Yang Ikut

Thursday, 8 December 2011

Budaya memberi wang

Reactions: 
Asas kepada sitem meritokrasi yang diperkenalkan pada zaman Tun Dr Mahathir dahulu ialah untuk menggalakkan budaya bersaing dan tidak terlalu bergantung. Mentaliti subsidi dan tongkat perlu disisihkan agar rakyat mampu menjadi manusia yang lebih kuat.

Ya, kita tidak boleh sangat bergantung. Budaya subsidi sedikit sebanyak menghancurkan kita. Kalau boleh, kita ingin diberikan subsidi dalam segala hal. Selain baja, kita ada subsidi beruk. Adakalanya, kita memberi subsidi kepada orang yang tidak berhajat pun. Mereka inilah yang selalunya menjualkan baja kepada orang lain.

Tidak mengapa. Kita tutup cerita subsidi.

Sekarang ini, muncul pula budaya memberi wang. Anak sekolah diberi RM 100. Ketua isi rumah pula mendapat RM 500.

Apa semua ini?

Benarlah, sesiapa pun tidak akan menolak wang yang diberikan.

Tetapi, budaya memberi wang ini mewujudkan amalan hidup yang tidak sihat. Kita membentuk orang untuk selalu berharap. Lainlah, kalau bantuan wang itu diberikan kepada masyarakat yang ditimpa musibah, seperti banjir atau kebakaran. Itu cerita lain.

Memberikan wang RM 100 atau RM 500 tidak mengubah apa-apa dalam zaman ini. Anak-anak sekolah menghabiskan RM 10 sehari untuk membeli topup kredit pra bayar. Kita menghabiskan RM 100-200 seminggu untuk duit minyak dan tol.

Maknanya, wang sebanyak itu tidak mengubah apa-apa pun. Tetapi, ia mewujudkan budaya yang lain pula. Kita sedang membentuk manusia peminta sedekah yang sangat hina. Sedangkan, wang itu boleh dimanfaatkan untuk hal lain yang boleh memberi manfaat jangka panjang. Membaiki jalanraya di kampung-kampung atau menyediakan surau yang lebih cantik. Boleh juga menyediakan perpustakaan di setiap kampung. Ia tidak akan habis, selagi tidak dimakan anai-anai.

Sebenarnya, yang perlu dikurangkan ialah kos sara hidup. Kita buka import gula agar harga gula lebih kompetetif. Kita basmi penyeludupan beras di sempadan agar harga beras orang kampung lebih tinggi, dan dengan ini kehidupan mereka lebih senang.

Sekarang ini, kalau anda tinggal di sempadan, anda akan dengar ada PBB di sana. Semua orang tahu mengenainya. Termasuk anak-anak sekolah. Apa itu PBB? Itulah 'Penyeludup Beras Berlesen'. Kalau orang awam tahu mengenainya, mustahil pihak penguatkuasa tidak tahu.

Semua ini adalah gejala-gejala ketirisan ekonomi yang mungkin ada kaitannya dengan rasuah. Semua inilah yang menyebabkan kos yang ditanggung oleh rakyat kian meningkat.

Ketirisan ini ada di mana-mana. Ia bukan rahsia yang disimpan di dalam gua lagi. Ia rahsia yang dibincangkan secara terbuka.

Tidak perlulah kita memberikan wang RM 100 atau RM 500. Kita jangan ajar rakyat dengan hal-hal yang tidak baik.

Sekarang ini, setiap kali hari raya kita jadi gelisah kerana ada banyak budak-budak yang datang meminta wang, tetapi tidak mahu pun masuk ke dalam rumah. Banyak daripada mereka ini pula kita tidak kenal dan datang dari jauh, semata-mata untuk mendapatkan wang raya.

Tidak mengapalah. Itu budak-budak.

Jangan kita ajar orang tua hal yang sama. Takut nanti, tidak ada apa lagi yang boleh kita beri.

Kalau setiap hari raya ada anak-anak meminta wang, setiap kali pilihanraya orang tua juga akan meminta wang. Akhirnya, amalan demokrasi itu tidak ada lagi.

Yang perlu kita bendung ialah ketirisan ekonomi yang menyebabkan kos sara hidup kian meningkat. Itulah subsidi yang lebih besar nikmatnya.


Bukan memberi wang yang tidak mampu mengubah apa-apa.

2 comments:

Dr. Ben said...

Rakyat Arab Saudi cintakan pemerintah mereka sebab banyak subsidi diberikan kepada rakyat. Sebab itu tiada Arab Spring di Arab Saudi.

zarch said...

Pada pendapat saya yang dhaif ini, bentuk subsidi diMalaysia, ganjil caranya kerana subsidi diMalaysia, semua dapat termasuk mereka yang gaji atau pendapatan bulanannya mencecah berjuta-juta ringgit. Cthnya subsidi minyak, semuanya dapat lalu kemudian, tiada duit lebihan atau kurang duit simpanan yang sepatutnya digunakan membantu mereka yang benar-benar memerlukan seperti mereka yang bertaraf miskin atau mereka yang benar-benar tidak mampu menanggung keluarganya seperti oku, penganggur, janda yang tiada mata pencarian dan lain-lain.

Berbeza dengan negara-negara kebajikan yang mana bantuan social atau subsidi kerajaannya ditujukan khas untuk rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan dan ini meningkatkan taraf hidup keseluruhan rakyatnya dan sekali-gus berjaya mengurangkan kes-kes jenayah dari berlaku.

Merendahkan kos hidup rasanya bukanlah suatu yang elok untuk jangka panjang, tetapi menaikan taraf hidup dengan taraf gaji yang sebaiknya akan meletakkan Malaysia setaraf dengan negara maju. Hari ini, barang semakin naik terutamanya barang yang diimport tetapi gaji tidak naik-naik. Taraf gaji diMalaysia adalah jauh rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Eropa atau Jepun. Dan malah, juga rendah dari sesetengah negara-negara Arab.

Wallahualam...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails