Yang Ikut

Tuesday, 20 December 2011

Kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya

Reactions: 
Saya selalu menulis betapa dalam dunia kita hari ini, tidak banyak lagi manusia yang boleh dipercayai. Sebaik mana pun kita memakai pakaian, pakaian yang terbaik ialah kejujuran. Itulah integriti bagi hidup seorang manusia.

Kami ahli akademik akan juga selalu bercakap hal ini di bilik kelas. Pelajar yang meniru, atau melakukan kerja-kerja plagiat dianggap manusia yang hilang integriti. Moral manusia seperti ini akan dianggap sebagai terlalu hina. Ia lebih rendah dari taraf seorang pengemis.

Akademik mungkin pekerjaan yang memberi kami banyak ruang untuk menghindarkan diri dari banyak kecurangan. Anda yang berkerja di perkhidmatan awam, akan selalu melihat atau mendengar bagaimana banyaknya manusia memberi dan menerima rasuah. Ia mungkin kawan-kawan anda juga.

Kita juga selalu mendengar, sesekali terpaksa menghadapinya, apabila kita diminta membayar wang kopi bagi urusan tertentu. Kita tidak perlu menafikannya. Kita berada dan hidup dalam sistem yang sama.

Ahli akademik mungkin boleh mengelak diri dari banyak kerja tidak bermoral ini. Salah satu sebabnya, kami tidak ada kuasa seperti penjawat awam yang lain. Kami hanya mengajar, membuat penyelidikan, dan sesekali memberi ceramah. Itu sahaja. Ruang untuk kami membusukkan diri dalam sistem kecurangan moral setidak-tidaknya dapat dielakkan.

Ternyata, telahan saya tidak selalu benar.

Sebenarnya, kami juga ada ruang untuk dinodai dalam sistem yang busuk ini. Dana penyelidikan yang kami terima besar jumlahnya, adakalanya sampai mencecah jutaan ringgit. Banyak mata yang sedang memerhatikan. Walaupun hakikatnya, wang itu tidak pun sampai ke tangan kami, kecuali sedikit upah kepakaran. Selebihnya ialah kos penyelidikan, membeli alatan, dan upah pembantu penyelidik.

Orang mungkin berkata saya merekayasa cerita ini.

Tidak. Saya sedang hampir ditusuk dengan bilah kejahatan ini.

Saya mendapat satu geran dari sebuah agensi (bukan universiti). Bagaimana pun, surat tawarannya belum lagi dikeluarkan. Tidak mengapa. Ia hal birokrasi.

Bagaimana pun, apabila ada bisik-bisik dari dalam kantor agensi itu (bukan universiti), agar saya segera membuat tuntutan, dan harap-harap mereka akan mendapat sedikit habuannya, saya mula berasa curiga. Saya tidak kisah kalau mereka adalah sebahagian daripada co-researcher, yang sama-sama berpenat lelah berfikir dan melakukan penyelidikan. Itu hal lain.

Tetapi, saya tidak dapat menerima hakikat ada 'sleeping researcher', apatah ia datangnya dari dalam agensi yang mengeluarkan dana. Mereka ini sepatutnya membantu penyelidik, bukannya mengharapkan habuan. Bagi saya, ia hal yang tidak bermaruah.

Kami mengajar masyarakat untuk melakukan kebaikan. Kami mendidik orang lain untuk menolak segala bentuk kecurangan. Kerana kami yang mengajarnya, kami jugalah yang akan mempertahankannya.

Kalau pun nanti semua sistem yang ada rosak, kami para akademik akan tetap menjadi benteng mempertahankannya. Kami tidak lagi akan menjadi ilmuan, kalau kami hilang integriti.

Saya menghubungi mereka, bahawa saya tidak lagi berminat dengan dana tersebut, dan menarik diri dari memulakan penyelidikan.

Sebelum ia bermula, lebih baik saya menamatkannya. Semua dari kita akan terselamat. Saya mungkin telah mencemarkan nama baik saya dengan tidak mengotakan janji. Tetapi saya telah mengotakan janji saya kepada masyarakat.

Kami mengajarnya, kami jugalah mempertahankannya.

4 comments:

jedi said...

Memang tak di nafikan apa yang diperkatakan.Ia memang benar.

Dr. Ben said...

tak paham apa maksud "harap-harap mereka akan mendapat sedikit habuannya"

FakirFikir said...

Dr. Ben, itu ayat yang telah aku lembutkan tonenya. Tone sebenar tentu lebih mudah difahami, tetapi tentu tidak sesuai dinyatakan di sini. harap pembaca faham.

Faizal Rahman said...

Tahniah bro, ini jugalah yang berlaku di USM, geran diperoleh dgn dana yang banyak tidak diguna dengan sebaik mungkin, researcher hilang fokus research dan tumpu pada hal-hal lain. Bagaimana pembantu-pembantu dapat bekerja bila didalam hati itu dan ini tidak disetujui minda bersih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails