Yang Ikut

Wednesday, 7 December 2011

Kasihan anak dara kita - II

Reactions: 
Puas saya berfikir, mengapa anak-anak dara kita ini mudah sangat tergoda dengan pemuda asing yang tidak ketahui asal usulnya.

Awalnya, saya jangkakan anak-anak dara kita tidak ada ilmu pengetahuan yang cukup. Seolah-olahnya mereka ini tidak belajar tinggi. Nyatanya, telahan saya salah. Banyak daripada anak-anak dara kita ini bukanlah lulusan tingkatan 5 sekolah kampung. Mereka ini ada yang sudah lulus universiti, ada yang sedang belajar di kolej swasta.

Maksudnya, anak-anak dara kita ini bukan calang-calang orang.

Tetapi, begitulah. Pendidikan itu bukanlah pemikiran. Sekian lama orang tersalah tanggap bahawa orang yang belajar tinggi akan ada pemikiran yang tinggi. Tidak. Pendidikan hanya membantu orang berfikir. Itu pun kalau orang menggunakan peluang menjadikan pendidikan sebagai sekolah berfikir. Kalau tidak, pendidikan hanya tinggal tempat mendapat sijil sahaja.

Saya tahu, sebagaimana anda juga anda tahu, kita memasuki universiti hanya untuk lulus periksa. Bukan berfikir. Tidak ramai pun pelajar universiti yang betul-betul membaca. Mereka hanya menghafal nota kuliah. Sebagaimana kita juga dulunya. Kalau membuat tugasan dan kertas kerja, ia hanya ala kadar sahaja. Adakalanya mereka menulis kertas kerja, yang mereka juga tidak faham apa yang mereka tulis. Maksudnya, mereka menghantar tugasan kerana itu adalah syarat satu-satu kursus.

Kalau begitu, mengapa mereka lulus juga? Tanya seorang teman. Adakah pensyarah tidak melakukan kerjanya dengan betul.

Sebenarnya, kalau pensyarah memberikan markah berdasarkan kualiti, pada akhirnya mungkin tidak ada sesiapa pun yang lulus. Pensyarah juga tidak boleh melakukan apa-apa kerana itulah sistem yang sedang mencorakkan mereka. Kita semua, baik anda, baik saya, kita hidup dalam sistem ini.

Kita hidup dalam sistem lulus periksa. Kita semua berorientasikan peperiksaan. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah menunjuk jalan.

Sebab itulah, jangan terkejut kalau pengetahuan am lulusan universiti kita tidak sebaik mana. Mereka juga barangkali hanya menguasai aspek teknikal satu-satu pekerjaan dengan baik, tetapi bukan aspek pemikiran.

Sebab itu, orang-orang tua kita dahulu, yang hanya lulus MCE atau darjah enam, kita lihat cara mereka berfikir sangat hebat. Mereka boleh menjadi negarawan besar. Sekarang, tidak lagi.

Sebab utamanya teknologi. Teknologi telah menyebabkan orang mendapat maklumat dengan cepat, sekali pun tanpa berfikir. Orang tidak perlu lagi mengambil jalan susah mendapatkan ilmu, sebaiknya dengan hanya menaip di papan kekunci. Hasilnya, yang anak-anak kita perolehi hanyalah maklumat, bukan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan akan kekal lama di pemikiran mereka, tetapi maklumat hanya tersimpan untuk kegunaan jangka pendek. Maklumat itu hanya boleh digunakan untuk peperiksaan, bukan mencerna akal mereka.

Apa yang boleh kita lakukan?

Sebab itu, mereka begitu senang terpedaya dengan pemuda asing yang menjanjikan mereka kemewahan. Kerana otak mereka tidak berfikir dengan cerdas. Otak mereka hanya mampu menggelintar maklumat untuk tujuan lulus periksa, dan bukan untuk menghadapi dunia realiti.

Mereka sering lulus periksa di bilik kuliah, tetapi akan selalu gagal dalam peperiksaan hidup sebenar. Pujuk rayu lelaki Nigeria itu tidak pernah diajar untuk mereka.

5 comments:

zarch said...

Tetapi bagaimana pula berpuluh ribu anak dara Melayu yang terpikat dengan lelaki tempatan sawo matang kulitnya yang muslim pula, yang kesudahannya mengandung anak-anak luar nikah yang berakhir dengan membunuh nyawa-nyawa bayi tersebut?

Cinta, tidak mengira apa darjat, kelulusan, pemikiran dan lain-lain tetapi ia adalah perasan yang mampu berada dibawah nafsu mahupun akal, dimana boleh dipermainkan atau dimanipulasi oleh sesuatu faktor. Rasanya, inilah gejala realiti dunia terbuka hari ini, terutama diatas kebebasan sosial hari ini.

Dr. Ben said...

Benar.

Tapi nanti aku cerita hal orang Nigeria.

Kolek Kecil said...

Penerangan Syed Naquib Al Attas tentang perbezaan pengetahuan dan maklumat sangat menarik. Sesuai untuk menerangkan lagi apa penyebab berlaku isu sekarang macam yang diulas Tuan.

Kolek Kecil said...

Penerangan tentang perbezaan pengetahuan dan maklumat oleh Syed Naquib Al Attas sangat jelas dan menarik, sesuai untuk menerangkan lagi hasil tulisan tuan.

jedi said...

Apabila keimanan yang tidak kukuh di hati, itu lah yang terjadi.

Btol apa yang dikatakan, mereka kekadang kita hanya mahu keputusan yang terbaik tapi tidak tahu berfikir dan membuat keputusan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails