Yang Ikut

Tuesday, 20 December 2011

Buah cabai yang menjadikan aku manusia

Reactions: 
Teringat satu ilmu yang paling besar yang diajarkan oleh ibu lebih 30 tahun dulu. Aku masih di sekolah rendah. Ia bukan ilmu biasa. Ia ilmu mendidik kita menjadi manusia. Ia ilmu integriti. Ia tidak diajarkan di universiti.

Ketika kecil dulu, aku adalah budak kampung tulen. Aku memang suka menyerkap ikan di bendang. Badan penuh lumpur. Berjemur panas dan hujan. Setiap lubuk aku teroka. Motifnya satu. Mencari ikat darat. Selalunya misi aku berjaya.

Satu tengahari, ketika pula menyerkap ikan, aku singgah di satu kampung yang dah ditinggalkan. Tidak ada sesiapa di tanah itu. Ada sepohon cabai yang rimbun. Aku memetik buahnya satu demi satu. Aku mahu berikan ia kepada emak aku di rumah. Apa tidaknya. Ia cabai yang percuma. Tumbuh pula di kampung yang ditinggalkan orang. Tidak tahu siapa tuan punyanya.

Pulang di rumah, aku berikan buah cabai tadi kepada emak. Emak bertanya, di mana aku ambil. Secara jujur, terus terang dan yakin, aku beritahu aku ambil di kampung tinggal di tepi bendang itu. Ia agak jauh dari rumah aku.

Emak meminta aku pulangkan buah cabai tadi ke pohonnya. Ia bukan milik kami. Walaupun tidak diketahui siapa tuan punya pohon cabai itu, tetapi ia tetap bertuan.

Sebenarnya, apalah sangat dengan beberapa biji buah cabai.

Berapa sen sangat harganya.

Setelah dewasa, aku sedar - tidak ada satu apa pun harta orang lain yang patut kita idamkan. Apatah lagi mengambilnya tanpa kebenaran. Sama ada ia berharga atau tidak, ia bukan soalnya. Soalnya, tidak ada satu pun kepunyaan orang lain yang patut kita jadikan ia seperti milik kita sendiri.

Dengan kecewa, aku berjalan kaki semula ke kampung di hujung bendang untuk meletakkan buah cabai tadi di bawah pohonnya.

Itulah integriti. Jujur dan amanahlah. Sama ada orang melihat atau tidak, sama ada berharga atau tidak, jangan terliur dengan apa yang bukan milik kita.

Terima kasih emak kerana menjadikan aku manusia - walaupun kuliahnya hanyalah sekadar beberapa biji buah cabai.

Kini - aku akan selalu berkata - kerana kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya.

Kita mungkin tidak mampu mengubah sistem yang sakit. Tetapi jangan biarkan sistem yang sakit mengubah kita.

2 comments:

alfindani said...

Salaam.

Saya pun pernah mengalami kejadian serupa. Bukan cabai, tapi kacang tanah.

Ada Cina tanam kacang tanah di kebun getah yang baru ditanam semula, dan org kampung ambil upah cabut kacang. Kami budak2 pun turut sama ambil upah cabut kacang.

Waktu petang ketika nak balik, ada makcik2 bawak balik kacang yg katanya tak cukup gred. Saya pun bawak balik juga setengah guni.

Sampai rumah terus kena soal siasat, ditanya ada minta izin kat tokey Cina tu ke tak? Jawapan yg diberi kata: "semua org bawak balik, Cina tu dah bagi izin kot".

Langsung disuruh hantar semula esoknya dan disuruh cerita balik kepada Cina itu apa yang telah saya lakukan. Seingat saya, selepas itu tokey tu suruh ambil saja.:)

Bagi orang tua2 dulu, maruah lebih penting dari hartabenda.

Dr. Ben said...

Semoga kita istiqamah bab ini. Amin!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails