Yang Ikut

Thursday, 17 November 2011

Jangan membuang masa melakukan kajian

Reactions: 
Apabila saya menulis mengenai "Tea Room Sex Study', saya pasti tidak ramai pembaca di luar yang tahu apakah sebenarnya yang ingin saya sampaikan. Ia sebenarnya menerangkan betapa asas utama dalam penyelidikan sains sosial atau apa sahaja yang berkaitan manusia, kita mestilah mempunyai etika.

Dalam konteks hari ini - di banyak negara maju, menjalankan kajian berkaitan manusia tanpa mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Etika, bermakna anda sedang melakukan jenayah dan boleh dipenjara.

Apa sebabnya? Sebabnya kajian yang kita lakukan mungkin memberikan implikasi buruk terhadap subjek kajian. Ia juga boleh menyebabkan implikasi buruk terhadap diri kita juga - misalnya diserang ketika melakukan kajian atau disaman di kemudian hari. Tanpa mendapat persetujuan Jawatankuasa Etika, kajian kita juga berkemungkinan bias, tidak bermoral dan tidak pada landasan yang betul.

Bagaimana di Malaysia?

Kajian sains sosial di Malaysia masih berada pada tahap yang mundur. Sepanjang yang saya tahu, kecuali sebuah universiti, tidak ada universiti lain yang mensyaratkan setiap kajian mengenai manusia mesti mendapatkan kelulusan etika. Setakat ini juga, kelulusan Jawatankuasa Etika hanya disyaratkan dalam bidang perubatan sahaja.

Sila update saya jika saya salah.

Di Malaysia, terdapat begitu banyak suara yang mendesak agar akademik menerbitkan kajian mereka di jurnal ISI. Ia seperti juga kecenderungan masyarakat kita untuk membina perumahan indah di atas bukit. Kita sangat teruja untuk mendapatkan hasil yang indah dalam masa yang cepat.

Itu cara kita. Ia budaya kita.

Sayangnya, tidak ada sesiapa pun yang ambil tahu untuk memastikan semua kajian ini melalui penilaian Jawatankuasa Etika. Etika penyelidikan ini ibaratnya menanam cerucuk besi di dalam tanah sebelum bangunan dibina. Tanpanya, buatlah sebaik mana pun bangunan, lama-kelamaan bangunan akan runtuh.

Bagi penerbitan di jurnal antarabangsa yang besar, ada sesetengahnya meminta nombor rujukan kelulusan Jawatankuasa Etika. Ada pula yang meminta surat yang menyatakan kajian kita sudah mendapat penilaian oleh Jawatankuasa ini.

Tanpanya, buatlah sebaik mana pun kajian, tulislah secantik mana pun ayat dan gunalah analisis yang komplikated sekalipun, kajian anda akan ditolak lebih awal lagi.

Dalam erti kata lain, janganlah membuang masa anda melakukan kajian kalau tidak ada kelulusan Jawatankuasa Etika. Ia sama seperti menabur benih padi ke padang rumput.

Untuk semua rakan akademik muda yang lain, marilah kita bersama berjuang untuk hal ini. Kita sedarkan universiti kita akan hal ini, kerana inilah ibu segala penerbitan jurnal ISI.

2 comments:

Anonymous said...

elo, saye dr USM dan semua kajian mengenai manusia perlukan kelulusan daripada ethics commitee, bukan hanya dalam bidang perubatan sahaja...

FakirFikir said...

To anynomous. Already mentioned in text previously. Please refer."Sepanjang yang saya tahu, kecuali sebuah universiti, tidak ada universiti lain yang mensyaratkan setiap kajian mengenai manusia mesti mendapatkan kelulusan etika".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails