Yang Ikut

Thursday, 27 January 2011

Jangan lesenkan blog saya!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Ketika saya menulis blog ini tahun 2008 dulu, saya tidak tahu pun yang akan ada orang membacanya. Tidaklah pula saya mengharapkan orang membacanya juga.

Tetapi, kini sudah tahun 2011. Sudah 3 tahun saya menulis di blog ini - tanpa sekatan, dan tanpa tapisan. Saya sendiri yang menapisnya, saya sendiri jugalah yang menentukan apa yang harus saya tulis.

Tengahari tadi, ada seorang wartawan media tempatan mengirimkan email kepada saya untuk menemuduga saya berkaitan beberapa simptom psikologi yang berlaku di Malaysia terakhir kini. Beliau menemui blog saya apabila mencari sesuatu yang sedang hangat diperkatakan orang di Malaysia sekarang ini. Saya menjawabnya - berdasarkan apa yang saya tahu, dan apa yang saya fahami. Ia hanya pandangan saya, dari perspektif bidang saya.

Sebenarnya, dari blog saya juga telah 'bertemu' dengan banyak orang. Semuanya saya tidak kenal, dan tidak pernah juga saya bertemu mereka secara fizikal. Ada yang mengirimkan emel bertanya hal statistik, ada pula yang bertanya hal menulis jurnal. Ada yang bertanya bagaimana menulis kertas kerja. Juga ada yang memintakan saya menulis hal psikologi tertentu. Kebanyakan mereka ini ialah pelajar universiti.

Harapan saya, walaupun selalu terbengkalai - ialah mahu menulis banyak hal psikologi yang memberikan manfaat kepada manusia. Sama ada orang memilih membacanya, atau tidak itu bukan hal saya. Saya bukan penyanyi yang mesti ada pembeli album untuk meneruskan survival saya. Saya menulis apa yang perlu bagi pandangan saya.

Boleh sahaja saya menulis banyak simptom atau perbincangan psikologi. Tetapi, ia tidaklah pula semudah yang dijangka. Bagi hal tertentu, saya perlu membuka semula buku, atau melakukan kajian ilmiah dari kajian terbaru, agar apa yang saya tulis tidak menyesatkan pembaca dengan hal yang tidak betul. Memang, saya ada merancang untuk menulis kuliah asas psikologi. Tetapi, sejak lebih dari sebulan ini, saya tidak ke universiti. Saya banyak di rumah. Saya tidak dapat membelek beberapa buku teks bagi memastikan apa yang saya tulis tidak tersasar. Banyak buku yang ada di rumah saya sudah dimasukkan ke dalam kotak - ia akan dihantar balik ke Malaysia.

Hampir 20 tahun dulu, ketika saya di tahun pertama universiti, belum ada internet waktu itu. Kami perlu mencari buku atau jurnal yang ditempatkan di rak universiti. Itu pun, adakalanya kita tidak akan menemuinya kerana ia tidak diletakkan di rak yang betul. Biasanya dilakukan oleh pelajar bagi mengelakkan orang lain mengambilnya, khususnya bagi buku penting yang menjadi rujukan kuliah.

Sekarang ini, orang tidak lagi belajar dari perpustakaan. Internet menjadi sumber baru. Buku tidak lagi dibaca, tetapi orang memilih membakarnya. Orang yang rajin ke perpustakaan, mungkin bukan lagi kerana ingin mencari buku. Ia menjadi tempat yang baik untuk 'berdating'. Semakin perpustakaan sunyi, semakin baik lagi.

Sejak beberapa hari ini, ada terdapat kebisingan bahawa akan diperkenalkan undang-undang baru bagi menyekat aktiviti manusia melalui online. Tidaklah tahu ia benar atau tidak.

Saya harap ia tidak benar. Saya harap ia tidak berlaku.

Satu hari nanti, jangan-jangan untuk berbual pun semuanya akan dilesenkan.

Cerita belajar luar negara

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tinggal beberapa bulan lagi aku akan balik Malaysia untuk minum teh tarik dan cendol pulut. Data terakhir aku sudah siap dimasukkan ke dalam komputer. Sedang dianalisis.

Orang bertanya bagus atau tidak belajar di luar negara? Dalam keadaan tertentu mungkin bagus juga - bergantung kepada nasib masing-masing. Ada yang bertukar penyelia beberapa kali. Ada pula yang tidak boleh bertentang mata dengan penyelia. Semua ini cerita sebalik tabir PhD yang adakalanya menjengkelkan.

Aku tidak ada masalah seperti itu.

Sejak aku di Australia ini - aku sudah belajar banyak hal yang baru - khususnya statistik. Sekarang ini, kalaupun tidaklah pandai, tetapi aku tahu menggunakan 3 jenis pakej statistik utama - Amos, Mplus dan yang terkini HLM. Bukanlah kerana aku pandai. Sebenarnya ia bergantung kepada siapa kita belajar.

Penyelia aku sangat hebat dalam hal-hal ini. Dia selalu duduk di belakang kerusi aku mengajar satu persatu. Dulu, semasa mula mendaftar diri - aku beritahu masalah utama aku ialah statistik. Kelebihan aku pula ialah aku boleh menulis dengan cepat.

Jadi dia kata, dia akan ajar aku hal itu.

Sampai sekarang pun, dia tetap menjadi guru aku paling baik. Ketika sampai dulu, dia mengajarkan aku Amos. Tetapi nampaknya, Amos tidak lagi menjadi medium yang canggih dalam keadaan tertentu. Dia kemudiannya mengajar aku dengan Mplus, walaupun dia pun tidaklah dalam kategori yang cekap. Terkini kami menggunakan HLM, aku rasa antara software yang mudah juga.

Tempat mengajar boleh jadi di mana sahaja juga. Adakalanya di cafe. Di dapur rumahnya juga tidak ada masalah. Dia seorang yang 'cool' dan tidak kisah kalau aku terpaksa keluar dari dapur rumahnya untuk merokok dulu. Dia juga membancuhkan aku kopi. Cuma dia tidak pernah bersalam dengan aku - kerana dia tahu sedikit sebanyak bab budaya kita. Tidaklah pula dia bising seperti ahli politik MCA yang kelam kabut hal calon PAS tidak mahu bersalam dengan lelaki.

Cuma - masalah aku ialah dia seorang yang sangat teruja dengan penyelidikan. Sebab itulah - aku terpaksa membuat 7 kali penyelidikan. Semuanya metod yang ada dalam dunia ini, kalau boleh ingin dicubanya. Dia juga seorang yang sangat banyak menulis.


Tadi dia mengirimkan aku email - aku perlu siapkan 3 lagi kertas jurnal sebelum aku balik ke Malaysia. Ini sepertinya dugaan untuk aku menulis novel pula.

Wednesday, 26 January 2011

Aku sedang menulis novel!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah banyak hari aku tidak menulis. Tidak banyak berita untuk dikhabarkan. Tidak banyak isu untuk dimanipulasi. Selain sibuknya melakukan kerja-kerja akademik - yang kian hari semakin membosankan - aku melakukan hal yang lain.

Sebenarnya aku sedang cuba menulis novel. Sudah beberapa muka surat telah aku siapkan. Ia bukan novel cinta. Ia cerita kehidupan manusia. Mungkin ada sedikit sebanyak berkisar hal-hal psikologi. Aku harap aku mampu menyiapkannya. Tidak laku pun tidak mengapa. Terbengkalai projek novel pun tidaklah seteruk kisah tidak siap PhD.

Aku menjadi manusia dungu berlari di balik bayang-bayang mengekorimu
. Kalau hidup ini tidak melukakan, tidak aku tahu indahnya persahabatan. Tidak aku memilih untuk derita, tetapi derita itulah teman mimpiku. Yang terindah ialah yang tertinggal - aku yakini itu.

Itu sebahagian dari ayat yang sudah siap. Mungkin sinopsis tema dan jalan cerita. Tunggulah. Mungkin setahun lagi. Kalau kita tidak mulakan sesuatu, tidak ada apa yang akan terjadi.

Friday, 21 January 2011

Ahli politik pun manusia juga

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tatkala sebahagian kecil rakyat Malaysia sedang sibuk untuk sebuah pilihanraya kecil di Tenang, Johor akibat kematian wakil rakyatnya, kini seorang lagi wakil rakyat di Melaka pula meninggal dunia. Aku tidak pasti sudah berapa ramai wakil rakyat yang meninggal dunia sejak pilihanraya 2008 yang lalu. Tetapi, terasanya jumlahnya boleh dikatakan besar.

Walaupun kematian itu sudah ditakdirkan, tetapi kita sebagai manusia perlu meneliti semula beban tugas setiap wakil rakyat. Perlu ada inisiatif memperbaiki sistem tugas ahli politik, agar kesihatan mereka terjaga dan mengurangkan risiko kematian secara mengejut.

Di dalam bidang sukan misalnya, setiap pemain bolasepak - walaupun terpaksa bermain bolasepak seminggu sekali, tetapi tahap kesihatan dan kecergasan mereka sentiasa dipantau oleh doktor, ahli fisiologi, pakar pemakanan dan sebagainya. Hanya yang cergas sahaja dibenarkan bermain. Semua ini kerana ada juga kecenderungan pemain bolasepak diserang sakit jantung di atas padang.

Bagaimana pun, dalam konteks ahli politik - tidak ada sesiapa yang memantau kesihatan mereka. Mereka berceramah ke sana sini. Melawat kawasan dan bertemu orang siang dan malam. Mesyuarat di sana sini. Rakyat pula datang bertemu mengadu masalah setiap hari, walhal ada masalah yang mungkin tidak perlu mengadap wakil rakyat pun. Dihadapkan pula dengan tekanan dari dalam dan luar parti. Mungkin mereka berkerja 24 jam sehari dan 7 hari seminggu tanpa henti. Kita tidak begitu tahu.

Siapakah yang memantau kesihatan mereka?

Tentu tidak ada. Sewajarnya sudah tiba masanya ada panduan tertentu bagi menghindarkan wakil rakyat dihadapkan dengan begitu banyak kerja - tanpa henti dan tanpa job description. Misalnya, mereka tidak dibenarkan memberi ceramah lebih 10 jam seminggu dan tidak boleh berkerja lebih 50 jam seminggu. Ada hari yang mereka sepatutnya bercuti. Pemeriksaan kesihatan mesti dijadikan sesuatu yang wajib setiap bulan.

Semua ini perlu - kerana kalau mereka sakit, apatah lagi meninggal dunia - ia akan melibatkan lebih banyak kos, terutamanya kos mengadakan pilihanraya kecil.

Kita lihat trend yang berlaku - kebanyakan wakil rakyat yang mati ini - diserang sakit jantung, darah tinggi atau kencing manis. Apakah punca penyakit ini? Selain pemakanan, aku jangkakan ini sebahagian dari kesan stres.

Aku ingin mengkajinya. Tetapi aku rasa biar pelajar sains politik melakukannya.

Walaupun kita adakalanya marah dan protes dengan wakil rakyat, tetapi ingat, mereka pun manusia juga. Mereka juga perlu ada batas kerja dan jadual hidupnya.

Thursday, 20 January 2011

Aku dan Siam

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Setiap hari, ada sahaja pengunjung yang singgah ke blog ini untuk dengan keywords 'belajar bahasa Siam". Saya tidak pasti siapa mereka dan apakah pula tujuannya untuk belajar bahasa Siam. Mungkin mereka berhasrat berniaga di Thailand, atau mungkin juga ingin mencari ayat yang boleh menggoda wanita di sana.

Saya memanglah seorang penutur bahasa Siam. Tetapi saya hanya menggunakan bahasa Thai 'phat tai' - atau loghat bahasa daerah selatan. Saya tidak begitu menggunakan bahasa 'phat klang' - bahasa loghat daerah tengah atau yang sering digunakan di Bangkok, atau yang juga digelarkan kota Krung Thip itu. Bagaimana pun, kerana di universiti saya belajar bahasa Siam, dan semasa kecil saya selalu menonton televisyen saluran negara jiran itu, saya boleh memahami sedikit sebanyak loghat tengah ini.

Baru-baru ini, saya menjaring ketam di sebuah jeti di sekitar Adelaide ini. Saya lihat ada dua orang wanita Thai sedang menjaring ketam juga. Melihat mereka berbual, saya tahu mereka orang Thai.

Saya menghampiri mereka - bertanya - 'Dai mak ee? (Dapat banyak ke?). Mereka terpinga-pinga merenung saya. Seolah-olah saya dari planet lain. Mereka bukan terkejut kerana wajah saya tampan dan berbadan tegap, tetapi mereka terkejut kerana ada orang berbahasa Siam dengan mereka.

Akhirnya - kami pun berbual-bual dalam bahasa Siam. Mereka cuba mengagak yang saya datang dari wilayah Sadao - mungkin kerana loghat bahasa saya (Ma tai Sadao reh?). Saya kata tidak. Saya kata saya orang Malaysia. Mereka bertambah terkejut. Tetapi saya beritahu kampung saya berdekatan dengan sempadan Thailand. 'Ban phom mai klai ti dan Thai'.

Saya tidak dapat berbual lama dengan mereka. Nanti mereka ajak saya makan gulai ketam mereka pula!

Sebenarnya saya dan bahasa Siam adalah sebahagian budaya hidup kami. Di kampung kami, ada sesetengah orang, kita tidak patut bercakap bahasa Melayu dengan mereka. Ia akan menjadikan kita dianggap sebagai sombong dan lupa diri. Sesekali, saya juga ada perasaan begitu. Samalah seperti kita jumpa dengan sesetengah orang yang cuba berbahasa Inggeris dengan kita, walaupun kita tahu kita sama-sama orang Melayu.

Tetapi dalam kes hidup di kampung kami, ia lain. Kami semua orang Melayu, tetapi kami merasakan bahasa Siam itu bahasa kami.

Eh. Leng khek leh nan. Ah, cuba bercakap Melayu la konon.

Di Adelaide ini pun, saya mempunyai beberapa kawan pelajar dari Thailand. Semuanya anak dara! Kami selalu mengutuk seoranglagi kawan saya, pelajar Melayu yang tidak faham bahasa Siam dengan ayat - ba liau, bo lau'. Sudahlah tak betul, bodoh pula. (Ba - gila, tidak betul; Bo - bodoh, tidak pandai).

Ayat itu selalu saya gunakan ketika bermain di zaman anak-anak dulu.

Wednesday, 19 January 2011

Mengapa mereka berhijrah ke sini?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sepatutnya aku cuba menulis hal kuliah psikologi kali ini. Tetapi entah mengapa tiba-tiba tiada angin untuk menulis. Kali ini aku terasa membahasakan diri sebagai saya.

---------------

Seorang teman lama - juga seorang peguam akan datang berhijrah ke Adelaide sebulan lagi. Entah apa yang tersembunyi di benaknya untuk memulakan penghidupan baru di sini. Saya mula berkawan dengannya di Kuala Lumpur dulu ketika kami sama-sama berkerja di satu syarikat. Kemudiannya saya berhenti dan berkerja di tempat lain. Dia juga, saya rasa berhenti dan berkerja di tempat lain juga.

Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun dulu. Ketika itu, saya mengajar secara sambilan di sebuah universiti. Lepas itu hilang tidak bertemu lagi. Cuma tiba-tiba, dua bulan lalu dia menelefon memberitahu akan datang menetap di Australia. Entah mengapa dia memilih Adelaide, dan bukan Melbourne atau Sydney yang peluang kerja lebih banyak, saya tidak begitu tahu.

Sebenarnya, dia mendapatkan nombor telefon saya dari seorang kawan yang lain, kini menyambung PhD di Melbourne. Kawan saya ini juga adalah rakan sekerja saya di Kuala Lumpur dulu. Dia juga berhenti dan hilang sejak sekian lama. Terakhir saya dengar dia berkerja di universiti awam. Kini, setelah dia sampai di Melbourne sejak lebih setahun dulu, hanya dua kali saya menelefonnya. Itu ketika dia mula sampai dulu. Saya tidak pernah berhubungan dengannya lagi sejak itu.

Sebenarnya, saya sepatutnya ada seorang lagi bekas rakan sekerja di Australia ini. Dulu, syarikat kami ada cawangan di Hay Street, Perth. Saya di Jakarta, dia di Australia. Seorang kawan saya dihantar ke sini. Walaupun kemudiannya operasi syarikat telah ditutup, dia tidak pulang juga. Saya pernah sekali bertemu dengannya lama dulu. Itu pun setelah saya balik dari Jakarta dan berhenti kerja. Dia ada berbual tentang kerja barunya di Perth. Saya pernah ke rumahnya di Perth. Isterinya orang kampung seperti saya tidak begitu betah dengan hidup di Australia. Tetapi kawan saya pula tidak betah hidup di Malaysia.

Saya tidak tahu sama ada dia masih menetap di Perth atau sudah berhijrah ke negara lain.

Sebenarnya banyak sebab orang berhijrah. Ada yang kerana kerja, ada yang kerana belajar. Ada yang tidak begitu selesa dengan kehidupan di Malaysia. Semua orang ada alasan tersendiri.

Saya bagaimana?

Oh, saya tidak boleh melupakan teh tarik mamak dan roti banjir. Saya juga kuat melepak di kedai kopi. Saya tidak boleh hidup lama di negara orang. Saya terasa kehilangan sesuatu.

Lagi pula kalau saya terus di luar negara, bagaimana pula perasaan orang tua saya yang tentunya setiap hari berharap saya akan segera pulang. Itulah kebahagiaan terbesar dalam hidup seorang saya.

Hiruk pikuk itu sangat menjengkelkan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
1. Tidak ada cerita yang paling menonjol dalam rutin hidup di Malaysia mutakhir ini - melainkan - cerita-cerita perkauman. Isu surau disimbah cat, cerita ahli politik bukan Islam memasuki surau, isu kepala lembu, istilah 'pariah' dalam novel Interlok, isu azan, dan terakhir cerita seorang remaja Punjabi dikacip rambutnya ketika mengikuti program PLKN.

2. Banyak lagi isu perkauman lain yang muncul. Senarainya mungkin lebih panjang dari jalan keretapi Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

3. Apa yang tidak kena? Kita sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku setiap kali kita membelek berita utama akhbar. Benarkah kita ini sedang bermusuhan dan xenophobia sesama sendiri. Kalaulah Gordon Allport penulis buku The Nature of Prejudice hidup semula - tentu Malaysia salah sebuah negara yang akan dicatatkan dalam bukunya.

4. Apa yang kita mahu sebenarnya?

5. Hakikatnya inilah real politik Malaysia. Kita tidak dapat mengelak dari terus bermain dengan sentimen perkauman - kerana inilah asas pembinaan politik Malaysia. Pelajar-pelajar sains politik - ketika di tahun pertamanya akan diberitahu hal ini. Ia hal yang tidak bakal terpisah dari realiti politik dan cara hidup kita.

6. Sejak merdeka - kita sudah mencorakkan warna politik negara ini dengan parti yang mewakili parti berasaskan etnik. Dan setiap pemimpin yang bakal melonjak naik ialah mereka yang berani menjadi juara etniknya.

7. Ingat - menjadi juara tidak semestinya mereka memperjuangkan etnik yang diwakilinya. Menjadi juara boleh jadi kebijaksanaan memanipulasi isu agar kelihatan mereka adalah orang yang peka dengan rakyat.

8. Pada hemat aku - semua ini adalah permainan politik. Ia ditambah dengan kesukaan media memainkan berita - mengulang dan mengolah agar lebih sensasi.

9. Apakah manfaatnya mempolitikkan kepala lembu - sedangkan banyak lagi isu utama yang diabaikan. Isu kemiskinan, beban hutang bank, penagihan dadah - malah masih ada rakyat kita yang tidur di bawah jambatan, di tanah haram jalan keretapi - dan ada yang rumahnya sekadar sebuah pondok. Malangnya isu besar ini tidak pernah muncul dan diberitakan. Ia hanya muncul sekali sekala - itu pun tatkala menjelang pilihanraya.

10. Motif dibangkitkan hal kemiskinan juga bukanlah kerana ingin menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka yang bernasib malang itu, melainkan untuk menikam musuh politik yang satu lagi.

11. Isu azan - cuma cerita biasa sahaja. Banyak lagi kebisingan lain yang boleh dilaporkan. Ada disko yang berbunyi sampai ke pagi. Ada jentera berat masih melewati kawasan perumahan walaupun hari sudah larut malam. Bunyi bising kuari meletupkan bukit juga menyesakkan telinga.

12. Tetapi - semua ini tidak menjadi berita kerana ia tidak ada hubungkait dengan perkauman - tidak ada nilai untuk menjadi bahan politik.

13. Akhirnya - tatkala kita riuh dengan gagasan Satu Malaysia - kita juga sedang riuh dengan hal perkauman yang sepatutnya bukanlah berita. Tidak perlu seorang menteri turun bagi menyelesaikan isu azan. Tidak perlu seorang Menteri Besar membuat kenyataan mengenai kepala lembu. Ia boleh diselesaikan oleh pegawai yang berkaitan sahaja.

14. Tetapi itulah cara kita. Kita telah dikacaukan dengan banyak hal remeh yang menyebabkan banyak agenda besar lain sepatutnya boleh diselesaikan.

15. Menyelesaikan pengistilahan perkataan paria dalam novel Interlok tidak bakal menyelesaikan masalah kaum India.

16. Isu utamanya bukan semua itu. Isu utamanya ialah sejauh mana kita dapat mengurangkan perbezaan pendapatan bagi semua rakyat. Isu utamanya ialah bagaimana ahli politik mampu melihat apa yang terlebih utama bagi keperluan rakyat.

17. Kalau tidak - sampai bila-bila pun kita akan tetap begini. Kerana sampai bila-bila pun, kita akan tetap bersama untuk hidup dan melihat wajah bangsa yang berbeza di sekeliling kita.

18. Makan roti canai di kedai Melayu, membeli barang di kedai Cina dan menggunting rambut di kedai India. Kita mungkin tidak pernah bermusuhan. Tetapi berita dan hiruk pikuk manusia politik pengaut untung membuatkan kita semakin rimas dan resah.

19. Percayalah - sebulan atau kurang daripada itu, akan ada isu baru yang muncul. Ia sudah menjadi lagu hidup kita yang dilabelkan dalam pakej lirik bangsa Malaysia.

Tuesday, 18 January 2011

Siapakah wira kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membaca banyak laporan akhbar mutakhir ini - kita adakalanya menjadi keliru. Siapakah sebenarnya wira dalam masyarakat kita?

Banyak berita kematian penjenayah - sama ada ditembak mati, atau mungkin mengalami penderaan semasa soal siasat, akibat kelalaian mengikut prosedur, menjadikan nama-nama penjenayah ini tiba-tiba bertukar menjadi wira masyarakat. NGO dan peguam secara sukarela menawarkan sokongan. Ahli politik turut memberikan simpati. Ia mendapat liputan secara meluas.

Akhirnya - imej asal penjenayah tadi dilupakan. Orang tidak mengambil tahu lagi berapa orang telah dibunuh, atau berapa banyak rompakan telah mereka lakukan. Mereka menjadi wira baru. Orang kemudiannya melihat penguatkuasa yang mungkin telah tersilap semasa melakukan kerja-kerjanya - sebagai pesalah yang melakukan dosa besar.

Dosa bertukar tangan. Imej penjenayah berubah tempat.

Siapakah wira kita?

Sesekali mari kita lebih rasional dalam melihat sesuatu. Kita tidak hidup di era Robin Hood. Mereka yang tersilap dalam kerjanya memang bersalah. Tetapi imej asal penjenayah tidak semestinya ditukarkan sebagai wira.

Datanglah ke Adelaide - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Lama dulu, aku menulis pesan untuk yang mahu sampai.

Semalam, ada seseorang mengirimkan email bertanya kehidupan di Adelaide. Mereka merancang untuk ke Adelaide bagi meneruskan kehidupan sebagai pelajar. Mereka akan datang tatkala jumlah pelajar Malaysia ke Adelaide semakin berkurangan. Tidak banyak pelajar baru dari Malaysia untuk dua tahun terakhir ini.

Adelaide bandar yang baik untuk menjadi manusia pelajar. Ia tidak sesibuk Melbourne dan Sydney, dan tidak seusang Darwin. Ia bandar yang cantik. Tidak sesak dengan manusia. Tidak sesak dengan kereta.

Di Adelaide - kami mengenal hampir semua pelajar lepasan ijazah yang lain. Kecuali beberapa kerat yang kurang bersosial, atau tidak mahu dikenali. Ia berbeza dengan situasi di Melbourne atau Sydney. Di sana terdapat banyak universiti. Kawasannya pula besar. Jadi, mustahil untuk kenal semua orang. Warga pelajar dari Malaysia juga banyak.

Untuk orang Islam - makanan halal bukan hal yang sukar. Terdapat banyak kedai membekalkan daging atau ayam yang disembelih. Di sepanjang Prospect Road, terdapat komuniti dari Afghanistan yang membuka kedai di sana. Terdapat juga kilang pemprosesan ayam halal di Adelaide. Di South Road - terdapat 2 kedai menjual daging halal.

Terdapat juga 4 buah masjid utama di Adelaide. Universitinya juga menyediakan surau untuk orang Islam bersembahyang.

Sewa rumah sudah naik sejak dua tahun kebelakangan ini. Rumah aku - dengan sewa $240/minggu mungkin antara yang terendah. Rumah di antara $250 hingga $290/minggu mungkin masih relevan untuk kita. Biasanya, penyewa tidak perlu membayar bil air. Ia ditanggung oleh tuan rumah.

Tiada salji di Adelaide. Tetapi di musim sejuknya, anda masih perlu membeli baju tebal. Jangan beli di Malaysia. Anda boleh membelinya di kedai Salvos, Sunday market di Gepp Cross atau di Brighton. Ia murah sahaja.

Apa lagi yang anda mesti tahu?

Oh, sesiapa pun kita - sesampai sahaja di Adelaide, kita akan bertukar menjadi orang lain. Sama ada kita doktor pakar, profesor besar, pegawai kanan negeri, pengurus besar, Timbalan Pengarah, pengetua sekolah - di Adelaide - semua itu tidak penting lagi. Tidak ada sesiapa pun memandang jawatan anda. Semua orang akan dilayan dengan cara yang sama.

Jadi bersedialah untuk hidup sebagai manusia biasa sahaja. Bersedialah untuk dipanggil kakak atau abang sahaja, itulah pangkat terbesar yang masih tinggal di pangkal nama anda. Selebihnya kami akan memanggil dengan nama sahaja.

Sunday, 16 January 2011

Ini cerita PhD

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Dunia PhD aku di Australia sudah berada di penghujung jalan. Data terakhir aku sudah dipos Jumaat lalu. Ia kutipan data terakhir aku bagi tujuan pengajian ini. Kajian lain yang bukan untuk PhD, Insyaallah akan aku buat lagi.

Sejak kecil, aku tidak berangan-angan pun untuk masuk universiti, apatah sampai ke luar negeri. Kampung aku jauh di luar bandar. Waktu aku masih kecil, kampung aku masih kawasan hitam. Sekarang ini orang tidak tahu apa itu istilah kawasan hitam.

Jam 6 pagi - bapa menghantar ke sekolah naik basikal. Waktu itu basikal kenderaan paling popular selain berjalan kaki. Hanya ada sebiji dua motosikal. Itu pun Honda C-50 yang aku lihat dipakai oleh tauke kedai runcit di kampung aku.

Sesampai di pekan Changlun - kami perlu menunggu sehingga pagar besi dibuka. Ia ditutup menjelang malam. Tidak orang boleh melalui jalan itu. Sekarang ini, tidak ada istilah tutup pagar juga. Orang boleh keluar masuk jam berapa yang kita suka. Yang ada hanya pagar tol. Pagar tol - istilah baru yang memeritkan.

Masuk universiti sangat jauh dari igauan. Aku pun tidak pasti sama ada aku tahu apa itu universiti ketika aku masih kecil. Rasanya tidak. Mungkin setelah aku di sekolah menengah, aku mendengar betapa hebatnya universiti. Walaupun setelah berusia ini, aku tahu universiti juga bukanlah tempat yang hebat. Yang hebat ialah manusianya.

Sebaik sahaja aku mendapat keputusan 4A 1C dalam Peperiksaan Darjah 5, aku jadi kebingungan. Waktu itu, ia dianggap peperiksaan yang hebat untuk orang kampung seperti kami. 5A ialah pencapaian yang hebat. Mustahil aku akan dapat 5A - bahasa Inggeris aku sangat teruk. Waktu itu aku masih keliru mengapa perkataan "I" mesti dalam huruf besar.

Di kampung aku - pertengahan tahun 1980-an, hanya beberapa orang yang berjaya masuk sekolah asrama. Aku salah seorang darinya. Itu pencapaian hebat untuk anak kampung seperti aku. Sama seperti anugerah Nobel untuk penulis besar.

Hanya di sekolah menengah itulah - baru aku kenal nama universiti. Sebab biasanya, banyak pelajar yang tamat di sekolah itu akan masuk universiti. Jadi - universiti bukan lagi hal yang pelik. Yang pelik ialah apabila ada yang gagal masuk universiti.

Sekarang - seperti bermimpi pula - aku sudah di tahun akhir pengajian PhD, di luar negara pula. Ia pengajian peringkat tertinggi bagi orang awam. Tetapi percayalah, PhD hanyalah sijil sahaja. Manusia tidak akan berbeza hanya kerana ada PhD atau tidak. Kebodohan dan kepandaian tidak boleh diukur dengan sekeping sijil. Ia sama sahaja.

Bezanya cuma ada yang berpeluang, dan ada yang tidak. Itu sahaja.

Tidak perlulah anda menangis teresak-esak kalau tidak mampu masuk universiti, atau menyambung pengajian ke peringkat PhD. Tidak juga perlu menepuk dada berasa besar kalau mendapat PhD sekalipun. Ia hanya sekeping sijil. Kalau kita mati - sijil itu hanya boleh disimpan di dalam almari. Itu pun kalau ada yang sudi menyimpannya.

Dunia aku juga berbeza dengan banyak orang lain yang membuat PhD. Banyak pelajar PhD ialah ahli akademik. Mereka pelajar yang pintar. Mereka sudah lama menjadi pensyarah.

Aku dihadapkan dengan pelbagai bentuk kerja. Sebelum masuk universiti tahun 1992 - aku berkerja kontrak. Juga pernah menanam rumput di UUM. Sekali itu terserempak seorang kawan sedang membuat matrikulasi. Tapi aku tidaklah kisah sangat. Kemudiannya berkerja kilang di Selayang.

Setelah keluar universiti - aku turun naik pejabat. Aku berkerja di kilang di Pulau Pinang. Kalau jodoh aku lama dengan kilang, mungkin aku menikah dengan budak kilang dan menjadi kuli kilang buat selama-lamanya. Jodoh dengan kilang tidak lama, tidak juga berjodoh dengan orangnya. Aku juga berkerja di tempat lain. Kerja menulis. Kerja marketing. Jadi kuli dan menjadi bos kecil. Berpindah ke Jakarta. Berhenti dan kerja lagi. Kembali ke Kuala Lumpur - aku berkerja di tempat lain.

Sampai sekarang - aku masih merasakan belajar di luar negara satu mimpi. Apatah lagi menyambung pengajian dalam bidang PhD.

Saturday, 15 January 2011

Siri Kuliah Psikologi 2011 - Part 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Di Asia - jumlah individu yang memiliki harta lebih dari US$1 billion - tidak termasuk nilai rumah mencecah lebih dari 2.6 billion orang. Jepun dan China adalah negara yang mendahului kekayaan ini. Singapura, India, Korea Selatan, Hong Kong dan Indonesia adalah juga negara yang sedang memiliki manusia terkaya ini.

Rata-rata - kekayaan adalah nilai baru manusia moden - termasuk kita juga. Kita tidak peduli untuk melakukan apa sahaja untuk menjadi lebih cepat kaya. Walaupun purata jam kerja standard ialah 40 jam seminggu - bagaimana pun manusia di Asia telah berkerja lebih teruk daripada itu. Di Jepun, purata pekerjanya berkerja lebih 60 jam seminggu. Ia berlaku di negara lain juga termasuk Malaysia. Lebih buruk - kerja lebih masa tidak dibayar gaji kini menjadi trend baru.

Karoshi - mati disebabkan kerja bukan hanya trend buruk di Jepun, kini ia juga ada di China. Ia boleh dilihat dari simptom yang membawa maut ini - kelesuan (burnout), tekanan, kecewa (frustration), kurang tidur, sakit tengkuk dan bahu. Semua ini simptom yang sering kita hadapi.

Pernah majikan anda, atau anda sebagai majikan bertanya hal ini kepada pekerja di tempat kerja. Tidak. Pasti tidak ada siapa yang peduli. Kita semua perlu kerja lebih kuat untuk menjadi lebih cepat kaya.

Kenapa anda perlu belajar psikologi?

Ini antara sebabnya.

Friday, 14 January 2011

Kisah manusia Islam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sepatutnya aku mahu menulis hal kuliah psikologi minggu ini.

Tapi memandangkan aku sibuk - dan fikiran kacau, jadi aku tangguhkan dulu hasrat itu. Tunggu minggu depan.

Beberapa hari ini - keadaan agak sibuk. Aku memandu seorang diri dari Adelaide ke Melbourne - non-stop - kecuali isi minyak dan sembahyang. Di Melbourne - menjengah pula penguin di Philips Island. Kemudiannya balik ke Adelaide melalui Great Ocean Road, jalan yang berliku-liku. Singgah bermalam di Warrnambool. Keesokan harinya balik ke Adelaide. Sempat singgah di Mt Gambier dan Naracoorte.

Sesampai di Adelaide - aku terus sibuk dengan hal pembetulan jurnal. Sampai hari ini tidak siap lagi. Besok tengah hari perlu dihantar.

Ada dua cerita berkaitan hal orang Islam sepanjang perjalan itu.

Satu di Philips Island. Ketika senja, penguin sedang merangkak masuk dari pantai ke sarangnya. Ada seorang lelaki Arab menjerit dan membuat bising. Ia hal yang tidak wajar apabila kita di perkampungan haiwan liar. Ia menggangu habitat mereka.

Seorang lelaki Inggeris menegur lelaki tadi. Dengan selamba dan loyar buruk, lelaki Arab tadi menjawab: 'What wrong with shouting. They (penguin) are not sleeping'.

Itulah sebahagian dari realiti umat Islam di seluruh dunia. Kita bersikap bodoh sombong. Kita tidak memahami norma dan nilai kehidupan. Kita bersikap lebih buruk dari binatang. Isunya bukanlah penguin itu tidur atau tidak. Isunya ialah kita manusia perlu menunjukkan sikap yang betul pada tempat yang betul.

Singgah di Warnambol jam 12 malam, aku singgah di sebuah blok apartmentpenginapan mencari tempat penginapan. Terdapat deretan apartment dua tingkat. Mungkin ada sekitar 20 buah. Ia agak cantik. Seorang lelaki Afghanistan keluar di kaunter. Aku bertanya tempat tidur. Memandangkan ada sebuah universiti di sekitar bandar kecil itu - aku bertanya sama ada dia pelajar yang berkerja di situ.

Tidak katanya. Apartment itu kepunyaannya.

Aku nampaknya tersalah membaca manusia kali ini.

Aku teruja dengan lelaki yang muslim yang ini.

Tuesday, 11 January 2011

Interlok - hey aku sudah bosan!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Membaca riak suasana di Malaysia, sesekali kita menjadi bosan dan keliru. Tidak ada kerjakah orang Malaysia ini. Seolah-olahnya kita ini pengasas sistem demokrasi. Seolah-olahnya kita ini manusia politik yang makannya berlaukkan politik, dan tidurnya bermimpikan pilihanraya. Sayang sekali, bukanlah Malaysia pengeluar buku teks terhebat sains politik. Melainkan kita telah berpolitik apa sahaja dan menjadi manusia yang dilihat sebagai badut bahan ketawa.

Lihatlah - bagaimana penggunaan istilah 'pariah' telah menyebabkan karya Interlok digesa ditarik balik. Kerana politik, karya sastera dijadikan mangsa. Satu saat nanti, kalau anda menulis patah 'hitam' sekalipun bagi menerangkan satu-satu bangsa, anda juga akan dianggap rasis. Patah kata hitam akan diharamkan dari digunakan. Patah kata 'sepet' juga bakal dianggap sebagai rasis kalau anda tersilap menulisnya. Apatah lagi kalau anda menulis perkataan 'malas' bagi kaum yang lain.

Malang sekali - kita hidup dalam suasana yang sangat pelik. Ia meloyakan. Setiap hari membuka laman berita, berita politik dan gawatnya hidup masyarakat kita telah menjadi fokus utama. Kita terlupa hal lain yang lebih besar. Kita terlupa hal kemiskinan masyarakat. Kita tidak berminat berdebat patut atau tidak PTPTN diubah caranya, agak remaja kita tidak menjadi calon muflis kerana hutang. Kita tidak berfikir sama ada patut kita mempunyai kilang kereta sendiri, sedangkan kita boleh mendapatkannya dengan harga yang murah dari luar. Kita menjadi malas berfikir mengapa universiti kita hanya menghasilkan guru yang mengajar dan bukan penyelidik tersohor. Otak kita dikembiri dari berfikir sama ada kita patut menghentikan rekod yang bukan-bukan - memanjat Himalaya atau menyusun gula-gula.

Politik, politik dan politik. Kami bosan mendengar dan membacanya.

Tidak ada satu patah pun dari Interlok - yang mungkin telah dibaca oleh kumpulan penentangnya. Tetapi kerana politik dan sikap rasis, ia terkenal.

Yang menyokongnya juga bersikap tidak wajar. Ada yang beranggapan menentang Interlok bermakna menentang Yang di Pertuan Agong. Alasannya mudah sahaja. Ia ditulis oleh Sasterawan Negara yang dikurniakan anugerah oleh negara.

Sebenarnya - bukan itu alasan untuk menyokong karya Interlok. Ia hasil seni yang perlu dibaca dengan minda terbuka.

Tetapi kerana ia dipolitikkan, yang menyokong dan menentangnya telah memberikan alasan yang aneh. Ia hujah dangkal yang hadir di celah-celah kelam kabutnya masyarakat kita yang malas membaca.

Kita hanya mahu membaca satu perkara. Politik dan pilihanraya. Kita suka berpesta.

Nasib kita dibela atau tidak, bukan isunya.

Hei. Berhentilah. Aku sudah bosan.

Satu hari nanti, telor ayam pun boleh dipolitikkan!

Saturday, 1 January 2011

Satu hari di tahun baru

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Tahun 2011 - ku mulakan hari dengan berjaga hingga Subuh. Semalam di Adelaide, mereka membakar bunga api. Aku mendengar dentuman itu beberapa kali. Aku lihat sinar percik bunga yang cantik. Aku tidak pergi ke sana. Dari rumah aku boleh lihat semuanya. Rumah aku cuma 1.5 km dari bandar.

Jam 1 pagi - kawan lama aku di sini - Nizam pekerja mahir dalam bidang konkrit paip datang. Mendukung anak yang sudah tidur. Kami bersembang. Mereka baru balik dari pesta bunga api. Dia tidak membawa balik abunya. Kami minum kopi. Makan maggie. Bersembang-sembang segala macam hal.

Jam 3 pagi - aku memperbaiki kertas jurnal. Menggodek segala statistik dan formula. Menulis dan mengarang. Berkali-kali ke ruang dapur mencucuh rokok Dunhill bebas cukai. Stok kian berkurang. Siapa datang ke Adelaide, tolong belikan aku rokok baru.

Bangun jam 10. Anak aku selalu kacau aku. Dia mengejutkan aku. Isteriku sudah lama menghilang. Entah ke mana dia pergi. Aku buka tv. Cerita Ben10. Ini rancangan anak aku. Aku buka komputer. Baca internet. Laman web wajib untuk aku sejak beberapa tahun ini www.goal.com. Mengejar anak aku untuk mandi. Dia selalu protes setiap kali disuruh mandi. Mandi adalah trauma untuk semua budak-budak sepanjang zaman. Aku dulu juga akan protes kalau disuruh mandi. Akan bertambah protes kalau diminta sabun dan shampoo.

Jam 11.30 pagi, Razak datang ambil aku. Bawa aku ke rumah Zainol. Rupanya mereka sedang meniaga Garage Sale. Isteri aku salah seorang darinya. Banyak barang yang dibeli dari garage sales - kini dijual pula di garaj kereta di rumah Zainol. Pinggan mangkuk, baju, periuk, tayar buruk, tilam busuk, kerusi cabuk semua cuba dijual. Ada juga set noritake. Hidup ini dunia berjual beli. Hidup ini menghimpunkan barang buruk. Menggalas biawak hidup.

Aku lepak bawah pokok limau oren. Aku buka jurnal tulisan Sharon Clark. Aku baca berkali-kali. Sudah lumat kertas ini. Untuk orang yang mengkaji organisational climate - ini antara tokoh yang wajib anda kenal. Anda juga patut kenal Schneider. Zohar dan Luria juga. Mearn juga. 10 tahun lagi, anda patut baca tulisan aku. Jangan sekarang. Aku belum popular. Aku masih bawa ajaran sesat.

Jam tengahari - sesudah makan, aku mengantuk. Aku tidur di ruang tamu. Banyak orang di rumah Zainol. Kini ia menjadi port baru kami. Ia tempat kami makan dan membuang sampah. Ia tempat kami menghabiskan masa. Ia tempat bermalas, sudah menjadi bar baru untuk kami warga Adelaide yang tidak lagi banyak masa.

Petang - barang garage sale mereka banyak yang terjual. Isteri aku mungkin dapat $50 dolar hari ini. Duit dia, duit dia. Duit aku, duit dia. Itulah bahayanya ideologi persamaan hak wanita. Ini topik popular tahun 1940-an.

Ke rumah Nizam untuk mengambil 'air cond'. Sekarang musim panas. Esok ada tetamu dari Melbourne datang. Mereka 3 keluarga. Tetamu tidak boleh hidup dalam panas. Mereka semua aku minta tidur di rumah aku. Terselamat duit sewa hotel yang mahal. Aku pula akan berpindah beberapa malam ke rumah Zainol. Inilah hidup. Pinjam meminjam. Tumpang menumpang. Kerabat mengkerabat. Kita tidak akan mati.

4 haribulan aku akan Melbourne pula. Menemankan saudara dari Malaysia melancong beberapa hari.

Sibuknya hidup ini. Tidak sempat aku merencana azam tahun baru. Nanti kalau aku sudah tidak sibuk, aku akan senaraikan azam tahun 2011.

Terima kasih semua yang membaca. Dari Kodiang sampailah ke Kulai. Dari Malaysia sampai ke Indonesia. Juga untuk mereka yang merempat di bumi asing seperti aku. Teman-teman dan pelajar di bumi Adelaide. Juga mereka yang membaca dari UK dan blogger Zarch di Swiss.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails