Yang Ikut

Friday, 21 October 2011

Negarawan terbilang terlantar duka

Reactions: 
Dalam apa sejarah pun, manusia yang ada kuasa akan dibelai dan dipuja. Kemana-mana mereka pergi akan ada manusia yang mengekori dan memberi hormat. Kata mereka menjadi fatwa. Lawak mereka akan disusul dengan tawa, sekalipun lawak itu tidak lucu. Apa sahaja pandangan mereka akan dikatakan sebagai paling bernas, sekalipun ada ketikanya pandangan itu tidak lebih baik dari orang biasa seperti kita.

Ada ketikanya, manusia baik terhukum hanya kerana ada mereka yang ingin menyukai hati pemimpinnya. Ada yang berkata benar, tetapi dinistakan kerana ingin menyanjung kuasa kita. Ada yang dipenjara, malah dibunuh semata-mata kerana ingin terus menjaga kuasa.

Setelah hilang kuasa, mereka ini akan menjadi lebih teruk dari kita.

Hoesni Mubarak adalah contohnya. Setelah beliau jatuh, tidak ada sesiapa memerhatikannya lagi. Malah, mereka menjadi simbol lelucon masyarakat. Antara yang paling kuat ketawa mungkin dahulunya ialah mereka yang paling dekat dengannya. Mereka ini - si kitol dan para pembodek akan mencari manusia lain untuk dipuja. Manusia ini akan selalu ada dalam apa sejarah sekalipun.

Itulah nasib para pemimpin dalam mana sejarah pun, kalau ketika berkuasanya tidak ramah menjadi kuasa, tidak bijak menjalankan tugasnya.

Membaca berita bagaimana Gaddafi - simbol manusia gagah yang berani melawan siapa sahaja, termasuk kuasa Amerika - adalah kisah tragis yang memilukan. Mayatnya diseret di atas tanah. Sekalipun beliau merayu agar tidak dibunuh, akhirnya beliau mati juga.

Pada saat kejatuhannya, tidak ramai lagi yang akan memujanya. Tidak ramai lagi yang akan ketawa bersamanya. Tidak ada siapa lagi yang peduli dengan kata-katanya, yang satu waktu dahulu adalah fatwa.

Juga tidak lagi kedengaran suara si kitul dan pembodek yang akan membisikkan kata yang sedap didengar. Tidak ada lagi sesiapa pun.

Sesiapa pun kita - kalau kita jadi pemimpin, begitulah kesudahannya kalau kita terlupa diri. Baik yang memimpin di organisasi kecil, ketua jabatan atau pemimpin negara. Kita hanya akan dipuja pada saat kita berkuasa. Tatkala kita tidak ada apa-apa, tidak ada siapa pun akan memandang kita.

Kita hanya akan bernasib baik - kalau tatkala kita berkuasa, kita ada sedikit ehsan dengan manusia di bawah. Kalau tidak, kita akan menjadi lebih teruk dari manusia biasa.

Kita semua pembaca, kita bernasib baik ditakdirkan Tuhan tidak menjadi manusia yang ada kuasa. Kita yang ada di bawah tidak akan pernah jatuh lagi, kerana kita tidak pernah pun ada peluang untuk berada di atas.

Moga-moga, tidak ada di antara kita yang kesudahan nasibnya seperti Gaddafi. Tatkala berkuasa dibelai manja, tatkala jatuh dihina dicerca.

Gaddafi - simbol negarawan digeruni menjadi manusia paling terluka. Simbol kuasa manusia yang tak pernah akan kekal. Ia akan pudar tatkala sampai waktunya. Kerana kuasa itu juga makhluk seperti kita.

Permudahkan jalan hidupnya Tuhan.

3 comments:

Anonymous said...

insaf tuan.

Dr. Ben said...

sorang PG student dari Nigeria yang sembang2 dengan aku kata, dia sanjung Libya sebagai sebuah negara Afrika yang maju. Walaupun diktator tetapi taraf hidup paling bagus dalam Afrika.

Sekarang tidak lagi. Akan datang? Bleak.

Norsha said...

selepas ini, segalanya akan tinggal sejarah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails