Yang Ikut

Sunday, 4 December 2011

Kita mampu mengubah masa depan

Reactions: 
Banyak orang yang dilanda gelisah memandang masa silamnya.

Ada yang menyesal kerana pernah menjadi penagih dadah.

Ada yang terluka kerana cinta silamnya tercalar dengan noda. Ada yang terjual diri, ada yang menjual diri.

Ada yang terkilan, tatkala ibu bapanya pergi mereka tidak sempat memohon ampun. Ada yang membawa kesal sampai ke mati.

Ada yang menyesal kerana pelajarannya tidak menjadi, menyebabkan mereka memburuh sampai ke usia senja. Mereka cuba kembali, tetapi tidak terdaya lagi.

Ada yang merana kerana di usia mudanya mereka terlupa Tuhan, menjadi makhluk engkar yang banyak membuat dosa. Mereka merompak, mencuri dan membunuh. Tatkala di usia senja, dosa itu terus memburu mereka.

Sesiapa pun kita, semua di antara kita, ada kisah silamnya yang tersendiri. Kita hanya manusia biasa sahaja. Kita tidak pernah maksum dengan dosa. Kita ada cerita kita sendiri. Terluka, kecewa, kesal dan gelisah adalah antara nota perjalanan kita. Kita semua sama sahaja. Latar dan ceritanya mungkin berbeza.

Tetapi percayalah, tidak ada sesiapa pun yang mampu mengubah masa silam. Sesiapa pun kita, sehebat mana pun - tidak ada upaya sedikit pun untuk memutar semula roda masa.

Tetapi, kita semua - kita mampu mengubah masa depan. Kita mampu melakukan yang lebih baik untuk kebaikan diri dan manusia lain. Kalau dulu, kita tercalit noda - kita lupakanlah ia. Kita mulakan sesuatu yang baru. Mengenangkan kealpaan silam, tanpa membuat sesuatu yang merubah diri kita, tidak akan membawa kita ke mana.

Kalau dulu diri tercemar, kita boleh menyucikannya dengan tidak mengulang salah yang sama. Kita boleh menjadi manusia terbaik mengubah orang lain agar tidak membuat hal salah yang serupa. Kalau dulu, kita tidak sempat belajar menjadi manusia, kita boleh mengajar anak-anak kita agar tidak menjadi seperti kita. Kalau dulu kita terkecewa, kita bahagiakanlah orang lain.

Percayalah. Kita hanya manusia biasa. Kita semua sama sahaja.

Jangan dibiarkan masa silam menguasai kita. Tetapi, kita masih ada banyak peluang untuk mengubah masa depan kita.

Apa pun yang pernah terjadi, biar seburuk mana pun, itulah yang terbaik untuk kita. Kita tidak akan mampu mengubah takdir waktu, tetapi kita mampu berusaha untuk mengelak kesilapan yang sedang berada di hadapan kita.

1 comment:

ajaq said...

...sukar jika pokok dan akarnya sentiasa di cantas!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails