Yang Ikut

Wednesday, 5 October 2011

Hantu sebenar filem hantu kita

Reactions: 
Sekarang ini, kita sedang hangat dengan lambakan cerita hantu yang menjadi kegilaan sebahagian besar masyarakat kita.

Salahkah menonton atau meminati cerita hantu? Salahkah juga para penggiat seni melakarkan misteri cerita hantu dalam lensa kamera mereka?

Sebenarnya, menonton atau meminati cerita hantu bukanlah satu kesalahan. Filem hanyalah dongeng cerita yang menghentikan kita seketika dari lelah berkerja. Jadi, kalau menonton filem hantu itu mampu melegakan perasaan kita, apa salahnya kalau kita ingin menonton.

Bagaimana pun, hakikat yang perlu diketahui - baik cerita Melayu atau Indonesia, cerita hantu kita tidak sama seperti konsep hantu masyarakat Barat, Korea atau Jepun. Filem hantu kita dimasukkan bersama dengan hal tahyul yang lain. Dalam filem kita, tidak ada hero yang cuba melawan memusnahkan watak hantu. Sebaliknya, kita akan memasukkan unsur bomoh dan pemujaan - sebagai kononnya itulah caranya kita mengusir atau memanggil hantu.

Hantu itu pula menjadi seolah-olah hero yang sukar dikalahkan. Ia begitu kuat. Walaupun kalau dibandingkan dengan filem dari luar, hantu kita masih berwajah 'manja'. Plot cerita juga tidak akan seganas filem Freedie vs Jason. Jalan cerita yang tidak kuat dan tidak kreatif menjadikan cerita hantu kita tidak ubah seperti cerita hantu yang dibualkan oleh masyarakat kampung. Ia juga tidak ubah cerita nenek moyang kita juga.

Inilah silapnya filem kita.

Kita tidak kreatif - tetapi memasukkan pula banyak unsur tahyul, asap kemeyan dan puaka. Ini telah menghilangkan misteri hantu itu sendiri, tetapi menanam benih khurafat dalam masyarakat. Filem hantu kita tidak menakutkan, tidak seram tetapi kelakar. Yang kita takutkan bukanlah imej hantu itu, tetapi khurafat dan tahyul itulah. Itulah yang merosakkan pemikiran kita.

Filem hantu Barat, menakutkan. Ia menyeramkan. Jarang kita ketawa menonton filem hantu mereka. Tetapi, mereka tidak pula menanamkan unsur khurafat - kecuali bagi filem-filem Draculla. Itupun, kerana filem Draculla tidak bersifat seram, sebaliknya lebih kepada mitos pertembungan watak putih dan hitam. Ia filem aksi yang baik.

Kita juga, kalau mampu menghasilkan filem hantu yang baik - yang seram, tetapi tidak tahyul, tentu akan mampu menerobos pasaran luar. Orang tahu itu bukan hantu yang betul, tetapi menakutkan.

Sayangnya, kita tidak begitu kreatif dalam hal ini. Kita memainkan semula cerita tahyul yang berlegar dalam masyarakat.

Tahyul dan khurafat itulah 'hantu' sebenar yang sedang menakutkan kita. Bimbang-bimbang ia akan menular dan membinasakan daya fikir kita.


3 comments:

ismadiyusuf said...

cuma masyarakat kita sekarang ni banyak yang dah jadi hantu...

Anonymous said...

Kekadang kita jugak 'dihantui' dgn ketakutan dan kebesaran dunia sehingga melupakan akhirat...

ajaq said...

..menyusahkan aku....anak aku nak gi dapur pun takut...waduuuuuh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails