ini anda memakai pakaian hitam dan bergincu hitam, dan tunggulah suami anda di depan pintu. Tunggu apa reaksinya.

Jangan terkejut - nanti dia berkata 'hantu mak Limah mana pula ni?"

Terrific!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tiada berita.

Semalam, supervisor aku minta aku email ke editor journal Safety Science bertanya khabar apa sudah jadi dengan manuskrip kami yang sudah dihantar dua bulan lalu. Ia jurnal besar dalam kategori A bagi bidang kami.

Tidak sesuai baginya mengirimkan email, kerana kalau aku, banyak alasan aku boleh berikan. Alasan yang utama, aku perlukan kertas jurnal itu untuk dimasukkan ke dalam tesis.

Tadi pagi, penyelia aku menelefon. Dia beritahu editor sudah memberikan jawapannya. Manuskrip kami diterima tanpa pembetulan. Terrific, kata supervisor aku.

Aku maklumkan kepada penyelia aku - aku akan belanja dia secawan kopi besok pagi.

Secawan kopi memang mengubah dunia. Aku perlu mencari kawan-kawan untuk dibelanja kopi. Siapa lagi kalau bukan Supian dan Zainol.


Wednesday, 15 June 2011

Update masa lapang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Tiada apa yang hendak dibuat hari ini. Banyak kerja sudah siap. Semalam supervisor aku beritahu, dia ada masalah apabila aku terlalu cepat menulis. Dia tidak ada masa untuk membaca. Jadi hari ini, aku berehat dan menulis blog sahaja.


Isnin lalu, aku ke Hahndorf, ia bandar yang secara tradisinya dikaitkan dengan warga Jerman. Terakhir aku pergi mungkin setahun lalu bersama Dr Ben memetik strawberry. Kalau anda datang ke South Australia, ini mungkin bandar yang sesuai untuk dilawati. Ia seperti bandar pelancongan yang ada banyak hasil kraftangan dan tempat makan. Tetapi tidak ada kedai halal, kecuali sebuah kedai menjual aiskrim halal.


Ini Luqman Hakiem. Ketika kami sampai ke South Australia dulu, dia masih kecil. Baru 2 tahun 2 bulan. Kini dia sudah menjadi budak besar. Sudah pandai men'saiko' aku. Semalam, semasa aku menghantar dia ke sekolah - dia tanya 'Ayah ke sekolah (universiti) tak? Aku jawab pergi.


Dia sambung ayat psikologinya, 'Jangan lupa tau belikan Man something'. Aku kata, aku selalu terlupa. Dia jawab lagi "Cuba ayah sambil jalan-jalan tu, ayah ulangkan ayat 'kena beli something, kena beli something', nanti ayah akan store dalam mind". Dia sedang ajarkan aku kaedah menghafal pulak! Ini aksinya seperti yang ditiru dari filem 'The Socerers Appretice', lakonan Nicolas Cage. Inilah bahayanya kalau budak-budak menonton filem. Tapi, nampaknya kita tidak boleh berbuat apa-apa, kerana sebenarnya orang tualah yang sebenarnya membuka dan menonton filem.


Tinggal 2 bulan 2 minggu sahaja lagi aku di bumi Australia ini. Selamat datang orang baru, selamat pulang orang lama.

Secawan kopi yang menukar dunia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Beberapa hari dulu, aku menulis emel kepada seorang TNC universiti, mengingatkan beliau bahawa kami pernah minum kopi beberapa tahun dulu. Tahun 2008 itu, aku bawa professor aku minum kopi bersamanya sekadar untuk berborak kosong. Beliau bukanlah dari universiti aku juga, sekadar terserempak di Adelaide dan kemudiannya menjadi rakan kopi kami. Kopi dan aku adalah rakan yang baik.

Dalam email, aku memberitahunya bahawa profesor yang menyelia kajian aku akan melawat Malaysia. Sempena lawatannya, aku rasa adalah baik kalau dia juga melakukan sesuatu yang bermanfaat, misalnya 'research colloboration' dengan universiti di Malaysia.

Dalam emel balas itu, TNC itu menjawab "Mind you some chats over coffee or tea can some time change the world!. Benar, kopi atau teh sebenarnya boleh mengubah dunia.

Sebenarnya, dunia kerjaya aku bermula di kedai kopi. Akulah pembancuh teh tarik dan kopi di sebuah warung di Sungai Tangkas, pertengahan tahun 1990-an dulu. Waktu itu, banyak rakanku yang lain sudah menjadi eksekutif bertali leher.

Ketika ditemuduga untuk kerjaya swasta tahun 1998, aku juga menghadiri temuduga di dua buah kedai kopi.

Ketika di Jakarta, ofis aku bersebelahan dengan Dunkin Donut. Ia juga kedai kopi. Aku menghabiskan banyak masa aku di situ. Kopinya tidaklah bagus.

Tahun 2005, ketika aku mahu menukar kerja, aku ditemuduga seorang CEO berpangkat Dato' di kedai kopi juga, tidak jauh dari Chow Kit.

Kopi dan teh boleh menukar dunia. Setidak-tidaknya anda boleh mengidap kencing manis dan kaki anda dipotong. Ia memang akan menukar dunia hidup anda.


Tuesday, 14 June 2011

Update mingguan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ahad yang lalu, aku mengadakan siri bengkel menulis jurnal. Ia banyak berkisar hal teknikal menulis jurnal.

Ia agenda yang sengaja tidak diiklan dan dipromosikan. Dikendalikan di rumah seorang kawan. Pesertanya hanyalah 'kamceng' aku sahaja. Senang nak kutuk kalau terasa ingin dikutuk. Bagaimana pun, tiada sebarang kata pujian seperti moderator orang putih. Mereka banyak menggunakan ayat beautiful atau excellent bagi semua perkara. Aku tidak.

Agenda bengkel seterusnya ialah bagaimana untuk membaca. Banyak sangat bahan untuk dibaca.

Hakikatnya, tidak semua perkara perlu dibaca. Kalau semuanya ingin dibaca, akhirnya tesis tidak akan siap.

Saturday, 11 June 2011

Kita mungkin lebih murah dari sebiji botol

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah lama aku memerhatikan lelaki tua ini. Melihat raut wajahnya, dia seorang Cina atau Vietnam. Melihat kepada cara dia berjalan membongkok-membongkok, perlahan-lahan menapak, umurnya mungkin 70an, atau lebih. Penampilannya tidak membayangkan dia orang kaya. Pakaiannya lusuh dan tidak rapi. Itu watak luarnya sahaja. Ia tidak ada kena mengena dengan nalurinya. Sudah banyak kali aku menunggu bas di St Bernald Road itu, di depan kampus universiti. Acapkali itu juga, sekitar jam 3 atau 4 petang lelaki tua yang kurus dan bongkok itu juga keluar dari kampus universiti dengan memegang satu beg plastik di tangannya.

Di tepi jalan besar itu, ada sebuah kawasan parkir berpagar. Ada satu pintu masuk ke dalamnya. Di tepi pintu pagar itulah, lelaki tua yang tidak terurus tadi, sambil membongkok berjalan membukakan beg plastiknya. Dia membuangkan beberapa beberapa botol plastik minuman. Lantas, dia berjalan masuk ke dalam kawasan parkir itu dan menghilangkan diri di taman perumahan. Mungkin rumahnya ada di sana.

Perlakuannya membuang botol itu bukanlah kerja buruk manusia. Ia kerja yang sangat mulia. Lebih mulia dari mendermakan 10 juta ringgit lalu membisingkan di depan wartawan sambil bergambar dengan 'mock-up cheque' yang besar. Agar dilihat satu dunia.

Lelaki tua yang membuang botol itu adalah manusia mulia. Manusia yang membuat kebajikan. Di South Australia, harga kitar semula botol minuman ialah sepuluh sen sebiji. Aku juga sesekali menjadi pemungut botol. Kalau ada 100 biji, aku akan mendapat 10 dollar dengan mudah. Kalau 1,000 biji aku akan mendapat 100 dollar. Bayangkan kalau ada 10,000 botol? Ada orang yang hanya hidup dengan mencari botol yang dibuang, lalu dihantar ke pusat kitar semula. Anda boleh menukarkan botol bekas minuman dengan wang dengan cara yang mudah.

Satu hari aku membilang botol yang dibuang di tepi pagar parkir itu, ada 10 biji botol. Maksudnya dia telah membuangkan 1 dolar wangnya untuk pengutip botol yang lain. Inilah pekerjaan yang mulia. Boleh sahaja aku mengutip botol itu, dipijak agar kemek, lalu dimasukkan ke dalam beg aku. Kalau seminggu, dalam 5 hari aku menunggu bas, aku boleh mendapat 5 dollar dengan mudah. Tetapi, aku tidak tergamak mengambil botol yang disedekahkan lelaki tua itu. Aku orang muda. Aku patut mencari botol di tempat lain.

Tetapi, begitulah cerita jiwa mulia hati manusia. Itulah manusia kebajikan. Dia membuat kebajikan dengan mengutip botol lalu dibuang di satu tempat agar dikutip orang lain. Dia tidak tamak haloba. Inilah manusia baik. Wira yang patut menjadi tauladan kita semua. Dia tua, bongkok dan berjalan perlahan-lahan. Tetapi hati mulianya menjadikan ia lebih baik dari semua kita yang masih muda, yang sesekali berfikir banyak kali patutkah kita memasukkan RM 10 atau 50 sen ke tabung derma masjid. Sesekali, kalau kita sudah termasukkan RM50, hati kita jadi tidak keruan, mengapa banyak sangat kita menderma tadi. Bukankah ikhlas itu boleh sahaja dengan 5 sen sahaja?

Lelaki tua pembuang botol itu patut kita pilih sebagai simbol dan idola kita. Dia selekeh, tapi jiwanya bersih. Ia lebih baik dari kita yang bersih, tapi hati kita penuh selekeh. Hati kita adakalanya lebih murah harganya dari 10 sen kitar semula sebiji botol!

Bila larut malam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
diupdate menggunakan handphone dari atas katil. ditulis tanpa perenggan. Jam 1.20 malam. Terjaga dari tidur sejak selepas Isya jam 6.45 petang tadi. Sekarang ini, suasana dingin musim sejuk menikam hingga ke tulang. Lebih baik tidur dari berlawan dengan suhu. Sebaik terjaga tidak tahu apa yang boleh aku buat. Di ruang dapur aku bakar sebatang rokok - itulah kotak terakhir rokok buatan Malaysia yang aku ada. Dua bulan dua minggu sahaja lagi aku di sini. Isteriku telah siap memasukkan barang ke dalam kotak. Di dapur, tidak banyak lagi pinggan. Aku juga perlu mengemaskan kertas terakhir. Banyak juga aku menulis sepanjang 4 tahun ini. Ada 8, satunya ditolak. Aku simpan sebagai kenang kenangan. Bagusnya kerja dengan universiti, aku boleh menulis. Kita berfikir, kemudian menulis. Di dunia pekerjaan yang lama, kita berfikir tetapi kemudiannya sama ada kita memanipulasi atau menduga untung. Sejak tidak lagi di sektor swasta, fikiran aku lebih tenang. Tidak perlu berfikir ilmu dan trick pengurusan, bertarung dengan matlamat syarikat, ilmu mempengaruh dan kebajikan pekerja. Dunia akademik adalah dunia teori, tidak selalu berpijak di atas bumi. Tiba-tiba dua tiga hari ini fikiran aku kembali membinau. Tri, seorang clinical psychologist, isteri kepada teman baik di Jakarta diminta untuk memberi saran dan merancang perubahan sikap kakitangan. Itu bukan bidangnya. Clinical psychologist kerjanya lain. Syarikat yang meminta sarannya bukanlah organisasi biasa. Ia antara syarikat gergasi di Indonesia yang tidak jatuh walaupun dilanda krisis kewangan tahun 90an dulu. Jadi aku diminta membantunya menyediakan proposal. Ia bercampur dengan ideologi teoris psikologi dan praktik pengurusan. Sebenarnya dia juga meminta aku memberikan latihan perubahan tingkahlaku itu. Akulah moderator itu. Yang bakal menjadi kumpulan sasar itu bukanlah kakitangan biasa, mereka itu ialah barisan pengarah syarikat mega. Hah. Tapi aku tidak pernah katakan tidak, kerana aku tahu siapa pun mereka, mereka tidak pernah mengorek rebung dan menjerat burung mandi seperti aku.

Thursday, 9 June 2011

Tunggu aku Malaysia

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Aku dah beli tiket balik Malaysia. 4hb Julai aku sampai di KLIA. 12hb Julai aku balik semula ke Adelaide. Anak bini tidak ikut.

Seperti biasa, naik kapal terbang lompat lompat. Dari Adelaide ke Melbourne naik Tiger. Tumpang tidur di rumah seorang kawan. Ini pun kawan yang aku jumpa setahun lalu semasa ke Darwin. Sama bidang psikologi seperti aku.


Dari Melboune ke KLIA naik AirAsia. Itu pengangkutan rasmi orang tidak banyak duit seperti aku. Di Kuala Lumpur, tidak tahu di mana lagi hendak menumpang. Tapi, aku tidak bimbang hal penginapan di Kuala Lumpur. Banyak kroni di sana. Dari Kuala Lumpur, naik bas ke Johor Bahru pula. Naik bas tidak jadi masalah. Asalkan sampai. Di Johor, aku tidur hotel 2 hari. Kalau tidak tidur di hotel, nanti nampak pelik pulak. Supervisor aku dah beri 2 ribu dolar untuk balik Malaysia. Nampak sangat aku ini cuba 'sip' duit.

Ada sesiapa di Johor yang nak belanja aku teh tarik terbaik?

Dua hari di Johor Bahru, 8hb malam aku kena balik kampung tengok mak aku dulu. Boleh sehari pun kira cukup. Sekadar menjenguk muka. Kalau sempat ingat nak ke lubuk memancing dulu. Setidak-tidaknya masuk hutan korek rebung. Aku masih berfikir perlu atau tidak aku naik kapal terbang dari Johor Bahru ke Alor Setar. Naik bas pun bukan murah lagi zaman sekarang.

Kalau naik bas, 9hb pagi baru sampai Changlun. 10hb malam aku kena bertolak balik ke KL pula. Isteri aku minta aku singgah rumah emaknya juga. Ini baru satu. Bayangkan kalau abang Salleh. Agaknya dia pening kepala sebab itu kena tambah sampai empat.

11hb malam aku sudah kena ada di KLIA pula. Aku pun tak pasti jam berapa tiketnya. Semuanya isteri aku uruskan.

Inilah dikatakan zaman global. Kalau ada duit, anda boleh keliling dunia dalam seminggu. Kalau tak ada duit, boleh terus termangu di depan pintu.

Tunggu aku Malaysia.

Satu atau bersatu?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lama aku terasa ingin tulis hal ini.

Satu atau bersatu?

Satu apabila beberapa banyak benda dikumpulkan menjadi entiti yang baru - ia menjadi satu. Misalnya, pintu, cermin, tayar, tingkap dan sebagainya diadun dan direka sebagai sebuah model kereta. Ia menjadi satu kereta. Tiada lagi dibilangkan sebagai entiti yang berasingan.

Bersatu - semua pintu, cermin, tayar dan tingkap itu hanya menjadi dalam kumpulan yang sama. Tetapi ia bukan sebuah kereta. Ia dihitung dalam bentuk yang berasingan. Terpisah tapi bersatu.

Dalam satu kelas, kita tidak boleh menisbahkan semua pelajar berbeza jantina dan bangsa sebagai satu. Tetapi mereka boleh kita anggap sebagai satu kelompok yang bersatu dari segi identitinya.

Apabila mula-mula diperkenalkan konsep Satu Malaysia dulu, aku mula berasa curiga. Aku bimbang ia konsep yang akan menyebabkan ia disalahtafsir dan akan mudahnya dimanipulasi. Kini ia benar-benar terjadi.

Tapi, aku bukan penasihat kepada sesiapa. Tetapi aku selalu bermain dengan bahasa. Aku tahu tersilap bermain hal konsep yang berselirat di sebalik makna bahasa, ia akan menyusahkan.

Beberapa hari dulu, seorang ahli politik cuba mendaftarkan anaknya dengan nasab "Anak Malaysia". Ini sebenarnya polemik politik memanipulasi konsep. Manusia dinasabkan dengan bangsanya, bukan dengan negaranya. Aku orang Melayu yang bernegara Malaysia. Orang lain dinasabkan dengan bangsa mereka sendiri. Ia tidak menghilangkan hak kewarganegaraan.

Tetapi kerana politik adalah strategi, dan politik adalah 'game', maka apa sahaja ruang yang boleh diterokai, akan dimanipulasi sebaiknya. Ia bukan satu dosa.

Isu semacam ini hanya timbul apabila kita mula menawarkan konsep Satu Malaysia yang menyebabkan ia membuka ruang untuk dimanipulasi. Orang bertanya apa salahnya kalau diletakkan bangsa sebagai "Anak Malaysia". Sebab kita ini sudah menjadi satu. Mengapa harus dinisbahkan kepada tayar atau cermin atau pintu lagi. Lebih mudah didaftarkan sebagai kereta.

Kalau ditanya aku - atau akulah penasihat kepada konsep - aku lebih cenderung dengan konsep Bersatu Malaysia. Ia lebih mudah diperjelaskan, tidak mudah dipermainkan. Pada akhirnya, konsep satu dan bersatu itu tidaklah jauh berbeza. Ia hanya permainan bahasa yang membawa maksud berlainan. Kita boleh bercakap hal perpaduan setiap hari kalau kita mahu.

Satu Malaysia juga menjurus ke arah itu. Tetapi, sayangnya ia menjadi ayat yang mudah dimanipulasi kerana maknanya boleh jadi bersatu, dan boleh jadi juga membawa maksud semua orang adalah sama.

Kalaulah kita memberikan nama Bersatu Malaysia, mungkin lain ceritanya. Ia hal mudah sahaja. Hanya menambah 3 patah huruf B E R di depannya.

Tapi, siapalah aku untuk menjadi penasihat. Aku hanya penulis blog kecil yang dibaca oleh anak kecil.

Tuesday, 7 June 2011

Update hidup di kala dingin

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah beberapa hari tidak menulis. Di musim sejuk dengan cuaca yang muram, mood menulis juga suram. Tidak ada apa yang indah di musim sejuk melainkan malam datang begitu cepat, dan siang pula tibanya lambat.

Tiada juga banyak benda yang patut ditulis. Semalam, satu jurnal memberikan keputusannya. Minor correction. Ia hal yang bagus. Bulan ini bulan yang bagus, kata supervisor aku.

Seorang kawan dari Jakarta meminta pandangan berkaitan dengan 'organizational diagnosis (OD)'. Dia sedang menjadi konsultan membaik syarikat. Ini sebahagian tugasnya sebagai konsultan. Apa kerjanya OD? Ia seperti doktor mencari penyakit manusia juga. Ada beberapa stepnya. Aku tak boleh beritahu. Nanti aku tak boleh nak cari makan.

Beberapa hari lalu, supervisor aku bertanya aku - mahu tak aku jadi "Research Fellowship' di sini. Jadi aku tak payah balik Malaysia lagi.

Ia semacam idea yang baik. Tetapi, tidak ada satu pun yang boleh menggantikan buih teh tarik dan roti canai mamak di Malaysia. Ia dua benda yang tiada galang gantinya. Sebenarnya bukanlah teh tarik dan roti canai itulah yang menyebabkan aku tidak dapat lupakan Malaysia.

Bukan. Aku anak Malaysia. Aku tidak boleh hidup di bumi bercuaca asing ini.

Tapi sebelum aku keluar dari biliknya, aku sempat berkata 'After 3 years, I'll be back".

Sungguh manusia itu cepat berubah dan tamak haloba!

Wednesday, 1 June 2011

Abang Salleh idola kami juga!

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apabila mendapat tahu bahawa isteri ke empat Salleh Yaakub terpesona dengan hidung pelawak terkenal itu, aku juga cuba mencucikan hidungku agar kelihatan lebih mancung. Isteriku berkata, "amboihhh". Ini membuatkan hasrat untuk menjadikan hidungku lebih menarik dibatalkan!

Sekurang-kurangnya aku tahu, itulah kelebihan abang Salleh. Di kalangan orang lelaki, kami sesekali berbual mengenai bagaimana beliau mampu menjadi lelaki yang 'lain' dari yang lain. Semua isterinya bersetuju memberikan keizinan untuk dia berkahwin lagi.

Kalau lelaki berkahwin dua, ia biasa. Tetapi ini empat. Ia sangat sedikit berlaku di Malaysia.

Satu petang, sedang kami khusyuk membincangkan topik hangat ini di kalangan kami - seorang blogger terkenal Adelaide sedang membincangkan perspektif kehidupan bermadu. Entah bagaimana tiba-tiba isterinya lalu di belakang dan terdengar ayat suaminya yang menyatakan betapa mudah untuk bermadu. Sebenarnya itu bukanlah maksud sebenar blogger itu. Ada ayat lain di hadapannya. Ia hanya merujuk kepada abang Salleh.

Cuma kerana ayat yang sekerat itu sahaja yang didengar oleh isterinya, maka terhamburlah 'Amboih. apa kata tadi?".

Begitulah realiti poligami di Malaysia. Bukan sekadar hasrat untuk berpoligami, berdiskusi topik poligami pun mungkin tidak disukai sang isteri. Sekarang ini kalau ada anak lelaki yang baru dilahirkan, diberi nama Salleh pun mungkin diragui isteri.

Sebab itulah, kejayaan abang Salleh menjadi bahan berita di kalangan kami. Di kalangan lelaki lain di Malaysia juga tentunya. Apatah lagi dia mampu membawa semua isterinya melancong ke China. Jarang lelaki Melayu mampu melakukannya. Yang selalu kita dengar ialah madu bergaduh dan menarik rambut di antara satu sama lain, atau suami disimbah cuka.

Abang Salleh kini bukan hanya menjadi idola gadis-gadis cantik, tetapi juga para suami. Itulah berita indah poligami di Malaysia, sekurang-kurangnya dari apa yang dilaporkan di dada akhbar.
Apa yang berlaku dalam realiti rumahtangga abang Salleh tidak kita ketahui. Ia mungkin hanya indah khabar dari rupa, atau kehidupannya memang indah. Sebagai personaliti, tentu dia tahu cara menyembunyikan rahsianya. Kalau madunya bergaduh sesama mereka pun, siapa yang akan tahu. Abang Salleh boleh lari ke konti Radio Sinar dan berceloteh dengan pendengar seperti biasa. Bagaimana pula orang lain?

Bagaimana pun, kalau ditanya aku hal poligami - aku rasa banyak dari kami sebenarnya hanya bising di mulut sahaja. Hakikatnya ia tidaklah semudah yang dijangka.

Seorang teman bergelar Profesor Madya di sebuah universiti swasta juga menjalani hidup berpoligami. Seorang isterinya di Kuala Lumpur, seorang lagi di Tanjung Malim. Pernah aku tanya padanya, kalau ditakdirkan masa diputar balik - mahukah dia berpoligami.


Dia kata, mungkin tidak.

Setiap orang dengan ceritanya. Ada cerita indah. Ada cerita gundah.

Aku mungkin perlu mengubah rencana. Aku rasa, orang pertama yang perlu aku jumpa sebaik sampai di Malaysia nanti ialah Salleh Yaakub! Dia kini menjadi idola nombor satu suami Malaysia.

Tolong. Tolong jangan beritahu isteriku hal ini.

Sayang, dunia tidak berpatah balik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Awal bulan Julai nanti aku akan balik ke Malaysia beberapa hari untuk satu program akademik di Johor Bahru.

Beberapa hari akan di Kuala Lumpur. Memandangkan supervisor aku akan singgah di sana, dia minta aku rancangkan beberapa lawatan akademik dan 'talk' sekitar Kuala Lumpur. Selain Universiti Malaya yang akan aku singgah, aku bercadang untuk ke IIUM dan UNITEN. Agenda utamanya ialah program usahasama antara universiti.

Dua sebab utama aku patut singgah di IIUM dan UNITEN.

Di IIUM, salah seorang Timbalan Rektor universitinya pernah datang ke Adelaide beberapa tahun dulu. Seperti biasa, aku akan membawa mereka minum kopi di Aroma Cafe dan membawakan supervisor aku bertemu mereka - sekadar berbual kosong. Itu dua tahun dulu. Kali ini mungkin ada hal yang lebih spesifik boleh dibualkan, kerana bidang psikologi di IIUM juga antara yang baik di negara kita.

Di UNITEN pula, sebenarnya mungkin tidak ada agenda besar. Salah seorang Dekan di sana, ialah bekas bos aku semasa kami di sektor swasta dulu. Dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kami. Sejak dia terjun balik ke dunia akademik, dia menjadi Profesor - jurutera yang mengajar. Pernah juga dia menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor. Dulu kami bersama-sama turun naik pejabat dengan kerja-kerja bertemu manusia di sana sini. Sama seperti apa yang akan aku lakukan di Kuala Lumpur nanti. Beliaulah yang mencampakkan aku ke Jakarta dulu. Dia bos yang baik - ketua yang susah dicari ganti.

Sebenarnya dunia pekerjaan bukanlah sangat melibatkan hal pekerjaan. Pekerjaan sampai ke satu tahap, lebih banyak kepada interaksi dan 'networking' sahaja. Kita menjadi sibuk kerana semakin banyak manusia yang ingin ditemui.

Aku mungkin betah dalam kerja-kerja begini. Inilah antara kerja aku dulu.

Untuk anak-anak muda, kalau anda berpeluang membina 'networking' yang baik, jagalah ia. Sampai waktunya, anda tidak perlu mencari pekerjaan. Pekerjaan yang akan mencari anda. Aku tahu, kerana itulah sebab aku berkelana ke Adelaide ini.

Rahsia networking mudah sahaja, 'kalau tidak sombong pun tidak mengapa'.

Sayang, dunia tidak akan berpatah balik. Aku kini hanya seorang guru yang mengajar di universiti. Aku masih membina networking dengan manusia, dalam konteks yang lain.

Blog ialah caranya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails