Yang Ikut

Saturday, 3 December 2011

Kuliah Pemikiran - II

Reactions: 

Petang tadi, saya ke Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi. Sebaik sahaja menjejak tangga kompleks itu, mata saya terpandang 3 buah buku karya Allahyarham Syed Hussein Alatas. Saya tidak membuat sebarang pilihan. Saya terus membeli dua buah karyanya, "Mitos Pribumi Malas" dan "Intelektual Masyarakat Membangun". Ini adalah antara karya hebat beliau, yang asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Karya yang saya beli ini ialah karya edisi terjemahan bahasa Melayu.

Sebenarnya, saya memiliki kedua-dua buku ini lama dahulu. Ketika itu saya masih di bangku universiti. Tetapi, kini ia hilang entah ke mana. Ia karya besar yang patut dibaca anak muda. Ia bukan novel cinta. Ia buku yang membuka minda berfikir kita.

Ia menceritakan bagaimana budaya bebalisme yang membuatkan manusia banyak melakukan kesalahan dalam membuat pertimbangan. Ia juga menceritakan bagaimana banyak watak baru yang sedang menguasai kita - tetapi sayangnya watak baru ini sedang dikongkong oleh 'watak tertawan' yang sedang dikurung mindanya. Kita sedang dikurung akal dan minda dari berfikir.

Saya tidak mengulas buku ini.

Sekarang ini, perwakilan UMNO sedang sibuk mensidangkan pelbagai masalah yang berlaku di kalangan orang Melayu. Saya mengambil tahu apa yang disidangkan itu melalui kaca televisyen.

Sayangnya, saya tidak nampak ada sesiapa pun yang sedang membincangkan betapa bungkamnya minda Melayu. Yang banyak dibincangkan ialah hal pilihanraya, perpecahan dan parti lain yang menjadi musuh kepada orang Melayu.

Mengapa kita tidak membincangkan yang kemelut yang berlaku di kalangan orang Melayu kini ialah kerana tidak ada lagi dunia kesarjanaan bangsa. Tidak ada lagi mereka yang cerdik berfikir untuk kita. Yang ada hanya golongan peniaga dan politikus sahaja. Sesekali yang berjaya berniaga itu pula kerana ia menjadi suami atau isteri kepada seseorang.

Jadi, untuk dikatakan hebat, mungkin tidak betul pula.

Ke mana hilangnya ahli fikir kita?


Kita boleh berbangga dengan puluhan universiti yang ada di negara kita. Banyak pula universiti yang baru dibangunkan. Jumlah mereka yang ada PhD juga ramai. Bilangan profesor yang ada juga bukan sedikit.

Bagaimana pun, kalau kita bertanya, siapa sarjana atau pemikir Melayu hari ini?

Kita tidak mampu mencarinya lagi. Kerana memang kita tidak memilikinya.

Kesarjanaan tidak semestinya ada kelayakan akademik yang tinggi, bahkan tidak semestinya ada. Yang perlu ada ialah ketajaman berfikir dan sifat sayang kepada ketamadunan bangsa. Mereka akan bercakap benar tanpa takutkan sesiapa. Mereka bercakap dari hati mereka.

Saya merasakan, tidak ada lagi sarjana Melayu baru yang lahir beberapa dekad terakhir ini. Tidak ada lagi kedengaran nama seperti Zaaba, Pak Sako, Ahmad Boestaman, Usman Awang yang bercakap hal orang Melayu. Yang ada hanya mereka yang bercakap, tetapi kita meragui isi hati mereka.


Mungkin ada yang berkata sarjana kita banyak di universiti, tetapi mereka malas bersuara.

Mengapa pula mereka malas bersuara?

Mungkinkah tidak lahirnya ilmuwan Melayu generasi baru ini kerana minda tertawan ini? Budaya kita tidak memberi ruang bebas untuk manusia memberikan pandangan. Kalau tersalah memberi pandangan, mereka ini pula sesekali akan dihukum dengan banyak cara.

Akhirnya, kita menutup semua pintu pemikiran dan kesarjanaan yang diharap dapat berfikir untuk kebaikan bangsa Melayu. Golongan bebal ini kemudiannya yang akan menguasai korpus pemikiran bangsa.

Dalam persidangan Agung UMNO itu, yang sepatutnya membincangkan kemelut orang Melayu, hal pemikiran ini patut dibahaskan bersama. Jangan hanya membiarkan mereka yang pandai berpantun dan berseloka menggamatkan dewan.

Hakikatnya, kita sedang berhadapan dengan kemelut yang lebih besar. Kita tidak melahirkan sarjana Melayu yang tersohor lagi, melainkan mereka yang hanya pandai memuji dan melagukan irama indah.

3 comments:

Dr. Ben said...

Seorang "runner" politik kata kat aku,

"Doc, sebenarnya pada kami orang akademik ni pada orang politik adalah orang low class sebab takde impak kepada politik. Berbeza dengan bisnesman."

Dr. Ben said...

nampak kat kinokuniya... harga nak cecah RM200 sebiji.

Berapa RM ko beli?

ajaq said...

mereka dengan dunia mereka....lintang pukang menyerang parti politik yang lain....berserabut meluluskan akta ....apakah tidak makan aku jika parti lain memerintah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails